Nasi goreng sardine, bawang semua blend dan tak pedas, siap. Jemput makan, Abang Mir.
LEPAS je hantar mesej tu pada Dhamir, aku rasa mual sendiri. Gila! Dah kenapa nak berabang pula ni? Setakat beza umur 6 bulan je pun nak jadi modal mengusik ke wahai Daneen?
Dan lepas siap hantar mesej pada Dhamir, aku masih bergolek-golek atas katil dengan kemeja kerja aku dari siang tadi.
Lepas makan, tak boleh terus mandi. Paling tidak kena tunggu sejam dulu biar makanan turun. Kalau tak, nanti perut buncit! Itu kata Nana, penasihat kesihatan dan kecantikan dekat rs.
Tak sampai 5 minit, mesej balas dari Dhamir masuk. Langsung aku duduk bersila, membaca dengan kening berkerut.
Mana nasinya?
Tentu-tentulah dekat dapur. Kau nak aku hantar sampai depan pintu bilik kau ke?
SENT.
Ha, kan? Hilang terus abang, tukar pada aku kau. Tak ada soalan logic lain ke yang boleh dia tanya malam-malam macam ni?
Tak jumpa. Turun cepat.
Hampir-hampir je telefon bimbit aku jadi mangsa balingan ke dinding. Dah lama dah sebenarnya hidup aku aman lagi damai tanpa gangguan dari Dhamir bila masing-masing sibuk dengan kerjaya.
Eh tiber, hari ini pula dia mula balik eh? Dia punya vibe tu tak ubah macam masa zaman sekolah menengah dulu bila aku terpaksa minta dia layankan saja ajakan keluar dek peminat-peminat dia yang…pftttt! Malas aku nak ingat zaman tu! Mujurlah aku berjaya juga lalui walaupun dengan susah payahnya.
Dalam pada bebelan tak sudah, sedar-sedar aku dah ada dekat tingkat bawah. Tak ada pula mamat ni dekat ruang makan utama. Laju aku melangkah ke arah dapur. Elok je dia duduk situ dok teguk air kosong.
“Mana?” soalnya sepatah. Automatik aku cekak pinggang. Ikut marah dan penat aku memang aku rasa nak tabur je nasi goreng tu depan dia tapi bila memikirkan penat lelah memasak yang tak abih lagi, laju je aku buka tudung saji depan Dhamir.
“Ini dia nasi gorengnya tuan putera Dhamir. Memang tangan tu boleh jadi kejang eh kalau buka dan tengok apa isi bawah tudung saji?”
“Lain kali cakap biar jelas. Aku ingat dekat dalam kuali. Kuali semua dah basuh” balasnya bersahaja sambil terus tunduk menyuap tak berhenti. Lapar sangat gayanya tapi masih nak berlagak, menahan lapar sanggup tunggu aku turun dan tunjukkan dekat mana hidangannya. Perangai sangat kan!
Malas nak terus berada dekat situ, aku atur langkah nak naik semula ke bilik sebelum nama aku dipanggil.
“Apa lagi?” soalku acuh tak acuh.
“Teman aku makan, Neen.”
Panjang kerutan dahi aku mendengarkan permintaan Dhamir. Dia ni dah kenapa? Betul ke dia saja berhenti kerja sebab nak tukar angin atau sebenarnya dia ada kes dan diberhentikan? Seingat akulah, dah bertahun dia kerja dekat sana. Jadi kenapa tiba-tiba berhenti?
“Duduklah,”pelawa Dhamir.
Automatik aku pandang dia. Dengan muka yang tak beriak menjemput sangat tu, Dhamir bagi isyarat mata untuk aku duduk. Entah apa yang merasuk aku waktu tu, aku ikutkan je.
“Kerja okey?”
“Ha?” soalku, tak percaya. Memang lain macam betul dah ni. Sejak bila antara aku dengan Dhamir ambil tahu soal masing-masing ni?
“Kerja, okey ke?”
“Okeylah.”
“Hmmmm…”
Jeda. Ada dekat 5 ke 10 minit macam tu aku kena silent treatment dek Dhamir, aku jadi tak betah nak duduk lama dekat situ. Apa tidaknya, selama ni nama saja duduk serumah tapi masing-masing buat hal sendiri dan yang jadi penghubung atau pemberi maklumat hanyalah Tok Mi yang rajin bertanya dan bercerita.
“Tok Mi ada beritahu aku, dia pelan nak buat kenduri arwah untuk Mama dengan Babah hujung bulan ni.”
“Errr…okey. Nanti aku uruskan.”
“Beritahu aku, apa aku boleh tolong.”
“Ha?”
Waktu itu, kebetulan Dhamir pun langut muka memandang aku yang sejak tadi memang tak lepas perhati gelagat pelik dia malam ni yang nak makan ditemani dek aku. Mata kami bertentangan setelah sekian lama masing-masing hanya dok curi pandang gitu-gitu je kalau terserempak.
“Astaghfirullah…”
Aku telan liur bila dengar Dhamir respon macam tu dan terus tunduk menghabiskan suapan nasi goreng di pinggannya.
Malu pula aku jadinya bila respon Dhamir sebegitu. Walaupun bab agama ni aku tak adalah arif mana tapi bab ikhtilat, aku tetap ambil tahu. Dan aku juga tahu, Dhamir memang jaga batas pergaulan dia dengan perempuan lain. Cuma bab diminati ramai tu, diluar bidang kuasa dia yang menjadi asbab saban hari rumah ni dihujani kiriman hadiah untuk dia.
Licin semuanya dimakan, dia terus bangun untuk basuh pinggan dan aku pun turut sama bangun mahu balik ke bilik.
“Neen…”
Sekali lagi langkah aku terhenti.
“Ya?”
“Terima kasih tolong masakkan dan teman aku makan,”sambungnya sebelum bibirnya mengukir senyuman yang aku sendiri sukar nak terjemah. Bila eh kali terakhir aku nampak dia senyum macam tu pada aku? Entah. Aku pun dah lupa!
Share this novel