BAB 9

Romance Completed 3305

INSYIRAH memanjatkan rasa syukur. Akhirnya Harith bersetuju untuk menikahinya. Cincin di jari membuktikan bahawa mereka akan menyimpulkan ikatan suci dalam masa beberapa hari lagi. Sudah empat bulan mereka bertunang. Layanan lelaki itu terhadapnya juga meyakinkan hatinya. Harith terlalu mengambil berat, dan rajin bertanya khabar. Harith telah membuatnya terpikat. Menggunakan kelembutan dengan senyuman. Seminggu sekali, Harith akan mengalunkan lagu-lagu nasyid di telefon. Menghiburkan hatinya dengan suara merdu.

Hanya satu yang Insyirah kabur. Harith juga pernah cakap bahawa dia akan pergi merantau ke tempat lain setelah semuanya selesai. Apa masksud ‘merantau’ di situ? Entahlah. Apapun Insyirah bahagia.

Kring! Kring! Lekas Insyirah menyahut panggilan.

“Assalamualaikum, Harith.”

“Waalaikumussalam, Irah. Awak tengah buat apa? Saya ganggu?”

“Tak. Saya tengah berehat je.”

Harith merengus seraya memandang langit.

“Lagi lima hari, ‘kita’ akan bernikah. Irah dah sedia?”

“Insya-Allah, Irah sedia. Cuma kad jemputan kahwin, saya belum edarkan. Kata Azri ada pada dia semuanya.”

Harith mengangguk.

“Oh! Ya ke? Agaknya sempat tak saya nak edarkan pada saudara-mara saya?”

“Sempat. Azri dah tolong edarkan kat semua jiran, dan ayah awak. Rasanya ayah awak pun dah edarkan juga kat saudara-mara awak.”

“Alhamdulillah. Terima kasih ya Harith. Awak banyak bantu saya dalam hal ni.”

“Jangan ucapkan terima kasih kat saya. Berterima kasih pada Dia. Sebab Dia yang permudahkan segala urusan. Semoga selepas ni, hidup awak akan lebih bahagia. Selamanya, hingga ke syurga.”

“Akan bahagia kalau seorang lelaki yang manis akhlaknya berada di samping saya. Saya selalu berdoa supaya saya jadi seorang isteri yang selayaknya untuk lelaki seperti awak.”

Harith terdiam sekejap. Papan kekunci dibiarkan begitu sahaja tidak bertekan. Harith merenung skrin komputer yang menyala. Suatu hari Insyirah akan memaafkannya. Walau dia tahu dia tidak wajar dimaafkan. Atau mungkin dirinya tidak termaafkan. Jika benar perkara itu terjadi, Harith hanya meminta kepada-Nya agar Insyirah mengerti kedudukannya. Dia tetap akan memohon maaf berkali-kali sekalipun Insyirah enggan mengampunkannya.

“Saya agak risau seandainya cinta ni tak kesampaian. Selama lima hari ni, macam-macam perkara boleh terjadi. Lambat rasanya untuk mencecah ke angka lima. Waktu yang berdetik terasa perlahan. Seolah-olah sedang merangkak.” Dia bangkit seraya bercekak sebelah pinggang. Bagasi pakaiannya sudah dikemas rapi. Harith mencapai bingkai gambar yang terletak di atas rak buku. Fotonya dan Azri dikeluarkan. Kepingan objek itu akan dibawa bersama.

“Ini dugaan. Jangan tunggu. Kalau tunggu lagi terasa lama. Serba sedikit saya pun risau dan sedih.”

“Sedih?”

“Ya. Sedih selepas ni kehidupannya saya akan berubah. Bukan lagi tinggal serumah dengan ayah dan mak. Ayah saya kan wali. Di saat dia bersalam dengan awak nanti, dan lafaz akad disebut jelas, terlepas la saya dari tanggungan dia. Tanggungjawab mak dan ayah akan beralih tangan.”

Jiwa Harith tersejat. Dia tiada keturunan yang pasti. Lelaki itu memejam mata. Mungkin ini malam terakhirnya berbual bersama Insyirah. Seorang wanita yang bukan tunangnya, bukan juga bakal isterinya. Ya Allah! Besar cubaan ini. Berat!

“Irah, andai kata ada sesuatu yang berlaku yang menyebabkan kita terpaksa berpisah, adakah awak akan menyalahkan takdir-Nya?”

Insyirah tunduk. Bajunya dicengkam. Mengapa Harith bertanya begitu? Apakah lelaki itu masih ragu-ragu dengan perasaannya?

“Kalau itu yang menambahkan iman di dada saya, saya takkan sama sekali memangkah atau menidakkan takdir Allah.”

Harith tersenyum. Hatinya lega mendengar jawapan yang dimaklumkan oleh Insyirah.

“Syukur. Saya harap saya pun begitu. Apa jua sekali yang berlaku, saya hanya boleh cakap tak semua cinta itu akhirnya akan bersatu. Kita berusaha, sebaliknya bukan kita yang tentukan. Hari pernikahan semakin menjelang. Irah, boleh tak kalau saya nak tahu apa doa yang selalu awak minta semasa awak belum bertemu jodoh awak?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience