Sejak konfesi yang dibuat oleh Jija tentang Syakila, aku semakin akrab dengannya. Hampir setiap malam kami sms antara satu sama lain, ada saja topik yang kami bualkan. Walaupun fizikalnya tidak menarik, badannya tidak padu seperti Syakila, namun watak peribadinya sangat menyenangkan aku.
Rupanya Jija mempunyai sepupu bernama Danial di kawasan perumahan aku. Lebih ironi, Danial itu adalah rakan sebaya adikku di sekolah rendah dan tadika dulu. Keluarganya juga cukup kenal akan keluargaku termasuk arwah ayah dan ibu aku. Masya Allah, sungguh kecil dunia ini.
Semuanya terjawab apabila kami berdua terserempak dengan mereka ketika dalam perjalanan ke perhentian bas. Ketika itulah terjawab segala persoalan.
"Eh, Amin kan?", soal Cik Rosnah, ibu kepada Danial. Aku hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala. Satu kelebihanku ialah aku takkan lupa insan yang pernah kukenal walaupun tidak bersua bertahun-tahun lamanya.
"Ya cik, cik Nah sihat?",balasku pula sambil tunduk mencium tangannya ketika bersalam. Kemudian tangannya mengusap kepalaku membuatkan aku sedikit sebak. Aku agak sensitif jika wanita bergelar ibu membelai kepalaku. Namun aku tahan saja perasaanku memandangkan Jija berada berdekatan, begitu juga anak-anak Cik Rosnah iaitu Danial dan Nadia.
"Cik Nah sihat je Min. Sekarang sekolah kat mana? Mana adik? Dia sekarang sekolah mana?"
"Saya sekarang sekolah di Vokasional Ampangan sana. Adik pula sekolah di KGV. Dia kat rumah sekarang ini."
"Oh, baiklah. Sekolah bagus tu. Nanti kirim salam kat dia ya".
"Baik cik, nanti balik rumah saya sampaikan".
"Eh kejap, macam mana kau kenal Amin nie Ja? Kau berdua bercinta ya?"
Aku hanya mampu ketawa begitu juga dengan Jija. Puan Rosnah ikut ketawa mungkin tertawa kerana tuduhannya yang melulu itu. Tapi kalau bercinta pun apa salahnya.
"Mana ada acu, kenal kat tempat tuisyen."
"Oh, ingatkan bercinta. Kalau bercinta pun acu restukan sebab Amin nie baik budaknya, Hehehehe", balas Puan Rosnah pula. Kata-katanya mengundang tawa kami semua disitu.
Sebelum berpisah, aku sempat berbual dengan Danial. Terimbau kenangan lama ketika usiaku menginjak 14 tahun, aku sering bermain bola sepak bersama Danial. Walaupun usianya bawahku, namun aku kerap mengambilnya menjadi rakan sepasukanku ketika menentang pasukan lain. Kadangkala kami akan menentang pasukan taman perumahan kami. Setelah aku menduduki PMR, aku jarang turun ke padang lagi.
Nadia pula adalah kakaknya. Usianya atas setahun daripada usia aku. Tidak banyak perkara tentang Nadia yang aku tahu kerana kami kurang rapat. Hanya berbual-bual kosong sahaja.
Puan Rosnah pula adalah sahabat kepada arwah ibu dan bapaku. Perkenalan mereka terjadi ketika sesi persembahan di tadika Kemas. Maka disitulah perkenalan dimeterai. Ketika kami kecil, Puan Rosnah sekeluarga kerap menghadiri rumah kami terutama sekali ketika musim perayaan.
Malam itu, Jija selidik tentang diriku secukupnya. Aku terus menceritakan perihal mereka, daripada ketika kami kecil sehingga sudah bersekolah menengah. Perbualan yang hanya berlandaskan sms ini berlarutan selama sejam lebih.
"Kecil je dunia ini, kalau tak sampai bila-bila aku tak tahu Danial tu cousin kau, Hahaha".
"Itulah pasal, hahaha".
Balasan pendek daripada Jija tampak seperti sudah tiada topik ingin dibualkan. Puas otakku merencana topik perbualan lagi. Baru aku ingat akan kata-kata Puan Rosnah supaya bercinta dengan aku.
"Aku teringat pulak ayat makcik kau tadi yang suruh couple dengan aku tu, hahahaha."
"Hahaha, amboi. Kenapa teringat pulak?"
"Ya weh, teringat sampai sekarang. Mungkin sebab belum ada lagi orang yang cakap macam itu kat aku kot. Hehehehe", balasku dalam sms itu. Aku cuba luahkan untuk bercinta dengannya secara kiasan. Adakah berjaya?
Aku sambung lagi dengan tulisan berikut, "kalau betul pun apa salahnya, aku pun lama membujang. Hehehehe. Apa pandangan kau tentang aku?", soalku kepadanya.
"Kau okay, baik. Hehehehe".
Balasan pendek daripadanya nyata amat mengecewakan aku. Aku dapat rasakan pengakhirannya dengan kekecewaan. Aku balas kembali mesej itu. "Itu je ke weh? Takde yang special sikit ke?Hehehe".
"Hahaha, kau nak special macam mana? Hmmm, okayy kau lelaki yang baik dengan aku kat Seremban. Aku takde kawan lelaki yang baik macam kau kat Seremban. Tapi kat sekolah aku, aku okay je kawan dengan lelaki. Buat masa ini, aku rasa macam tak nak bercinta dengan sesiapa dulu", balasnya panjang lebar dalam sms itu.
Aku hanya tersenyum memandang skrin telefon itu. Sudah aku jangka jawapan seperti ini. Tapi aku tak rasa yang dia sebenarnya tak nak bercinta. Dia mahu, tapi bukan dengan aku. Lalu aku cuba pasang perangkap, untuk selongkar hatinya. "Allahu, ye ke? Baguslah macam tu. Habis SPM dulu baru bercinta. Hehehe. Tapi weh, takkan kau tak minat sesiapa? Kat sekolah kau ke, kat sini ke?"
"Minat tu adalah juga. Tapi aku tak rasa dia minat aku. Hehehe."
"Amboi, tak cuba takkan tahu weh. Cuba share sikit, dia budak mana? Budak tuisyen kita ke?"
"Hehehe, semangat kau nak tahu ya. Ya budak tuisyen kita. Kawan kau jugak, yang selalu duduk kat belakang dengan korang tu."
"Hehehe, mestilah. Yang mana eak? Cuba kau huraikan fizikal dia".
Betul apa ramalan aku, dia suka orang lain tapi bagi ayat yang biasa diberikan oleh perempuan Malaysia. Persoalannya sekarang, siapa yang berjaya tawan hati Jija? Adakah Zahid yang selalu dengan aku tu?
"Alaa malu laa. Hehehe."
"He eleh, cakap je la. Dalam sms je kot. Benda boleh padam. Heheheh"
"Dalam geng korang, dia paling diam. Dia putih-putih sikit, pakai cermin mata. Tinggi sikit daripada kau".
Putih? Pakai cermin mata. Ada 2 orang dalam geng tempat duduk belakang. Seorang namanya Danial dan seorang lagi bernama Munir. Jija mengatakan fizikal individu itu tinggi bercermin mata, putih melepak, Orang itu adalah Munir. Tak mungkin Danial yang taksub dengan kasut Supra itu sebab dia sendiri sudah angau dengan Tasya.
"Siapa weh? Kau ingat nama tak?"
"Tak ingat, tapi pernah dengar korang panggil Nir2 je. Yang tu lah. Hehehe. Jangan bagitahu sesiapa ye Min".
Sudah aku agak nama yang akan keluar. Dia minat Munir rupanya.
"Oh, Munir la tu. Wahh kau minat dia rupanya. Hehehe. Sejak bila?"
"Sejak first masuk kelas tuisyen lagi. Aku dah jatuh hati kat dia. Hehehe. Tapi dalam masa yang sama, Tasya pun minat dia jugak. So aku pendam je la. Hehehe"
Senang betul jadi orang kacak. Tak perlu usaha lebih-lebih, cukup rupa paras sempurna sudah cairkan hati orang. Munir nie dahulu satu sekolah dengan aku di Seri Ampangan, sebelum aku berpindah ke vokasional. Sejak mula masuk ke tingkatan 1, ramai yang menaruh hati kepadanya. Berbekalkan kulit putih, wajah kacak dengan cermin mata yang menampakkan pelajar pintar, ramai pelajar perempuan minat kepadanya. Ada daripadanya di tingkatan 2 mahupun 3, berlumba-lumba ingin jadikan adik angkat.
Aku gelengkan kepala saja bila ingatkan kembali detik-detik tersebut. Tapi, aku rasa ingin tolong Jija dapatkan cintanya. Biarlah aku kecewa sekalipun, yang penting orang yang aku minat bahagia.
"Ooo, takpe weh. Aku boleh tolong. Munir tu kawan aku. Aku kenal dia macam mana. Dia okayy. Sekarang pun dia single. Hehehe. Minggu depan aku bagitahu dia, nanti pandai-pandai la kau handle ya. Hehehe".
"Kau nak bagitahu ke? Aduh. Janganlah. Aku malu. Huhuhu"
"Kau jangan risau, dia okay. Aku just bagitahu dia je. Dia takkan tolak. Orang dah minat kita, takkan kita nak tolak kan. Lagi-lagi muka macam kau yang ada rupa siti saleha sikit. Hehehe".
"Okayy2. Hehehe".
Pada hari yang dijanjikan, setelah selesai kelas pada Ahad pagi, kami sepakat ingin bermain bowling di Seremban Prima. Mulanya, perancangan asal ingin bermain di Jusco Seremban 2, tapi atas faktor lokasi, hanya Seremban Prima yang menjadi pilihan.
Aku pelawa juga Jija dan 3 rakannya, Faz, Emy dan Fazira. Sengaja aku pelawa mereka memandangkan mereka juga ingin bermain bowling. Apa salahnya main di Lane sebelah menyebelah.
Geng lelaki, ada 5 semuanya. Aku, Munir, Zahid, Danial, dan Amir. Wan tidak dapat turut serta kerana bapanya sentiasa menjemput ketika pergi mahupun pulang. Dalam perjalanan ke sana, aku berjalan bersebelahan dengan Munir. Aku ajaknya untuk berjauhan sedikit dengan geng kami.
"Weh, aku nak cakap sikit dengan kau nie", kataku kepada Munir.
"Haa, apa dia".
"Weh, kau sekarang ada couple dengan sesiapa tak?"
"Kau dah kenapa, tanya benda macam nie", tiba-tiba pula dia bersuara kuat. Aku tumbuk bahunya supaya jangan tinggikan suara.
"Jangan cakap kuat-kuat bodoh. Aku saja tanya, sebab ada budak minat kau dengan first masuk kelas. Dia segan nak mulakan salam perkenalan. So, aku pun tolong sampaikan kat kau. Itupun kalau kau sudi", kataku kepada Munir. Mustahil dia tak sudi.
" Ya ke? Budak mana? Ke kau buat cerita?" Soal Munir kepada aku. Aku dikatakan buat cerita?
"Ya gila. Apa pulak aku nak buat cerita. Ada orang minat kau. Dia join kita main bowling nanti. Nama dia Jija, dia tak pakai tudung, tapi dia baik. Cun jugak la cuma body dia kurus. Kejap lagi kau cuba sembang-sembang dengan dia".
Setelah tiba di lokasi, geng perempuan juga sampai di lokasi sama. Aku terus tunjukkan kepada Munir gerangan individu yang bernama Jija. Munir hanya senyap sambil menganggukkan kepala. Akhirnya, kami bermain 2 lane. 1 untuk lelaki, 1 lagi untuk perempuan.
Kami main 2 set permainan. Set pertama, dimenangi oleh Danial untuk lelaki manakala perempuan dimenangi oleh Emy. Kami terus bermain untuk menghilangkan tekanan belajar.
Sambil bermain, aku perhatikan kelibat Munir dan Jija. Kelihatan mereka tampak berbual mesra. Aku hanya tersenyum sahaja. Kemudian aku meneruskan permainan.
Sepanjang permainan, aku perhatikan gaya permainan seorang demi seorang. Danial mempunyai gaya permainan yang meyakinkan, Zahid sekadar lempar sahaja, Munir pula tiba-tiba jadi hebat sedangkan ketika di menengah rendah, bowling adalah permainan yang paling dibenci olehnya. Emy pula boleh membuat balingan secara spin. Rupanya beliau adalah atlet bowling di sekolah. Faz dan Jija hanya sekadar lempar. Fazira tidak bermain, sekadar memerhati sahaja.
Setelah selesai, kami bersurai untuk pulang ke rumah. Memang seronok kerana ini kali pertama gabungan pelajar daripada pelbagai sekolah untuk aktiviti seperti ini. Sewaktu berpisah, aku perhatikan Munir dan Jija seperti sukar untuk berpisah. Balik rumah saja. Bukannya ke mana. Aku, Zahid dan Danial menaiki bas Senawang untuk pulang. Manakala Munir masih ingin berjalan-jalan disitu. Pasti ingin berseronok dengan Jija.
Akhirnya, sewaktu di rumah ketika aku bersiap untuk tidur, terpapar satu sms di telefon aku. Aku buka dan terpapar lambang peti surat daripada Jija.
"Amin, thank you weh sebab tolong aku. Terima kasih tau weh."
Aku tumpang gembira bila tahu mereka dah bersama. Walaupun belum sah, itu mereka punya hal. Jangan berlebihan seperti pernah terjadi pada aku dan Syakila sudah. Aku menutup peti masuk dan tidak membalas mesej berkenaan. Aku hubungi talian hotlink lalu aku gantikan nombor Jija di Activ10 dengan nombor orang lain kerana aku pasti, hubungan aku dengan Jija tidak akan sama seperti dahulu.
Share this novel