BAB 1

Romance Completed 3303

Laungan azan Zohor dari surau berhampiran menyentakkan Insyirah yang sedang sibuk di dapur menyediakan juadah tengah hari. Senyumannya meleret hingga ke telinga. Hatinya tenang setiap kali mendengar suara lelaki itu. Sudah lima bulan Harith menjadi penghuni tetap di Taman Ikhsan. Semua jiran tetangga memuji jejaka itu kerana budi bahasa dan akhlaknya. Insyirah mengangkat dulang berisi minuman menuju ke ruang makan.

“Dah masuk waktu zohor ni. Ayah ingat nak pergi surau dulu. Lepas balik dari surau baru ayah makan.” Pak Daud mula menyarung kopiah di kepala. Insyirah mengangguk.

“Okey. Kalau macam tu, Irah tunggu ayah kat rumah. Nanti kita makan sama-sama.”

“Tak apa, Irah dengan mak makan la.”

Insyirah mengiringi langkah bapanya sehingga ke muka pintu yang luas terbuka. Seruan azan masih berkumandang. Jiwa perempuannya terasa aman. Begitu lembut suara Harith. Namun sukar baginya untuk mendekati lelaki itu. Harith bukan calang-calang lelaki. Dia seorang pendiam, sangat menghormati orang lain, dan selalu merendah diri. Apabila dipuji, Harith akan menidakkan. Insyirah menarik nafas dalam. Doa dibaca sebaik sahaja azan habis dilafazkan.

“Irah,” Mak Timah menepuk bahu anak perempuannya.

“Ya, mak?”

“Irah tenungkan apa? Mak tengok setiap kali azan kat surau berkumandang, Irah mesti tercegat kat pintu ni.”

Insyirah melentokkan kepalanya di bahu si ibu.

“Tak ada apa. Irah cuma kagum dengan empunya suara tu.” Mata bundarnya terbayang raut Harith yang mencairkan hati. Bukan kerana ketampanan tetapi kerana pekertinya. Insyirah menghela sebaris nafas.

“Maksud Irah, Harith?”

Insyirah mengangguk. Wajah ibunya ditatap lama.

“Harith bukan lelaki sembarangan. Tapi Harith tak ada keluarga ke mak? Selain Azri kawan karib dia tu. Irah pernah cuba nak berkawan dengan dia. Susah rasanya nak kenal dengan Harith.”

Mak Timah fasih perasaan anaknya yang telah lama memendam perasaan terhadap lelaki muda yang baharu lima bulan menjadi ahli taman itu. Ya, sikap Azri dan Harith sangat ketara. Azri lebih ramah mesra. Manakala Harith hanya ramah dengan kaum lelaki. Jarang sekali melihat dia ketawa. Apalah agaknya yang Harith simpan dalam rahsia dirinya?

“Dia segan kut. Irah pun faham kan, lelaki pemalu ni macam mana orangnya. Kata ayah, kampung Harith jauh sangat. Itu yang dia jarang balik sana. Lagipun dia masih belajar. Sibuk.”

“Iyalah. Betul juga tu. Ayah selalu cerita fasal Harith. Lelakinya rajin, suka tolong orang. Irah sendiri nampak. Kat surau dia antara orang yang paling setia dengar tazkirah agama. Bertuah mak ayah dia, kan?”

Mak Timah tersenyum. Bukan main Insyirah memberi kata pujian buat Harith. Bahu anaknya dipaut. Bersama-sama ke dapur menguruskan sedikit hal yang belum beres. Insyirah mencapai kain kering untuk mengelap pinggan. Sesekali wajah ibunya dipandang.

“Mak pernah jumpa mak ayah Harith?”

“Tak pernah, Irah. Nampak gaya Irah, macam berkenan sangat je dengan Harith tu.” Sengaja Mak Timah mengusik. Anaknya sekadar ketawa kecil. Siapalah yang tidak tertarik dengan peribadi seorang lelaki yang taat pada agama. Insyirah menyusun pinggan mangkuk yang sudah dilap sebelum diangkat ke meja makan.

“Tak ada la mak. Irah cuma tanya. Kalaupun Irah ada perasaan kat Harith, takkan mak tak teringin nak ada menantu macam dia? Yang boleh jadi imam, dan suami yang baik. Semua perempuan pun akan mengidam nak dapat ketua keluarga seperti Harith.”

Insyirah merenung ke luar tingkap. Harith lelaki soleh yang telah merajut perasaan wanitanya untuk sebuah penantian. Insyirah sedar, dirinya terlalu banyak kekurangan. Dia amat memerlukan seseorang yang lebih halus untuk menaklukkan hatinya yang tergas juga yang tertangguh demi menguatkan hatinya yang lemah dengan izin-Nya. Ya, dia tahu terlalu banyak yang harus dia perbaiki. Mudah-mudahan ada rezeki, dia mahu Harith menjadi pendamping hidupnya. Bagaimana? Serahkan pada Yang Maha Berkuasa. Insyirah memejam mata. Tangannya kembali mengelap perkakas makanan yang sudah dicuci.

“Biasa la Irah. Lelaki macam Harith tu akan jadi rebutan kaum Hawa. Tapi kalau dia bukan jodoh Irah, macam mana?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience