TEASER 1

Romance Series 3332

TEA SER 1 CINTA UNTUK AMELIA

“Macam mana dia boleh tinggalkan kamu macam ni, nak?” Tangisan Puan Hamidah bergema di setiap sudut ruang tamu. Bahu si anak, Amelia digoncang berkali-kali dan kepala yang masih bertudung turut dilentokkan di situ. Mujur tetamu yang berkunjung untuk membantu menyempurnakan majlis pernikahan Amelia yang bakal berlangsung pada esok hari itu sudah pulang ke semuanya.

Kini yang tinggal di dalam rumah kayu tersebut hanyalah Amelia, Puan Hamidah, Datin Suzanna dan juga Dato Hisyam. Suami Puan Hamidah, Tuan Sham hanya mampu mengunci bibir dan lebih suka duduk bersendirian di atas anak-anak tangga.

Amelia tidak mampu bersuara. Dia membisu. Hanya air mata yang menjadi jawapan kepada soalan Puan Hamidah kepadanya. Jujur, dia kecewa dan malu dengan kejadian yang sudah menimpa nasibnya kala itu. Apa silapnya kepada Umar pun dia tidak tahu. Nota yang ditinggalkan Umar sebelum sehari detik bersejarah mereka bermula telah mengakhiri hubungan percintaan mereka selama ini.

“Midah, sudahlah tu. Malu orang dengar,” pujuk Datin Suzanna. Tangannya tidak tinggal diam, dia mengusap lembut belakang bekas pembantu rumahnya itu. Dia turut merasa simpati dengan apa yang sudah terjadi.

“Saya tak tahu macam mana saya hendak menghadap orang kampung dan saudara-mara saya, Datin. Saya malu. Anak yang saya jaga selama 28 tahun ditinggalkan sebelum majlis berlangsung, Datin!” Luah Puan Hamidah. Teresak-esak dia di bahu Amelia yang sudah memejamkan mata. Mungkin anak gadisnya itu turut memikirkan nasib ke depannya.

Datin Suzanna memandang si suami, Dato Hisyam. Dia cuba meminta jalan penyelesaian melalui tatapannya. Dia tidak mahu meninggalkan bekas pembantu rumahnya yang sudah banyak menyumbang jasa di dalam rumahnya selama ini.
Dato Hisyam memandang wajah Amelia. Wajah gadis yang berumur 28 tahun itu memang cantik. Tudung di kepala pun tidak pernah lepas. Sepanjang dia mengenali Amelia, gadis itu cukup peramah dan pandai menjaga diri serta sembahyang. Keluhan berat dilepas. Tatapan si isteri kepadanya cukup memberitahu dirinya agar berbuat sesuatu. Dan dia faham maksud tatapan itu.

Pantas, Dato Hisyam bangun. Dia beredar dari ruang tamu tersebut dan keluar dari rumah Puan Hamidah. Di luar rumah, dia bertemu dengan Tuan Sham yang sedang duduk bersendirian di atas tangga sambil mengesat air mata. Jarang lelaki menangis jika sesuatu terjadi.

Dato Hisyam menghampiri Tuan Sham sebelum menepuk bahu lelaki sebaya dengan umurnya tersebut.

“Boleh aku duduk?” Tanya Dato Hisyam kepada Tuan Sham.

Tuan Sham mengangkat wajah dan mengesat air matanya sepantas mungkin.

“Duduklah, Dato...” Tuan Sham mempersilakan. Dia sempat bergerak ke tepi agar Dato Hisyam boleh duduk di sebelahnya.

Dengan menyebut bismillah, Dato Hisyam melabuh duduk di samping Tuan Sham. Pandangannya tertuju ke halaman rumah Tuan Sham. Halaman luas itu sudah dipenuhi dengan khemah yang disusun kerusi serta meja di bawahnya. Semua persediaan sudah ada. Tapi kini, berita tentang pengantin lelaki yang meninggalkan anak Tuan Sham itu pula menjadi masalah.

“Saya mahu memberitahu sesuatu.” Dato Hisyam memulakan bicara.

Tuan Sham memandang Dato Hisyam. Dia menanti ayat yang mahu Dato Hisyam katakan.

“Saya mahu anak kamu kahwin dengan anak saya, Adrian...”

Tuan Sham terkejut. Dia hampir tidak percaya dengan apa yang dia dengar saat itu. Esakkan Puan Hamidah juga masih lagi kedengaran. Walaupun esakkan itu agak mengganggu fikirannya dan pendengarannya, dia yakin dia tidak salah dengar dengan apa yang Dato Hisyam katakan.

“Tapi, mahukah anak Dato...” Mahu tidak mahu, Tuan Sham terpaksa menyoal. Ini bukan perkara main-main. Ini tentang aib keluarga dan demi nama baik mereka juga. Jika majlis tidak dilangsungkan esok, apalah nasib anaknya nanti.

“Saya kenal anak saya. Dia pasti mahu...” Dato Hisyam yakin. Jika dijanjikan sesuatu kepada Adrian, dia yakin, Adrian sudah pasti mahu melakukan apa sahaja!

***

Sepulangnya Dato Hisyam dan Datin Suzanna, sekali lagi Puan Hamidah menggila. Rambut milik Amelia ditarik sepuas hati. Tubuh si anak dikerjakan secukupnya. Kalau ada rotan di tangan kala itu, memang dia buat tubuh Amelia berbirat secukupnya.

“Mak, surat tu palsu mak. Tolonglah percaya pada Mel, mak. Mel tak pernah buat benda tak senonoh belakang mak selama ini.” Amelia merayu dan terus-terusan menagih kepercayaan yang sudah hancur-lebur dari Puan Hamidah. Namun, hanya dengan sekali tolak, tubuh Amelia tersungkur ke atas lantai.

“Sudahlah tu, Midah! Kamu sedar tak yang kamu pukul ini anak kita?” Tuan Sham sudah mula membuka mulut. Dia sudah tidak tahan melihat Amelia diperlakukan seperti binatang, ditendang, digoncang, dimaki dan dihina habis-habisan oleh Puan Hamidah.

“Biar dia, bang! Biar! Berani dia conteng arang ke muka kita! Biar satu kampung ini tahu anak kita macam mana!” Puan Hamidah sudah menggila. Suaranya juga nyaring.

Amelia sudah teresak-esak. Malam sebelum majlis pernikahannya sepatutnya menjadi hari yang paling bahagia dan menggembirakan. Namun, semuanya musnah dek sepucuk surat yang dikirimkan oleh Umar.

Duhai Amelia pujaan hatiku...

Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kerana terpaksa menulis surat ini kepada awak. Tapi tujuan saya menulis surat ini adalah kerana saya tidak mahu menjadi pak sanggup. Saya tidak mahu menerima anak di dalam kandungan awak. Usahlah awak tunggu saya untuk muncul pada esok hari kerana saya akan pergi jauh dari awak.

Saya minta maaf, Mel. Tidak sepatutnya saya beri harapan palsu kepada awak. Maafkan saya. Saya doakan awak bahagia selepas ini dan bertemu jodoh yang baik. Amin...

Isi kandungan di dalam surat tersebut terngiang-ngiang di dalam benak Amelia. Cukup menyakitkan dan melukakan sekeping hati milik Amelia. Hancur musnah segala harapan dan impian Amelia untuk duduk bersalaman dengan Umar sebaik sahaja majlis akad-nikah mereka berlangsung. Bayangan kegembiraan antara dia dan Umar hilang sekelip mata!

“Mak... Mel tak salah mak...” Amelia masih lagi menangis dan merayu. Dipeluknya dua kaki Puan Hamidah. Diciumnya hujung kaki Puan Hamidah berkali-kali untuk meminta keampunan. Tapi malangnya, permintaan maafnya itu dibalas dengan tendangan yang kuat. Buat kali kedua, tubuh kecil Amelia tersungkur. Jeritan demi jeritan mula terdengar apabila kaki milik Puan Hamidah mendarat tepat ke tubuh Amelia.

Tuan Sham menghampiri tubuh si isteri yang mengerjakan anak tunggal mereka. Lekas-lekas dia duduk membelakangi Puan Hamidah dan menghalang kaki yang melayang mengerjakan tubuh Amelia.

"Cukup Midah! Cukup!" Nada suara Tuan Sham sudah tinggi. Dipeluknya tubuh Amelia yang teresak-esak kala itu. Dibiarkannya Amelia menangis di dalam dakapannya.

"Ingat Allah, Midah! Allah!" Kata Tuan Sham.

“Lepaskan dia, abang! Lepaskan budak tak guna ni! Biar dia mati! Biar dia mati!” Laung Puan Hamidah sekuat hati. Segala perbuatannya sudah dikawal sepenuhnya oleh perasaan marah saat itu. Dia sudah tidak peduli jika Amelia harus mati di tangannya malam itu. Andai esok majlis pernikahan bertukar menjadi majlis pengebumian Amelia juga dia rela!

“Astaghfirullah, Midah! Kenapa dengan kamu ni, Midah? Surat itu hanya sekadar surat! Belum tentu anak kita ini buat benda yang tak senonoh! Kalau benar apa yang dia kata, kenapa dia tidak menghadap kita sendiri? Kalau benar dia lelaki, dia sepatutnya ada di sini dan bukan kirim surat begini!” Kata Tuan Sham. Suaranya masih tinggi. Dia masih melindungi Amelia dari terus menjadi mangsa pukulan Puan Hamidah. Walau apa yang jadi, Amelia itu tetap anak kandung mereka. Seburuk mana pun perbuatan Amelia, bukan mereka yang berhak untuk menghukum Amelia sehingga putus nyawa walaupun mereka orang tua Amelia. Dia yakin Amelia sudah tahu memilih mana satu yang baik atau buruk dan mana satu betul atau salah! Dan dia tahu Amelia tidak akan sanggup menconteng arang ke wajah mereka.

Puan Hamidah mendengus kasar. Punggung terduduk ke atas sofa dengan kuat. Dia menangis sambil memegang kepala yang sakit.

“Ingat Allah, Midah. Kita doa yang baik-baik. Semoga Allah beri pertolongan kepada kita...” nasihat Tuan Sham. Perlahan-lahan, nada suaranya turut mereda setelah melihat isterinya sudah terduduk. Tuan Sham menenangkan diri sendiri dengan mengucap dan menyebut Allah di dalam hati agar api kemarahan di dalam jiwa kembali tenang seperti biasa. Telapak tangan mengusap lembut belakang Amelia. Dia juga berkali-kali menyuruh Amelia untuk berdoa dan memohon pertolongan dari yang Maha Esa kerana hanya Allah sahaja yang boleh membantu mereka saat itu.

Amelia hanya mampu mengangguk sambil menangis tersedu-sedan, memikirkan apa yang bakal terjadi setelah ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience