BERJAM aku duduk kusyuk menaip di komputer riba. Tengkuk terus rasa sakit dek pegun tak bergerak walau seinci sejak tadi.
Kopi dalam tumbler aku capai, tapi tak ada setitik pun yang berbaki. Nak bangun dan buat lagi kopi, rasa malas pula. Kesudahnya botol air masak aku capai. Togok sebanyak mungkin meredakan ketegangan yang dah mula terasa.
Mulai hari ini aku dah semat dalam hati. Kalau panjang lagi jodoh aku dengan company ni, tahun depan di waktu yang sama aku aku kena ambil cuti. Tak kisahlah cuti sakit ke apa. Dah banyak kali dah Encik Lan ni buat perangai.
Asal ada hal penting serupa ni, semua lepas dekat aku. Mentang-mentang aku bujang tak ada komitmen tapi tak bermakna aku tak ada life sampai segala kerja dok hempuk atas kepala aku seorang.
“Ha, yang ini akauntan kita. Eh salah, pembantu akaun kita. Akauntan cuti. Nama dia, Elnaura yang maksudnya bunga. Tapi sayang, dressing tak serupa bunga pun. Kalau 365 hari tu bekerja, selama itu jugalah dia pakai kemeja datang kerja. Mujurlah rambut panjang, dapatlah orang cam dari jauh yang dia perempuan. El, ooo El. Stop jap kerja tu. Ni, aku nak kenalkan dengan staff baru…”
Aku langut muka malas-malas. Bukan aku tak dengar dia punya intro pasal aku yang lebih kepada mengutuk secara terangan tu kan? Tapi, eh? Staff baru? Mata aku yang tadi letih, langsung membulat besar.
“Ni, photographer baru kita. Dhamir Rifae. Seunik namanya, hensem orangnya. Jangan caras, aku punya…eh?” Thalia langsung terbatuk-batuk yang aku tahu sengaja dia buat.
Bibir aku ukir senyum senget. Jadi dekat sini baru aku faham kenapa malam semalam bersungguh dia mengemas barang sampai skip makan malam. Sebab hari ini nak lapor diri dekat tempat kerja baru.
Perlahan aku bangun dan tunduk hormat. Mata yang tak lepas merenung aku tu aku kerling sekilas.
“Welcome to the rs, Encik Dhamir. Nice to meet you. Kalau ada masalah tentang gaji ke atau apa-apa yang berkaitan dengan nombor, boleh jumpa saya. Ah, jangan lupa nanti bagi Salinan buku bank ye? Nak buat filing.”
“Hisyhh, sibuk nak buat filing bagai. Tuuu, file yang menimbun tu kasi cepat setel. Eh jomlah kita gerak ke bahagian admin pula ye, Rif? I panggil Rif, boleh ya?”
“Boleh, yang mana mudah.”
‘Boleh, yang mana mudah? Ayat ‘bujang senang’ senior sangat kan? Eloklah tu kalau dijodohkan dengan sotong senior syarikat ni. Bukan reti jalan elok si Thalia tu. Dok meliuk lentuk macam tak ada tulang je!
Aku terus duduk dan sambung kerja. Tak ada aku kisah ke mana hala tuju yang Thalia bawa Dhamir lepas tu.
Perasaan aku sekarang ni dah bercampur aduk. Entah kenapa aku dapat rasa yang vibe zaman sekolah dulu bakal berulang lagi. Lepas bertahun buat hal sendiri, ambil jalan masing-masing kenapa mesti company ni juga dia bekerja ya?
SAMA macam semalam, hampir ke pukul 11 malam baru aku sampai rumah.
Dari rumah Fafa tadi jalan jem sikit sebab ada kemalangan. Biasalah nak membawa ke hujung minggu ni masing-masing nak cepat sampai rumah kadang tu membelakangkan keselamatan. Banyak kes yang jadi mangsa, orang yang berhati-hati.
Waktu aku buka pintu utama rumah, suasana ruangan bawah gelap. Aku kira, Tok Mi mesti dah tidur. Aku cuba curi dengar ruangan tv, sunyi. Makna kata Dhamir pun mesti dok berkubur dalam bilik dia macam biasa.
Kaki aku hayunkan ke arah dapur. Kalau ikutkan, perut dah kenyang dah tapi mulut rasa nak mengunyah dan tak silap aku awal bulan hari tu aku ada beli kacang gajus kilo dekat satu kedai tiktok ni. Kalau ada pun guna, sikit je masa aku belajar masak nasi beriani dengan Tok Mi. Harapnya adalah lagi yang lebihan tu untuk aku buat kudapan sementara ambil mood nak lelapkan mata.
Puas aku buka laci atas, laci bawah tapi tak berjumpa. Ah sudah. Licin terus ke?
"Cari ni ke?”
“Allah!” jeritku. Dada yang berdebar aku urut perlahan. Nafas turun naik menahan marah tengokkan wajah bersahaja yang Dhamir tayang.
“Boleh tak lain kali jangan sergah aku macam tu? Malam-malam buta pula tu!” marahku sambil capai bekas berisi kacang gajus yang aku cari sejak tadi. Dah separuh isinya lesap. Faham-fahamlah ke mana perginya.
“Banyak lagi ke tak setel?”
“Apa dia?” soalku balik, acuh tak acuh.
“Kerjalah. Untuk audit tu.”
“Ada sikit lagi. Esok siaplah kot,”balasku malas-malas.
“Esok, OT?”
Aku pandang wajah prihatin yang Dhamir tayang. Tak berniat nak menjawab soalan dia nan satu ini, bekas berisi gajus aku tutup dan aku letak semula dalam laci. Air dari mesin penapis air aku tadah dan togok sebelum berlalu.
“Neen…”
Kali ni aku tak menyahut, cuma berhenti melangkah dan memeluk tubuh memandang ke arah Dhamir.
“Kalau kau rasa susah kerja situ, berhentilah. Cari kerja tempat lain.”
Aku melongo. Ni apa ni? Sengaja nak mengundang marah dan mencipta gaduh dengan aku ke macam mana?
“Kenapa? Syarat masuk kerja masa kau interview sana hari tu, tak boleh kerja sekali dengan orang yang duduk serumah ya?”
“Bukan macam tu, Neen…”
“Mir, aku terus terang cakap ya? Bertahun aku rasa aman dan bahagia bila kita masing-masing buat hal sendiri. 2 tahun aku kerja dekat situ, walaupun asyik kena buli dengan Encik Lan aku tetap enjoy buat kerja aku. So please, leave me alone. Kau buat kerja kau, aku buat kerja aku. Dan aku rasa, tindakan kau untuk buat-buat tak kenal aku tadi adalah tepat. Sila teruskan selama kau kerja dekat situ, okey? Nite!”
Aku terus blah macam tu je tanpa mahu dengar alasan Dhamir sebabnya dia boleh cipta 1001 alasan untuk aku tak terus berkerja disitu tapi aku sendiri punya 1 alasan kukuh untuk terus bertahan. Itu dunia aku dan dia tak ada hak nak paksa aku keluar dari zon selesa aku. Titik.
Share this novel