BAB 4

Romance Completed 3305

Dari sini aku menatap jejakmu dengan raga yg menari bersama angina diantara gemuruh ombak kerinduanku. Rasakan getarku yang membiarkan selari bersama bintang menemanimu serta untuk menjemputku. Meski tiada peta yang dapat aku genggam, benarkan aku berbisik di hatiku dan berdoa dalam setiap solatku sebagai petunjuk arahmu dengan izin-Nya.

Ya Rabbi, redamkanlah rinduku dijalan yang terbaik menurut Engkau untuk

dunia dan akhiratku. Apabila kerabat dan teman tak lagi cukup untuk

menemani kehidupanku, maka hari itu adalah yang aku tunggu. Tapi apakah jawapan itu?’

Harith menggigit bawah bibir. Meluru Insyirah meminta diri. Azri di sebelah menepuk bahu sahabatnya.

“Insyirah segan dengan kau.” Sebaris ayat itu cukup membuatkan Harith berasa aneh.

“Aku yang patut segan dengan dia, Ri. Dia tu wanita yang sempurna.” Sayu wajahnya. Harith terasa hina dengan dirinya. Ya Allah!

“Harith, Irah tu dah lama pendam perasaan kat kau. Ada gaya dia akan masuk meminang kau suatu hari nanti.” Azri tersenyum. Meski jiwanya sedikit tercuit, tetapi dia tetap akan mengalah. Cinta itu tidak boleh dipaksa. Harith ketawa. Seakan disindir pun iya juga.

“Aku ni bukannya baik sangat macam Nabi Muhammad sehinggakan Siti Khadijah mahu masuk meminangnya. Aku ni bukan sesiapa. Itu sangkaan kau. Aku tetap aku. Aku takkan sama seperti kau, atau orang lain yang jauh malah lebih hebat kehidupannya berbanding aku. Aku tak ada apa-apa keistimewaan pun.”

Azri berasa sebak. Air wajah Harith semertaan tawar meski lelaki itu cuba menggesa untuk bersenyum. Bahu Harith dipaut. Mengapa, mengapa, dan mengapa Harith selalu berkata begitu? Walhal, kejadian Allah SWT itu sempurna belaka.

Sementara Insyirah di belakang tiang memasang telinga. Lama Harith menunduk. Berdosa rasanya apabila mengenangkan dirinya sendiri. Azri di sampingnya menatap langit yang semakin suram. Harith turut mendongak memandang keindahan kelipan bintang di angkasa.

“Aku tahu, taraf aku dan Irah takkan sama selama-lamanya. Dan taraf aku mungkin menjadi penghalang. Membuatkan aku rasa terasing. Aku hanya tumpukan pada kebaikan sampai bila-bila. Aku…” Lama Harith mengambil nafas sebelum menyambung kata.

“Ri, aku nak tahu sangat-sangat kat mana mak dan ayah aku.”

HARITH menyelak surat khabar sementara merehatkan tubuh di bawah pokok rendang. Matanya tidak lekang daripada membaca kenyataan yang tertera di dada helaian itu. Terkumat-kamit mulutnya membaca. Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan bahawa lebih 257, 000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 sehingga Julai 2008. Secara puratanya 2500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jumlah keseluruhan mengikut bilangan yang terdapat di setiap negeri bersamaan 70, 430 orang.

Lelaki itu menelan liur yang terasa kelat. Peluh di dahi diseka. Gerun melihat nombor-nombor yang dianggarkan berdasarkan bilangan pecahan di setiap negeri. Harith terus melipat naskhah yang dipegang tadi ke tepi. Matanya jauh memandang lalang yang sudah separuh ditebas. Harith meneguk minumannya.

“Harith, Irah tu dah lama pendam perasaan kat kau. Ada gaya dia akan masuk meminang kau suatu hari nanti.” Serta-merta gelak kecil menyapa bibir. Harith menggeleng sendirian. Dia tiada apa-apa keistimewaan di dunia ini. Dia bukan sesiapa malah boleh dianggap sebagai habuk yang tidak perlu dihiraukan.

“Assalamualaikum,” suara gadis memberi salam. Harith mendongak. Insyirah!

“Waalaikumussalam. Awak cari siapa?”

“Ini, bekal untuk awak. Mak suruh hantar. Awak belum makan, kan?”

Mangkuk tingkat dihulurkan kepada jejaka itu. Harith masih berkira-kira sama ada mahu terima atau tidak.

“Ambillah. Rezeki jangan ditolak.”

Harith menghela nafas.

“Nur Insyirah, saya harap lepas ni awak tak buat lagi semua ni.”

Perempuan itu berkerut. Mengapa? Salahkah dia mahu melakukan kebaikan? Lagipun, Azri tiada bersama Harith hari itu. Angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa. Insyirah merenung lurus ke tumbuh-tumbuhan sekitar kawasan dewan orang ramai.

“Kenapa? Awak tak selesa?”

Lelaki itu hanya mengangguk. Menafikan dalam terpaksa.

“Berhenti daripada buat perkara untuk tarik perhatian saya. Saya tahu awak ada hati kat saya.” Terus-terang dia lisankan. Harith mengetap bawah bibir.

“Saya tak nak layanan baik awak terhadap saya akan mendatangkan rasa sedih pada Azri. Bukannya saya tak tahu dia pernah risik awak kan tahun lepas? Kenapa awak tak terima?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience