“Jangan cuba berbohong.” Gertak lelaki dewasa di sebelah Bolkhan . Ustaz Faizeen menggelengkan kepalanya.
“Demi Allah, Naima adalah isteri yang ana nikahi dengan nama Allah.”
Setiap perkataan yang keluar dari mulut Ustaz Faizeen bagaikan sembilu yang menghiris hati Bolkhan . Terus dia terduduk. Jadi ini semua….
Sia-sia?
Ustazah Naima melepaskan diri dari Bolkhan . Terus dia menghampiri suaminya. Di saat ini, baru Bolkhan perasan akan kewujudan cincin berlian yang elok tersarung di jari manis wanita itu. Dia memarahi dirinya sendiri di atas kebodohannya.
Tiba-tiba kedengaran bunyi siren. Polis sudah sampai nampaknya. Bolkhan sudah nampak hala tuju hidupnya selepas ini. Di dalam penjara. Masa hadapannya sudah gelap. Namun, semuanya sudah menjadi bubur.
Ustaz Faizeen memeluk bahu isterinya menenangkan. Dia melihat sekeliling. Semua kawan-kawan Bolkhan sudah melarikan diri. Termasuk semua penjahat-penjahat itu.
“Jangan bergerak.” Sebuah kereta polis berhenti di hadapan mereka. Tiga orang anggota polis keluar bersama Hateem dan Anwar . Rupanya, mereka berdua yang memberitahu pihak polis.
Bolkhan mengangkat tangan. Dia berdiri. Ketika ini, baru dia sedar, dia sedang bersendirian. Dia sudah tewas. Hidupnya gelap kini. Air mata menuruni pipi.
“Ada apa?” Seorang anggota polis mendekati Ustaz Faizeen . “Tiada apa-apa. Cuma salah faham. Dah selesai pun.” Dia tersenyum. Tangannya di bahu si isteri dijatuhkan.
“Naima okay?” Pipi isterinya dipegang. Ustazah Naima mengangguk. Dalam hati, lafaz tahmid disebut tidak henti-henti. Tadi, dia sudah pasrah. Namun, takdir Allah yang menentukan segalanya. Kalaulah Allah tidak bantu dia tadi, pasti nyawanya sudah melayang.
‘Alhamdulillah…Syukur, Ya Allah.’ Hatinya berbicara.
“Luka sebegini dalam…” Inspektor itu membelek luka di lengan Ustaz Faizeen . “..Kau kata tiada apa-apa?” Wajah tenang Ustaz Faizeen direnung.
“Salah saya. Jangan risau. Semua selesai.” Ustaz Faizeen membela Bolkhan . Bahu Inspektor itu ditepuk sebagai jaminan tiada apa-apa yang berlaku.
Hateem dan Anwar hanya mendiamkan diri. Mereka tahu Ustaz Faizeen menyembunyikan sesuatu. Luka di lengannya dan darah di bibirnya menceritakan segalanya. Cuma, mereka tidak faham, kenapa lelaki itu membela Bolkhan ?
“Betul?” Inspektor polis itu menginginkan kepastian. Ustaz Faizeen mengangguk. Inspektor polis itu kelihatan berpuas hati.
Inspektor itu beredar bersama dua pegawainya. Kini yang tinggal cuma Ustaz Faizeen , Ustazah Naima , Anwar , Hateem dan Bolkhan .
Anwar mendekati Bolkhan . Satu tamparan hinggap di pipi Bolkhan .
“Lihat apa yang dia buat pada kau atas semua perbuatan kau? Kau telah membahayakan nyawa isterinya dan mencederakannya!” Anwar menengking. Memang itu peribadinya. Kasar. Anwar mengangkat tangannya, ingin menampar lagi namun ditahan oleh Ustaz Faizeen . Darah dari lengannya menitis ke atas kasut Anwar .
“Cukup, Anwar . Cukup.” Tegas kedengaran bicaranya. Anwar menurunkan tangannya. Rasa hormatnya tinggi pada lelaki itu.
“Anwar . Dengar firman Allah ini. Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.” Nasihat Ustaz Faizeen . Dia tahu Anwar cepat marah orangnya.
Hateem yang melihat terus mendapatkan sahabatnya itu. Tubuh Anwar ditarik dan dipeluk. Itulah sahabatnya dunia akhirat. Kepada Ustaz Faizeen , dia sekadar tersenyum. Lelaki itu, penyabar sangat.
“Ustaz.” Panggil Bolkhan . Ustaz Faizeen memandang ke arahnya. Bolkhan , dengan wajah yang kusam, air mata di pipi, bibir bergetar, sedang merenung ke arahnya dengan satu pandangan yang sukar ditafsirkan. Ustaz Faizeen memandang wajah si isteri sebelum menghampiri Bolkhan .
“Ustaz, betul cakap Anwar . Saya ni, tidak berguna. Tamparlah saya. Kerana cinta, kerana dendam, saya buat semua ini. Tapi, semua ni rupa-rupanya sia-sia. Saya…” Bolkhan hendak menjatuhkan dirinya ke tanah namun sempat ditahan oleh Ustaz Faizeen . Melihat luka di tangan Ustaz itu membuatkan air mata Bolkhan semakin lebat.
“Bolkhan . Ana hanya pendidik, bukan penghukum. Cinta boleh membuatkan kita melupakan Pencipta kita namun dengan cinta jugalah kita lebih rapat dengan Pencipta. Ingatlah, Allah pemilik cinta kita. Sebelum kita cinta dengan sesuatu, maka pastikan ia kerana Allah. Ana mencintai isteri ana, kerana ana cinta kepadaNya. Cinta kepadaNya jugalah yang membuatkan ana cinta kepada anta. Kepada Hateem . Kepada Anwar .” Ujar Ustaz Faizeen . Bolkhan terus membiarkan air matanya jatuh. Dia nampak hidupnya selama ini sia-sia. Tidak berguna. Nampaknya dia perlu mengukur semula tahap cintanya kepadaNya. Kalau dia mencintai Allah, mustahil dia berani bermain mata dengan Aisya. Kerana Kekasih agung sudah melarangnya. Kan Allah lebih dicintai?
“Kenapa ustaz tidak beritahu polis tadi?”
“Sebab anta, saudara ana yang ana cintai. Anta pun bukanlah bersalah sangat pada ana. Anta kan hendak mencegah kemungkaran?” Ustaz Faizeen sentiasa bersangka baik kepada Bolkhan .
Cinta? Kening Bolkhan berkerut. Entah-entah…
Share this novel