BAB 2

Short Story Completed 461

Dia memandang gadis di hadapannya. Setelah bertahun bersusah payah, dapat juga dia bersama dengan gadis pujaannya ini. Gadis itu seperti bidadari dari syurga baginya. Berada bersamanya seperti sudah berada di syurga. Bukan sahaja indah di pandangan mata malah auratnya cukup terjaga. Bak sekuntum mawar indah yang mekar terpelihara.

“Janganlah pandang saya macam tu.” Lembut sahaja suara itu menegur. Jelas pipinya merah. Nampak sangat dia tidak biasa dengan semua ini.

“Awak cantik sangat. Macam mimpi dapat bersama dengan awak.” Tangan gadis itu dipegang. Gadis itu membiarkan sahaja. Kali pertama disentuh oleh lelaki yang bukan muhrim.

“Selama ni, awak jual mahal. Susah nak dekat.” Bahu mereka bersentuhan. Dan si gadis tertunduk malu.

“Mestilah. Dan saya tertawan dengan ketidak putus asaan awak tu.” Senyuman manis terbit di bibir. Malu-malu dia membalas pegangan lelaki di sebelahnya. Baginya, tidak salah mereka bersentuhan selagi tidak melebihi syarak. Mereka bukannya hendak membuat apa-apa. Tanpa mereka sedari, syaitan bersorak gembira. Kerana gugurnya perisai malu seorang wanita.

Si lelaki memegang bahu gadisnya. Dan gadis itu terlentok dibelai sang lelaki. Terbuai dek tipuan syaitan durjana.

Pelik. Seorang gadis, bertudung labuh, berbaju seragam sekolah sedang melentok manja di bahu seorang lelaki.

“Ya Allah, kalau ini mimpi jangan bangunkan aku.” Sempat si lelaki berdoa. Perasaan cintanya membuak-buak.

“Assalamualaikum…” Satu suara menegur. Gadis itu terus duduk menegak. Seakan baru tersedar. Dia kelihatan kaget. Manakala sang lelaki kekal biasa.

Ustaz Faizeen memandang tidak percaya. Dua orang ini, dia sangat mengenalinya. Siapa tidak kenal Aisya, namanya sering meniti di bibir pelajar lelaki dek kerana peribadinya yang terjaga. Tetapi bagaimana dia boleh berada di sini, bersama Bolkhan ?

“Ah, Ustaz ni kacau daun betullah.” Bolkhan menumbuk telapak tangannya. Geram kerana waktunya diganggu.

“Rasanya kalau perkara mungkar macam ni, tak salah jika ana masuk campur.” Tegas. Ustaz Faizeen memandang Aisya. Aisya menunduk. Malu. Ustaz Faizeen tidak memandang lama. Pandangan kembali difokuskan kepada Bolkhan .

“Ustaz siapa hah? Ayah saya? Abang saya?” Biadap sekali bicara Bolkhan .

“Bolkhan . Ana ada hak untuk halang anta. Dan ana takut dipertanggungjawabkan di akhirat nanti atas apa yang anta lakukan. Ini haram, Bolkhan .”

“Ala…ustaz ni. Macam tak biasa pulak. Ustaz kan pernah muda remaja. Entah-entah, Ustaz ada simpan perempuan. Well, siapa tahu.”

“Astaghfirullahalazim.” Kata-kata Bolkhan membakar hati Ustaz Faizeen . Sungguh biadap perkataannya. Nasib baik kesabarannya tinggi. Kalau tidak…

“Bolkhan . Remaja muslim tidak akan mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Masa remaja bukan untuk disiakan sebaliknya untuk digunakan sebaiknya kerana ia menentukan masa dewasanya nanti.”

“Eh, saya cintakan Aisya, Ustaz. Cinta tu kan fitrah.” Senang sahaja Bolkhan mengungkap kata cinta. Aisya di sebelahnya dijeling. Gadis pujaannya.

“Memang ia fitrah. Tapi ia bukan bermakna kita boleh bertuhankannya, buat apa-apa sahaja. Kita ada cinta agung, yang lebih patut kita cintai. Siapa?” Ustaz Faizeen melontarkan persoalan.

Bolkhan terdiam. Tidak menjawab.

“Allah.” Aisya pula yang menjawab. Perlahan sahaja suaranya.

Ustaz Faizeen memetik jari. “Buktikan. Kalau cinta, mesti tak nak Kekasih murka. Allah, cinta agung kita, marah kalau buat macam ni. Dating, pegang tangan. Allah murka.”

“Tapi, Allah tak cakap pun kita tak boleh berdating. Betul tak, sayang?” Tangan Aisya dicapai dan digenggam. Mata Ustaz Faizeen membesar. Beraninya dia. Tidak sangka Bolkhan berani berbuat begitu di hadapannya. Ini tidak boleh dibiarkan.

“Eh,” Ustaz Faizeen berniat hendak menegur. Tapi belum sempat dia berkata apa-apa, Aisya terlebih dahulu meleraikan genggaman tangan Bolkhan . Ustaz Faizeen sekali lagi terkejut.

“Awak, Allah memang tak cakap tak boleh dating, tapi Allah ada kata jangan hampiri zina.” Aisya bersuara perlahan tetapi tegas. Nyata, Aisya gadis yang ditarbiah. Terkoyak senyuman di bibir Ustaz Faizeen . Ternyata kata-katanya berjaya mengetuk iman seorang Aisya yang tadinya terpenjara.

“Eh, apa yang awak merepek ni. Saya tak cakap pun nak berzina dengan awak.” Lekeh Bolkhan . Gayanya menyakitkan hati.

Aisya lekas bangun. “Dengar. Saya ulang. Allah kata jangan hampiri zina. Dan zina tu banyak. Zina mata, zina hati. Dan perbuatan kita tadi menghampiri zina.”

“Sejak bila awak jadi ustazah? Tadi awak yang pegang tangan saya.” Bolkhan tidak mahu mengalah. Ustaz Faizeen hanya menjadi penonton. Biarlah Aisya sendiri yang mempertahankan dirinya.

“Tadi, saya khilaf. Lupa diri saya yang sebenarnya. Saya terpedaya dengan syaitan. Saya rasa amat menyesal sekarang.” Esakan kecil kedengaran. Air mata menuruni pipinya yang bersih. Begitulah orang beriman. Mereka bukannya tidak pernah berbuat dosa tetapi apabila membuat dosa mereka segera tersedar. Tambahan Aisya gadis yang ditarbiah.

“Awak.” Panggil Bolkhan . Aisya berlari meninggalkan tempat itu. Kini yang tinggal hanya dia dan Ustaz Faizeen . Ustaz itu tenang sahaja.

Di dalam hati, Ustaz Faizeen bersyukur kerana Aisya cepat tersedar dari perbuatannya.

“Ah, tak guna!” Sebiji penumbuk hampir hinggap di wajahnya tetapi dia sempat berundur. Cermin matanya pecah berderai. Bolkhan menyerang lagi tetapi cekap ditangkap oleh Ustaz Faizeen . Bolkhan menggila lagi. Kakinya cuba menendang Ustaz Faizeen tetapi sempat disanggah oleh lelaki itu. Ustaz Faizeen pantas sahaja mengunci pergerakan Bolkhan . Bolkhan tidak boleh bergerak. Nafasnya turun naik kerana marah.

“Lepaskan!” Teriak Bolkhan .

“Sudahlah, Bolkhan . Ana tidak mahu mencederakan anta.” Suara Ustaz Faizeen perlahan menyinggahi telinga Bolkhan . Bolkhan merasakan dirinya tewas. Tewas sepenuhnya.

“Sebab kau, Aisya tinggalkan aku.” Kata ganti diri saya dan ustaz sudah bertukar kepada aku dan kau. Wajahnya membengis seakan mahu membaham ustaz muda itu.

“Cintailah Allah, Bolkhan . Anta tidak akan kecewa.” Lengan Bolkhan dilepaskan. Dia mengambil langkah berjaga-jaga. Namun, Bolkhan langsung tidak menyerangnya. Anak muda itu terus melarikan diri dari Ustaz Faizeen .

Hatinya lapang. Tiada yang diharapkan selain Bolkhan berubah. Sayang jika Bolkhan rosak begitu sahaja.

Tiba-tiba bahunya disentuh. Tubuhnya seakan terenjat. Dia segera menoleh. “Anta rupanya.” Bibirnya mengukir senyum. Hateem membalas senyuman lelaki itu.

“Ustaz, ada apa?”

“Tiada apa-apa. Alhamdulillah, beres.” Rambut Hateem diramas.

“Jom balik.”

“Kesian bidadari tunggu di rumah.” Sakat Hateem . Ustaz Faizeen sekadar meleretkan senyuman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience