Azan Subuh pada keesokan paginya jelas kedengaran di telingaku, namun tubuhku masih berlingkar malas di atas tilamku yang nipis. Suara ibu nyaring setiap pagi memanggilku serta bapa dan adikku untuk bersegera bangun dari tidur. Bimbang akan dimarahi ibu, aku bingkas bangun dari tilam dan segera melipatnya untuk disimpan di atas rak penyangkut pakaian. Di keheningan pagi Subuh, kurangkul tuala yang terletak di penyangkut pakaian dan bergegas ke bilik air yang terletak bersebelahan dengan ruang laundry. Air pagi yang sememangnya sejuk dingin di dalam kolah membasahi tubuhku sehingga menimbulkan kegigilan.
Aku menjalani rutin kehidupan yang baharu pada pagi ini, dengan menambah pekerjaan di dalam jadual kehidupanku. Aku bersiap segera dengan berpakaian kemeja putih, seluar slack hitam beserta kasut sukan untuk turun ke kereta kami yang terletak di parkir di bawah bangunan kuarters 10 tingkat bersama ibu bapaku. Seperti biasa, bapaku yang tidak bekerja itu menjadi driver kami ke destinasi masing-masing pada pagi itu. Timbul keinsafan di dalam diri kerana di usia aku yang menghampiri pertengahan umur 20-an, serta pernah ditipu oleh sekolah memandu sehingga kehilangan wang elaun belajar yang banyak, aku tidak mampu membawa kenderaan bermotor sendiri. Kudrat ayahku yang sudah menghampiri usia 60 tahun masih kuat, namun beliau selalu merungut kepenatan. Aku pun segera menanam tekad untuk mengambil lesen memandu setelah aku mendapat gaji pertama.
Setibanya aku di syarikat tempatku bekerja, kakiku melangkah pantas ke pintu belakang syarikat terbabit yang merupakan laluan masuk pekerja. Aku tiba di syarikat pada jam 7.50 pagi dan terus diberikan kad perakam waktu oleh Kak Yan. Kali pertama aku mengetipkan kad perakam waktu pada mesin perakam waktu, perasaanku mengatakan bahawa aku kini sudah sah bergelar pekerja. Kak Yan membawa aku ke pejabat di mana meja Pegawai Teknologi Maklumat ditempatkan. Rupanya meja Kak Yan hanyalah terletak di belakang meja Pegawai Teknologi Maklumat.
“Diana duduklah dulu, nanti Kak Sue akan masuk kerja sekejap lagi, “ujar Kak Yan sambil tersenyum. Aku turut membalas senyumannya dan kemudian mataku meliar melihat sekeliling bilik pejabat. Bilik pejabat agak kecil namun sesuai untuk pihak pengurusan yang terdiri daripada pengurus dan Pegawai Sumber Manusia. Tidak lama kemudian, mataku terpandang akan seorang wanita bersosok sedikit gempal, bertudung bawal berwarna hitam dan berbaju kemeja syarikat berwarna kelabu masuk ke dalam pejabat. Kak Yan segera bangun daripada tempat duduknya dan berjalan mendekatiku. Aku juga berdiri dari kerusiku.
“Sue, inilah Diana, pegawai baru Unit IT yang akak cakap semalam. Diana, ini Kak Sue,” kata Kak Yan sambil memperkenalkan kami berdua.
Aku memberi salam kepada Kak Sue. Wanita itu menyambut salamku dan menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan. Aku kelihatan kaget untuk bersalaman dengannya, namun akhirnya tangan kanan kami berdua bertemu dalam genggaman masing-masing. Tidak lama kemudian, Encik Abdul, pengurus syarikat tersebut masuk ke pejabat, disambut oleh salam yang dilontarkan oleh tiga orang wanita yang sedia berada di dalam pejabat tersebut.
Kak Yan memegang tanganku dan berkata, “Jom masuk bilik bos. Bos ada pesanan nak disampaikan pada Diana.” Wanita yang berjawatan Pegawai Sumber Manusia itu membawaku ke bilik pengurus, diikuti oleh Kak Sue. Encik Abdul meminta kami bertiga untuk mengambil tempat duduk dan bermulalah sesi berkenalan yang lebih mendalam. Pengurus tersebut juga menerangkan tentang kedudukan syarikat serta perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat untuk memenuhi keperluan dan permintaan stakeholders. Setelah itu, aku dibawa mengelilingi syarikat untuk bertemu dan berkenalan dengan pekerja di setiap seksyen.
Terdapat beberapa seksyen di syarikat tersebut iaitu seksyen pengurusan, seksyen penerimaan barang (receiving), seksyen pasar basah (fresh market), seksyen runcit (grocery), seksyen IT, seksyen barang bukan runcit (GMS) dan seksyen kejuruwangan (cashiering). Kesemua seksyen ini saling bergantungan antara satu sama lain dan aku diberi penerangan bahawa hanya seksyen pengurusan, seksyen IT dan seksyen penerimaan barang yang bertugas morning shift iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Manakala seksyen-seksyen lain mempunyai tiga shift iaitu pagi (8 pagi – 5 petang), petang (1 petang – 10 malam) dan full shift (8 pagi – 10 malam). Setelah siap mengelilingi syarikat, aku kembali ke pejabat untuk mendapat penerangan mengenai tugas sebagai Pegawai Teknologi Maklumat oleh Kak Sue.
Melalui cerita Kak Sue, walaupun jawatan aku ialah Pegawai Teknologi Maklumat, namun kebanyakan tugasku tidak melibatkan sistem dan pembaikan aset IT di syarikat tersebut. Tugas utamaku ialah menghantar beberapa laporan yang berkaitan dengan jualan harian, waste disposal, membuat pop-card (kad pemberitahuan promosi), mengemaskini harga barang dan membantu seksyen penerimaan barang dalam kerja-kerja penerimaan barang serta persediaan untuk stocktake (kiraan stok). Kiranya tugasku lebih kepada kerja di belakang tabir. Kak Sue memberitahuku bahawa terdapat dua jenis stocktake iaitu fresh stocktake dan outright stocktake. Fresh stocktake dilaksanakan berkala sebulan sekali oleh seksyen pasar basah manakala outright stocktake berlangsung dua kali setahun melibatkan kesemua seksyen.
Mendengar tugasan yang berat ini sudah cukup menggerunkanku yang tidak punya sebarang pengalaman kerja. Mulalah impian untuk bekerja lama di syarikat ini goyah sheingga timbul perasaan untuk mencari kerja yang baharu, namun aku segera membuang jauh perasaan tersebut memikirkan bahawa aku memerlukan wang untuk membayar balik pinjaman pendidikan dan juga membantu menampung perbelanjaan keluarga.
Aku amat mengenali diriku yang ambivert ini. Aku tidak berapa gemar melakukan aktiviti bersama orang lain kecuali dengan mereka yang sekepala denganku. Sejak dari universiti lagi, walaupun aku melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dan persatuan, aku sememangnya menggemari me-time sehingga memohon untuk mendapatkan bilik seorang yang mana aku peroleh semasa aku di tahun akhir pengajian. Dengan sifatku ini, aku melayari kehidupan universiti dengan hampir tidak terlibat dengan aktiviti yang dihadiri oleh rakan-rakan sekuliah. Aku seronok mengembangkan jaringan persahabatan dengan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang dan fakulti, tambahan dengan aku yang kaki anime dan drama Jepun menyebabkan aku memilih untuk belajar Bahasa asing itu secara formal walaupun aku pergi ke kelas berseorangan.
Minat aku terhadap negara matahari terbit itu dikongsi oleh adik kembarku, maka aku sanggup pergi ke kelas Bahasa Jepun tanpa ajakan sesiapa. Di kelas ini potensi aku semakin terserlah kerana pelajar Melayu dalam kelas ini boleh dikira dengan jari. Pensyarah Bahasa Jepunku amat menyayangiku sehingga aku digelar anak emas beliau. Dek kerana kecemerlangan aku di dalam Bahasa asing ini, aku pernah diberi tanggungjawab sebagai pengacara majlis bagi meraikan kedatangan para pelajar Jepun dari Universiti Tsukuba dan Universiti Nagoya.
Oleh sebab sifat aku juga, aku liar melangkah kaki melawat Kuala Lumpur seorang diri, menjadi explorer untuk mengetahui route setiap pengangkutan awam yang ada yang melalui ibu negara Malaysia. Aku sanggup meneroka ibu negara metropolitan Malaysia seorang diri semata-mata untuk mencari cd anime atau drama Jepun terbaru kawasan Petaling Street dan Bukit Bintang. Walaupun demikian, aku sentiasa memastikan diriku dalam keadaan berjaga-jaga semasa di berada di ibu kota kerana ibu kota tidak sunyi daripada sebarang jenayah dan salahlaku. Aku juga pernah menjadi tour guide bagi pelajar-pelajar Jepun dan juga adik kembarku bilamana adik kembarku berada di Kuala Lumpur.
Namun, sifat pemalu aku begitu tebal sehingga aku sukar membuka mulut untuk membuka bicara dengan orang asing. Dek kerana itu, ramai yang menggelarkanku sombong, namun persepsi mereka terhadapku berubah setelah mereka mengenaliku dengan lebih mendalam. Aku berfikir bahawa aku tidak boleh kekal dengan sifat begini lantaran alam pekerjaan menuntutku untuk menjadi team player. Aku cuba buang sifat malu untuk bertanya memandangkan Kak Sue akan berhenti kerja tiga minggu lagi kerana akan pulang ke kampungnya yang terletak di sebuah negara Eropah. Maka, aku juga telah menanam perasaan untuk mempelajari sesuatu dengan cepat sebelum Kak Sue pergi meninggalkan kami semua.
Pada mulanya agak sukar untukku membuang semua sifat negatif dalam diriku, namun para pekerja di sini sepertinya mempunyai tanggapan yang tinggi terhadapku yang bergelar graduan ijazah sarjana muda. Tiga minggu kemudian, Kak Sue pun berhenti kerja dan satu-satunya tugas Pegawai Teknologi Maklumat yang tidak diajarinya kepadaku ialah tugasan di bahagian penerimaan barang dek kerana kekangan masa. Aku mengambil inisiatif untuk pergi menuntut ilmu daripada Kak Zaleha, iaitu ketua seksyen tersebut. Kak Zaleha telah berusia melebihi 50 tahun, bertubuh kurus dan tinggi lampai. Kedatanganku untuk berguru dengannya tidak disambut dengan gembira oleh Kak Zaleha. Aku tidak dapat belajar dengannya kerana beliau sering mengatakan bahawa beliau sibuk dan tidak punya masa untuk berkongsi ilmu. Aku dapat merasakan hati ini seperti disiat-siat, tetapi aku tidak berputus asa.
Tak mengapalah, orang tak sudi mengajar kita. Maka kita jadilah pemerhati, kataku pada diri sendiri. Alhamdullillah, berbekalkan kemahiran dan pengalaman bergelar pelajar jurusan sains dan diri ini juga adalah seorang orang yang visual, maka aku belajar banyak ilmu hanya dengan memerhati – berdiri di sebelah Kak Zaleha dan melihat apa yang beliau lakukan. Aku menulis setiap apa yang ketua seksyen penerimaan barang ini lakukan di dalam sebuah buku nota kecil. Cara yang sama juga aku gunakan untuk mendapatkan ilmu berkenaan selok-belok perjalanan tugas dan tanggungjawab setiap seksyen. Hari demi hari, daripada seorang graduan yang terkapai-kapai dalam dunia pekerjaan tanpa sebarang pengalaman kerja, aku kini menjadi seorang yang multi-tasker dan team-player sehinggakan pada suatu hari pengurus syarikat memanggilku ke pejabatnya.
“Saya nak lantik awak sebagai ketua seksyen pasar basah dengan gaji sebanyak RM1700,” katanya Encik Abdul yang menyebabkan aku tercengang. Mengapakah beliau melantik aku ke jawatan eksekutif sedangkan aku hanyalah seorang pekerja yang baru bekerja dalam tempoh 6 bulan?
“Bos, saya baru sahaja bekerja, tak layak untuk saya memikul tanggungjawab yang berat sebegitu. Ramai lagi yang lebih senior dan lebih berpengalaman daripada saya untuk dilantik,” balasku.
“Muda atau senior bukan soal utama, Diana. Sepanjang 6 bulan awak di sini, awak telah menonjolkan kematangan berfikir, kemampuan untuk menyelesaikan masalah, cepat untuk membuat tindakan, saling bekerjasama dengan staf dari seksyen berlainan dan awak sangat suka belajar benda yang baru. Saya nampak potensi awak untuk pergi jauh, jikalau lama awak bekerja di syarikat ini, ada kemungkinan untuk awak dinaikkan pangkat sebagai pengurus, lagi-lagi antara pengurus termuda. Tak mahukah begitu?”
“Saya akan fikirkan, bos. Saya masih lagi terkejut dengan berita ini, “ujarku pendek. Aku segera keluar dari bilik pengurus dan kembali ke mejaku. Siapa yang tidak mahu naik pangkat secepat itu, tetapi naik pangkat dengan cepat pun boleh menimbulkan prasangka di kalangan rakan sekerja. Lagi cepat naik. lagi cepat jatuh, fikirku. Aku bongkarkan berita ini kepada keluargaku seusai tiba di rumah. Bapaku menggalakkanku untuk menerima kenaikan pangkat dan gaji tersebut tanpa banyak soal. Padanya ialah satu recognition daripada syarikat atas kemampuanku dan bukan mudah untuk seseorang pekerja mendapat pengiktirafan dalam tempoh tidak sampai setahun bekerja.
Dengan itu, aku menyatakan persetujuan kepada pemgurus untuk menerima jawatan yang baru dan bajuku telah bertukar daripada kemeja berwarna kelabu kepada kemeja putih.
Share this novel