BAB 11

Romance Completed 3305

SEMUA undangan sudah menanti di surau. Insyirah yang berbaju kurung putih mutiara duduk di samping ibunya. Mak Timah daripada tadi diam membisu. Tidak ceria, malah seakan ada sesuatu. Tapi bagi Insyirah itu perkara biasa. Setiap ibu pasti merasai perasaan begitu. Pula tu, dia seorang anak tunggal. Insyirah mencapai tangan Mak Timah.

“Mak jangan la sedih. Hari ni kan hari istimewa untuk kita semua. Irah tetap anak mak.”

Mak Timah sekadar menyentuh kepala anaknya yang sudah kemas bertudung. Bukan itu makna sayunya. Insyirah masih belum tahu bakal suaminya yang sebenar. Insyirah mendongak menatap jam di dinding. Tepat jam sebelas pagi. Mana Harith? Tiba-tiba deruman kereta Perodua Perdana masuk ke pekarangan surau Al-Mujahidin. Insyirah terasa lega. Itukan kereta Azri. Bererti Harith si pengantin lelaki sudah sampai.

Dari dalam, anak matanya tertangkap sepasang suami isteri yang sudah separuh umur. Ibu bapa Harith! Insyirah bertambah bersyukur. Alhamdulillah. Lama-kelamaan keningnya hampir bercantum tatkala yang keluar dari perut kereta itu bukan Harith. Tapi Azri! Mengapa???

“Mak…”

Spontan Mak Timah membuka sampul kad jemputan. Insyirah ambil. Diteliti nama yang ternukil di atas objek keras itu. Nur Insyirah dan Muhammad Azri Zulkifli.

“Apa semua ni, mak? Irah bertunang dengan Harith. Mana Harith?”

“Irah tak pernah bertunang dengan Harith. Sebenarnya selama ni Irah bertunang dengan Azri, sayang.”

Insyirah mula berlinangan air mata. Mengapa?? Nafasnya turun naik. Dadanya bagaikan tersumbat. Terkejut.

“Mak, mak cakap apa ni? Mak dan ayah tipu Irah?” Matanya dilirikkan pada Azri yang juga memandang ke arahnya. Sahabat Harith itu menayangkan air muka yang begitu mendung. Insyirah hairan. Mak Timah diam membatu.

Fikirannya buntu tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan. Anaknya lantas menyalakan semula telefon bimbit yang tadinya dimatikan. Konon tujuannya buat begitu tidak mahu majlis terganggu.

Insyirah menyeka mutiara yang mula menitis. Ada enam pesanan ringkas yang dikirimkan oleh Harith. Menggeletar jarinya menekan punat…

Peti pertama:

“Assalamualaikum Nur Insyirah. Maafkan atas segalanya. Bukan sengaja, malah tidak terlintas langsung di fikiran untuk menyakiti awak. Di sini saya ingin meluahkan perkara yang pastinya awak belum tahu….”

Peti kedua:

Hakikatnya cukup perih. Hidup saya teramat pahit untuk saya hisap segala kisah walau ini bukan kehendak sendiri. Saya harus terima bahawa ini merupakan takdir. Jangan ditanya ke mana Harith? Siapa orang tuanya?. Jangan ditanya ke mana ibu bapa saya kerana saya juga keliru dan tidak tahu ke mana meraka. Andai mereka masih hidup saya berharap mereka insaf dan bertaubat. Jikalau mereka sudah tiada, saya hanya mampu berdoa agar roh mereka sentiasa di bawah lindungan Illahi. Semoga Dia mengampunkan setiap satu dosa yang telah mereka perbuat selama ini. Insyirah, nanah yang selama ini saya pendam, sakit yang mendalam tak berdaya rasanya untuk dibendung. Ia ibarat pisau yang merobek luka bertubi-tubi.

Peti ketiga:

Saya diusir dan ditinggalkan di jalanan. Masa kecil saya meringkuk dalam bungkusan selimut kusam untuk melawan kedinginan. Saya menangis mencari susu ibu tetapi tiada siapa yang peduli. Dua puluh tujuh tahun saya hidup, berdiri, bersama nada pujukan yang menjelaskan ‘aku adalah manusia’. Bukan syaitan, bukan haiwan. ‘Aku ciptaan Tuhan Yang Maha Satu sama seperti insan di luar sana yang turut makan dan minum. Walaubagaimana pun, mereka di luar tetap memanggil saya sebagai anak yang hina. Ada yang mengatakan diri saya penuh dosa dan saya makhluk pertama yang bakal ke neraka. Diri ini dihukum atas hal yang tidak sama sekali saya lakukan. Suram dan kelam jalan saya. Terasa jauh, mahu menghindari dari hidup mereka yang tidak sudi memandang saya lagi.

Peti keempat:

Kedewasaan mengajar saya untuk berdiri sendiri. Diam membisu menatap hari demi hari. Merangka mimpi bersama getir di cakrawala pagi. Ya, saya hanya berhidup sendiri. Ada kala saya terasa bagaikan menulis cerita hati sendiri dalam kertas lusuh penuh noda. Apapun, saya setuju dengan pendirian jiwa saya. Sesiapa pun tetap sama dan tiada beza. Mereka hidup, saya juga hidup. Kelak, semuanya akan merasai apa itu ajal. Setiap insan tetap akan berjumpa Tuhan Yang Mencipta Sekalian Alam. Dan waktu itu kita sama-sama akan melalui titian As-Sirat, untuk memiliki syurga atau neraka. Sungguh, saya tidak tahu di mana diri saya kelak. Tapi yang pasti saya akan berusaha untuk memiliki yang terbaik buat diri saya sendiri. Mudah-mudahan Allah SWT memahami usaha saya untuk mengecapi reda-Nya.

Peti kelima:

Seperti lirik lagu- Wajah Suci yang saya pernah dendangkan untuk awak,…

‘Kaku terdampar di lembah hina, apa dosa si kecil itu?

Belum sempat dia memanggil ibu, sampai hati engkau dizalimi,

Oleh mereka yang tiada simpati. Tubuh kecil itu mahu dihargai dihormati,

Dimakamkan dia bukan dibuang sesuka hati.

Dimanakah nilai ehsan insani. Apa dosanya si kecil itu?

Kerana kasih tersasar tujuan hidup hingga lahir zuriat yang bukan pilihan.

Buntu tiada jalan penyelesaian, lalu si anak dibuang di jalanan.’

Begitulah diri saya yang tidak pernah mendapat belaian seorang ibu. Di mana ibu? Ia masih menjadi ‘makanan’ saya setiap detik. Insyirah, maaf. Mohd Harith ini bukan berdarah bersih. Dia selalu anggap bahawa dirinya tidak layak mendapatkan seorang gadis yang kuat pekertinya. Saya tiada bapa yang sah. Tiada juga bapa yang beragama. Saya tidak layak menjadi wali, pewaris, dan suami. Saya tiada keturunan. Bahkan saya sifar semata-mata. Hidup saya cuma memohon dan memohon keampunan. Mahu menjadi hamba yang taat pada perintah-Nya. Sukar menggalas status seperti saya. Harap Nur Insyirah memahami apa yang saya hadapi.”

Peti keenam:

“Azri sebaik-baik jodoh. Terimalah dia seorang lelaki yang beriman. Yang sempurna keturunannya. Yang boleh menjadi suami, imam, ayah, wali buat anak-anak, dan pewaris harta kepada orang tuanya. Darahnya akan kekal mengalir dalam keadaan suci. Bukan seperti saya yang memberi ‘kekotoran’ pada generasi saya kelak. Jaga diri, saya doakan semoga awak menjadi seorang wanita solehah. Sekian. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”

Tersedu-sedu Insyirah menghayati sejarah Harith. Seorang lelaki yang wujud atas perbuatan zina tetapi tetap bertaqwa kepada-Nya demi mendapatkan keampunan. Air mata Insyirah menjirus-jirus pipi. Ya Allah! Ternyata inilah salah satu fenomena yang sering berlaku di zaman kini. Anak yang tidak berdosa dibuang begitu sahaja. Sepanjang umur, akan diejek dan dipandang serong oleh masyarakat. Tiada siapa yang sudi dekat. Allah!

‘Harith, saya hanya boleh cakap yang awak tetap beruntung. ‘Mak’ awak tetap bertuah kerana melahirkan anak seperti awak. Dosa yang mereka kerjakan, awak pula yang bersungguh-sungguh menjadi hamba yang cemerlang. MasyaAllah.’

Insyirah menekup bibir. Mutiaranya gugur tidak berhenti. Jadi, Harith sengaja memancingnya. Bukan mudah hidup dalam jiwa Mohd Harith. Bukan perkara yang remeh sebagai seorang insan yang dilahirkan tanpa ikatan halal kedua ibu bapa. Siapa kata senang bernafas di atas status anak luar nikah?? Insyirah menangis sendirian. Itulah Harith yang asyik berasa kerdil serta tidak layak.

‘Saya akan doakan awak, Harith. Terima kasih atas usaha awak menyatukan saya dan Azri. Ya Allah, Engkau lindungilah Harith.’

Dagu Insyirah didongakkan. Azri tersenyum. Gelang pernikahan disarungkan. Tidak sedar bahawa lafaz akad telah pun lancar. Insyirah mengizinkan si suami mengucup dahinya. Andai ini yang terbaik, dia terima dengan penuh rasa kesyukuran. Azri menyeka air mata yang luruh di pipi Insyirah.

“Abang janji akan jaga isteri abang dengan penuh keikhlasan. Abang bersyukur akhirnya kita disatukan oleh-Nya.”

Insyirah mengangguk. Tangan Azri dikucup lembut.

“Irah akan jadi bidadari abang selama-lamanya. Abang,…”

“Syy. Itu kenyataan yang kita semua kena terima. Cuma kita tiada kuasa untuk hukum dia.” Tubuh isteri didakap. Insyirah tunduk. Fikiran Azri menerewang membayangi ke mana jejak Harith selepas ini?? Apakah memang tiada penyelesaian? Raut Harith yang sedang tersenyum menerjah ruang fikiran.

‘Ya Allah, Engkau peliharalah sahabatku. Berikan ketabahan untuknya dalam menempuhi ujian hidup.’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience