TERIK PANAS matahari membuatkan bahangnya semakin terasa. Sudahlah memang tengah menggelegak dengan sikap tidak semenggah beberapa orang, ditambah pula kena tunggu tengah-tengah panas macam ni. Boleh rentung kalau lagi 30 minit nak berdiri dekat sini.
Jam tangan ditoleh sekilas. Masih ada 20 minit sebelum mesyuarat Izdiyad tamat. Ergh, rasanya sudah hampir sejam aku tunggu sini. Patut ke pengawal keselamatan bangunan besar ini suruh dia tunggu dekat parkir kereta yang tiada bumbung? Kata pengawal keselamatan itu orang asing yang tidak berkaitan tidak dibenarkan masuk. Walaupun sudah dijelaskan beberapa kali yang dia adalah kawan kepada Izdiyad, namun pengawal lelaki itu masih tegas dengan keputusannya.
Haih, kurang asam betul. Sudahlah tak pelawa aku duduk. Malah, disuruh berdiri di sini pula. Stesen bas pun tiada. Aku nak duduk bawah bumbung pun dia tak bagi. Patut ke?
Dasar tak berperikemanusiaan. Bos dengan pekerja semuanya sama! Aku tetamu kot.
Semua panggilan yang dibuat kepada Izdiyad, semuanya suara operator yang jawab. Buat habis topup aku. Sebelum ini siapa yang cakap kalau tak reti nak angkat telefon, baik tak yah guna telefon.
Cakap tak serupa bikin. Harap je telefon mahal. Campak masuk longkang karang... Ha, baru tahu.
Ni nak mai angin aku tengah-tengah hari macam ni. Dengan pakai kasut selipar bunga besar. Kalut punya pasal tak nak kena tangkap dengan mama.
Beberapa minit kemudian, sekumpulan manusia keluar daripada bangunan besar itu. Laju dia berlari mendekati mereka. Pasti mesyuarat yang dimaksudkan pengawal itu sudah habis. Dia hanya tersenyum kecil ke arah mereka sambil matanya galak memerhati satu persatu manusia itu. Mencari cucu nenda.
Dia menjadi gelisah apabila figura Izdiyad tidak kelihatan. Dengan muka seposen, dia memerhatikan dengan lebih dekat. Jangan risau, aku muka tebal... Tak kisah kalau diorang pandang aku macam orang gila.
'Erk, terima kasih untuk hari ini. Hati-hati dalam perjalanan.'
Tanpa sedar seorang lelaki yang mengenakan sut lengkap berwarna kelabu mendekatinya setelah orang-orang penting itu beredar pergi. Tubuh lelaki itu dipandang atas bawah. Mempunyai badan yang lebih kurang seperti Izdiyad, namun sedikit lebih rendah. Wajahnya sedikit jambu dengan lesung pipit di sebelah kiri.
Hmm, comel.
'Cik... cik?'
"Ehem...Ehem..." Belakang kepala dipegang sambil bebola matanya naik memandang ke atas. Segan apabila tertangkap usya anak teruna orang. Tahu dekat mama, mahu dia kejar pakai periuk. Silap-silap kepala kau terteleng dekat belakang.
Huu, seram.
"Cik?"
"Saya nak jumpa dengan cucu nenda. Dia ada dah habis mesyuarat ke?"
"..."
"Maksud saya... Izdiyad. Cucu nenda. Yang tinggi tinggi muka garang tu. Alah, bos bangunan besar ni." Dijelaskan satu persatu pengetahuannya terhadap Izdiyad. Ah, hentam je lah. Nama panjang lelaki itu bukannya dia tahu.
"Cik ni... Cik Aufa?"
"Qasreena. Panggil saya Qasreena."
"Cik Qasreena. Saya Zarif, pembantu Tuan Izdiyad. Sekarang Tuan Izdiyad tak ada di pejabat. Dia ada hal di luar."
Mulutnya terbuka luas. Tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Tak ada di pejabat? Tapi asal pak cik pengawal tu cakap dia tengah mesyuarat? Lepastu siap suruh tunggu dekat tempat parkir lagi? Aku dah bazirkan masa hampir sejam tunggu cucu nenda, sekarang senang senang pembantu dia cakap dia takde dekat pejabat?
Ha, aku nak naik hantu dah. Meletup bangunan besar ni karang.
"Maaf cik, tapi bos saya memang tak masuk pejabat hari ni." Ucap Zarif dengan senyuman kelat. Naik gerun dengan gadis di hadapannya yang sudah berubah air muka. Nak menangis pun ada. Nak telan orang pun ada. Tidak ubah seperti singa yang lapar.
"Bos awak ke mana? Kenapa pak cik pengawal tu cakap dia mesyuarat?" Soal Aufa dengan nada yang berubah serius.
"Erk..." Zarif menggaru-garu pelipisnya. Apa jawapan yang mahu diberikan.
"Bos awak ke mana?" Soalan yang sama diulang lagi. Kali ini lebih keras.
Nafas ditarik dalam apabila lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Zarif itu masih ragu-ragu untuk memberitahunya. Apa yang susah sangat. "Awak tolong telefon dia sekarang. Saya telefon dia tak reti nak angkat."
"Tapi cik..."
Tajam matanya memanah ke arah Zarif. Lantas lelaki itu mengangguk laju. "Saya telefon... Saya telefon..."
BUKU-BUKU yang tersusun di rak, dibelek-belek. Badannya berpaling ke arah pintu kaca ruangan itu sebaik sahaja bunyi tapak kasut kedengaran.
Tidak sampai beberapa saat kemudian, seorang wanita dalam lingkungan 50 an tiba di situ diikuti di belakangnya Umar.
"Dokter, ini adalah orang yang mahu berjumpa dengan dokter." Kata Umar kepada wanita yang memakai tag Dr Husna. Dia merujuk kepada bosnya yang sedang berada di bahagian rak buku.
Izdiyad hanya mengangguk kecil. Langkah diatur menghampiri wanita itu dan Umar.
"Saya Nik Izdiyad Aysar. Dokter boleh panggil saya Izdiyad."
Dr Husna atau nama sebenarnya Dr Farahin tersenyum manis. " Saya dokter Husna. Jemputlah duduk dulu."
Dia mendahului Izdiyad, kemudiannya berlabuh di sofa. Arahan dihantar pada Umar supaya berjaga di luar sementara dia akan berbincang sesuatu dengan Dr Husna.
"Boleh saya tahu kenapa Encik Izdiyad nak jumpa dengan saya?" Dr Husna memulakan perbualan.
"Kalau macam tu saya takkan buang masa. Saya akan terus pada tujuan kedatangan saya pada hari ini." Sampul A4 coklat yang dibawa, diletakkan di hadapan Dr Husna. Setiap tindakan wanita itu tidak terlepas daripada pemerhatiannya. Bermula daripada wanita itu membuka sampul surat tanpa ragu-ragu, sehinggalah raut wajah wanita itu berubah setelah melihat isi di dalamnya.
"Dokter tak mungkin lupa dengan bekas pesakit yang dokter pernah rawat beberapa puluh tahun yang lepas bukan?" Soalnya dengan penuh makna tersirat.
Dr Husna meletakkan kertas yang bercetak itu di atas meja. Sedaya upaya dia mengawal air mukanya daripada terus ditebak oleh lelaki yang tidak dikenali itu. Dia berdiri sambil kedua tangannya digenggam ke hadapan.
"Saya tak faham apa yang encik nak sampaikan. Kalau tiada apa-apa lagi, diminta encik beredar. Saya ada kerja yang mahu dibuat. Dipersilakan." 'Halaunya' secara sopan. Izdiyad turun berdiri. Dia tersenyum sesaat.
"Saya minta maaf kalau mengganggu... Dokter Farahin."
Serta merta Dr Husna memandang ke arahnya. Terkejut mungkin kerana dia menyebut nama asli wanita itu. Dia mengatur langkah menghampiri wanita itu.
" Jangan risau dokter. Saya takkan beritahu sesiapa yang Dokter Farahin masih hidup. Dokter yang terlibat dengan kematian... Suhaila binti Rashid." Bisiknya perlahan.
"Kamu siapa sebenarnya? Apa yang kamu nak?"
"Dokter tak perlu tahu saya siapa. Saya cuma perlukan keterangan dengan daripada dokter dan saya akan menjamin kehidupan dokter selepas ini."
Wanita itu diam tidak berkutik. Kegelisahan telah membuatkan wajah wanita itu menjadi pucat tidak berdarah dan ketakutannya semakin menyerlah.
"Jika dokter tidak percayakan saya, saya tidak kisah. Mungkin gadis yang berada di Rumah Anak Yatim Permata Kasih akan saya jadikan sebagai... Hamba? Sebagaimana dokter melayan Suhaila semasa dia masih hidup, seperti itu juga saya akan melayan dia."
Bagai ada batu besar menghempap dadanya. Dia menapak selangkah ke belakang sambil menggeleng-gelengkan kepala. Lelaki wajah psycho itu dipandang dengan debar mengasak dada.
"Saya dengar itu anak perempuan dokter... Betul ke? Yang dibuang ke rumah anak yatim sebab dia adalah anak luar nikah. Bekas teman lelaki dokter-"
"Berhenti!"
"Hmm?"
"Jangan sentuh perempuan tu. Aku... Aku akan cerita yang sebenarnya."
"HANTAR orang kita untuk uruskan klinik itu. Kirim dia ke luar negara secara senyap dan selamat. Jangan sampai perkara ini tahu pada Dato' Muayyad." Serta merta bayangan ayahnya bermain-main di kepala. Kini, segala kebenaran telah didedahkan.
Dr Husna atau nama sebenarnya Dr Farahin adalah dokter yang ditugaskan untuk merawat arwah ibunya semasa arwah ibunya masih terlantar di hospital. Namun, Datin Shafreena yang tika itu hanyalah seorang wanita lemah yang tidak mempunyai sandaran atau lebih tepat lagi pembantu rumah mengarahkan Dr Husna supaya memasukkan ubat yang salah pada arwah ibunya. Disebabkan itu semakin lama penyakit arwah ibunya semakin teruk. Secara tidak sengaja Dato' Muayyad mendengar perbualan di antara kedua mereka dan mengetahui kebenarannya. Namun itu semua sudah terlambat saat si isteri sudah pergi meninggalkan dunia. Dia mahu memberikan keadilan buat si isteri namun tidak mahu juga membuat masalah kepada wanita itu. Jadi, akhirnya dia terpaksa membuat keputusan. Walaupun keputusan yang akan diambil adalah berat sebelah dan berisiko.
Dato' Muayyad menyuap Dr Husna iaitu dokter yang bertugas pada tika itu untuk menyembunyikan kebenaran tentang kematian sebenar arwah ibunya. Lalu menyuruh dokter itu meninggalkan hospital dan pergi jauh jauh dari hospital. Jangan pernah memunculkan diri. Kebenaran yang telah diubah adalah ibunya meninggal kerana penyakitnya sudah merebak. Dia yang pada ketika itu baru menginjak ke usia 5 tahun hanya mempercayai semua itu bulat-bulat. Sejak daripada itu, dia tidak pernah jejakkan kaki ke hospital lagi kerana disebabkan kesalahan pihak hospital, ibunya meninggal. Setelah itu, bagi melindungi Datin Shafreena, ayahnya terpaksa mengahwini wanita itu bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin.
Sekarang, bukti yang dikumpulkan sudah cukup untuk meletakkan kesalahan pada si ayah dan si ibu tiri. Tidak mengapa, aku akan biarkan korang bahagia dan nikmati hidup ini dengan baik dahulu sebelum semuanya akan berubah menjadi mimpi buruk.
Langkah yang diatur menjadi semakin perlahan sebaik sahaja terlihat figura seorang perempuan dan seorang lelaki di hadapan keretanya.
Qaseh? Bibirnya menarik senyuman lebar. Bilakah wanita itu pulang ke sini? Mengapa dia tidak dapat menghubungi wanita itu sebelumnya? Kemanakah wanita itu menghilang? Tidak tahukah wanita itu bahawa selama ini dia bagaikan orang gila apabila kehilangannya jejaknya?
"Bos... Kata Zarif, Cik Aufa berkeras nak jumpa bos... Jadi dia terpaksa bawa ke sini."
Kata-kata Umar menyentakkannya. Serta merta senyuman yang mekar semakin memudar. Untuk sekian kalinya, dia menyangka bahawa Qaseh sudah pulang ke pangkuannya.
Cukup Izdiyad! Dia bukan Qaseh! Selama-lamanya dia bukan Qaseh. Walaupun hanya beberapa tindakan atau sikap yang sama, dia tetap bukan Qaseh!
"Bos..."
Hanya anggukan kecil diberikan sebagai balasan kepada sapaan Zarif terhadapnya. Dia tidak mempedulikan kehadiran Aufa di situ, dan terus melangkah ke arah pintu penumpang kereta mewahnya. Perasaannya masih kacau disebabkan seorang wanita yang pernah menghuni hatinya satu ketika dahulu. Wanita yang hilang tanpa khabar berita.
Qaseh Ariana.
Masakan seseorang yang hilang hampir 4 tahun itu, boleh muncul di sini secara tiba-tiba. Meskipun tindakan atau sikap Aufa sedikit sebanyak mengingatkan dia pada wanita itu, namun Qaseh tetaplah Qaseh. Aufa tetaplah Aufa.
Ya, dia mengaku. Sebelum ini dia selalu membayangi Aufa sebagai Qaseh. Jika tidak, masakan pula dia mudah bergaul dengan orang yang baru dikenalinya tidak sampai sebulan. Huh...
"Eh, cucu nenda... Kejap." Pintu kereta yang mahu ditutup Izdiyad, pantas ditahan menggunakan tangan. Boleh pula dia buat aku macam tunggul kayu dekat sini. "Eh cucu nenda, kalau awak tak reti nak angkat telefon, baik tak payah guna telefon." Paku buah keras dipulangkan.
"Kalau kau takde apa yang penting, jangan bazirkan masa aku dekat sini." Balas Izdiyad acuh tidak acuh sahaja. Tanpa melihat ke arah Aufa, pintu kereta ditarik semula, namun gadis itu lebih pantas daripadanya dan menahan untuk sekian kalinya.
"Eh, tak reti menghargai betul. Sudahlah sejam saya berjemur tengah panas tunggu awak. Lepastu boleh pula buat muka seposen macam ni."
"Aku takkan ulang benda yang sama."
"Menyakitkan hati betul cakap dengan awak... Ah sudahlah. Saya nak bincang pasal masalah Desa Larton. Awak ada cara tak untuk tarik balik tuduhan ke atas Pak Cik Farhad?"
"Masalah keluarga kau tiada kena mengena dengan aku."
"Huh?"
"Maafkan kitorang Cik Qasreena sebab lancang"
"Huh?"
Serentak bahunya dipegang oleh Zarif dan Umar selepas Zarif meminta maaf. Tanpa sempat dia menyoal lebih lanjut, badannya terlebih dahulu dipaksa berjalan beberapa tapak, menjauhi kereta mewah yang dinaiki Izdiyad. Setelah itu, kedua-dua mereka menunduk kecil sebelum turut memboloskan diri ke dalam kereta.
Dua buah kereta yang dipandu Zarif dan Umar bergerak meninggalkannya yang masih terpinga-pinga sendirian.
Kata-kata Izdiyad bermain-main di kepalanya.
'Masalah keluarga kau tiada kena mengena dengan aku."
Dia tersenyum segaris. Baru sedar tentang kebodohan dirinya. Ya juga, mengapa dia perlu mencari Izdiyad. Dia boleh bertanya pada 'manusia-manusia' mana yang sudi membantu keluarga mereka pada tika ini berbanding 'harimau' betina yang datang bulan.
Okey, ini masalah lagi penting. Macam mana nak balik sekarang ni. Dompet pun tak bawa. Duit sekupang pun tak ada. Dekat mana ni pun tak tahu.
Huargh, Aufa!
AIR coca-cola di dalam botol besar, diteguk rakus. Boleh naik gila setiap kali dia memikirkan Aufa dan seorang lelaki yang tidak dikenali itu. Boleh pula mengaku yang dia adalah suami kepada gadis itu. Aku pun baru tunangan, kau sudah sampai suami. Disebabkan korang berdua juga, aku ditangkap pihak berkuasa.
Air lebihan cococola keluar daripada mulutnya lalu mengalir di leher, dikesat sekilas menggunakan lengan. Botol besar yang sudah tinggal separuh isinya diletakkan di atas meja dengan nafas yang termengah-mengah.
"Kau tahu tak siapa lelaki tu?" Soalnya dengan amarah yang bersisa. Luth Mateen yang berada di hadapannya hanya menggeleng-menggeleng. Layan... Walhal hakikat sebenarnya, semua yang diceritakan Tengku Emir, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.
Tubuhnya sahaja berada di sini manakala fikirannya sudah melayang pada formula-formula yang dipelajarinya. Peperiksaan akan diadakan beberapa minggu sahaja lagi. Nak menolak ajakan Tengku Emir, nanti lelaki itu buat kecoh di rumahnya dengan muka tembok. Mentang-mentanglah mak aku layan kau macam anak sendiri.
"Dia tu pengarah syarikat besar. Apa nama dia... OneLit? Ha... Ye, OneLit." Bersungguh-sungguh Tengku Emir bercerita tentang maklumat yang didapati daripada bawahannya.
"Oh, orang hebat tu."
"Ish kau ni. Aku serius! Aku tengah bengang dengan jantan tu tahu tak!"
"Aku tahu kau serius. Habistu aku boleh buat apa? Bukannya aku boleh serang dia sebab mengaku suami kepada bakal tunang kau." Keluh Luth Mateen. Habis bercampur semua formula aku.
"Serang?" Tiba-tiba sahaja Tengku Emir mengukir senyuman lebar. Muncul idea bernas di kepalanya berikutan kata-kata Luth Mateen. Kenapa dia tidak fikirkan soal itu sebelum ini.
"Emir? Kau dah kenapa?"
"Terima kasih"
"Kau jangan nak buat gila Emir."
"Jangan risaulah. Aku nak usik sikit je."
"Emir..."
DUDUK dilabuhkan di sebuah pondok bas sementara menunggu si adik datang menjemputnya. Nasib baiklah Qhaleef boleh diharapkan pada kali ini dan akan datang menjemputnya. Jika tidak, haih... Sudahlah tak makan lagi. Lapar tahu tak. L.A.P.A.R.
Sambil menunggu kedatangan Qhaleef, aplikasi whatsapp di telefon bimbit dibuka. Entah apa yang dihebohkan sangat dari tadi sehinggakan mesej masuk tidak berhenti. Tak lain tak bukan, menggosip. Kenal sangatlah dengan perangai kawan-kawannya. Mak cik jual goreng pisang pun kadang-kadang boleh jadi bahan gosip.
Malas mahu membaca satu persatu mesej di kumpulan itu, mesej terus di scroll ke bawah. Salah seorang daripada mereka menghantar link instagram. Katanya ada siaran langsung gempak sekarang ini.
Dengan perasaan ingin tahu, link itu ditekan. Dia dibawa ke dalam siaran langsung salah seorang pengguna instagram yang menggunakan nama omk. Fake account.
Tetapi kejap... Penontonnya hampir mencecah 10k?
Wah, 10 k?! Biar betik?
Telefon bimbit diangkat menghampiri muka, bagi membolehkan dia melihat dengan lebih jelas manusia-manusia yang terlibat di dalam siaran langsung itu. Ada beberapa orang perempuan yang ala-ala diva sedang tertawa sakan, seorang lagi perempuan yang badannya penuh dengan tepung sedang dalam posisi merangkak.
Apa benda lah budak-budak zaman sekarang. Prank semakin bukan-bukan.
'Korang nak tengok apa? Boleh request. Hari ini, haiwan peliharaan aku akan buat apa yang kau orang nak.'
'Nak tengok kucing makan?'
'Kejap... aku ambilkan makanan.'
Perempuan yang mengenakan baju ungu, berlari meninggalkan tempat itu sebelum kembali dengan sepinggan nasi. Sepinggan nasi itu diletakkan di atas tanah, di hadapan perempuan yang sedang dalam posisi merangkak.
'Kau tengok apa lagi? Makan lah!'
Marah seorang perempuan yang mengenakan baju yang mendedahkan bahunya. Dengan muka garang, dia menolak kepala perempuan itu ke bawah sehinggakan mukanya mengenai pinggan berisi nasi. Perbuatannya mendapat sorakan daripada beberapa orang kawannya yang berada di situ.
'Mana kawan sehidup semati yang nak tolong kau tu? Ada dia muncul?' Rambut perempuan itu yang dilitupi tudung, dicengkam kuat sehingga kepala perempuan itu terdongak ke atas. Beberapa orang perempuan mula menuangkan kicap di atas muka perempuan itu sambil terkinja-kinja.
Aufa tergeleng-geleng lemah. Dia tidak sanggup lagi mahu melihat adegan seperti itu. Entah apa-apa. Tak lain tak bukan, nakkan kontroversi. Penonton juga menyokong aktiviti bermoral seperti itu. Malahan ada yang meminta supaya perempuan yang dibuli itu supaya berlakon menjadi seekor anjing. Hish, apa-apa je lah.
Baru dia mahu keluar dari siaran langsung tersebut, matanya tertancap pada kasut hitam yang dikenakan perempuan itu. Ada ukiran bunga Daisy. Seperti pernah tengok sebelum ini. Muncul bayangan seseorang di benaknya.
Tidak mungkin itu adalah...
'Airin Mikayla, lawanlah! Bukan kau berani sangat ke sebelum ni!'
"Yiyin!"
Share this novel