BAB 7

Romance Completed 3303

“Siapa aku untuk kau kelaskan sebagai ‘sempurna’? Aku tetap seorang anak terbiar yang dilahirkan daripada hubungan yang tak direstui-Nya. Aku tak tahu asal usul aku. Doa ajela sebagai teman sepanjang hayat aku.” Harith merapatkan kelopak mata. Nafas berat dileraikan. Azri turut pilu. Kasihan Harith, akibat perbuatan orang yang tidak bertanggungjawab, Harith terpaksa menganggung segala jerih payah kehidupannya bersama gelaran yang dipandang jelek oleh orang di sekeliling. Sekarang, barulah Azri tahu puncanya mengapa Harith beria-ia merahsiakan hal peribadinya.

“AWAK ni tak serik-serik, kan?” soal Harith disusuli senyuman di wajah. Insyirah masih lagi menyediakan bekal makanan untuknya. Surat khabar yang menjadi pembalut bekas makanan itu ditenung beberapa minit. Kes pelajar sekolah menengah mengandung anak luar nikah. Langsung hilang selera Harith. Jiwanya sentap melihat kejadian begitu terpampang di berita.

“A…”

“Jangan guna nama ayah awak untuk awak letakkan kat alasan ni.”

Insyirah menghela nafas. Harith sekadar gelak. Perempuan itu menjongket sepasang keningnya.

“Bila saya boleh jumpa mak ayah awak?”

Harith terdiam.

“Dia orang jauh sangat. Awak ni tergesa-gesa aje. Kenapa?” Harith berdalih.

“Tak elok lambat-lambatkan benda baik. Tapi saya tak paksa awak.”

“Ooo.” Harith menganguk-angguk. Pen di jari dipusing-pusing.

“Err, esok saya dan Azri akan datang ke rumah awak. Kami akan bincang dengan Mak Timah dan Pak Daud. Sekarang, awak ambil balik bekal ni.” Harith menolak apa yang diberi. Bukan niatnya mahu menyakiti tetapi…

Insyirah menggeleng. Tak mahu! Dia melabuhkan punggung di kerusi batu bersebelahan meja batu Harith. Khusyuk lelaki itu menyelak buku Tafsir Hadis. Harith hanya tunduk. Selepas pulang dari kuliah, dia terus singgah ke surau menelaah ilmu fardu kifayah yang diadakan di surau itu. Dibantu oleh dua orang tenaga pengajar iaitu Ustaz Jamil dan Ustaz Farid.

“Awak makan la. Tak makan sekarang, makan la kejap lagi. Tadi Azri kata dari pagi awak tak makan. Nanti sakit, susah pula.”

Harith berhenti daripada menyelak buku yang dibaca.

“Apa pula tujuan awak kali ni?” Harith menoleh kiri dan kanan. “Ayah awak tak ada kat sini.”

“Saya tahu. Kita kat sini bukannya berdua. Tu…” Bibirnya dijuihkan ke muka-muka yang dia kenal. Alahai, semuanya jiran setaman.

“Ramai lagi. Kita tak duduk rapat-rapat. Saya duduk jauh dengan awak. Saya…”

“Boleh saya tanya awak sikit?” soal Harith memintas ayat Insyirah. Perempuan itu mengangguk.

“Kenapa awak suka saya?”

“Perlu ke saya jawab?”

Harith angkat bahu.

“Tak ada jawapan kenapa saya sukakan awak. Yang saya tahu, sejak awak datang kat sini lagi saya dah mula rasakan sesuatu. Saya nak seorang lelaki yang boleh ajar saya sebuah cinta dengan sabar. Bawa saya dalam keindahan agama Allah. Saya nampak awak ada ciri-ciri imam yang sebenar. Awak jaga segala-galanya.”

Semertaan lelaki itu tersengih halus. Entah mengapa perkataan ‘imam’ umpama menggeletek hatinya. Insyirah berkerut. Pelik!

“Imam?” Harith menarik nafas.

“Irah, saya pun teringin nak dapatkan kekasih untuk saya bertahan. Untuk kebaikan, beristiqamah, ibadah, pendek kata semuanya. Tapi saya ni insan lemah. Tak tahu apa kesudahan hidup saya.”

‘Keadaan diri saya membuatkan saya terbeban sangat. Ya Allah hanya kepada-Mu aku memohon pertolongan. Hanya kepada-Mu aku merayu agar Engkau permudahkan segalanya. Wanita ini terlalu sempurna. Dia tidak layak untukku. Apakah menyatukan kembali Azri dan Insyirah adalah langkah terbaik untuk aku mendapatkan pahala-Mu?’

“Semua orang begitu. Saya sendiri malah semua orang takkan tahu apa kesudahan hidup masing-masing. Hanya iman dan amalan yang akan membela kita kat akhirat nanti. Jadi, sepanjang hidup, jangan lupa yang kita ada tanggungjawab. Jangan lepaskan tanggungjawab tu.”

Harith tersenyum mendengar gaya bahasa Insyirah. Wanita itu menarik nafas.

“Insya-Allah. Esok, pukul berapa awak ada kat rumah?” giliran Harith bertanya.

“Esok ke awak nak datang?”

“Iya. Esok tengah hari lepas Azri habis kelas.”

Hati Insyirah berbunga-bunga. Biarlah tiada ungkapan cinta yang terbit di bibir Harith. Namun tindakan lelaki itu sudah memadai.

“Tapi esok saya tak ada. Saya ada hal kena temankan mak. Awak jumpa ayah aje la. Boleh?”

Jejaka itu menggaru kepala. Err.. Bagus juga kalau Insyirah tiada di rumah. Boleh lah dia merisik Insyirah untuk Azri.

“Oh! Benda-benda macam ni, rasanya tak apa kut kalau awak tak ada sekali. Yang penting ayah awak setuju. Kan?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience