"AUFA?"
Pantas dia berpaling ke tepi saat nama aslinya diseru. Automatik bebola matanya bertembung dengan sepasang mata yang sedang merenungnya dengan riak wajah yang terkejut.
Macam mana boleh jadi dia? Macam mana Tengku Emir boleh ada di sini? Oh tidak! Kenapa dekat mana-mana dia perlu muncul? Satu lagi, dia kenal aku?
"Kau bukan Airin Mikayla!" Tempik Dhiana tiba-tiba seraya mematikan lamunan Aufa. Bagaikan dirasuk hantu, dia meluru ke arah perempuan yang masih terduduk di pinggir kolam. Rambut perempuan itu yang dilitupi tudung, dicengkam lalu ditarik kuat, memaksa perempuan yang tidak dikenali itu untuk berdiri.
"Kau menipu aku!" Hamburnya lagi.
Aufa yang jelas masih blur dan terpinga-pinga hanya mampu menahan perit yang dirasakan di bahagian kepalanya. Gila, garang betul sehinggakan main tarik rambut orang. Mahu cabut rambut aku kalau macam ini.
Satu lagi. Macam mana dia tahu aku menyamar menjadi Airin Mikayla? Tidak mungkinlah... Bebola matanya jatuh pada mask putih yang terapung di permukaan air. Kelopak matanya terpejam untuk beberapa saat. Tamatlah riwayat kau Aufa kali ini.
"Kau siapa?!" Cengkamannya semakin dikuatkan. Bengis mukanya mencelung ke arah perempuan yang sedang mendesis sakit akibat tarikannya.
Tetamu-tetamu mula mengelilingi mereka. Ada yang sedang merakam, tidak kurang juga yang sedang berbisik-bisik sesama sendiri.
"Aku tanya kau!" Tangan kanan diangkat tinggi bersedia mahu menghadiahkan penampar sulung. Belum sempat tangannya mendarat di wajah perempuan itu, lengan kanannya sudah dicengkam seseorang.
"Berani kau sentuh dia." Gumam Tengku Emir dengan muka tegang. Sesaat kemudian lengannya pula dicengkam seseorang. Lelaki itu memandangnya dengan tajam. Atau lebih tepat lagi, Harraz.
"Berani kau sentuh teman wanita aku!"
Aufa terkedu. Dapat dirasakan tekanan dan suasana tegang di antara mereka bertiga. Masalahnya sekarang ini, aku yang tersepit dekat tengah-tengah. Dhia nak bagi penampar dekat aku. Lepastu ditahan Tengku Emir. Lepastu Tengku Emir ditahan Harraz. Habis tu, aku? Aku nak kena bagi amaran pada Harraz juga ke sebab berani sentuh Tengku Emir? Kan macam ada alur sikit.
Errr, macam pelik je. Nanti si lelaki itu ingat aku berkenan dekat dia pulak.
"Lepaskan dia, Dhiana!" Tanpa menghiraukan amaran yang diberikan Harraz, Tengku Emir kembali mencerlung ke arah Dhiana yang masih tidak melepaskan Aufa.
Apabila amarannya tidak diendahkan perempuan itu, lengan perempuan itu mula dipulas sedikit ke tepi, memberi amaran. "Kau tahu kan apa yang aku boleh buat kalau kau sentuh barang aku?" Katanya dengan nada berbisik. Yakni hanya Dhiana sahaja yang mendengarnya.
"Emir!" Harraz yang mula naik bengang, menolak badan lelaki itu. Namun sekali sahaja tepisan Tengku Emir mengenai wajahnya, dia sudah terlentang ke belakang.
K.O
"Sakit Emir..."
"Aku ulang sekali lagi, lepaskan dia."
Serta merta, cengkaman pada rambut perempuan itu dilepaskan. Lengannya yang terasa perit dipicit-picit. Dia mundur beberapa tapak ke belakang, mendapatkan teman lelakinya yang sudah dibantu oleh beberapa orang.
Tengku Emir menghampiri Aufa yang sedang membetul-betulkan tudung yang sedikit senget dek tarikan Dhiana. Dan lagi kau nak betul tudung bengap.
Bebola matanya dijulingkan ke atas, lantas blazer hitam yang tersarung di tubuhnya dibuka lalu membaluti badan Aufa yang lecun. "Kau jangan nak jadi bengap sangat boleh tak."
Berdesing telinga Aufa mendengarnya. Garang dia menikam ke arah wajah Tengku Emir. Baru tersedar yang blazer lelaki itu ada pada badannya, pantas dibuka. Kemudiannya dicampak tepat mengenai badan lelaki itu.
"Saya tak perlukan bantuan awak."
"Eh, kau-"
"Oh ya, Dhiana." Pintas Aufa sebelum Tengku Emir menyemburnya. Dia tersenyum sinis memandang perempuan yang sedikit menggeletar itu. Mungkin kerana kesejukan dek bajunya yang basah. Terkena pula pada angin malam. "Awak jangan fikir awak hebat sangat sehingga mampu menindas orang yang lemah. Saya bagi amaran pada awak. Kalau awak berani menindas Airin Mikayla, awak akan berurusan dengan saya. Awak tak kenal lagi kan saya macam mana."
Dia ketawa kecil apabila terperasankan wajah ketakutan Dhiana. Tali handbag di bahunya, dibetulkan. "Satu lagi, kepada awak berdua pasangan 'sehidup semati', saya tak kisah korang nak berasmara bagaikan dunia ni korang punya, tetapi untuk awak Dhiana, jangan jatuhkan maruah seorang perempuan. Terima kasih untuk jamuan malam ini." Senyuman manis diukir sebelum langkah diatur meninggalkan majlis 'hari lahir' yang sedang berlangsung itu.
Semasa pandangannya bertembung dengan Tengku Emir, Sempat dihadiahkan jelingan 'maut' buat lelaki itu. Pandang orang macam tak pernah tengok pula. Cucuk mata guna garfu kang...
Sebaik sahaja keluar daripada kediaman Dhiana, terus lututnya menjadi lemah. Dada yang berdebar kencang, ditepuk-tepuk beberapa kali. Macam mana tadi? Nampak cool tak aku cakap macam tu? Walaupun hakikatnya aku pun kecut jugak. Gila kau tak kecut bila Dhiana jegil bagai nak keluar biji mata.
Ahh, Airin Mikayla! Aku akan buat kau bayar semua untuk hari ini.
"TUAN IZDIYAD"
Hanya anggukan kecil yang dibalas setiap kali sapaan daripada para pekerjanya kedengaran. Dia terus melangkah ke arah pejabatnya yang berada di tingkat 8 dengan wajah ketat. Diekori di belakangnya dengan seorang lelaki yang mengenakan sut hitam. Dia adalah Zarif Haqeem, salah seorang pembantu peribadinya.
"Maklumat yang aku suruh cari, kau sudah dapatkan atau belum?" Soalnya seraya membuka butang blazer yang tersarung di badannya. Kemudian melabuhkan punggung di atas kerusi empuk miliknya. iPad maroon yang dihulurkan Zarif disambut lalu diteliti maklumat yang tertera di skrin iPad.
"Sudah bos. Saya dah dapatkan jadual Dato' Haizan. Dia ada urusan di Skyt Hotel pada malam Khamis. Dianggarkan akan selesai dalam jam sebelas malam."
"Aturkan pertemuan aku dengan dia pada malam itu juga. Apa pun caranya, aku perlu berjumpa dengan dia." Katanya mendatar. iPad maroon itu diletakkan di atas meja. Zarif yang masih tercongak di hujung meja dipandang dengan kening yang terangkat sebelah.
"Kau ada apa-apa lagi yang nak disampaikan?"
"Erk, takde bos." Sengih kambing Zarif dengan pertanyaan Izdiyad. iPad maroon di atas meja itu dicapai lalu badannya ditundukkan sedikit ke hadapan. "Saya keluar dulu bos."
"Hmm..."
Belum sempat Zarif mengatur langkah, tiba-tiba sahaja ada seseorang yang menerpa ke arahnya. Lelaki yang memakai kaca mata itu, terbongkok-bongkok dengan nafas yang termengah-mengah. Satu tangannya diletakkan di atas bahu Zarif, menjadikan lelaki itu sebagai sandarannya.
"Kau kenapa Umar?"
"Aku... Eh bukan. Bos..." Lelaki yang dipanggil Umar itu menunding-nunding ke arah Izdiyad yang berada di meja kerja. Sekilas Izdiyad memandang ke arah lelaki kacukan yang baru tiba di situ. Dia adalah Umar Haider yang merupakan pembantu peribadinya juga. Entah apa yang membuatkan lelaki itu sangat kecoh pada pagi-pagi seperti ini. Tak buat hal sehari, memang tidak sah.
"Kenapa dengan bos? Ada orang nak masuk meminang?" Seloroh Zarif dengan wajah yang terkejut. Bahu Umar digoncang-goncangnya. Sesaat kemudian, kepalanya automatik ke belakang saat ada sesuatu yang melintasi hadapan matanya dengan laju. Kemudian terhempas mengenai kabinet di dalam ruangan itu sehingga mengeluarkan bunyi yang kuat sebelum jatuh di atas lantai bermozek itu.
'PAPP!'
Fuh, kus semangat. Mahu benjol kepala aku kalau kena balingan marker pen daripada bos.
"Ini lagi gempak daripada berita ada orang nak masuk meminang bos." Beritahu Umar dengan bersemangat. Dia berlari menghampiri meja kerja Izdiyad. Dahi yang mengeluarkan keringat, dilap menggunakan belakang telapak tangan. "Bos, bos tahu tak. Hari ini OneLit didatangi Datin Zahirah"
Serta merta kepala Izdiyad terangkai memandang wajah Umar dengan tepat. Dia tidak salah dengarkah tadi? Siapa yang datang mengunjungi OneLit?
"Kau ulang sekali lagi."
"Datin Zahirah dah ada dekat lobi. Saya terserempak dengan Datin tadi. Tapi Datin tak nampak saya. Saya pecut ke sini."
"Kenapa takde siapa laporkan. Aish, tak guna." Kotak hitam di bawah meja kerjanya ditarik keluar. Kemudian beberapa jenis buku yang berbeza di rak dimasukkan ke dalam kotak itu. Begitu juga fail-fail yang menimbun di atas meja.
Terkecoh-kecoh dia menyerahkan kotak hitam itu kepada Umar, mengarahkan lelaki itu memasukkan kotak hitam itu di dalam bilik kecil yang terdapat di ruangannya.
Dia berdiri di tengah ruangan dengan tangan yang mendepa sementara Zarif sedang memakaikan blazer pada badannya. Pakaiannya dibetul-betulkan lelaki itu untuk beberapa saat. Setelah pakaiannya sudah rapi, dia mula mengatur langkah. Mahu menyambut Datin Zahirah yang baru tiba.
Dari jauh, kelibat seorang wanita yang dimamah usia kelihatan. Walaupun sudah berumur, namun wanita itu masih sahaja berkarisma dan kelihatan anggun dengan pakaian yang dikenakannya. Semakin wanita itu menghampirinya, jantungnya semakin berdegup kencang. Bukan kerana gerun dengan wanita itu, namun cemas dengan soalan yang bakal diajukan wanita itu.
"Iz..." Ucap Datin Zahirah sebaik sahaja tiba di hadapan Izdiyad. Lengan lelaki itu dipegang dengan senyuman yang mekar terukir di bibir merahnya.
"Nenda." Sekelip mata sahaja badan tegapnya sudah berada di dalam pelukan wanita itu. Datin Zahirah merupakan nendanya juga insan berpengaruh di OneLit. Kerana bantuan Datin Zahirah, OneLit mampu memberi saingan kepada syarikat-syarikat gergasi yang lain. Jadi, tidak mungkinlah mahu menyambut ala kadar, bukan?
"Iz! Kamu ni, nenda tunggu kamu melawat nenda, kamu tak pernah muncul. Nenda pula yang nak kena datang ke sini." Marah Datin Zahirah tiba-tiba. Tubuh Izdiyad dipukul geram. Membulat matanya saat lelaki itu hanya tertawa dengan amarah yang dihamburkan.
Bahu Datin Zahirah dipeluknya. Dia tahu kehadiran wanita itu di sini bukan hanya untuk memarahinya tentang hal itu. Pasti ada hal yang lebih besar. Misalnya tentang...
Pembatalan kontrak yang melibatkan M2M Company?
"Iz, nenda dengar yang kontrak di antara M2M Company dah dibatalkan?" Duga Datin Zahirah. Wajah cucunya itu direnung dalam. Tiada riak terkejut yang terpapar menandakan bahawa lelaki itu sudah menduga tentang soalan yang diajukan. Juga pasti sudah menyiapkan jawapan yang bernas.
"Betul."
"But why? You know kan yang kerjasama di antara M2M company sangat penting."
"Tanpa sikap profesional, semuanya takkan berjalan dengan lancar." Izdiyad tersenyum segaris. Pelukan pada bahu Datin Zahirah, dieratkan. "It's okay Nenda. We will find someone better than M2M company."
Zarif menghampiri Izdiyad yang jauh beberapa langkah ke hadapan. Dia berdiri berdekatan bosnya, kemudiannya berbisik sesuatu. Automatik wajah Izdiyad berubah menjadi tegang. Namun hanya beberapa saat sebelum senyuman diukirkan. "Nenda, i'm sorry. Iz ada hal mendesak sekarang yang perlu dilakukan."
"Iz, kam-"
"I'm promise. I'll see you soon. Okay?"
Pintas Izdiyad sambil mengangkat tangan kanannya separas bahu seakan-akan berikrar. Dia merenung dalam bebola mata Datin Zahirah mengharapkan wanita itu tidak akan mempersoalkan keputusannya.
Seketika kemudian, Datin Zahirah menghela nafas panjang. Bahu cucu lelakinya ditepuk-tepuk. "Nenda pegang janji kamu. Pastikan kamu ada di rumah sebelum jam 6 atau nenda akan paksa kamu tinggal dengan nenda untuk selama-lamanya."
Meneguk liur Izdiyad dengan amaran yang diberikan Datin Zahirah. Kepala diangguk laju bagaikan burung belatuk. "Jangan risau nenda. Sebelum jam 6, Iz akan ada dekat rumah." Dia tersenyum lagi. "Umar, hantarkan Datin"
"Baik bos..."
Setelah Datin Zahirah hilang dari pandangan, terburu-buru dia turun ke lobi. Tidak sampai sesaat kemudian, sebuah kereta mewah hitam yang dipandu Zarif sudah tiba di hadapan pintu masuk bangunan 9 tingkat itu. Dia memboloskan badannya ke dalam kereta itu, dan kereta mewah itu meluncur laju di atas jalan raya.
'ZAPP!'
"Mama, sakit!" Berlari Aufa ke belakang sofa, menjadikan sofa sebagai pengadang di antaranya dengan Puan Hasya yang sedang bertukar hulk. Teruk betul mama mengamuk kali ini kerana dia pulang lewat semalam. Hampir jam 11 malam juga dia tiba di rumah setelah membersihkan diri terlebih dahulu di rumah Airin Mikayla. Tidak mungkinlah mahu pulang dengan baju yang basah. Tak hujan pun boleh basah baju. Karang, lagi berderet-deret soalan yang bakal diajukan mamanya.
Betis yang terasa sengal dek pukulan Puan Hasya, diusap-usap dengan muka yang berkerut. Sakit, mahu berbirat betis lawa aku.
"Dah besar kepala sekarang ye? Siapa beri keizinan untuk balik lewat?!" Amuk Puan Hasya seraya mengangkat tinggi bulu ayam di tangannya. Setapak-setapak dia maju ke hadapan, menghampiri anak gadisnya yang sedang menyorok di sebalik sofa.
"Aufa salah ma. Aufa tolong Yiyin semalam. Kan mama pesan, kalau orang dalam kesusahan, kita kena tolong. Tak boleh tengok je." Petah Aufa menjawab membuatkan Puan Hasya lagi naik berang. Memusing mereka berdua mengelilingi sofa panjang itu. Semakin Puan Hasya menghampiri, semakin galak Aufa menjauhkan diri.
"Pandai menjawab eh! Berdiri dekat situ Aufa!"
"Okay okay. Aufa berdiri dekat sini. Mama jangan dekat." Aufa hanya berhenti untuk seketika sebelum kembali berlari sebaik sahaja Puan Hasya melakukan langkahnya. Fuh, aku pening main pusing-pusing.
"Kamu jangan nak menipu mama Aufa. Emir bagitahu kamu ada dengan dia semalam."
Melopong mulut Aufa mendengarnya. Emir? Tengku Emir? Dia bagitahu mama aku jumpa dengan dia? Tak guna kau mamat keparat!
"Apa alasan kamu lagi?!"
"Eh mama... Aufa kebetulan je jumpa dengan Emir. Mana tahu tiba-tiba dia ada dekat situ juga. Mama boleh tanya Yiyin."
'Aufa... Aufa..!!'
Laungan seseorang membuatkan bibirnya terukir senyuman lebar. Akhirnya, hero aku dah datang.
"Ye pa?" Laungnya kembali.
"Tolong papa pergi ke kedai kejap. Belikan papa biskut lutut." Kata Tuan Uzair yang baru tiba di ruang tamu. Dia sudahpun berlabuh di atas sofa sambil memegang surat khabar harian Metro. Sekilas dia mengerling ke arah si isteri yang bagaikan singa lapar.
"Aii aii pa!" Kuat dia bersuara seraya membuat gaya seperti tabik hormat. Papa memang hero aku selamanya. Selalu muncul bila aku nak kena lenyek dengan mama. Ahh, sayang papa ketat-ketat. Pandangannya dihalakan kepada Puan Hasya yang jelas tidak berpuas hati dengan arahan yang dikeluarkan Tuan Uzair. "Mama, Aufa pergi ke kedai dulu ye." Ucapnya dengan lembut. Semasa melintasi Puan Hasya, badannya ditundukkan sedikit.
"Abang, saya ni tak nak anak awak tu merayap merata-rata mengalahkan orang lelaki. Abang pula suruh dia ke kedai. Tahu tak semalam dia balik jam 11? Kalau bukan Iris terlepas cakap, saya pun tak tahu yang dia balik lewat." Luah Puan Hasya tidak berpuas hati. Dengan kesal, dia berlabuh di atas sofa sambil berpeluk tubuh.
Tuan Uzair hanya tersenyum lucu. Dia menghampiri si isteri lalu bahu isterinya dipeluk. " Abang kenal anak kita. Senakal-nakal dia pun, dia masih dapat beza halal dan haram. Awak jangan risau lah ye."
"Saya pun tahu. Yang saya risaukan dia merayap merata-rata. Benda nak berlaku, kita takkan boleh jangka."
"InsyaAllah tiada apa-apa tu. Dia boleh jaga diri."
"Abang bela lah dia. Bela lah anak abang itu."
"Eh itu anak kita kan. Apa anak abang sorang pula."
BERPUSING-PUSING badannya menghirup udara segar. Tangannya mendepa luas, menikmati keindahan alam. Sejak boleh keluar ini, automatik jadi pencinta alam sekitar eh.
Jap, tadi papa cakap apa? Pergi ke kedai beli biskut lutut? Tapi papa tak cakap pergi kedai mana? Kalau aku pergi pekan ni, agak-agaknya lepas tak? Tak boleh salahkan aku lah kan kalau aku pergi 'kedai' yang ada di pekan?
Dengan senyuman senget, telefon bimbit jenama Oppo dikeluarkan daripada beg sandang yang disilangkan di lehernya. Aplikasi grab dibuka.
Cantik!
Tidak sampai lima minit kemudian dia menunggu, sebuah kereta Proton Saga putih yang tertera padanya perkataan 'grab' berhenti di bahu jalan. Tanpa membuang masa, segera dia memboloskan badannya ke dalam kereta itu.
"Nak kemana cik?"
"Pekan."
sorry for the boring storyline. I'm still studying. (. ❛ ᴗ ❛.)
Share this novel