“Ustaz ni gay ke?” Terlintas persoalan itu dibenaknya. Lelaki mencintai lelaki, apa lagi kalau bukan gay?
Pecah tawa Ustaz Faizeen . “Bolkhan . Ini namanya persahabatan dalam keimanan. Bukannya gay. Rasulullah ada mengatakan bahawa dua orang pemuda yang berkasih sayang kerana Allah akan mendapat naungan arasy di padang mahsyar kelak. Syaratnya, mesti kerana Allah.” Terang Ustaz Faizeen . Bolkhan mengesat air matanya. Eh, ini…
“Macam diorang itu ke?” Jari ditundingkan ke arah Hateem dan Anwar . Hateem sedang memeluk bahu Anwar . Anwar pula menundukkan kepalanya, hampir menyentuh bahu Hateem . Sekali pandang, macam sepasang kekasih yang sedang ber’dating’ pun ada. Hakikatnya, Hateem sedang menjadi kipas, menyejukkan kemarahan di hati Anwar . Hateem yang perasan Bolkhan memandangnya, mengangkat dua jari membuat isyarat ‘peace’. Bolkhan tersengih. Sempat lagi.
“Ya. Anta kira, apa lagi yang boleh mengeratkan hubungan dua orang itu selain persahabatan kerana Allah?” Ustaz Faizeen menimbulkan persoalan. Bolkhan mengangguk. Dia sudah nampak dengan jelas. Apa lagi? Dia nampak persahabatan mereka berbeza dengan persahabatannya dengan Fakhrul, Farrukh, Shahrol dan Faiz. Mereka sahabat kegelapan. Membawanya ke jalan yang salah. Bukan seperti Hateem . Dia sahabat yang membimbing Anwar ke jalan yang terang. Dia kenal Anwar . Dahulunya, Anwar seorang kaki samseng. Gangster. Kasar. Kaki buli. Pemeras ugut. Pemalas. Bermasalah. Bagaimana dia boleh masuk dengan Hateem ? Hateem pula seorang yang lemah lembut, pandai dan bersahaja. Kontra dengan sikap Anwar . Bagaimana air dan minyak boleh bersatu?
Mereka tidak pernah bertengkar secara serius. Bila salah seorang marah, dengan cepat dia terpujuk. Gaduh mereka tidak panjang. Anwar kalah dengan kelembutan Hateem dan Hateem kalah dengan ketegasan Anwar . Mereka saling lengkap-melengkapi. Anwar mendapat sedikit kelembutan apabila bersama Hateem dan Hateem mendapatkan sedikit keberanian daripada Anwar . Begitulah mereka.
“Kenapa pandang kami semacam?” Tegur Anwar mesra. Marahnya sudah hilang. Cepat sahaja dia sejuk apabila bersama Hateem .
“Kalian, ada aura.” Jujur Bolkhan memberitahu.
“Aura? Apa-apa sahajalah.” Anwar tersenyum. Bolkhan membalasnya.
“Aku minta maaf tadi. Aku tak sepatutnya tampar kau.” Ujar Anwar . Hatinya merasa bersalah. Dia sudah mendapat teguran tarbawi daripada Hateem . Hateem tersenyum sahaja.
“Tak apa. Aku yang salah sebenarnya.” Akui Bolkhan .
Ustaz Faizeen bergerak mendekati isterinya. Hilang pedih di lengannya melihat mereka bertiga.
“Naima , indah kan persahabatan kerana Allah?”
Ustazah Naima mengangguk.
Ustaz Faizeen tersenyum. Untuk esok, dia sudah ada jalan penyelesaiannya.
Share this novel