Episod 2: Geng Sekepala

Romance Series 58047

Setiap insan pasti mempunyai minat sesuatu perkara dengan mendalam dan kadangkala menjadi peminat yang fanatik sehingga sanggup bercakaran antara satu sama lain. Pada era globalisasi ini, puak raver dan hipster saling bercakaran di media sosial mahupun di luar. Ianya mengundang gelak tawa netizen dengan sikap mereka yang berpuak dan membanggakan budaya yang tidak sihat seperti itu.

Bila melihat perkara ini, otakku terkenang kembali kenangan ketika aku berada di alam persekolahan. Aku merupakan peminat tegar muzik genre keras seperti hard rock, heavy metal, trash metal dan genre muzik lain yang keras. Genre ini terlalu banyak untuk dikupas dan jika dikupas, aku yakin sampai subuh esok agaknya aku masih menaip topik ini. He he he. Melalui fac, aku mula berkenalan dengan beberapa rakan baru yang lain dan tidak kurang juga ada yang menjemput aku menyertai kumpulan media sosial yang dicipta untuk berkumpul sebagai peminat muzik yang sama.

Antara kumpulan yang masih aku ingat namanya ialah Avenged Sevenfold Big Fans Malaysia, A7X Deathbats Family, Metalcore&PostHardcore Fans dan Metallica Malaysia. Setiap ahli kumpulan terdiri daripada pelajar sekolah seperti aku masa tu, otai-otai lama dan sistor rare yang lain. Aku tidak begitu hairan jika wanita di Malaysia meminati genre ini kerana ianya bagiku perkara yang biasa. Setiap hari, pasti akan ada sembang panjang di ruang chatting kumpulan sama ada berkongsi ilmu muzik tentang alatan muzik, sejarah penubuhan sebuah band, kutuk mengutuk dan tidak kurang juga ada yang bergaduh walaupun perkara kecil. Walaubagaimanapun, perkara yang paling seronok ialah ketika mengutuk peminat Kpop.

Selepas hubunganku dengan Ana berakhir, aku memulakan kehidupan seperti biasa. Tiada drama air mata, tiada muat naik video sedih dan layan lagu Sufian Suhaimi (ops, masa ini Sufian belum wujud lagi..He he he he). Aku mula mencari kawan baru kerana ketika itu laman FB begitu popular dan akaunku ketika itu belum mempunyai ramai kawan seperti hari ini. Hanya berapa puluh sahaja ketika itu. Dengan jemputan daripada rakan FB ke kumpulan seperti yang dinyatakan di atas ( sila rujuk perengggan pertama), aku mulakan misi menambah rakan tidak kira lelaki atau perempuan, semuanya aku add! Walaupun ramai yang aku tambah sebagai rakan, ada juga yang menghantar permintaan menjadi rakanku dan tanpa usul periksa aku terus terima atau bahasa FBnya approved! Ada beberapa nama yang menjadi perhatianku antaranya pemilik akaun yang bernama Syn Kobain, Emily Evans, Anisz Cheesygurls, Zai Love Sevenfold dan Shaima Sakura(semua ini bukan nama sebenar).

Apa yang menarik tentang individu yang aku petik namanya? Aku huraikan 1 persatu, Syn (bukan nama sebenar) mempunyai rupa paras yang sama seperti pemain gitar utama A7X, Synyster Gates! Sementara Shaima mempunyai potongan badan yang menarik selain suaranya yang serak basah cukup memukau dan menggetarkan batinku. Beliau sering memuat naik gambarnya bersama ahli bandnya dan persembahan mereka di laman FB. Emily pula merupakan gadis gothik yang menyanjung tinggi muzik-muzik gothik sehingga mempengaruhi gaya pemakaian hariannya. Walaubagaimanapun, beliau mempunyai raut wajah yang manis dan sedap mata memandang.

Anisz pula perempuan sebaya denganku yang menetap di seberang Laut China Selatan iaitu di Labuan. Dia merupakan peminat tegar kumpulan Black Veil Brides. Selain itu, dia juga meminati kumpulan muzik yang lain namun Black Veil Brides adalah pujaannya nombor 1. Zai pula adalah individu yang banyak mengajarku tentang alam muzik keras ini. Banyak yang aku pelajari daripadanya dan dia juga tidak kekok. membahasakan dirinya kakak. Sebelum beliau menggelarkan dirinya kakak, aku ingatkan Zai adalah lelaki tetapi wanita asli.

Antara 5 orang ini, hanya 3 daripadanya yang telah mewarnai hari-hariku iaitu Zai, Emily dan Anisz. Aku mulakan dengan Zai. Umurnya ketika itu dalam anggaran 20 tahun sementara aku pula baru berusia 16 tahun ketika awal perkenalan kami. Beliau tinggal di Pahang tetapi sehingga sekarang wanita ini masih menjadi misteri kepadaku.

Ketika awal perkenalan, hingga ke hari ini aku masih tidak tahu akan rupa parasnya, susuk tubuhnya walhal nama penuhnya juga aku masih tidak tahu. Apabila ditanya, beliau hanya menjawab, "Kalau adik ikhlas nak jadi adik akak, tak perlu tahu semua itu. Dah cukup". Pernah juga aku meminta beliau untuk menghantar gambarnya kepada aku waima satu gambar sahaja, tetap tidak berjaya. Biasanya selepas permintaan aku tidak ditunaikan, kami akan bergaduh. Gaduh di chat sahaja.

Walaupun dia sangat baik dengan aku, sering memberi nasihat yang baik kepadaku tetapi ianya tidak cukup. Aku semakin meluat dengan sikapnya yang kadangkala mengongkong hidupku hingga satu tahap, aku diarahkan supaya tidak bercinta. Zai kerap bertanyakan tentang adakah aku meminati gadis di sekolahku mahupun di sekitar tempat tinggal. Apabila aku katakan ya, beliau marah. "Siapa akak pada adik sebenarnya"? Pelik aku dibuatnya.

Oleh sebab sikapnya yang menjengkelkan, aku tidak berhubung dengannya lagi. Atas dasar apa untuk menjadi misteri?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience