Temuduga kerajaan yang entah kali keberapa aku hadir sepanjang permohonan kerja kerajaan, namun inilah kali pertama temuduga aku di lokasi di ibu negara Malaysia kerana selama ini, lokasi temuduga hanya berlegar di kawasan utara Malaysia. Aku dan ibu bergerak awal pada hari lahirku, iaitu pada pagi Krismas dengan menaiki kereta kecilku. Penat memandu kenderaan kecil yang bergear manual ini, namun inilah liabiliti yang aku mampu ketika ini. Enam jam di atas lebuh raya, kami selamat tiba di Kota Damansara di mana adik bongsu ibuku, Paksu Azim menetap. Kami akan bermalam di sini untuk semalam.
Setibanya di sebuah rumah pangsa lima tingkat iaitu kediaman Paksu Azim, aku dan ibu telah disambut oleh Paksu Azim, isteri dan tiga orang anak mereka. Berehat sebentar sambil berbual, tidak sangka pula nenekku turut berada di rumah Paksu Azim. “Paksu, temuduga Diana di Jalan Cenderasari esok pagi. Macam mana nak ke sana?” tanyaku kepada Paksu Azim semasa kami sedang berbual satu keluarga.
“Oh, tak susah, Diana. Nanti paksu tunjukkan. Sambil-sambil tu bolehlah kita sambut birthday Diana kat luar,” balas Paksu Azim. Birthday? Aku sudah tidak punya perasaan untuk sambutan hari lahir memandangkan diri merasakan terlalu banyak bahan bacaan yang menuntut aku membaca sebagai persediaan temuduga. Sememangnya aku sudah membuat nota ringkas temuduga kali ini, tetapi hati kecil aku berbisik mengatakan persediaan aku masih belum mencukupi. Akan tetapi memikirkan bahawa aku dan ibu akan terus pulang ke negeri kelahiranku setelah tamat sesi temuduga, aku melakarkan senyuman kelat kepada bapa saudara bongsuku itu.
Pada petang itu, kami sekeluarga telah bergerak menuju ke Jalan Cenderasari dengan menaiki kenderaan Paksu Azim. “Diana, boleh ingat tak jalannya dari rumah ni?” tanya Paksu Azim sambil memberikan sekilas pandang ke arah wajahku sebelum kembali menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Aku yang duduk di seater baris kedua di dalam kereta Avanzanya itu mengangguk kecil. “In shaa Allah, boleh ingat. Rasa macam tak susah mana, cuma esok tu kena keluar seawal 7 pagi. Pasti gelap lagi keadaannya,” jawabku.
“Biasalah tu, Kuala Lumpur memang macam tu,” Maksu Timah menjawab, diselangi dengan tawa kecil. Dia sedang bermain-main dengan anak bongsunya, sepupu lelakiku yang bongsu yang baru berusia 7 bulan. Aku sudah sedia maklum dengan keadaan Kuala Lumpur kerana pengalaman melihat kesibukan kota dirasai tatkala aku menjejakkan kaki di sebuah daerah di Selangor yang menjadi lokasi pengajian ijazah sarjana mudaku.
Paksu Azim membawa kami ke sebuah restoran makanan Barat di Kota Damansara untuk meraikan hari lahirku. Setibanya di sana, aku telah memilih menu chicken chop with BBQ gravy walaupun pada hakikatnya aku masih kekenyangan kerana makan kuih di rumah bapa saudara bongsuku ini sebelum keluar melihat lokasi temuduga. Seronok juga meraikan hari lahir di luar kerana sangat jarang untuk aku menyambut hari kelahiranku bersama kembar di luar. Kek hari lahir sahajalah yang selalu ditunggu saat hari ulang tahun kelahiran, kalau ada rezeki sekotak besar KFC yang sesuai untuk keluarga yang berahli seramai lima orang menjadi juadah sampingan.
Seusai makan dan pulang ke rumah Paksu Azim, aku kembali mengulangkaji nota-nota untuk persediaan temuduga esoknya. Itu pun setelah mandi, badanku yang sememangnya letih daripada perjalanan jauh itu mengundang kekuyuan mataku. Lagi sedap kalau dibuai mimpi sekarang ni, apatah lagi punggungku sudah enak duduk di atas tilam yang empuk. Namun, aku gagahi jua membuka mata kerana aku merasakan masih banyak lagi nota-nota yang aku belum selak dan baca. Entah bila mataku tertutup kerana sedar-sedar sahaja sudah subuh dan aku seperti kebiasaannya dikejutkan oleh suara ibu. Celik mata saja terus aku capai handphone yang terlentang di sisi aku di atas tilam.
Baru jam 5.30 pagi….Ya Allah, bila masa aku tertidur. Habislah, banyak lagi chapter tak cover ni…
Hendak buat macam mana lagi, sempat selak dan baca atau tidak, temuduga kena pergi juga. Aku menerima nasihat dan juga kata-kata semangat daripada Paksu Azim dan Maksu Timah untuk melakukan yang terbaik semasa temuduga nanti. Kata-kata itu disampaikan kepada aku tatkala kami sekeluarga menikmati hidangan makan pagi berupa nasi goreng kampung dengan telur mata kerbau. Aku bersalaman dengan bapa saudara bongsuku berserta isteri dan anak-anaknya tanda aku dan ibu hendak bergerak ke tempat temuduga dan juga pulang ke utara tanah air setelah sesi temuduga selesai.
Aku memandu perlahan menyelusuri jalan di Kuala Lumpur yang sudah berisi dengan kenderaan. Ramai orang mengambil kesempatan keluar awal untuk ke tempat kerja memandangkan mereka akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas jikalau keluar pada waktu puncak. Jam baru sahaja menunjukkan waktu 6.30 pagi. Sambil telinga asyik melayan radio IKIM mengalunkan zikir-zikir dan bacaan ayat suci al-Quran, mataku tajam ke arah pemanduan. Rupanya tidaklah jauh mana pun rumah Paksu Azim dengan lokasi temuduga di Jalan Cenderasari. Aku tiba awal di sana sebelum jam 7 pagi. Alhamdullilah, datang awal siap boleh letak kenderaan di dalam compound SPA Jalan Cenderasari.
Semasa menunggu untuk melapor diri untuk temuduga pada jam 8 pagi, aku mengambil peluang yang ada untuk menyelak kembali nota dan memberi fokus kepada beberapa tajuk dan isi penting yang berkemungkinan akan dipersoalkan semasa sesi temuduga. Aku kurang berkeyakinan sedikit ketika ini kerana sudah agak lama aku tidak mengambil pusing tentang perkembangan dan isu semasa kursus pengajian aku setelah aku tamat belajar di universiti. Kursus pengajian aku merangkumi bahagian teori dan bahagian teknikal, jadi yang merisaukan aku sebenarnya ialah bahagian teknikal. Oh, temuduga kali ini yang aku hadiri ialah untuk jawatan Pegawai Sains C41 di bawah AELB (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom).
Tidak aku sangka, temuduga jawatan Pegawai Sains C41 di bawah AELB ini dihadiri oleh ketua pengarahnya sendiri yang menjadi panel. Wakil daripada SPA turut hadir sebagai panel utama. Seperti yang diduga, soalan-soalan temuduga lebih menjurus ke arah bahagian teknikal, walau bagaimanapun aku merasakan pengalaman temuduga kali ini agak berlainan daripada temuduga-temuduga sebelum ini. Aku tidak berasa terlalu cemas dan soalan-soalan daripada pihak panel temuduga juga aku dapat menjawab dengan baik, in shaa Allah.
Atau aku mungkin terpedaya dengan keterujaan panel yang kelihatan bersemangat mengajak aku “bersembang”, lagi-lagi memuji cara aku menghadapi temuduga. Berkemungkinan aku masih punya mood temuduga kerana aku baru sahaja selesai temuduga satu lagi jawatan kerajaan pada bulan September baru-baru ini. Aku pula sejenis orang yang cepat terperasan!
***********************************************************************************
DUKACITA…Perkataan yang sememangnya sudah mangli dalam kamus hidup bagi seorang pemburu kerjaya. Seperti diduga, mungkin aku hanya syok sendiri, terlalu optimis bilamana panel temuduga seakan senang berbicara dengan aku. Aku menerima keputusan temuduga itu dengan lapang dada, keputusan temuduga yang keluar pada pagi hari sehari sebelum Tahun Baru Kalendar Gregorian.
Kesedihan itu aku ubati dengan mengajak adik kembar ke shopping complex yang agak terkenal di negeri kelahiran aku. Sebuah kompleks yang terletak berhampiran dengan tasik buatan manusia dan dipisahkan oleh taman bunga yang indah. Ia sering menjadi kawasan lepak golongan muda mudi di samping beriadah bersama keluarga. Angin Disember yang bertiup dari arah tasik ke arah tanah lapang di mana menjadi medan tempat meletak kenderaan menyapu lembut wajah kami berdua. Kesedihan kegagalan temuduga ini sudah dijangka, lebih sedih kerana adik kami masih lagi menerima rawatan di hospital kerajaan di selatan tanah air, ditemani ibu bapa yang setia menanti saat doktor mengkhabarkan berita gembira – berita kepulangan adik lelaki ke rumah untuk berehat dan dirawat.
“Jom kita pergi Tealive nak?” tanya adik kembar aku tiba-tiba. “Hmm, boleh juga. Lama tak pekena air dia,” balas aku pendek. Aku dan adik kembar amat menyukai air minuman Tealive dan akan beli sekiranya benar-benar teringin. Menu kami selalunya sama kerana apabila berkaitan dengan ice blended, kami sememangnya sepakat menyukai air minuman coklat. Superior coco atau coco latte adalah antara minuman yang menjadi kegemaran kami. Kami pun masuk ke dalam kompleks dan berjalan ke arah kedai Tealive tersebut. Kompleks ini juga merupakan tempat lepak kegemaran kami andai Sushi King mengadakan bonanza RM2 atau menonton wayang di pawagam GSCnya. Kami sering membeli bebola ayam di kaunter jualan makanan dan minuman pawagam itu.
Semasa menunggu giliran untuk membuat pesanan minuman, tiba-tiba aku berasa seperti terdapat getaran pada poket seluar aku. Tangan kananku diseluk di dalam poket untuk mengambil telefon pintar yang sedang bergetar asbab ada penerimaan mesej baru. Aku menekankan di skrin telefon Sony model Z5 untuk membuka kunci akses kepada telefon dan mendapati bahawa ada suatu mesej baru masuk. Dengan pantas, jariku menekankan kepada ikon berbentuk huruf sampul surat yang bermaksud bahawa mesej yang baru diterima sebentar tadi mesej berbentuk SMS. Terus jari aku membuka mesej tersebut dan mendapati ia adalah mesej daripada SPA, mesej yang mengandungi maklumat bahawa keputusan temuduga untuk jawatan sebelum jawatan Pegawai Sains C41 (di bawah AELB).telah keluar dan boleh disemak melalui pautan laman sesawang yang disertakan.
TAHNIAH! Anda telah berjaya dalam sesi temuduga….
Kedua-dua mataku di sebalik cermin mata yang tersangkut di telinga aku membulat besar, terpana dengan perkataan “TAHNIAH”, seumpama aku telah dikenakan sihir. Aku tidak percaya…Tak mungkinlah, bisik hati kecil aku lalu keluar dari laman sesawang SPA dan tekan semula pada pautan yang diberikan di dalam mesej untuk cuba login semula. Semua ini dilakukan bagi mendapat kepastian dan menyakinkan hati aku yang masih lagi dilingkari kesedihan. Ternyata apa yang aku lihat bukanlah satu permainan mata, alhamdullillah sememangnya sudah sampai rezeki yang menjadi idaman ibu bapa aku, rezeki yang aku doa pada Yang Maha Esa siang dan malam. Sebuah hadiah yang sedikit sebanyak mengubati kedukaan kami sekeluarga.
“Ibu, along sudah berjaya. Hajat ibu dan ayah telah Allah makbulkan,” pantas aku mengkhabarkan berita gembira itu kepada kedua-dua ibu bapa aku yang ketika itu sedang berada di hospital. Mereka kedengaran keletihan dan kini sedang berehat di sebuah bilik yang disediakan oleh hospital khas untuk penjaga pesakit terutamanya yang datang dari jauh atau kesukaran untuk berulang-alik dari kediaman. Alhamdullillah… ayat kalimah Allah Yang Maha Agung diungkapkan berkali-kali oleh kedua-dua ibu bapa aku.
Hampir empat tahun aku bertungkus-lumus berusaha menghadiri temuduga, menduduki ujian bertulis, menghadiri PAC dan sememangnya ramai lagi graduan di luar sana yang mendambakan kerjaya di sektor awam yang punya jauh lebih banyak pengalaman dalam memohon kerjaya di sektor ini. Sehingga hari ini, aku sendri tidak pernah membayangkan diri berkhidmat dalam sektor awam, kerana pada perancangan cita-cita asal ialah untuk terjun dan fokus dalam bidang penyelidikan sebagai seorang pensyarah dan saintis wanita. Lagi-lagi pula, aku memegang jawatan yang mana stuatu ketika dulu sangat asing di telinga aku, aku hanya mengetahui namanya ketika di semester akhir di tahun akhir pengajian ijazah sarjana muda. Suatu jawatan yang sangat didambakan oleh kebanyakan graduan pada masa kini.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Inilah kisah Diana, seorang graduan yang punya jalan cerita yang hampir sama dengan kalian di luar sana. Kisah realiti kehidupan seorang pemegang ijazah sarjana muda daripada antara universiti terkemuka di Malaysia, secebis kisah mengenai perjuangan Diana yang hanya mahu melihat ibu bapanya tersenyum gembira; dengan doa dan restu mereka dan keluarga serta keizinan rezeki daripada Yang Maha Esa, Diana kini menjadi seorang pegawai kerajaan sama seperti hasrat kedua-dua ibu bapanya.
Share this novel