BAB 6

Romance Completed 3303

DI beranda surau, Harith menghirup udara malam. Matanya tekun menyaksikan bintang juga bulan yang sedang tersenyum melihatnya. Harith menyentuh dahi. Sewaktu umurnya tujuh tahun, dirinya dihalau oleh datuknya sendiri di jalanan kerana malu akan dirinya. Semenjak itu, pusat kebajikan anak-anak yatim menjadi tempat Harith berteduh selama dua puluh tahun. Harith merintih dalam kesepian. Meskipun dia anak kepada seorang perempuan bernama Fadhila, tetapi di hadapan Allah SWT dia bukanlah anak wanita itu. Walau dia darah daging kepada seorang lelaki yang masih tidak tahu siapa namanya, namun pertalian mereka tetap seakan hampas. Dan dalam agama dia tidak mempunyai hak waris ke atas harta sesiapa.

ungkin ibu bapanya masih boleh bertaubat tetapi status dirinya sebagai anak luar nikah di sisi masyarakat dalam dunia tetap tak terhapus. Status yang tidak mempunyai ayah dalam agama tetap tidak berubah walau secalit.

Harith berbisik sendiri ke dalam benak lelakinya. Terkadang dia sedih dan menyesal terlahir daripada perbuatan lalai mereka. Jika dia berdaya memilih, sudah pastinya dia inginkan orang tuanya berada dalam keredaan Allah SWT.

“Harith,…” Azri menepuk bahunya. Segelas kopi susu panas diberikan kepada sahabatnya. Lelaki itu sambut.

“Terima kasih. Susah-susah je kau buatkan untuk aku. Aku kan boleh buat sendiri.”

Azri ketawa.

“Mana boleh. Serbuk kopi tu kan kau yang beli. Tak apa la aku bancuhkan. Eh! Siang tadi Irah ada jumpa kau eh?”

“Ada. Tapi kami borak-borak biasa aje. Tak ada topik hangat pun.” Minumannya dihirup. Azri menggeleng. Muka harith ditatap.

“Eh, tak mungkin la biasa-biasa. Pak Daud beritahu aku tadi yang dia dengan Mak Timah nak risik kau untuk anak dia. Harith, janganlah fikir banyak sangat. Irah tu sopan orangnya.”

“Macam mana pula dengan kau? Azri, aku tak boleh kahwin.”

“Apa fasal pula tak boleh kahwin? Allah cipta setiap makhluk tu berpasang-pasangan. Kau jangan nafikan hal tu. Kau jangan susah hati sebabkan aku. Aku terima seadaanya kalau Irah bukan jodoh aku. Allah itu Maha Bijaksana. Dia tahu mana yang baik, mana yang buruk.”

Allah SWT befirman : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah : 216)

“Apa yang ada pada aku?”

Azri terdiam. Harith meletakkan minuman panasnya di atas meja. Kopiah putih ditanggalkan lalu dimasukkan ke dalam kocek seluar. Harith menompang dagu melihat jalan raya yang dihujani lampu-lampu terang.

“Apa yang aku lalui tak semudah apa yang kau nampak dengan mata kasar. Kalau la aku boleh mengatur jalan hidup aku sendiri, rasanya tak ada yang lain yang akan aku cari. Aku nak kembali ke riba-Nya. Dibandingkan mendapat cebikan daripada masyarakat yang memanggil aku anak haram.” Harith menguak anak rambutnya ke belakang. Azri tunduk sayu.

“Apa lagi yang aku boleh buat sepanjang hidup aku? Atas dosa zina mak dan ayah aku, aku terpaksa menanggung beban yang sangat pedih. Orang pandang jijik kat aku. Aku kosong. Tak ada apa-apa kelebihan. Aku tak boleh jadi pewaris harta. Aku memilih untuk tak kahwin sebab darah yang mengalir dalam badan aku selama-lamanya dari darah yang tak sah. Yang aku boleh pilih ialah berusaha menjadi seorang hamba yang taat. Memohon ampun kepada Allah SWT supaya ampunkan segala dosa-dosa perbuatan orang tua aku yang tak lepas daripada kecuaian.”

Azri memahut bahu Harith yang sedang menekup muka. Itulah Harith. Tubuh Harith ditepuk-tepuk. Sungguh! Lidahnya semertaan mengeras untuk melanjutkan kata. Harith mengurut pangkal hidungnya. Sepasang mata berona merah. Allah, Allah!

“Aku nak hidup seperti anak-anak yang lain. Yang ada kasih sayang keluarga. Tapi diri aku ni membuatkan aku sentiasa beringat. Dari mana aku datang, dari mana aku wujud, dari rahim mana aku tumbuh. Nista ke aku ni? Aku tak suci. Sinis cemuhan orang lain kat aku. Atau aku bukan manusia di pandangan mata dunia?” Harith ketawa kecil. Lengan bajunya disinsing hingga ke siku. Sahabatnya di sebelah setia mendengar.

“Kat surau ni je la satu-satunya tempat aku tenangkan hati dengan membaca Al-Quran, berzikir, selawat dan berdoa. Hidup aku cuma mahu dapatkan keampunan sebab sepanjang nafas aku, aku diuji terus-terusan. Darah aku tak boleh dicuci, Azri. Lagipun, status orang macam aku tak digalakkan berkahwin. Takut-takut keturunan selepas-lepas tu akan tercemar.”

“Harith, walau depan orang lain, kau hina tapi depan Dia, kau sempurna. Kau tak ada cacat celanya. Akhlak kau bercahaya. Allah dengar setiap doa-doa kau. Insya-Allah dia akan ampunkan.”

Harith membalas pautan di bahu Azri. Reaksinya bersahaja. Gundah di hati tiada siapa yang tahu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience