Episod 15: Budak Baru

Romance Series 58047

Sejak cintaku ditolak oleh Jija, aku menetapkan keputusan untuk tidak menaruh hati kepada orang lain lagi. Jika aku menaruh hati sekalipun, biarlah aku sahaja yang tahu agar hatiku tidak terguris lagi. Apa gunanya aku meluahkan tetapi tak pernah berbalas.

Aku mula untuk rapat dengan geng Emilia dan Aisyah. Mereka berdua ini sering bersama di dalam kelas. Duduk bersebelahan hampir setiap minggu. Nombor telefon Emilia juga sudah aku peroleh sebelum geng sekolah Labu itu datang sini lagi. Hanya Aisyah aku belum peroleh nombornya lagi kerana perwatakannya yang seperti tomboi itu menyukarkan aku. Aku beranggapan perempuan tomboi kebanyakkannya benci akan lelaki.

Emilia bersekolah di Vokasional Undang Luak, Rembau tak silap aku. Maklumlah kisah lama, sukar untuk aku ingat semuanya. Dia mengambil jurusan Pengurusan Perniagaan. Aku dapat meneka sebelum dia cakap kepadaku lagi memandangkan di tempatku, kebanyakkan pelajar perempuan memang mengambil jurusan tersebut. Fizikal beliau sedikit berisi tetapi tiada bentuk menarik atau bahasa kasarnya gemuk. Namun begitu, wajahnya manis dengan senyuman. Aku jamin suatu hari nanti dia pasti akan cantik jelita.

Melalui risikan aku kepada Emilia, Aisyah adalah pelajar sekolah menengah biasa di Taman Tuanku Jaafar aliran sastera. Aku tidak tanya lebih kerana aku tidak tahu macam mana aliran kelas di sekolah menengah biasa.

Kemudian pada suatu hari, aku dikejutkan dengan kehadiran pelajar baru. Hari Sabtu, dua pelajar lelaki baru masuk ke sesi kami. Melalui gaya perbualan mereka yang cepat akrab dengan geng Faz dan Tasya, aku beranggapan bahawa mereka ini satu sekolah. Maka riuh sedikit kelas itu dengan gelak tawa dan perbualan mereka walhal kelas sedang berlangsung.

Dua lelaki itu dikenali sebagai Fadhil dan Farid. Seperti yang aku katakan tadi, mereka ini satu sekolah dengan geng Faz dan Tasya di Labu. Apa yang aku tahu, mereka ini sudah sertai kami di tempat duduk belakang menjadikan kawasan ini sudah semakin sempit. Mereka berdua sempat bertanyakan aku serba sedikit sebagai salam perkenalan. Begitu juga dengan rakan-rakanku yang lain. Mereka berdua tampak memang jenis orang yang mudah masuk.

Keesokan harinya, seorang lagi pelajar baru masuk ke sesi kami iaitu pelajar perempuan. Aku boleh katakan pelajar berkenaan sangat cantik mengatasi kecantikan Tasya, Syakila dan Faz. Fizikalnya yang tinggi selain mempunyai bentuk badan yang boleh tahan hebatnya. Beliau tidak mengenakan tudung di kepala. Rambutnya yang lurus itu panjang melepasi bahu namun tidak mencecah paras pinggang.

Aku berbisik kepada Emilia ketika itu. "Weh, kau tak nak ajak dia duduk dengan korang ke? Kesian dia sorang-sorang kat depan".

"Amboi kau, budak baru tu. Kenapa kau tak suruh dia duduk dengan geng2 Labu kau tu?"

"Alah weh, susah masuk tu. Kau tengoklah diaorang. Dah sampai budak-budak tempat sekolah dia. Dah macam apa dah. Lagipun baik dia lepak dengan korang. Boleh belajar sama. Aku pun boleh join sekali".

Emilia hanya tertawa sedikit sambil tersenyum. Aku suka tengok senyuman manisnya. Namun aku tidak cair kerana aku lebih selesa berkawan dengannya.

"Oh, dah ada orang baru yang lawa, baru nak study dengan kitaorang. Cehh".

"Eh mana ada. Aku memang dah lama nak jadi geng study korang. Sekarang dah masuk bulan Mac. Euro 2012 lagi 3 bulan, SPM pulak lagi 8 bulan. Masa tu laju weh berjalan".

"Apa hal ada bola sepak pulak dalam cerita kau? Tak boleh ke takde bola sepak dalam hidup kau. Hehehe".

"Mana boleh. 4 tahun sekali weh. Dah la masa 2008 dulu aku tak layan pun. Masa ini nak layan balik Euro tu. Hehehehe".

Memang benar bila Euro 2008 dianjurkan di Austria, aku mogok kejohanan itu kerana takut rindukan arwah bapaku. Pada Euro 2004, aku selalu layan perlawanan bola sepak bersama arwah bapa. Tetapi setelah dia meninggal, aku agak kesunyian menonton bola sepak. Apatah lagi jika kawan-kawanku sibuk bercerita yang mereka tengok bersama bapa masing-masing. Namun tahun ini, aku tak mahu mogok lagi.

Perbualan kami terhenti apabila guru yang mengajar sudah masuk ke kelas. Aku fokuskan terhadap pelajarannya walaupun subjek Sains tiada dalam subjek aku di sekolah kerana subjek yang aku belajar adalah Sains Gunaan. Tetapi sebagai menambah ilmu, aku tulis juga nota sebagai tambahan ilmu sahaja. Belajar tak semestinya untuk lulus peperiksaan.

Setelah habis subjek berkenaan, masuk pula guru Matematik. Aku cuba fokus sedaya yang boleh walaupun suasana di belakang sudah agak bising. Mereka tampak seperti tidak hiraukan guru yang mengajar di hadapan. Mungkin kerana pengajaran beliau yang terlalu laju sehingga susah untuk pelajar cuba tangkap apa yang diajar.

Aku tolehkan kepala ke kiri. Ternyata Emelia juga tidak selesa dengan suasana yang agak hingar bingar. Mukanya agak berkerut sambil memerhati sekeliling. Aisyah pula seperti biasa, kekal tenang. Barangkali dia hendak mengekalkan gaya tomboi yang cool dan macho.

Secara tiba-tiba, budak perempuan yang baru masuk tadi bersuara.

"Guys, leh perlahan sikit tak? Cikgu ada dekat depan kan. At least janganlah bising sangat macam pasar."

Seluruh kelas mula senyap. Terkejut dengan teguran itu. Sementara cikgu Matematik itu cuma tersenyum lalu menyambung kembali sesi pembelajaran. Walaupun nada suaranya tidak begitu tinggi, tetapi nada tegas itu masih jelas kedengaran. Selepas itu, suasana berubah menjadi agak damai. Masing-masing mula fokus menyalin jalan kerja yang ditunjukkan di papan putih.

Aku semakin tertarik dengan beliau. Penampilannya yang sederhana berbaju T warna hitam dan seluar jeans. Fizikalnya tampak seperti berisi sedikit tetapi tidak keterlaluan. Wajahnya yang putih bersih tanpa tudung itu jelas kelihatan sungguh menawan. Cuma sayangnya, beliau tidak mengenakan tudung. Adakah di sekolah beliau mengenakan tudung? Aku tertanya sendirian.

Selesai sesi kelas berkenaan, kami beransur untuk pulang. Budak baru tadi aku lihat macam tergesa-gesa keluar. Ada hal barangkali. Ketika beliau melangkah keluar, aku sempat memberikan senyuman kepadanya. Senyumanku dibalas olehnya. Minggu depan pasti kami akan bersua lagi.

Kami pun bersurai untuk pulang, tapi seperti biasa aku dan Zahid akan melepak sekejap di Terminal 1. Sekadar berjalan-jalan cuci mata. Lagipun awal lagi kalau nak pulang ke rumah. Sebaik saja tiba di situ, bermacam-macam kedai kami lihat dan masuk. Zahid sempat membeli sehelai jaket berwarna hitam.

Ketika kami melintasi sebuah kedai muzik(sekarang tak pasti ada lagi ke kedai nie), aku ternampak susuk tubuh yang aku kenal. Kelihatan budak yang baru masuk tadi berada di kedai itu sedang berbual dengan seseorang di dalam kedai. Selepas itu, aku lihat dia mula memetik gitar.

"Weh, jom pergi kedai tu kejap", kataku kepada Zahid.

"Nak buat apa pergi situ, kau nak beli gitar ke?"

"Kepala otak kau. Saje je jalan-jalan. Asyik masuk kedai baju je. Cuba kita masuk kedai macam tu."

Kami berdua pun menuju ke arah kedai muzik berkenaan. Tujuan aku hanya 1, untuk mendengar petikan gitar daripada si manis tadi. Aku lihat koleksi gitar di kedai berkenaan. Walaupun aku tidak tahu bermain muzik, tetapi tahu juga serba sedikit jenama gitar.

Tiba saja di kedai itu, aku terdengar petikan gitar yang dimainkan oleh perempuan tadi. Lagu yang cukup familiar dengan aku memandangkan aku memang layan kumpulan tersebut. Timbul dalam hatiku, adakah dia juga seorang metalheads? Lagu yang dimainkan pula bukan calang-calang lagu. Lagu yang dimainkan adalah lagu Pantera berjudul Flood.

Apa yang mengagumkan adalah beliau sempat goreng lagu itu ketika bahagian gitar solo. Walaupun bunyinya tidak segempak Dimebag Darrel, namun bagiku ia sudah cukup hebat. Itu belum lagi bahagian outro lagu ini.

Kami berlalu daripada kedai itu, kerana aku agak malu untuk menegurnya.

"Weh, awek kat tuisyen tadi metalheads sial".

Zahid hanya diam. Dia memang sedia maklum akan minat aku terhadap genre ini. Yang penting sekarang ialah aku mahukan perempuan itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience