BAB 7

Romance Series 7871

SEMENTARA menunggu makanan  tengahari disiapkan, bantal-bantal disusun rapi. Buku-buku serta majalah yang berselerak di atas katil, dikumpulkan. Beberapa helai pakaian yang berada di lantai, dikutip lalu dimasukkan ke dalam raga kosong. Haih, inilah salah satu tabiat bosnya jika lelaki itu tidak sihat. Semua barang akan dilempar begitu sahaja. Memang jauh beza sifatnya ketika dia sihat walafiat.

Tengoklah bilik tidur bosnya sekarang ini. Sudah serupa tongkang pecah. Nasiblah kecederaan bosnya pada kali ini tidak serius akibat terjunan ala-ala Pandalela Rinong. Nasib bos memang baik.

"Jam berapa sekarang?" Soal Izdiyad dengan suara serak basah. Dia yang baru mencelikkan mata hanya menyoroti pandangan ke arah Zarif yang sedang membersihkan bilik tidurnya. Mulut menguap kecil, masih terasa kantuk dan mahu meneruskan tidur.

"Dah jam 12 suku dah-"

"Pukul satu kejut aku." Pintas Izdiyad seraya mencapai bantal yang disusun Zarif, lalu dipeluk erat. Comforter ditarik sehingga paras kepala. Matanya masih berat mahu dibuka.

"Bos... Bos tak boleh sambung tidur. Dah nak dekat jam satu."

"Ah, jangan kacau aku." Gumam Izdiyad dengan matanya yang masih terpejam rapat. Zarif tidak berdiam diri, dia menghampiri katil yang menempatkan Izdiyad. Comforter yang membaluti badan lelaki itu ditarik sehingga ke bawah.

"Bangun bos... Bos kena jalan-jalan dekat luar. Barulah segar sikit. Kalau bos asyik tidur dan terperuk dalam bilik, tak elok untuk kesihatan. Bos tu dah lah tak sihat, lagilah kena pertimbangkan hal-hal macam ni. Lagi satu, kaki bos tu... Umar kata kena banyakkan berjalan. Kan semalam dia-"

'PAPP!'

"Bisinglah. Nak bebel pergi keluar dari sini." Dengus Izdiyad kasar setelah membaling bantal ke arah Zarif. Badannya dipalingkan membelakangi lelaki itu.

Zarif tersenyum senget. Dia berlabuh di birai katil. Lagi bosnya bengang, lagi itulah dia semakin suka nak membebel. Niatnya terbantut saat pintu bilik terbuka. Muncul Umar sambil menatang sebuah dulang yang diatasnya terdapat beberapa biji mangkuk. Pasti makanan tengah hari sudah siap.

Matanya bertembung dengan Umar. Lelaki itu tidak mengatakan apa-apa dan hanya memandangnya dengan penuh makna tersirat. Keningnya terangkat, tidak faham dengan isyarat yang dihantar sahabatnya.

Umar hanya membalas 'jap' dengan mimik mulutnya. Dulang yang dibawa diletak di atas meja, di sebelah katil. Lengan Zarif ditarik menjauhi bosnya yang sedang tidur.

Dia berkata sesuatu kepada Zarif dengan nada yang rendah. Lelaki itu terkejut besar dan hampir sahaja bersuara. Tidak sampai seminit perbincangan, mereka kembali menghampiri Izdiyad yang masih diulit mimpi.

"Ada masalah?" Soal Izdiyad tiba-tiba. Terus terkaku Zarif dan Umar di sebelah katil. Terperanjat dengan soalan yang ditanya bos mereka. Disangkakan lelaki itu sedang tidur dan tidak dapat menghidu tentang perbincangan ringkas mereka sebentar tadi. Namun, Izdiyad tetaplah Izdiyad. Sihat mahupun sakit, lelaki itu tidak pernah lari dengan ketelitiannya terhadap sekeliling. Tiada apa yang boleh disorokkan.

"Erk, takde bos. Masalah biasa je. Saya dah handle." Umar mencuba nasib. Dia tahu kata-katanya tidak dapat menipu Izdiyad. Lelaki itu tidak akan terima alasan palsunya.

"Oh ya?" Izdiyad bangun dari pembaringannya. Rambutnya yang jatuh di dahi, diraup ke belakang. Dia bersandar di kepala katil sambil merenung ke arah Zarif dan Umar secara bergilir-gilir.

"Bos, makan dulu?"

"Tak perlu. Aku nak tengok juga masalah apa yang kau dah handle." Kaki yang berbalut diturunkan perlahan-lahan dari katil sehingga menjejaki lantai. Kasut selipar disarungkan. Masih terasa berdenyut-denyut pada kaki kanannya. Pasti kerana semasa melompat semalam, dia mendarat dengan kaki kanan terlebih dahulu.

"Bos... "

"Sebenarnya Desa Larton bermasalah sikit. Tapi saya dan arahkan orang-orang kita untuk handle." Laju Zarif berkata. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Izdiyad melibatkan diri dengan kes di Desa Larton buat masa sekarang. Lelaki itu masih perlu berehat untuk menyembuhkan kecederaan pada kakinya. Sekalipun kecederaan itu tidak serius.

"Betul bos... Betul." Tokok Umar pula. Kepalanya terangguk-angguk mengiyakan kata-kata Zarif. Tiada riak terkejut yang Izdiyad tunjukkan. Dia tahu bahawa masalah ini tidak sederhana seperti yang disampaikan.

Jika tidak, masakan mereka berdua begitu mahu menutupi perkara ini daripadanya. Pandangannya masih tidak beralih daripada Zarif dan Umar. Mengisyaratkan bahawa dia mahu mendengar penjelasan yang lebih bernas.

Sesaat Umar menundukkan kepalanya bawah sebelum tepat memandang Izdiyad. Mereka tidak akan berjaya menipu dan bermain helah dengan Izdiyad. "Bos, orang-orang kita laporkan. Ada masalah yang berlaku di Desa Larton. Seorang kanak-kanak dijumpai mati. Kebetulan pula pada hari ini, keluarga Tuan Uzair ada beri bantuan makanan di sana." Nada bicaranya menjadi semakin perlahan di akhir ayat. Nama Tuan Uzair telah berjaya menarik perhatian bosnya. Lelaki itu memandangnya tidak berkedip.

"Keadaan jadi huru hara. Diorang salahkan keluarga Tuan Uzair atas pembunuhan itu dan minta Cik Aufa untuk bertanggungjawab memandangkan Cik Aufa berada di sana."

Spontan Izdiyad berdiri. Terperanjat apabila nama Aufa pula disebut Umar. Aufa? Bagaimana perempuan itu boleh berada di sana. "Apa maksud kau?"

"Cik Aufa... Cik Aufa berada di sana juga untuk membantu memberi bantuan. Saya dah arahkan orang-orang kita ke sana"

Kalut dia mencari telefon bimbit di atas katil. Comforter dan juga bantal-bantal terlebih dahulu dilempar ke lantai apabila telefon bimbitnya tidak dijumpai.

"Bos... Bos cari..." Zarif terdiam tatkala  Izdiyad memegang sebuah telefon bimbit. Wajah lelaki itu tampak risau sambil menelefon seseorang. Mungkin bimbangkan keselamatan keluarga Tuan Uzair.

"Asal kau tak angkat sengal!"

Okay, atau lebih tepat lagi bimbangkan keselamatan 'Cik Aufa.'

"Macam mana keadaan di sana sekarang?"

"Saya masih tak dapat laporan daripada orang-orang yang kita hantarkan. Mungkin perlukan sedikit masa."

"Ish, aku nak ke Desa Larton."

"Tapi bos-"

Sekali lagi mulutnya terkunci rapat. Walaupun Izdiyad tidak bersuara, namun hanya dengan pandangan lelaki itu mampu membuatkannya gerun. Pandangan lelaki itu penuh dengan amaran dan arahan.

"Baik bos... Saya akan siapkan kereta."

KERETA yang dipandu Umar berhenti sedikit jauh dari Desa Larton. Dari jauh kelihatan beberapa orang pihak berkuasa sedang berjaga di hadapan pintu masuk Desa itu. Nampaknya mereka sudah terlewat selangkah.

"Orang-orang kita sempat masuk atau tidak?" Soal Izdiyad sambil tidak melepaskan pandangan daripada pintu masuk Desa itu. Jika mengikut perkiraannya, anak-anak buahnya yang lain pasti sudah mengundurkan diri. Dia sendiri pernah memesan supaya tidak melibatkan diri dengan pihak berkuasa. Kerana baginya pihak berkuasa adalah sekelompok orang yang tidak berguna. Dia lebih percaya akan orang-orangnya berbanding mereka.

"Tak bos. Sebelum diorang sampai, pihak berkuasa dah tiba di sini terlebih dahulu. Diorang hanya perhatikan dari jauh."

Cap yang berada di atas dashboard kereta dicapai lalu diletakkan elok di kepalanya. "Aku nak masuk ke sana dan tengok situasi sekarang ini. Korang... Tunggu dekat sini."

"Tapi bos... Kaki bos. Tak boleh. Lagipun sekarang diorang tak benarkan orang asing masuk. Tak... Bos tak boleh ke sana. " Bantah Umar tidak menyetujui keputusan yang dibuat Izdiyad.

"Korang perhatikan dari sini." Pintu kereta dibuka. Dia menyeret kakinya yang masih berbalut disebalik seluar yang dikenakannya dalam perjalanan menuju ke arah pintu masuk Desa Larton. Jika dia memohon masuk menggunakan statusnya sekarang ini, mungkin tidak akan dibenarkan.

Sebentuk cincin perak di dalam kocek seluar telah dikeluarkan lalu diletakkan pada jari manis tangan kiri. Pantas kenalan di dalam iPhone pula dibuka. Lalu nama Aufa dicari. Dia menukar nama gadis itu yang disimpan di dalam telefon bimbitnya.

"Berhenti. Orang asing tidak dibenarkan masuk ke Desa Larton pada waktu ini." Kata salah seorang pihak berkuasa yang ditugaskan menjaga pintu masuk Desa Larton.

"Isteri saya ada di dalam. Saya perlu berjumpa dengan dia." Petah Izdiyad membalas. Sekali sekala dia akan mencuri lihat ke dalam desa Larton dengan penuh kerisauan, namun bijak disembunyikan.

"Siapa isteri encik?"

"Isteri saya... Nur Aufa Qasreena. Anak kepada Tuan Uzair."

Pihak berkuasa di situ mula berbincang semasa sendiri. Izdiyad menanti dengan penuh debar dan sabar. Dia tahu pembohongannya pada kali ini mungkin akan mendatangkan impak yang agak besar jika identiti aslinya terbongkar. Pasti akan kecoh setelah mengetahui pengarah OneLit sudah beristeri secara senyap-senyap.

Apabila tiada kata putus, tangan kirinya diangkat, dan belakang tapak tangan dihadapkan ke arah pihak berkuasa itu. Menayangkan cincin perak yang tersarung di jari manis. "Dia isteri saya. Saya perlu jumpa dengan dia secepatnya. Kalau encik tidak percaya, encik boleh telefon dia dan tanya sendiri." Berura-ura iPhone yang dipegang dihulurkan kepada mereka. Tertera nama 'My love??' di skrin telefon bimbitnya. Nombor Aufa yang telah ditukar nama kenalan sebentar tadi.

Senyuman disorokkan tatkala perbincangan diantara pihak berkuasa itu sudah tamat. Rancangannya berjaya. Mereka terpedaya.

"Baiklah. Encik boleh masuk." Selepas keizinan diberikan, dia mencari di sekitar kampung seorang manusia yang baginya hanya pembuat masalah. Orang-orang kampung yang berselisih dengannya juga telah disoal. Setelah mengetahui bahawa keluarga Tuan Uzair berada di Dewan Desa Larton, dia berlari kencang menuju ke arah sana. Tidak sabar mahu mengetahui bagaimanakah keadaan mereka sekarang. Rasa sakit di kakinya diabaikan.

'Saya okay... Luka kecil je ni.'

'Tapi cik Aufa... kalau tuan dan puan tahu, macam mana saya nak jawab dengan diorang?'

'Shh...'

"Aufa..." Dia mencelah perbualan di antara Aufa dan seorang gadis muda sebaik sahaja tiba di Dewan Desa Larton. Menilai percakapan mereka, mungkin gadis muda itu adalah salah seorang pembantu rumah Tuan Uzair.

Aufa yang terkejut apabila namanya diseru, hampir sahaja terjatuh daripada kerusi. Nasib sempat ditahan oleh Iris. Ish, jebon mana pula yang main sebut sebut nama aku. Tahulah nama aku cun... Tuan dia pun cun.

Eh jap... Bukan ke jebon ni cucu nenda?

"Cucu nenda?"

"Asal kau tak angkat telefon perempuan! Kalau macam tu baik tak payah guna telefon!"

Dia ternganga besar dek semburan Izdiyad. Tidak menyangka di pertemuan kedua mereka, akan ada perkara seperti ini lagi. Asyik nak tinggikan suara je kan. Kau tertelan microfon ke cucu nenda? Suara kau boleh dengar beribu ribu ribu ribu batu tahu tak. Kalau kau ada dekat Perlis, aku yang tinggal dengan Johor pun boleh dengar.

"Apa benda yang awak merepek ni? Sejak bila awak telefon saya? Kenapa pula saya nak kena angkat panggilan daripada awak? Awak siapa nak marah marah macam ni? Rasanya hubungan kita... tak terlalu rapat bukan?" Ambik kau. Sekali aku diberi peluang untuk bertanya, berpuluh-puluh soalan aku boleh kemukakan dalam satu masa.

Mulutnya dikembungkan beberapa saat apabila lelaki itu hanya mendiamkan diri. Soalan-soalan yang diajukan tidak berjawab satupun. Agaknya terlalu kbat? "Erm, macam mana awak boleh ada dekat sini? Awak cari siapa?" Soalan ditukar. Tidak mahu lelaki itu berasa terbeban dengan soalan yang sebelumnya. Semua ini aku pertimbangkan sebab kau pernah tolong aku. Aku jenis yang simple. Aku takkan siasat dengan lebih dalam tentang sesuatu perkara. Aku bukanlah seorang yang suka jaga tepi kain orang. Okay?

"Kau jangan fikir bukan-bukan. Kalau bukan nenda yang suruh aku cari kau, aku pun takkan bazirkan masa untuk telefon dan cari kau sampai ke sini."

"Nenda?"

"Aku dah jumpa kau. Aku pergi dulu. Banyak kerja yang belum diselesaikan." Badannya dipusingkan ke belakang. Mahu cepat-cepat beredar dari situ. Sedikit sebanyak soalan Aufa membuatkannya termalu sendiri. Mengapa pula dia perlu mengambil tahu perihal gadis itu memandangkan mereka bukanlah telah rasmi menjadi kawan.
Memalukan betul.

"Eh, kejap. Cucu nenda!"

"Cucu nenda, kaki awak kenapa?" Soal Aufa yang sudah berada di hadapan Izdiyad. Dia perasan yang lelaki itu berjalan dengan terhincut-hincut sejak daripada tadi. Entah mengapa dia begitu berperikemanusiaan pada hari ini.

"Kau sibuk kenapa?"

"Lah, biarlah. Apa salahnya."

"Uruskan masalah kau sendiri." Izdiyad mula mengatur langkah semula. Baru dua tapak dia bergerak, kedua bahunya dipegang kejap. Dia tidak boleh bergerak, dan badannya terus dipaksa berjalan dan berlabuh di sebuah kerusi. Mahu sahaja dia mengamuk di situ kerana dipaksa tanpa persetujuan daripadanya. Semua ini arahan daripada Aufa. Mentang-mentanglah ini kawasan keluarga kau, sedap hati je kau nak arahkan orang suruh tahan aku di sini. Nasib baik aku masih waras dan aku fikirkan maruah keluarga kau, perempuan.

"Disebabkan awak pernah tolong saya, jadi kali ini saya akan tolong awak. Orang berbudi, kita berbahasa. Tak gitu cucu nenda?"

"Percaya tak kalau kau panggil aku sekali lagi dengan perkataan itu, aku akan potong badan kau berkeping-keping?"

"Erm, tak. Eh Iris... Awak panggilkan perawat tadi. Tolong dia tengokkan kaki pak cik ni."

Sekali lagi Izdiyad cuba bangun, namun bahunya ditekan kuat oleh dua orang lelaki yang berjaga di sebelah kanan dan kirinya. Dia mendengus kasar sebelum berpeluk tubuh.

"Aku tak perlukan pertolongan kau!"

"Saya juga tak perlukan persetujuan awak."

"Eh perempuan... Kau..."

'Encik, Puan Aufa... Maaf mengganggu.' Sampuk seseorang yang baru tiba di situ. Kedua-dua mereka memandang ke arah seorang pihak berkuasa yang memegang seorang lelaki.

"Puan Qasreena... Lelaki ini mengaku yang dia bakal suami kepada Puan untuk menyelinap ke sini. Puan nak saya bawa dia ke balai atau puan nak saya uruskan seperti apa?"

"Qasreena... Suruh diorang lepaskan aku. Aku tak menipu semua yang aku cakap tadi. Aku memang bakal suami dia."

Tengku Emir?

"Diam. Macam mana pula kamu boleh jadi bakal suami Puan Qasreena sedangkan Puan Qasreena dah kahwin." Tegas pihak berkuasa itu.

Kali ini Aufa sudah tercengang. Kenapa pula aku dah kahwin? Oh ya... Dia panggil aku Puan?

"Masa bila pula Qasreena dah kahwin? Apa yang korang merepek ni?"

"Haah, kenapa pula saya-"

"Bawa dia." Izdiyad yang diam sejak tadi, bersuara. Dia berdiri sambil memasukkan kedua tangannya ke dalam kocek seluar. Jelingan dihadiahkan buat lelaki yang mengaku bakal suami kepada Aufa. Mengacau rancangan aku.

"Eh! Kau siapa?" Tempelak Tengku Emir bagai hilang akal. Panas dirinya apabila melihat lelaki yang tidak dikenali itu berada di sisi Aufa. Sesiapa pun tidak boleh dekat dengan dia selain daripada aku!

"Dialah suami Puan Qasreena." Jawab pihak berkuasa itu terlebih dahulu sebelum Izdiyad membuka mulut. Izdiyad hanya mengganguk kecil mengiyakan, yakin bahawa Aufa tidak akan menyedari perbuatannya.

"Huh? Tap saya belum-"

"Bawa dia..." Sekali lagi Izdiyad memintas kata-kata Aufa. Dia tidak akan membiarkan gadis itu mengatakan yang sebenarnya. Susah payah aku fikirkan cara untuk masuk ke sini, senang-senang pula kau nak hancurkan.

Pura-pura dia tidak melihat muka garang gadis itu. Ingat aku takut? Sekali aku pijak, terpenyek. Dasar lembik.

Tengku Emir dibawa pergi oleh beberapa orang pihak berkuasa disebabkan dia meroyan bagai orang gila, minta dilepaskan. Izdiyad juga segera angkat kaki. Dia tahu soalan apa yang akan bakal diajukan Aufa. Malas aku nak jawab.

"Eh cucu nenda. Apa maksudnya? Kenapa pulak saya boleh kahwin dengan awak? Kenapa pulak kita boleh kahwin?"

"Kalau dah lembab tu memang lembab. Kenapa... Kenapa... Pergi sekolahlah kalau soalan senang macam tu pun tak tahu jawapan." Usai menuturkan kata-kata kasar dia pergi dari situ. Dia memekakkan telinga apabila pekikan dan jeritan perempuan itu bergema.

Kalau dah lembab tu memang lembab. Ada salah ke dengan ayat aku? Itu kenyataan kan... Kira okay lah tu aku jujur. Takkan nak menipu pulak.

Dasar lembab.

Tidak sampai separuh jalan, dia berhenti melangkah. Fikir fikir semula, mengapa dia perlu pergi sedangkan susah payah mahu masuk ke sini. Lagi pula tujuan dia ke Desa Larton bukanlah sekadar mahu berjumpa dengan Aufa. Dia melihat ke arah Dewan Desa Larton yang berada tidak jauh di belakangnya dengan ekor mata.

Semasa Aufa sedang ralit dengan penduduk-penduduk di situ dan tidak memerhatikannya, dia segera menukar arah laluan. Seorang penduduk kampung yang melintasinya sambil membawa raga, dipandang sekilas. Penduduk kampung itu mengangguk kecil. Dia hanya mengerdipkan mata sebagai balasan sebelum meneruskan jalannya.

Setelah memastikan bahawa orang yang dilihat itu adalah Izdiyad, laju Aufa membontoti dari belakang. Entah ke mana lelaki itu mahu pergi dengan terburu-buru. Izdiyad memperlahankan langkah, dia juga memperlahankan langkah. Apabila lelaki itu berjalan dengan laju, dia juga berjalan dengan laju. Tak pasal pasal pulak aku jadi pengintip hari ini.

Hampir 2 minit kemudian, lelaki itu memasuki sebuah rumah kedai yang berada jauh daripada orang ramai. Dengan ragu-ragu dia juga melangkah masuk ke dalam kedai itu.

Kosong? Tiada sesiapa di sini. Ke mana pula cucu nenda pergi. Melilau matanya ke serata kedai mencari kelibat lelaki itu.

"Arh." Jeritannya bergema tiba-tiba saat badannya ditolak kasar ke dinding. Tangan kirinya dipusingkan ke belakang oleh seseorang seraya mengunci pergerakannya. Belakang badannya ditekan kuat ke dinding.

"Kau nak apa ikut aku?!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience