BAB 5

Romance Completed 655

ESOKNYA, aku terlewat bangun pagi. Kebetulan, Allah bagi cuti. Jadi letih balik kerja malam dikombo baik punya dengan mood ‘cuti’ memang bunyi penggera tu dengar tak dengar je lagi dah.

Kelam kabut aku jamah sarapan pagi itu. Mujurlah Tok Mi sememangnya memahami perangai aku yang suka skip sarapan pagi, awal-awal Tok Mi dah tapaukan separuh lagi untuk aku makan dekat pejabat nanti. Kopi pun siap-siap ada dalam tumbler.

“Kot ye pun, kemaskan lah sikit rambut tu Neen. Ikat elok-elok. Lemas Tok Mi tengoklah! Tengok tu, nak makan pun sampai terkunyah rambut sekali!”

Aku sengih dan angguk menurut. Getah rambut di tangan aku cuba tarik sebelum aku sedar yang pagi tu aku lupa nak capai dari atas meja solek aku macam biasa. Aduh, malasnya aku nak naik atas. Dia punya effort dan tenaga bukan main lagi tinggi. Dahlah lewat ni.

“Nah.”

Aku main capai je getah rambut yang dihulur sebelum aku sedar yang si pemberi tu tak lain dan tak bukan, si penanam anggur day 1 yang akan teman Tok Mi untuk hari ini dirumah. Dhamir.

“Neen pergi dulu ye. Tok Mi, Mir,” ucap aku sambil salam dan peluk Tok Mi macam biasa. Baru aku nak capai beg dekat tepi kerusi aku, ada pula tangan lain yang hulur minta disalam.

“Aku?”

“Kau kenapa? Bangun silap bantal ye? Gerak dulu!” balasku sambil tepis perlahan tangan Dhamir dengan bag aku.

Mengekek Tok Mi gelakkan aku dengan Dhamir. Entah tang mana yang lawak, aku tak pasti. Yang aku yakin lagi pasti sekarang aku bakal kena leter dengan Encik Bad sekejap lagi.

Entah apa malangnya aku hari ini, minyak kereta pula lupa aku isi semalam sebelum sampai rumah. Menyala cerah huruf E dan bar minyak pun dah tak ada langsung. Dahlah aku lewat nak ke pejabat ni, aduh! Tapi dari terpaksa menolak kereta, biarlah lewat sampai ke pejabat jadi aku terpaksa de tour pergi ke stesen minyak dulu.
Waktu aku sampai dekat traffic light nak ke pejabat, ngam-ngam lampu bertukar merah. Maka dengan ini, sahlah aku lewat sejam. Automatik berdenyut kepala aku memikir apa alasan yang nak aku bagi nanti.

Tengah aku dok memikir sambil urut dahi, tiba-tiba tingkap kereta diketuk.

“Mir! Kau buat apa dekat sini?” soal aku separa terkejut sebaik sahaja tingkap kereta aku turunkan separuh. Bukan tadi dia santai-santai dekat rumah ke? Macam mana tiba-tiba boleh ada area sini?

“Tengah berhenti. Lampu merah.”

Cis! Itu aku pun tahu! Habis tu aku ni ha berhenti kereta dekat sini untuk apa? Aduh, makin pening aku dibuatnya lepas dengar jawapan si Dhamir ni.

“Sakit kepala ke? Pergi klinik la, minta MC.”

“Sikit je ni. Aku bukan macam kau, boleh suka-suka berhenti kerja. Tuuu…duit letrik rumah tu siapa nak bayar nanti?” bebelku sekadar mengingatkan. Memang duit letrik rumah dan segala bil-bil aku yang bayar. Dhamir pula bantu beli bahan keperluan dapur walaupun Tok Mi selalu tolak. Katanya duit pencen dia ada.

“Dah namanya MC, kenapa sampai boleh buat berhenti kerja pula?”

Aku tepuk dahi berkali-kali. Rasa macam malas pula nak bersoal jawab benda macam ni dalam keadaan masing-masing tengah menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Bunyi hon yang bertalu-talu dari belakang jadi penyelamat aku masa tu.
Aku terus tekan minyak kereta. Dhamir pula langsung press minyak motor selajunya dan melencong ke kanan simpang, entah nak kemana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience