BAB 6

Romance Completed 567

Empat tahun kemudian...

"Ibu dengan babah gembira sangat dengan kejayaan Faz sampai ke tahap ni. Tahniah sayang!" ucap Puan Widya gembira. Akhirnya, doa Puan Widya dan Encik Sufian selama ini agar anaknya menghabiskan pembelajaran di UITM dengan menggenggam segulung ijazah telah pun dimakbulkan Tuhan.

"Alhamdulillah, bu. Ini pun doa dan restu ibu dengan babah. Terima kasih sangat-sangat." ujar Fazeera.

"Tapi Faz kena ingat, semua ni rezeki dari Allah Taala. Semua kejayaan ni hanya sementara. Jangan riak, jangan bermegah dengan kejayaan sekecil ni."

"Baik, babah. InshaAllah Faz akan guna kejayaan ni sebagai titik mula pekerjaan Faz sebagai penulis. Faz takkan bangga diri dengan kejayaan yang Faz perolehi hari ini."

"Lagi satu, bila dah bekerjaya sebagai penulis, Faz gunakan medium penulisan untuk mencari keredhaan Allah. Dengan menulis pun, kita boleh mendapat pahala...dengan memberi pengajaran kepada pembaca. Ingat, menulis perlu dengan niat yang betul. Kalau kita menulis, hanya nak mendapatkan sanjungan dan penghargaan orang, hidup takkan ke mana. Sanjungan manusia hanya seketika...itupun bila karya kita hebat. Bila tak memuaskan pembaca, mulalah segala kata kritikan dan kejian dilemparkan sesuka hati. Lagi satu, babah perhatikan, ramai pembaca sekarang suka membaca bahan-bahan bacaan yang ringan. Misalnya novel-novel cinta yang tiada pengisian yang mampu mengkhayalkan mereka dengan mereka cerita fantasi terutamanya anak-anak remaja. Bukan babah tak benarkan Faz tulis cerita cinta tetapi biarlah kisah itu ada ilmu di dalamnya. Macam kita berdakwah melalui penulisan."

"Babah ni, kalau beri nasihat, macam gaya professor lah. InshaAllah, Faz ikut nasihat babah tu." Fazzera melemparkan senyuman manis selepas membalas kata-kata Encik Sufian.

"Jomlah kita beransur. Ibu dah suruh Mak Tom masakkan masakan istimewa untuk menyambut kejayaan Faz ni."

Ketika anak-beranak itu melangkah pergi, bahu Fazeera dicuit dari arah belakang. Fazzera terkejut lalu matikan langkah. Ibu dan babahnya yang berada di hadapan, meneruskan jalan. Kelihatan seorang perempuan yang bertubuh gempal sedikit dan memakai topi yang tertulis 'Flower Garden' menghampiri Fazeera sambil membawa sejambak bunga mawar merah besar yang dibalut kemas.

"Maaf, cik. Ada seseorang menyuruh saya beri bunga mawar ni kepada cik." ujar perempuan itu.

"Siapa yang beri?" tanya Fazeera.

"Saya tak tahu, cik. Dia suruh saya berikan sejambak bunga mawar ni untuk cik. Orangnya ada kat booth bunga hujung sana tu." balas perempuan itu sambil menunjukkan booth yang disebutkan tadi. Fazeera mencari-cari kelibat orang yang cuba dimaksudkan oleh perempuan itu. Mungkin saja dia kenal.

"Saya minta diri dulu, cik."

"Okay, terima kasih, ya."

"Sama-sama." Sekembalinya perempuan itu ke booth, Fazeera masih tertanya-tanya gerangan yang baik hati telah menghadiahkan dia sejambak bunga mawar. Wangi pulak tu. Ada sekeping kad yang bersaiz medium ditinggalkan di celah-celah bunga mawar itu. Fazeera terus mencapainya.

*Today is your day, Congrats!*

Fazeera membaca lagi.

*BAKAL PERMAISURIKU,*

*SESUCINYA CINTAKU HANYALAH UNTUKMU.*

*AKU TETAP MENANTIKAN CINTAMU...*

*DULU, KINI & SELAMANYA.*

Fazeera terkedu. Jantungnya tiba-tiba berdebar. Matanya tajam memandang booth bunga yang perempuan tadi tunjukkan. Kemungkinan, insan yang memberikan sejambak bunga mawar kepada dia, masih ada di situ. Kalau tiada pun, mungkin tidak jauh lagi dari situ. Fazeera mencari kelibat orang yang dimaksudkan oleh perempuan bunga tadi.

Dia yakin, orang yang memberikan bunga itu adalah lelaki. Muzamil Arif kembali! Tidak syak lagi, Muzamil yang menghadiahkan dia bunga secantik itu. Sedang mata Fazeera melilau di sekeliling orang yang bersesak di Dewan Agung Tunku Canselor, UITM Shah Alam, matanya tertumpu pada susuk tubuh lelaki yang bergegas menuruni tangga. Nampak kemas lelaki itu dari arah belakang dengan berkemeja biru gelap. Belum sempat Fazeera memanggilnya, lelaki itu terus hilang dari pandangan. Sekali lagi Fazeera berasa hampa. Sekali lagi dia kehilangan lelaki yang telah dia sayang dalam diam dari dulu hingga kini. Tapi, benarkah lelaki yang cuba dikejarnya itu adalah Muzamil Arif? Ya Rabbi... berikanlah petunjukMu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience