BAB 3

Romance Completed 655

“NEEN, lamanya Neen tenung telefon tu…” teguran Tok Mi berserta tepukan mesra di bahu aku menghentikan lamunan panjang aku.

“Tok Mi! Neen ingatkan Tok Mi dah tidur tadi,” sapa aku sambil tangan Tok Mi aku tarik dan cium lama. Bersambung pula dengan pelukan erat aku pada tubuh tua itu, tak mahu lepas. Tenang rasanya tiap kali tangan tu dapat aku salam, tubuhnya aku dakap erat. Terasa macam Mama dan Babah masih ada dirumah ini.

“Macam mana Tok Mi nak tidur kalau cucu kesayangan Tok Mi ni tak balik-balik lagi. Banyak sangat kerjanya ya? Ramai orang nak kahwin ke?”

Aku sahut soalan Tok Mi dengan gelak kecil. Mee segera depan aku yang dah kembang seganda laju sahaja aku kacau dengan perasanya.

“Neen bukan uruskan orang kahwin Tok Mi. Neen buat kira-kira saja. Tengah musim audit sekarang ni. Jadi banyak nak kena siapkan sebelum auditor datang minggu depan.”

“Adit? Adit mana pula ni? Kawan Neen? Lelaki?”

Makin besar gelak aku dibuatnya. Wajah separuh abad yang persis Babah tapi versi lebih lembut rautnya aku pandang tak jemu. Betapa aku bersyukur sangat yang aku masih punya Tok Mi walaupun hanya sebagai cucu tiri. Dengan Tok Milah aku menumpang kasih dan dapat kekuatan nak teruskan hidup lepas Mama dan kemudian Babah menyusul pergi tinggalkan aku dan Dhamir.

“Audit la Tok Mi. Bukan Adit. Tok Mi dah makan?”

“Sudah. Mak Kiah rumah bawah sana tu hantar mee bandung. Tok Mi ajak dia teman makan sekali sambil-sambil borak. Anak menantu dia pergi bercuti dekat Eropah sebulan. Sikit tak mengajak dia. Mujurlah duit ditinggal, kalau tak kebulur orang tua tu.”

Aku angguk saja mengiakan. Mak Kiah tu lah bff Tok Mi sejak Tok Mi duduk sini lebih kurang 8 tahun sudah, lepas Mama pergi. Atas ihsan adik beradik Babah yang lain, semua bersetuju untuk Tok Mi duduk sekali dengan kami.

Sesekali adalah mereka jemput Tok Mi ke rumah anak yang lain tapi tak lama mana. Tok Mi lagi selesa duduk dekat sini, dengan kami yang dah dianggap rumah keduanya. Yang pertama, dah tentu rumah peninggalan arwah Tok Abah di kampung sana yang sesekali kami balik untuk ziarah dan bersihkan.

“Ni yang sorang lagi pun, tak balik-balik lagi. Asyik nak melalak malam-malam tak ketahuan,” bebelan Tok Mi bersambung lagi. Tak perlu sebut nama, aku dah tahu siapa yang Tok Mi maksudkan sementelah dalam rumah agam yang besar ni cuma kami bertiga sahaja yang ada.

“Melalak? Kenapa Mir menangis Tok Mi? Dia ada masalah ke?” soalku, kaget.

Tak terbayang pula aku Dhamir yang aku kenal dari kecik sebagai orang yang tenang dan kurang meluah rasa itu boleh jadi secengeng itu. Bukan ke dia suka ke, marah ke hatta sedih pun muka dia segitu juga. Paten yang sama, sukar nak diteka.

“Melalak tu equal to merambu. You know what I mean?” Pecah juga ketawa besar aku bila Tok Mi yang dari Klasik Nasional dah tukar pula channel Hits FM. Dia speaking pulak dah!

“Iyalah. Merambu, melalak ye…” sahut aku sambil suap megi pertama ke dalam mulut. Perghhh rahmat betul ya makan megi tomyam malam-malam. Panas-panas pula tu!

“Assalamualaikum Tok Mi.”

Tak jadi aku nak suap lagi bila suara emas itu menyapa. Serentak aku dengan Tok Mi memandang ke arah pintu dapur yang terbuka.
Sama macam aku tadi, rutin lepas balik kerja mesti kena salam dan peluk Tok Mi dulu cuma selalunya aku jarang terserempak dengan Dhamir. Hari ni hanya sebab aku balik lewat dapat jumpa dia.

“Waalaikumussalam. Banyaknya barang. Ni barang dekat luar tu ke Mir?”

Barang dekat luar? Laju memori ingatanku, aku picu. Bahagian mana luar rumah yang ada banyak barang? Pintu depan ke, atau dapur? Tak perasan pula waktu masuk rumah tadi.

“Barang mana Tok Mi?”
“Alah, tu lah parcel lah hadiahlah. Jambangan bungalah. Malas Tok Mi nak angkut masuk nanti Mir ambillah sendiri ye! Tak sudah-sudah Mir ni. Dari kecik membawa ke besar dapat hadiah dari perempuan tapi bawa balik kenalkan pada Tok Mi, tak jugak. Kan Neen?”

Kan Neen? Alamak, kenapa Tok Mi kait dengan aku pula ni? Aku tayang sengih pada wajah Dhamir yang nampak keletihan dengan mata kuyunya memandang aku serupa tak ada perasaan.

“Ye Tok Mi,” sahutku pendek.

“Nanti bawa balik, kenalkan pada kami. Ya, Mir?” cadang Tok Mi.

“Okey.”

Okey? Aku dah agak dah itu jawapan dia. Cakaplah panjang-panjang pun jawapan dia paling tinggi 3 patah perkataan. Selalunya sepatah. Okey. Baik. Faham. Pusing-pusing perkataan yang sama juga dia guna.

“Dah makan belum ni?”
“Belum.”

Sepatah lagi. Betul tak apa aku cakap tadi? Yang namanya Dhamir ni tersangatlah berat mulutnya.

“Kenapa tak makan lagi ni?”
“Dinner cancels.”

Dia up jadi 2 patah. Nampak ada kemajuan disitu.

“Cancel sebab?” soal Tok Mi lagi. Dah jadi satu kerja pula nak kena tanya setiap benda. Kalau terangkan dalam satu ayat kan ke lebih mudah?
Dhamir mengeluh perlahan. Kotak yang dia bawa masuk diletak kemas tepi dinding dapur.

“Mir kemas barang dekat pejabat sebab Mir dah berhenti kerja.”

Tersembur megi dalam mulut aku, masuk semula dalam mangkuk. Cepat-cepat air kosong dalam gelas aku teguk. Sempat juga belakang badan aku Tok Mi tepuk, minta bertenang dari terus tersedakkan megi.

“Kenapa Mir berhenti? Tiba-tiba pula tu.”
Sambil teguk air berkali-kali, aku pasang telinga.

“Saja, Tukar angin.”

Tak ada angin, tak ada ribut aku tergelak besar bila dengar jawapan klise dari Dhamir. Serius, tak tertahan-tahan. Memang aku gelak beria.

Dhamir dengan angin dia memang tak boleh dipisahkan ke macam mana? Dulu masa zaman sekolah pun dia pindah ke sekolah aku sebab nak tukar angin.
Tukar kampus pun atas alasan yang sama. Kali ini, angin juga jadi asbab dia? Bukan ke bertahun juga dia kerja dengan Syarikat Klik! Kenapa tiba-tiba berhenti?

Dan kesan pada aku gelakkan Dhamir tadi, aku dipaksa masakkan nasi goreng untuk dia dek Tok Mi. Adeh, menyesal pula aku gelak beria tadi. Patut aku simpan gelak aku tadi sampai masuk bilik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience