BAB 5

Short Story Completed 461

Kelas sudah tamat. Ustaz Faizeen sudah bersedia untuk keluar.

“Baiklah. PMR lagi berapa minggu?”

“Dua.” Semua menjawab serentak.

“Perbanyakkan ibadah. Tingkatkan hubungan dengan Allah.” Pesan Ustaz Faizeen mengakhiri kelasnya.

“Ustaz.”

“Ya?” Ustaz Faizeen memandang pelajar yang memanggilnya.

“Kenapa ustaz pesan perbanyakkan ibadah bukan perbanyakkan latihan?” Soal Toriq. Dia hairan sebenarnya. Nak periksa kenalah banyak baca buku. Apa kena mengena dengan ibadah?

“Toriq, ada ana kata kurangkan baca buku?”

Geleng.

“Ana ada kata tak payah buat latihan?”

Geleng lagi.

“Ana cuma kata perbanyakkan ibadah. Sebab yang buat kita berjaya siapa?”

“Allah.”

“Jadi kenalah minta dengan Allah. Dengan merapatkan diri kita kepadaNya.”

Toriq mengangguk. Faham.

“Okey. Semua boleh keluar.”

Semua bergerak keluar. Ustaz Faizeen duduk. Itulah kebiasaannya. Dia akan menjadi orang yang terakhir sekali keluar dari kelas.

Pap! Bahunya ditampar. Ustaz Faizeen menoleh. Dua remaja sekolah sedang berdiri di hadapannya. Seorang dengan gaya santainya, dengan sebelah tangan menyeluk poket dan sebelah lagi di bahu Ustaz Faizeen . Tubuhnya disandarkan pada dinding. Di sebelahnya pula, sahabat baiknya, seorang remaja sekolah berwajah kecinaan sedang berdiri dengan kaki bersilang dan tangannya memeluk bahu sahabatnya.

“Anwar . Hateem .” Ustaz Faizeen menyebut satu persatu nama mereka. Tersenyum mereka dibuatnya.

“Jom rehat sama-sama.” Ajak Anwar . Hateem mengangguk. Dulu, mereka hampir setiap hari bersarapan bersama-sama. Tetapi, tidak sekarang. Ustaz Faizeen bersarapan dengan pelajar yang berlainan pada setiap hari. Satu strategi untuk merapatkan hubungan guru dan pelajar.

Ustaz Faizeen sekadar meleretkan senyuman. Bahu kedua-duanya ditepuk. Kemudian dia berdiri.

Anwar dan Hateem berpandangan seketika sebelum bergerak ke sisi Ustaz Faizeen . Mereka beriringan menuju ke kantin.

“Dah lama tak pekena mi kari.” Anwar menggosok-gosok perutnya setelah mereka memasuki kawasan kantin. Spontan Hateem menyiku Anwar .

“Kau ni…”

“Apa?” Anwar buat-buat tidak tahu.

“Ish, malaslah layan kau.”

Ustaz Faizeen memandang mereka. “Tak apa. Hari ini ana belanja.” Ujarnya menarik sengih di bibir Anwar . Lidahnya dijelir kepada Hateem tanda menang.

Hateem menaikkan biji mata ke atas tanda meluat. Tiba-tiba rambutnya diramas.

“Hateem , ingat cantik ke anta buat mata macam tu?” Tegur Ustaz Faizeen .

Hateem tersengih. “Ala…Ustaz. Hilang macho.” Gurau Hateem . Rambutnya disisir dengan jari. Ustaz Faizeen tertawa. Dia membawa keduanya ke sebuah meja makan.

“Anwar nak mi kari. Hateem ?” Tanya Ustaz Faizeen . Anwar dan Hateem sudah duduk di kerusi. Hanya Ustaz Faizeen yang masih berdiri.

“Sama macam ustazlah.” Hateem buntu ingin memilih menunya. Semua dia bantai sahaja.

“Ana makan roti telur sahaja.” Jawapan Ustaz Faizeen membuatkan Hateem tidak tentu arah. Roti telur sahaja?

“Err…Saya nak mi karilah ustaz.” Kalau ikut menu ustaz, sudah pasti dia kelaparan semasa di kelas nanti.

“Peniru.” Anwar berpura-pura marah. Ustaz Faizeen tersenyum sebelum beredar meninggalkan keduanya.

Anwar dan Hateem diam. Masing-masing kehilangan bicara. Di sekeliling mereka kini adalah guru. Kerana mereka sekarang sedang duduk di kantin guru.

“Hateem .” Anwar memecah kesunyian. Hateem mengangkat kening.

“Tengok pokok tu.” Jari Anwar lurus menunjuk ke arah sebatang pokok. Hateem menoleh. Pokok itu bergoyang-goyang.

“Kenapa pokok tu bergoyang?” Tanya Hateem .

“Tanya sama pokok, apa sebab goyang…Nanti jawab pokok…Hah, tanyalah sendiri.” Anwar berlagu.

Ceh! Hateem terkena. Terus dia menarik muka masam. Wajahnya dipaling dari Anwar menghadap pokok tersebut.

Anwar mengekek ketawa.

Mata Hateem liar memerhati suasana di kantin. Sambil itu jarinya mengetuk-ngetuk meja. Tiba-tiba mata Hateem membesar. Sesuatu telah menarik perhatiannya. Di hadapan papan kenyataan, kelihatan sekumpulan pelajar sedang berkumpul. Suasana agak riuh.

“Anwar . Anwar .” Hateem mencuit lengan Anwar yang sedang memandang arah yang bertentangan dengannya.

“Tak payahlah nak tipu aku.” Anwar enggan menoleh. Disangkanya Hateem mahu mengenakannya kembali.

“Taklah Anwar . Aku bukan nak tipu kau.”

“Aku tak tertipulah.” Anwar menongkat dagu.

Senyap. Tiada balasan. Anwar mengerutkan keningnya. Akhirnya dia menoleh juga. Namun, Hateem tiada di sebelahnya. Matanya dapat menangkap Hateem sedang berjalan menghampiri sekumpulan pelajar di hadapan papan kenyataan.

“Hateem !” Anwar mengejar.

Langkah Hateem terhenti. Namun dia sudah hampir benar dengan papan kenyataan. Anwar mempercepatkan langkah.

“Apa tu?” Soalnya kepada Hateem . Hateem tidak membalas. Hanya bahunya diangkat menunjukkan dia tidak tahu.

“Ada apa tu?” Anwar memegang bahu seorang juniornya.

“Ada maksiat, bang.” Pelajar itu membalas. Hateem terkejut. Pantas dia meluru ke hadapan.

“Ini…” Hateem kematian bicara. Gambar di papan kenyataan menunjukkan Ustaz Faizeen sedang menyuapkan makanan ke mulut seorang wanita. Ada juga gambar mereka berjalan bersama. Si lelaki tersenyum riang dan si wanita ketawa girang. Nampak bahagia.

“…Mustahil.” Sambung Anwar . Dia juga terkejut. Di bawah gambar-gambar itu tertera satu ayat ringkas tetapi pedas.

SYAITAN BERSEMBUNYI DI SEBALIK SAYAP MALAIKAT

Kedengaran para pelajar menyumpah-nyumpah. Kepercayaan mereka bagai dikhianati. Rupanya, lelaki yang paling keras menentang maksiat daripada berleluasa di sekolah ini melakukannya. Perasaan marah menjalar ke dalam hati.

“Ya Allah siapa yang buat semua ini?” Anwar hampir tidak percaya. Hateem lagilah. Dia bagaikan terpaku di situ.

Ustaz Faizeen yang sudah selesai memesan makanan kembali ke meja. Dia hairan melihat kedua pelajarnya tidak berada di situ.

Mana mereka?

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dia segera mengangkatnya.

Selepas berbicara beberapa patah perkataan, talian dimatikan. Ustaz Faizeen meraup wajahnya. Dia terduduk di kerusi.

Ya Allah…

Tiba-tiba bahunya disentuh. Dia menoleh. Hateem dan Anwar berdiri dengan wajah yang gelisah.

“Ustaz…” Hateem bersuara namun dihalang Ustaz Faizeen .

“Ana tahu.” Wajahnya sukar diteka. Namun yang pasti terselit resah pada ketenangan wajah itu.

“Macam mana ni Ustaz? Tak kan nak biarkan sahaja.” Anwar tidak puas hati.

“Setiap orang beriman akan diuji. Dan ana sedang diuji sekarang.” Perlahan Ustaz Faizeen berbicara. Teringat dia akan firman Allah di dalam al-Quran : Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?

“Tapi kita kena betulkan semua ni.” Kata Hateem . Anwar mengangguk menyokong.

“Dia dah tiada.” Kata-kata Ustaz Faizeen membuatkan mereka berdua terdiam. Ujian apa lagi?

“Ustaz, bersabarlah.” Nasihat Hateem . Berat ni.

Nampaknya Ustaz Faizeen betul-betul teruji. Dan hanya Allah yang boleh menolongnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience