BAB 5

Romance Completed 3303

Insyirah mematung. Wajah Harith dipandang. Kerana hatinya lebih memihak pada nama Mohd Harith Abdullah. Insyirah menghela sebaris nafas yang agak berat.

“Pertama, sebab waktu tu saya masih belajar. Jadi saya tak nak pelajaran saya terganggu selain saya belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri. Kedua, soal hati.”

“Kenapa belajar dijadikan alasan? Azri juga masih belajar sekarang tapi saya percaya dia boleh jadi seorang suami. Lagipun dah lama dia nak awak jadi penghuni tetap di hati dia.” Harith mula bangkit seraya mengambil parang untuk menebas semak samun yang subur memacak. Insyirah memerhatikan beberapa orang lagi yang leka melakukan kerja itu. Ada juga yang bergotong-royong mengutip sampah sarap di keliling longkang.

“Cara dia aje cukup meyakinkan. Apa lagi yang awak tunggu?” Harith mengelap peluh yang menitik.

“Saya tunggu awak. Kalau awak tak keberatan, saya nak kenal dengan ahli keluarga awak.”

Harith terpatung. Benarkah apa yang dia dengar? Bermakna Insyirah benar-benar ingin dia menjadi imam buatnya. Harith terkedu. Kerjanya semakin lambat. Parang ditangan digenggam. Hatinya berterima kasih kerana Insyirah sudi berkongsi dalam rasa ini dan membuka pintu hati untuknya meskipun gadis itu belum tahu siapa dirinya yang sebenar.

“Irah, awak ni memang lain, kan daripada perempuan lain? Kali pertama seorang wanita nak masuk meminang seorang lelaki. Saya nak beritahu awak awal-awal yang kita tak mungkin bersama. Bukan saya tak percayakan pada cinta atau perkahwinan tapi…” Madahnya tergantung. Harith menggaru kepala yang tidak gatal. Wajah Insyirah ditatap lama.

“Saya tak boleh.”

Wanita berwajah bujur sirih itu meletuskan tawa kecil. Nampaknya Harith juga malu. Tidak mengapa, dia suka watak lelaki seperti Harith.

“Apa yang tak boleh? Kita merancang, dan berusaha. Yang lain-lain tu, biarlah Dia yang susunkan.” Insyirah tersenyum nipis. “Atau awak dah ada pilihan hati awak sendiri yang mungkin saya tak tahu. Kalau betul, saya akan tarik semula niat saya.”

“Tak. Bukan tu maksud saya. Awak tak kenal siapa saya. Saya tak nak menyusahkan awak sekeluarga. Saya datang kat sini pun untuk menuntut ilmu. Saya nak mencari rahmat-Nya. Saya tak nak lukakan perasaan sahabat saya. Dan satu je saya nak ingatkan kat awak. Jalan hidup kita tak sama.”

Insyirah berkerut lebat. Apa makna barisan ayat terakhir yang diucapkan oleh Harith? Apa yang tidak sama? Mereka seagama, saudara sesama Islam, malah watak Harith selalu disanjung tinggi oleh penduduk taman. Insyirah menarik nafas. Matahari di langit kelihatan redup sahaja. Tidak terik sekana sehingga menggigit kulit. Alhamdulillah.

“Harith, saya tahu awak merendah diri. Apa yang tak samanya? Setiap kali masuk waktu solat, awaklah bilalnya. Setiap kali solat berjemaah, awaklah yang selalu berdiri di saf depan. Kalau Pak Imam tak ada, awaklah yang selalu menggantikan tempat dia. Dan selalu juga awak tolong orang ramai buat kerja-kerja amal. Semua orang kagum dengan awak.”

“Itulah silapnya mereka, Irah. Dia orang terlalu memandang tinggi pada saya sedangkan saya ni bukannya ada nilai. Saya tak layak diberikan apa-apa pangkat, tak layak untuk segala-galanya.” Harith terus menebas. Memikirkan statusnya, dia terasa jijik. Tiada lagi perkara yang boleh dia lakukan selain memohon berjuta-juta keampunan kepada Yang Maha Pengampun. Harith tidak pernah kenal siapa ‘ibu’ yang telah mewujudkan dirinya. Tidak pernah tahu asal usul bapanya.

“La, kenapa awak anggap macam tu? Tak baik kita caci diri kita sampai macam tu sekali. Bersyukurlah dengan kata-kata kebaikan yang orang lain berikan kat kita.”

Tergamam lelaki itu dibuatnya. Tidak semudah jangkaan Insyirah. Dia tidak wajar menerima bait-bait bicara orang lain terhadap kebaikan yang dia laksanakan. Harith bercekak sebelah pinggang. Entahlah. Bagaimana kelak kehidupannya selepas ini? Dia masih runsing. Insyirah terlalu mengharapkan kasihnya dibalas. Demi persahabatan, Harith enggan melukakan Azri yang telah lama menyimpan rasa cinta terhadap Insyirah. Satu-satunya sahabat yang sudi berkawan dengannya sekalipun statusnya kotor.

“Irah, apa kata awak balik dulu. Saya nak siapkan kerja. Kat sini banyak nyamuk.” Dia lekas mengelak. Harith meninggalkan Insyirah yang sarat dengan persoalan di kepala. Aneh sikap Harith. Andai keanehan itulah yang membuatkan diri Harith berbeza, bererti benarlah pada Insyirah bahawa itu dinamakan cinta yang dia mahukan. Insyirah terus membiarkan Harith menguruskan semak samun yang menebal. Insya-Allah jika ada peluang, bertemu lagi…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience