BAB 2

Romance Completed 3305

Insyirah meletuskan tawa geli hati.

“Mak, jodoh tu kan kerja Dia yang aturkan. Andai kata Harith bukan jodoh Irah, Irah terima. Yang penting Irah hanya berdoa supaya suatu hari nanti akan dipertemukan jodoh yang terbaik. Itu aje. Irah hanya berusaha. Mana la tahu, Harith dah ada buah hatinya sendiri. Takkan Irah nak paksa?”

Melalui air muka Insyirah, dia benar-benar ikhlas walau hatinya akan cemburu jika Harith sudah dirisik orang atau lelaki itu sendiri merisik anak dara orang lain. Mak Timah tersenyum nipis. Moga-moga termakbul doa Insyirah. Tetapi bagaimana pula dengan Azri, sabahat karib Harith yang seorang itu? Pernah sekali lelaki itu merisik anaknya. Namun Insyirah menolak kerana alasan masih belajar. Itu kisah setahun yang lepas. Jawapan yang lapuk itu yang mampu dia lemparkan.

“Tahun lepas, Irah tolak pinangan Azri. Tiba-tiba hari ni sangkut pada kawan baik dia pula. Apa la agaknya perasaan Azri nanti.”

“Mak, Azri memang seorang lelaki yang baik. Tapi ada sedikit perbezaannya dengan Harith. Irah tolak dia bukan sebab benci. Irah pun tak tahu kenapa Irah tertarik pada Harith. Allah aje yang tahu.”

“Assalamualaikum!” Pak Daud memberi salam di muka pintu.

“Waalaikumussalam.” Serentak Mak Timah dan Insyirah menyahut. Lekas Insyirah ke depan. Terkedu seketika tatkala melihat imej Harith dan Azri di situ. Matanya dikalih ke arah bapanya yang sedang tersenyum panjang. Nasib baik tudung di kepala belum dia tanggal.

“Ini, ayah sengaja ajak Harith dan Azmi makan tengah hari kat rumah. Kesian dengan dia orang, penat mengemas surau dari pagi sampai tak makan.”

Azri tergelak kecil. Sementara Harith tersenyum seraya tunduk menekur lantai. Insyirah mengangguk. Bapanya selalu sumbangkan kejutan begitu.

“Jemputlah masuk. Ayah, Harith dan Azri makan la dulu.”

“Kenapa tak makan sekali?” soal Azri spontan.

“Tak apa. Awak berdua kan tetamu. Jadi saya kena la hormat.” Insyirah beredar. Membiarkan bapanya dan dua jejaka muda itu menikmati juadah yang telah dihidangkan di ruang makan. Mak Timah berkerut.

“Siapa yang datang?”

“Harith dengan Azri.” Perlahan Insyirah menjawab. Nadanya dikawal.

“Baru cakap fasal diaorang, tup-tup muncul pula,” ujarnya diselangi tawa gurau. Insyirah menjongket bahu.

“Mak pergi la temankan ayah kat depan. Irah makan kat dapur je.”

“Iya la. Mak pergi ke depan dulu ya.”

“Baik, mak.”

Mak Timah ke ruang depan, Insyirah pula ke rak pinggan mangkuk. Pinggan kaca lutsinar diambil, mahu mengisi nasi.

“Kenapa tak makan kat depan?” Satu suara lelaki menyentakkan Insyirah yang membelakangi si gerangan yang menyoal. Insyirah memaling sedikit. Harith! Lelaki itu sedang membasuh tangan di singki. Alamak! Terlupa pula mahu letak bekas basuh tangan di atas meja.

“Tak apa. Saya makan kat sini je dah okey. Maaf kalau lauk tak sedap. Saya baru belajar masak.”

Harith bersahaja. Seperti kebiasaan rautnya. Tidak senyum, tidak ketawa. Matanya melilau ke luar, memerhatikan burung di langit.

“Makan apa-apa pun kalau tengah lapar, semuanya akan jadi sedap. Makanan tu kan salah satu rezeki. Nikmat yang Allah bagi, Dia suruh kita rasa. Terima kasih sebab sudi masak lauk yang menyelerakan.”

“Sama-sama.”

Sebaik sahaja Insyirah mendongak, kelibat Harith sudah tiada. Segan berhadapan dengan lelaki itu. Insyirah menelan liur. Hatinya mula berbicara, mula menjelaskan bahawa dia sedang menanti Harith untuk membimbingnya dengan ketulusan yang ada pada lelaki itu. Mengajarnya menggunakan kesabaran sehingga kelazatan imannya terhadap Dia semakin mendalam. Insya-Allah.

‘Aku tahu dalam hidup ni, aku tak ingin malah tak berdaya hidup sendiri. Aku berharap semoga Allah menganugerahkan kepadaku seorang imam untuk berkongsi segala perkara dan menerima seadanya diriku beserta keluargaku.’ Benaknya berbisik.

“Malam ni awak pergi surau?”

Lamunan Insyirah bertempiaran entah ke mana. Azri di situ mengangkat sepasang kening. Ada apa malam ni di surau? Allah! Insyirah mengetap bibir.

“Oh! Ceramah Maulidul Rasul. Insya-Allah saya pergi. Awak pergi juga?”

Azri menggaru-garu kepala. Bibirnya tersenyum mekar. Matanya masih memandang Insyirah. “Wajib pergi. Tak apa la kita jumpa malam nanti. Saya pergi makan dulu ya.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience