BAB 3

Romance Completed 3305

SEMENJAK tadi, Harith mengelap matanya yang sedikit basah sewaktu mendengar kisah kewafatan Rasulullah SAW yang mulia. Insyirah di sudut belakang turut berasa sebak. Begitu tabah dan kuat Nabi Muhammad SAW menghadapi saat-saat akhirnya. Pesuruh Allah SWT yang bersifat terpuji itu juga berasa sakit apabila nyawanya ingin dicabut, inikan pula manusia biasa yang penuh dosa, dan sering lupa pada perkataan mati. Allahuakbar! Insyirah di luar surau menunggu ibu bapanya untuk pulang bersama.

Ahli-ahli masjid mula bersurai. Hanya Harith dan Azri yang duduk di hadapan mimbar. Dilihatnya Azri menepuk bahu sahabatnya yang barangkali terlalu menghayati kisah Rasulullah SAW. Insyirah tersenyum nipis. Entah bagaimanalah kematiannya kelak? Berada dalam keadaan sempurna mahupun sebaliknya? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

“Irah.”

Insyirah mengangkat muka. Azri sedang menyarung selipar.

“Azri.”

“Tunggu ayah ke?”

“A’ah. Ayah dengan mak saya masih kat belakang. Ada urusan yang belum selesai agaknya dengan Pak Imam. Saya tak pasti pula atas urusan apa.” Kain telekung disangkut di pangkal lengan. Azri menghela nafas. Songkoknya dibuka sekejap. Pekarangan surau terang-benderang. Meriah. Insyirah membalas senyuman jiran-jiran yang lalu lalang di situ. Dia dan Azri masih menjaga jarak.

“Macam mana dengan pelajaran awak? Awak dah habis belajar, kan?”

“A’ah. Dah habis. Harap-harap semuanya okey. Sekarang ni duduk rumah, ‘tanam anggur’. Sambil-sambil tu tolong mak. Awak?”

Azri ketawa. Tanam anggur? Aduhai, cakap ajelah menganggur.

“Saya dan Harith tengah belajar lagi. Tak lama lagi habislah. Cuma sekarang jadual tak padat. Tu yang senang sikit nak luangkan masa dekat surau ni.”

“Awak dah lama kenal Harith?” risik Insyirah bernada lembut.

“Boleh tahan. Lima bulan. Lebih kurang usia dia tinggal kat tempat ni juga. Kenapa?”

Insyirah menggeleng perlahan. Azri mengalihkan anak matanya ke sudut lain. Setiap kali dia berbual bersama Insyirah, hatinya merasa bahagia. Suasana berubah seakan ada yang indah. Seakan-akan tidak mahu berjauhan daripada gadis itu. Tetapi Azri sedar, ini hanya angan-angan kosong. Dia tidak sewajarnya mengelamun seperti ini. Azri mengintai Harith yang masih berada di dalam. Sekilas raut Insyirah yang bersarung tudung telekung dipandang. Kedua belah tangannya menyeluk kocek baju melayu. Sempat jiwanya berdoa.

‘Ya Allah jika wanita ini merupakan kekasih yang tertulis di Luh Mahfuz untukku, dan apabila dia benar-benar ada dalam hidupku, semoga Engkau mantapkan hati aku dan dia agar dapat kerahmatan yg lebih dari-Mu. Amin.’

“Saya tahu awak ada simpan perasaan terhadap Harith.”

“Tak, saya…”

“Sama macam perempuan lain yang selalunya menyimpan perasaan kat kawan saya tu.” Azri ketawa kecil.

“Siapalah yang tak tertarik pada Harith. Saya pun adakala cemburukan dia.”

Insyirah berkerut.

“Kenapa cemburu? Awak pun seorang lelaki yang patut dipuji. Awak dan Harith pengunjung setia surau. Cuma sampai sekarang saya tertanya-tanya, Harith tu anak yatim piatu ke? Sebab kata ayah, dia selalu berdalih setiap kali ditanya tentang ahli keluarga.”

Insyirah masih tidak mengerti maksud ‘cemburu’ yang dia nyatakan. Azri menggaru kening. Mana mungkin dia akan ceritakan kepada wanita itu tentang diri Harith yang serba pendiam dan pemendam. Ini adalah janji yang terpateri antara mereka. Sama sekali dia tidak akan menceritakan kepada sesiapa. Lelaki itu sering berkata bahawa matlamat hidupnya adalah ingin mendapatkan pengampunan-Nya. Azri menghela nafas.

“Sebenarnya saya cemburu pada dia dalam banyak hal. Saat dia marah, dia mampu memadamkan kemarahannya sekelip mata dengan istighfar. Dia lebih rela untuk menyimpan segala rahsia, masalah, daripada meluahkan. Walaupun hatinya terluka pedih.”

Azri berkerut. Insyirah menelan liur. Masih mendengar. Begitukah Harith? Masya-Allah. Spontan lehernya menoleh kelibat Harith yang sudah bangun melipat sejadah. Suci bersih wajah lelaki itu. Harith,…

“Bertambah cemburu saya pada dia sebab dia selalu menghabiskan masa lapangnya untuk hal yang berguna. Dia tak hiraukan ajakan kawan-kawan dan Harith hanya menyibukkan diri dia dengan cinta kepada Allah SWT juga cinta Rasullullah SAW.”

Gadis itu membisu seribu kata. Azri mengetap bibir. Dia tahu Insyirah sangat mencintai Harith berbanding dirinya. Tidak mengapa, serahkan sahaja urusan jodoh kepada Yang Maha Esa. Insyirah tersenyum sendiri.

“Jadi betullah sangkaan saya. Ayah juga sayangkan Harith seperti anak dia sendiri. Bertuah dan sangat bertuah sesiapa saja yang dapat menjadi kekasih halalnya. Sejuk perut ibu yang mengandungkan dia.”

“Tapi dia tak sama macam orang di luar sana. Mungkin hanya satu dalam seribu. Dia tak suka dipuji, baginya kata-kata pujian tak layak untuknya. Dia tak pernah berbangga diri atas kejayaannya sebab bagi Harith tak ada apa yang perlu dibanggakan.”

Insyirah tersenyum dalam terharu. Sungguh tinggi akhlak Harith. Patutlah begitu sukar dia mahu mendekati Harith. Diajak berkenalan juga lelaki itu keberatan. Dia hanya berdaya mencintai dalam diam tanpa meluahkan sehingga tiba saat yang sesuai untuk dia merisik lelaki bernama Harith itu. Azri betah apa gejolak yang berkocak di jiwa Insyirah…

“Azri.”

Azri memalingkan wajah. Harith dilihatnya baharu turun dari tangga surau. Harith melemparkan senyuman nipis kepada Insyirah. Wanita itu tunduk.

“Ya, Harith?”

“Aku nak balik dah ni.”

“Nak balik? Alamak, kunci motor.” Azri teraba-raba kocek seluarnya. Harith sekadar ketawa. Gugusan kunci kenderaan milik Azri dihulurkan.

“Kunci kau tercicir kat dalam tadi. Insyirah, lama lagi ke awak kat sini? Sekejap lagi, surau nak dikunci.”

Insyirah jadi gugup apabila suara yang bertanya itu adalah milik Harith.

“Tak kut. Saya ke belakang dulu cari mak saya ya. Assalamualaikum,” Insyirah berundur tapak. Entah mengapa jantungnya berdebar-debar. Wajah Harith menyapa bayangan mata. Lekas dia menggeleng.

‘Harith, aku mula mencintaimu kerana Allah SWT. Aku merinduimu kerana-Nya dan

aku menunggumu juga kerana-Nya. Harith, diraga manakah jiwamu bersemayam??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience