BAB 5

Romance Completed 567

Selepas kejadian itu, Fazeera tidak lagi diganggu oleh Muzamil. Bukan sahaja tubuh, bayang-bayang lelaki yang persis Ery Putra itu juga tidak kelihatan di bangunan fakulti apatah lagi di dalam kawasan kolej. Fazeera yang asyik menyiapkan kertas kerja untuk subjek Playwriting di perpustakaan, tiba-tiba sahaja ruang fikirannya beralih memikirkan Muzamil. Jemarinya yang dari tadi dibiarkan menaip terus berhenti tiba-tiba. Baru dia perasan, lelaki yang bernama Muzamil Arif sudah lama tidak ditemuinya. Kemana dia? Osh, kau ni Fazeera! Kata tak nak berkawan dengan dia, kenapa otak kau ligat mengambil kisah pasal dia? Fazeera terkena.

"Kenapa tiba-tiba aku fikir pasal dia, ya Allah? Bantulah aku untuk lupakan dia!" Fazeera merayu kepada yang Maha Esa.

"Kat sini kau rupanya. Puas aku mencari." Alya yang hadir dengan termengah-mengah segera menarik kerusi yang berada di hadapan Fazeera lalu duduk. Cungapnya masih belum hilang lagi. Fazeera termangu di situ sambil menongkat dagu. Kemunculan Alya tidak disambut seperti soalan-soalan sebelum ini; kau dari mana? kenapa kau macam ni? Langsung tidak!

"Hei!" Alya membaling pen ke arah Fazeera sebaik sahaja dia perasan sahabat baiknya itu sedang mengelamun. Terkejut Fazeera bukan kepalang! Fazeera kembali ke alam nyata. Dia membetulkan posisi duduknya. Ditegakkan badannya semula.

"Kau ni kenapa pula termenung? Bila masa pulak hobi kau dari suka menelaah pelajaran terus suka termenung ni?" Alya ada saja bahan untuk memerli Fazeera. Tapi memang kena pun dengan Fazeera yang tiba-tiba saja termangu sorang.

"Aku nak beritahu kausomethingni. Berita ni mesti kau suka punya." Bersungguh Alya beritahu.

"Berita pasal apa?" soal Fazeera sambil membetulkan lipatan tudung bawalnya.

"Pasal Muzamil Arif."

"Kenapa dengan dia? Dia sakit ke?" Kali ini, Fazeera pula nampak terlebih teruja ingin tahu.

"Amboi kau? Bersemangat nampak bila dengar nama dia? Dia tak sakitlah. Kau perasan tak dah sebulan lebih tak nampak batang hidung dia kat sini?"

"Tak." tipu Fazeera.

"Aku tadi baru balik dari koperasi. Tiba-tiba aku jumpa dengan kawan baik Zamil, si Rizal. Aku tanya dia, mana Muzamil? Yalah, sebab dia orang kan kamceng. Lepas tu, Rizal tanya aku balik, tak tahu ke pasal Zamil? Aku pun peliklah bila dia tanya macam tu. Dia terus beritahu si Zamil dah berhenti dari teruskan belajar kat UITM ni."

"Berhenti? Kenapa?"

"Itu aku tak tahu. Rizal pun tak tahu bila aku tanya dia."

Fazeera mula merasa ada sesuatu yang tidak kena. Muzamil berhenti belajar? Tak ada angin, tak ada ribut...tiba-tiba saja dia berhenti? Kenapa ya? Fazeera mula mengajukan soalan kepada dirinya. Pastinya, tiada jawapan. Dibiarkan tergantung.

"Wei, Faz... kau terkejut sampai membisukan diri ni, kenapa? Takkan kau tak suka dia dah pergi dari sini? Yalah... kau pun bukannya suka dia ganggu kau kan? lepas ni, dah tak ada orang yang nak terkejar-kejar kacau kau lagi."

"Memanglah... tapi... aku tak sekejam tu, Alya. Kau rasa, dia berhenti sebab aku sombong dengan dia ke?"

"Ish, merepeklah! Takkan sebab perkara remeh-temeh macam tu, dia terus berhenti. Tak relevan langsung! Aku rasa, ada sebab lain ni."

"Arr... Alya, aku kena balik bilik dulu. Nanti aku jumpa kau lagi, ya. Assalamualaikum." Kelam-kabut Fazeera mengemas alat-alat tulis dan buku yang dibiarkan di atas meja. Laptopnya segera dimatikan dan dibawa begitu sahaja. Tanpa berlengah dia berlalu dari situ.

Sampainya di dalam bilik, Fazeera mengunci pintu dari dalam. Tubuhnya terus disembamkan ke katil. Cecair putih sudah deras mengalir ke pipinya sebaik sahaja dia menaiki tangga untuk masuk ke dalam rumah sewa yang berada di tingkat tiga blok 4A itu. Teresak-esak. Ini kali pertama dalam hidupnya, dia menangis disebabkan seorang lelaki. Dia tidak mampu untuk membendung perasaannya saat itu. Kepergian Muzamil amat merobek hatinya walaupun pada mulanya dia merasa rimas dengan keletah Muzamil yang asyik mengekori perjalanan hidupnya di dalam kampus dan juga kolej.

Baru Fazeera mengakui bahawa dia tidak dapat menipu diri sendiri. Dia sedang jatuh cinta. Jatuh cinta terhadap lelaki yang bernama Muzamil Arif! Ya, lelaki itu. Kini, perasannya hanya sia-sia sahaja kerana Muzamil telah pergi. Perginya lelaki itu mungkin tidak akan kembali.

Ya Allah! Dugaan apa yang Kau cuba berikan padaku? Peritnya hati aku sekarang ini. Lebih terseksanya jiwaku apabila aku perlu meminati dan menyayangi hambaMu itu dalam diam. Aku terpaksa melepaskan dia dahulu demi mendapatkan keredhaan Engkau. Demi menjaga kesucian aku dan dia. Demi meraih syurgaMu! Seandainya ini jalan yang terbaik untuk kami berdua, aku terima ya Karim.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience