BAB 5

Romance Series 7871

ENJIN kereta dihidupkan. Beberapa helai sampul surat A4 putih diletakkan di atas dashboard kereta. Sekilas dia melihat jam digital di situ.  Masih ada beberapa minit sebelum mesyuarat pada pagi ini bermula.

Dia menghampiri Datin Zahirah yang berada di muka pintu. Beg makanan yang dihulurkan nendanya, disambut. Pelik dirasakan tika ini. Bukankah beg makanan yang selalu digunakan adalah beg berwarna biru tua yang bersulamkan corak daun? Tetapi mengapa sudah bertukar kepada beg berwarna hitam?

"Mana beg makanan yang selalu Iz gunakan tu nenda?"

"Ouh beg itu. Nenda tersalah bagi dekat Qasreena semalam. Nenda tak perasan."

Hujung bibir Izdiyad terangkat sedikit. Tak perasan? Sejak bila pula nenda begini? Bukankah itu adalah beg kesayangan wanita itu? "Ye lah tu nenda ni. Nenda dah bagi beg tu pada Iz, mana boleh bagi pada orang lain."

"Nanti nenda minta Qasreena pulangkan."

"Nenda ni, macam ada sesuatu je."

Senyuman yang mahu terbit di bibir, segera dikawal. Bahu Izdiyad ditepuk.  "Mana ada. Dah dah. Pergi kerja. Kata ada meeting pagi ini. Jangan lupa balik rumah papa kamu. Kamu pun dah lama tak balik sana kan."

"Baik nenda. Nanti Iz melawat papa. Iz pergi dulu." Setelah bersalaman dengan Datin Zahirah, dia  bergerak menuju ke arah keretanya. Pintu bahagian penumpang belakang dibuka untuk meletakkan bekas makanan yang dibawa. Baru mahu menutup pintu kembali, matanya tertancap pada kerusi penumpang. Seakan-akan ada tompokan kotoran.

Jarinya dicalit pada tompokan itu, lalu dibawa ke hidung untuk dihidu. Bau kuah kacang? Spontan terimbau kembali peristiwa di meja makan. Makan malam semalam dihidangkan kuah kacang yang dibawa Aufa. Sebelum itu, gadis itu menyorok di dalam keretanya. Di sini... Dengan makanan-makanan yang dibeli.

Ergh, perempuan! Kau kotorkan kereta aku!

"Kenapa Iz?"

Spontan bibirnya mengukir senyuman saat soalan daripada Datin Zahirah kedengaran. Pintu kereta ditutup dengan hati yang menggerutu geram. "Takde apa nenda. Ada monyet kotorkan kereta Iz."

"Monyet? ada monyet ke dekat sini?" Terjengul kepala Datin Zahirah ke arah kanan dan kiri rumahnya. Dari mana pula datangnya monyet. Hampir 50 tahun dia duduk di sini, tidak pernah pula melihat haiwan bergayut itu.

"Monyet jelmaan manusia." Katanya dengan nada yang rendah. Dalam dengar dan tidak dengar sahaja. " Takde apa lah nenda. Iz pergi dulu ye. Assalamualaikum..."

PENERANGAN yang disampaikan oleh pengurus pemasaran OneLit didengari teliti. Sekali sekala dia akan menyampuk mempersoalkan cadangan yang dibuat. Hampir jam 11 juga mesyuarat pada pagi ini selesai.

Dia hanya menunduk kecil kepada staf-staf syarikat yang memberi hormat kepadanya sebelum mereka beredar keluar meninggalkan bilik mesyuarat OneLit. Fail-fail yang bertaburan di atas meja, dikumpul dan diletakkan di sebelah laptop yang sudahpun gelap skrinnya.

Botol mineral dicapai, lalu air itu diteguk tertib. Zarif dan Umar yang baru tiba di situ hanya dipandang sekilas.

"Bos... Saya dah dapatkan maklumat penuh tentang perempuan yang bos suruh saya siasat tu." Kata Zarif seraya menghulurkan iPad kepada Izdiyad. Manakala Umar sudah menempatkan diri di salah satu kerusi berdekatan bosnya.

"Kenapa bos nak tahu pasal perempuan ni? Bakal Puan besar eh?"

Usikan Umar membuatkan Zarif meledakkan ketawanya. "Aku rasa ini bukan bakal Puan besar. Ini bakal arwah."

"Bakal arwah? Bos... Nak bunuh dia?"
Soalnya, terkejut. Dia memandang ke arah Zarif yang masih tersenyum penuh makna. Kemudian pandangannya dihalakan ke arah Izdiyad yang sedang fokus pada maklumat yang tertera di skrin iPad. Sedikitpun tidak terganggu dengan usikan dan persoalannya.

"Ada pergerakan daripada Wilder dan orang-orang dia?"

"Setakat ini masih tak ada bos."

"Aku perlu dapatkan perempuan itu sebelum Wilder." Ucap Izdiyad tiba-tiba.

"Tetapi kalau bos bertindak sekarang, sepertinya kurang baik kan. Datin Zahirah tidak mungkin akan biarkan bos terlibat dalam hal ini."

"Disebabkan itu kewujudan Diaz Cartel tidak boleh didedahkan. Aku akan cari cara untuk berjumpa dengan perempuan itu semula." Diaz Cartel yang dimaksudkan adalah kumpulan yang dipimpin olehnya dalam diam. Dua dunia yang berasingan, dua watak yang berbeza, dan dua nama yang berlainan.

Hanya dengan Diaz Cartel dia mampu bergerak bebas untuk menyiasat tentang kematian arwah ibunya beberapa tahun lepas. Hanya dengan Diaz Cartel, dia dapat menegakkan keadilan yang sepatutnya milik orang yang tidak bersalah. Datin Zahirah tidak mahu perkara yang sama berulang lagi, begitu juga dengan dia. Dia tidak akan membiarkan pembunuh yang sebenar masih berlegar-legar di luar sana sedangkan mereka terpaksa menelan pahit beberapa tahun ini.

Semua ketidakadilan yang berlaku, akan dia balas dengan setimpal. Sekalipun dia adalah ahli keluarganya sendiri.

Hutang nyawa dibayar nyawa.

"DATO', Tuan muda dah sampai."

Berita daripada pembantu rumah, membuatkan Dato' Muayyad tersenyum lebar. Bingkas dia bangun dari duduknya dan meletakkan surat khabar yang dipegangnya di atas meja kopi.

"Ayah..." Sapa seseorang dengan nada yang rendah. Dalam dengar tidak dengar sahaja. Dia kenal suara itu. Wajahnya bertambah ceria melihat figura anak lelaki yang dirinduinya itu sedang melangkah ke arahnya.

Bahu Izdiyad dipegang erat. Kemudian dibawa ke dalam pelukan. Belakang badan anak lelakinya, ditepuk-tepuk. "Anak tak kenang budi, kamu baru ingat jalan nak balik rumah."

Meletus ketawa Izdiyad mendengarnya. Dia mengakui, dia memang seorang anak yang tidak kenang budi. Tidak melawat ayah kandungnya beberapa bulan seakan-akan dia tidak punya ayah lagi di dunia ini.

Meskipun berat hatinya mahu menjejakkan kaki di sini, namun digagahkan juga dirinya. Pesanan arwah ibunya berlegar-legar di kepala, bahawa harus menghormati seorang insan yang bergelar ayah.

Setelah beberapa ketika, pelukan dileraikan. Lantas, dia melutut di situ dan menunduk memandang lantai "Iz minta maaf ayah."

"Aih, bangun-bangun. Kalau kamu tak balik juga hari ini, memang ayah bawa orang hancurkan rumah kamu."

"Jangan ayah. Itu satu-satunya tempat tinggal yang saya ada." Selamba Izdiyad menjawab. Memang itulah sifatnya ketika di hadapan Dato' Muayyad mahupun Datin Zahirah. Dia akan berubah menjadi seorang yang ceria dan sopan. Tidak mahu lelaki berusia itu menghidu aktiviti yang dilakukannya. Sekaligus dapat menyedari bahawa dia sedang menyiasat tentang kematian arwah ibunya.

Walaupun kes ini sudah ditutup beberapa tahun yang lepas dan telah diputuskan bahawa arwah ibunya meninggal kerana sakit teruk, namun dia tetap merasakan ada yang janggal. Dato' Muayyad dan Datin Zahirah, kedua-dua mereka menegahnya daripada menyiasat tentang hal itu kerana tidak mahu mendatangkan bahaya. Tetapi matlamatnya sekarang ini hanya satu. Mahu menangkap dalang di sebalik semuanya. Tegahan daripada Dato' Muayyad dan Datin Zahirah terpaksa dilupakan. Hatinya tidak rela membiarkan semua hal itu berlalu pergi.

Setelah menyiasat beberapa tahun ini akhirnya dia mendapatkan beberapa maklumat. Walaupun masih tidak jelas, tetapi entah kenapa semuanya berkaitan dengan-

'Eh... Iz dah balik ye.'

Emak tirinya.

Senyuman palsu dipasangkan pada bibir. Dia mengangguk kecil, sekadar menyapa Datin Shafreena yang baru tiba di situ. Sengaja dia pura-pura tidak melihat huluran tangan wanita itu.

"Baru sampai Datin." Jawab Izdiyad ringkas. Dalam diam dia terus merenung wanita itu. Mencari sesuatu daripada air muka yang ditunjukkan.

"Malam ni tidur lah sini. Teman ayah..." Cadangannya dengan gembira. Lengan suaminya dirangkul. Dato' Muayyad mengangguk laju mengiyakan kata-kata si isteri. Memang itulah harapannya sejak dulu. Berharap bahawa keluarga ini dapat bersatu semula setelah semuanya hancur selepas kematian Suhaila, arwah isterinya, ibu kepada Izdiyad.

"Maaf Datin, maaf ayah. Iz tak boleh lama-lama. Ada kerja yang perlu dibuat." Izdiyad beralasan. Sejak dia mengangkat kaki dari rumah ini, dia bersumpah bahawa rumah agam ini tidak akan menjadi tempat tinggalnya lagi. Meskipun hanya untuk satu malam. Semua yang terjadi, tidak akan boleh diubah. Untuk selama-lamanya.

Sumpah yang dibuat, tidak akan dilanggar.

"You tengok lah budak ini. Suruh tinggal di sini pun susah. Bukannya I suruh dia bekerja" Omel Dato' Muayyad kesal. Seraya itu, langkah diatur menuju ke arah sofa dan punggungnya dihenyakkan di situ. Air putih di dalam gelas, disisip perlahan.

"Biasalah you kalau kerja banyak. I pun macam tu juga. Takpe, I kan ada teman you tekan sini." Bela Datin Shafreena menenangkan si suami. Bahu lelaki berusia itu dipicit-picit.

"Betul ca-"

'Abang Iz!'

Belum sempat Izdiyad mahu melihat siapakah yang melaung namanya, tiba-tiba sahaja tubuhnya sudah dirangkul dari belakang. Matanya terbuntang luas dengan perlakuan itu. Dia tahu siapakah si gerangan.

"Abang... Kenapa abang balik tak bagitahu Isya." Lunak suara itu kedengaran. Pelukan semakin dieratkan. Seakan-akan tidak akan membiarkan lelaki itu pergi lagi.

"Ayesha. Stop it. Come here." Tegur Datin Shafreena kepada anak perempuannya yang masih merangkul tubuh Izdiyad. Perempuan yang dipanggil Ayesha itu menggelengkan kepalanya. Tidak mahu melepaskan tubuh si abang.

"Ayesha... Abang Iz tak boleh bernafas. Uhuk... Uhuk..." Izdiyad pura-pura terbatuk. Faham sangat dengan gadis yang baru menginjak usia 18 tahun itu. Memang pantang kalau berjumpa dengannya. Pasti mahu melekat 24 jam. Yang peliknya, ada abang kandung, tapi abang tiri ini juga yang dipilihnya.

"Ayesha tak nak lepas. Nanti abang Iz tak nak balik sini lagi."

'Kau jangan nak mengada sangat boleh tak.'

Sampuk seseorang. Seraya itu, pelukan Ayesha terlepas dan lengannya ditarik oleh seorang lelaki supaya menjauhinya. Panjang umur kau.

"Ish abang ni. Biarlah." Bentak Ayesha tidak puas hati. Dia menjeling tajam lelaki yang menarik tangannya tadi. Baru dia mahu menghampiri Izdiyad semula, sekali lagi tangannya ditarik.

"Jangan Ayesha." Amaran diberikan sedikit keras. Itulah abang kandung Ayesha, Fateh Arsyad. Dia seorang yang tegas dan paling pantang setiap kali Ayesha mendekati Izdiyad. Kerana menurutnya, lelaki itu membiarkan Ayesha mendekatinya kerana ada niat yang tersembunyi.
Walhal, itu memang adalah kebenaran.

"Kalau Iz nak balik, perlu makan di sini terlebih dahulu. Titik." Kata Dato' Muayyad, tegas. Tanpa menunggu balasan daripada anak lelakinya, pantas langkah diatur. Dia tahu anak lelakinya akan membantah habis-habisan kalau dia terus-terusan berada di situ.

"Ayah..."

"Yey!"

BADAN dihempaskan kasar di atas katil bersaiz king. Mata terpejam rapat dan tangannya meraup beberapa kali bahagian muka. Setelah itu, keluhan panjang meluncur dari mulutnya. Dia memandang ke arah siling putih dengan perasaan yang bercampur baur. Kemudian pandangannya jatuh pada sekeliling bilik yang bercat putih.

Masih tiada apa yang berubah di bilik ini. Semuanya masih kelihatan sama sejak dia mengangkat kaki pergi dari sini. Dia tahu Datin Shafreena tidak akan berani menjejakkan kaki dan membuat sampah di dalam biliknya.

Baru teringat akan sesuatu, iphone dikeluarkan daripada kocek seluar. Nombor Umar dicari di dalam kenalan. Lalu dilekapkan telefon bimbit itu pada telinga sementara menunggu panggilannya diangkat.

'Bos.' Sapa satu suara di hujung sana.

"Umar... Korang tak yah tunggu aku. Aku balik lewat malam ni."

'Baik bos.'

"Oh ya. Tolong aku satu hal. Alang-alang aku ada di sini, aku akan cuba masuk ke bilik bacaan ayah aku. Minta korang handle." Nada suaranya berubah serius. Kilatan matanya berubah membayangkan seseorang. Setelah perkara ini terungkap, tiada lagi ketenangan seperti hari ini. Sebagaimana kau lakukan, seperti itu juga aku akan membalas.

'Bos, saya Zarif. Bos ada bawa tak lebah tu?'

Lebah? Bingkas dia bangun dari pembaringannya. Satu kotak kecil daripada kocek seluarnya dikeluarkan. Dan dikeluarkan 'lebah' di dalamnya. "Ada."

'Saya akan cuba kawal dan biarkan lebah itu masuk terlebih dahulu ke dalam bilik bacaan Dato' Muayyad. Saya akan sambungkan dengan telefon bos.'

"Erm."

'2 minit bos.'

2 minit kemudian, 'lebah' itu mula terbang dan keluar melalui pintu gelangsar. Lebah itu adalah alat kawalan jauh yang dicipta Zarif. Dapat membantunya di saat-saat seperti ini. Dia perlu mendapatkan maklumat yang berharga pada kali ini kerana mungkin peluang seperti ini tidak akan selalu muncul.

Skrin iPhone diperhati. Terpapar di situ keadaan di dalam bilik bacaan Dato' Muayyad. Tiada sesiapa di sana. Masa yang baik jika dia mahu memecah masuk.

"Zarif, aku akan masuk ke sana. Kau perhatikan kalau ada sesiapa mendekat"

'Hati-hati bos.'

Berhati-hati dia melangkah ke arah bilik bacaan Dato' Muayyad. Bebola matanya meliar sekeliling, bimbang sekiranya ada seseorang yang muncul. Perlahan-lahan pintu kayu itu ditolak kemudian diboloskan badannya ke dalam bilik itu. Kabinet buku dihampiri dan dalam masa yang singkat matanya mengimbas pelbagai jenis buku dan fail yang tersusun.

Satu fail putih dicapai lalu diselak pantas. Dia tersenyum sinis melihat maklumat yang diingininya sudah berada di hadapan mata. Langsung dia berlabuh di meja kerja yang padanya terdapat sebuah komputer. Suis ditekan. Password? "Zarif... Password."

'Kejap bos.'

Tidak sampai seminit kemudian, komputer itu sudah dibuka laman utamanya. Laju dia menggerakkan jari jemarinya di keyboard kemudiannya menggerakkan tetikus.

Tiba-tiba sahaja nafasnya turun naik. Penumbuknya dikepal dengan muka yang mula memerah. Tak guna!

'Bos, Dato' Muayyad dalam perjalanan ke sana. Bos kena keluar dari situ.'

Sebelum komputer dimatikan, sempat dia menangkap gambar 'surat hospital' yang benar-benar tidak dijangkakan. Juga dipadam semua aktiviti yang baru dibukanya sebentar tadi. Beberapa helai kertas di dalam fail putih itu ditarik, lalu dilipat dan dimasukkan ke dalam kocek seluarnya. Fail putih itu kembali diletakkan pada kabinet buku.

'Bos, Dato' Muayyad dah ada depan pintu. Bos dah tak sempat kalau nak keluar sekarang ini.'

DUDUK dilabuhkan di atas kerusi empuk miliknya. Dahinya berkerut melihat kedudukan keyboard komputer yang sedikit senget. Bukankah dia sudah meletaknya dengan baik sebelum keluar dari sini.

Seketika kamudian, pandangannya tertancap pada sebuah frame gambar yang menghiasi meja kerjanya. Dia mengusap-usap wajah arwah Suhaila yang terdapat di dalam frame itu. Sebak bertandang tiba-tiba dan matanya berkaca tanpa dipinta.

"Abang minta maaf Su, abang tak mampu menjadi seorang ayah yang baik. Abang minta maaf sebab-"

'PRANG!'

Bunyi sesuatu yang pecah, menyentakkannya. Frame gambar itu diletak semula di atas meja dan laju kakinya melangkah ke arah pintu gelangsar. Hatinya berlagu risau melihat pasu besar di balkoni bilik sudah pecah. Dia menjenguk ke arah bawah. Mukanya berubah bengis melihat seseorang sedang cuba melarikan diri.

"Fateh! Fateh!" Jeritnya kuat.

Seketika kemudian, muncul si anak dengan terkecoh-kecoh. "Kenapa ayah?"

"Arahkan pengawal untuk mencari orang asing yang menyelinap ke sini."

"Orang asing?"

"Now!"

"TUAN muda. Tak ada orang asing di sini." Lapor seorang pengawal diikuti dengan beberapa orang bawahannya.

"Betul tuan muda. Saya dah periksa seluruh kediaman. Tiada orang asing di sini." Kata seorang lagi pengawal.

Berkerut dahi Fateh mendengarnya. Jika tidak ada, masakan pula ada seseorang yang cuba menceroboh bilik bacaan Dato' Muayyad. Kata ayahnya, dia tidak melihat muka lelaki itu memandangkan si pelaku sudah lari. Hanya sempat memerhatikan belakangnya. Kata Dato' Muayyad juga, kaki si pelaku mungkin cedera memandangkan dia melompat dari tingkat dua. Mungkin tidak sempat untuk melarikan diri lebih jauh.

Semua ini, jika digabungkan tidak dapat menolak kemungkinan bahawa si pelaku tidak lain tidak bukan adalah...

Dia tersenyum sinis. Nasib menyebelahinya pada hari ini.

Izdiyad!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience