BAB 10

Romance Completed 3303

Perempuan itu melabuhkan punggung di birai katil.

“Saya selalu berharap dan berdoa semoga Dia pertemukan saya dengan jodoh yang terbaik untuk saya. Yang mampu membimbing saya ke jalan yang lurus. Hanya itu, hanya setakat itu yang saya minta. Saya nak yang terbaik. Alhamdulillah, jodoh itu semakin hampir dengan saya. Saya rasa beruntung. Syukur tak terhingga.”

Harith menelan liur. Halkumnya terasa kesat. Ngilu tidak terkata. Begitu mendalam kasih Insyirah terhadap apa yang diimpikan. Insyirah tersenyum mekar di corong telefon. Cincin di jari manis diusap-usap.

“Memandangkan kita akan berkahwin tak lama lagi, saya juga tak lupa untuk amalkan satu doa yang pensyarah saya ajarkan sewaktu di kampus. Saya amalkan sehingga ke hari ini.”

Lelaki itu sekadar menanti. Bagaimana bunyi doa itu? Insyirah mengetap bibir. Berdebar-debar nadinya. Allahuakbar!

“Boleh awak ajarkan untuk saya juga?” Sengaja Harith menyoal. Ingin tahu.

“Ya Allah Ya Rabbul Izzati, telah Engaku labuhkan mahligai cinta di hatiku maka jadikanlah cinta ini sebagai penawar dalam kehidupanku. Telah Engkau tanamkan benih cinta di kalbuku maka jadikan bunga-bunga cinta sebagai penghias kisahku. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, aku titipkan cinta ini berhiaskan keimanan. Maka Engkau perindahkan la ia dengan ketaqwaan. Kuatkan lah diriku dengan kepasrahan dan wujudkanlah ia bersama ikatan yang Engkau redai. Ya Allah Ya Muhaimin Ya Salam, jika cinta ini menghartarku pada darjat kekasih Mu, maka jagalah cinta di jiwa ku ini agar tetap pada berkat-Mu. Jika cinta ini menjadi mahar cinta ku pada-Mu, maka perelokkanlah cinta kami besertakan kesetiaan. Ya Allah Ya Mujibu da’awat, kabulkanlah impian cinta kami. Satukan kami dalam indahnya pernikahan agar kami setia hingga ke gerbang syurga-Mu. Amin Ya Rabbal Alamin.”

Jejaka itu meraup muka. Indahnya doa itu. Alangkah indahnya jika dia seorang insan yang dilahirkan dalam sebuah keluarga. Tubuhnya lemas seketika. Saat dia bersandar, raut Azri terbayang di layar mata. Sahabatnya berhak mendapatkan Insyirah. Senyuman yang terpalit umpama tangisan perpisahan. Permainan dunia tentang cinta ini memang rumit.

“Semoga awak dan ‘lelaki bertuah itu’ dapat bersama-sama menuju ke syurga anggun milik-Nya.”

Insyirah menghela nafas.

“Awak pun sama. Semoga awak dan ‘wanita bertuah itu’ dapat menghidup aroma syurga. Insya-Allah. Kita sama-sama usahakan untuk rumah tangga kita ya, Harith.”

Seminggu kemudian…

Harith mengemaskan pakaian yang tersarung di tubuh. Butang baju diketip satu per satu sambil menunggu Azri yang akan bergelar ‘raja sehari’ datang ke rumahnya. Selepas ini hanya salam perpisahan yang akan diucapkan.

“Assalamualaikum, Harith.”

Lelaki itu memandang ke pintu kamar yang sedia terbuka. Azri sudah tercegat di situ. Segak penampilan rakannya yang seorang itu. Kemas penampilannya.

“Waalaikumussalam. Azri, kau datang dengan siapa?”

“Aku datang dengan ummi dan walid. Dia orang tengah tunggu kat luar. Harith, betul ke dengan keputusan kau?”

“Ya. Aku yakin. Jaga Insyirah baik-baik. Aku terpaksa berbohong sebab selepas ni dia akan tahu siapa aku. Tak mustahil satu taman ni pun akan tahu. Aku tak boleh tinggal kat sini lagi. Nah, ini…” Harith mengeluarkan sampul coklat dari poket bagasi lantaran dihulurkan kepada Azri.

“Ambil la duit ni. Aku tak sempat nak belikan hadiah untuk perkahwinan kau. Ampunkan atas salah silap aku. Terima kasih banyak sebab sudi terima aku walaupun aku ni bukan sahabat yang baik.”

“Kau nak pergi mana lepas ni?”

Harith menggeleng.

“Aku cuba nasib je dulu. Kut la ada tempat baru yang boleh aku singgah. Apapun tahniah. Semoga bahagia.”

Azri lantas memeluk sahabatnya. Pengorbanan Harith terlalu berharga. Tidak sangka apa yang dialami Harith terlalu sukar. Pedih dan pahit. Seumur hidup, akan menelan kepahitan yang semakin kelat berpuncakan kesilapan manusia yang tidak pernah takut dengan hukum Allah SWT.

“Aku akan doakan kesejahteraan kau. Takkan ada lagi kawan yang akan buat aku rasa cemburu.”

Harith ketawa kecil. Bahu Azri ditepuk-tepuk.

“Tak ada apa yang patut dicemburukan. Aku lagi cemburu kat kau, Ri.”

“Aku kagum dengan kau sebab muka kau yang selalu tersenyum. Tetap bersemangat padahal aku tahu ramai yang sedang berbisik-bisik tentang kau. Aku tak tergamak nak pandang jijik kat kau. Jujur aku tak sampai hati. Aku takkan pandang jijik sebab aku tahu kawan aku ni macam mana. Mudah-mudahan Allah SWTmerahmati kau, Harith.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience