TEAS ER 9 CINTA UNTUK AMELIA
Pagi itu Amelia dan Adrian bersiap untuk pergi ke ofis Dato Hisyam. Sampai ke tempat yang dituju, mereka berjumpa dengan Dato Hisyam terlebih dahulu dan berbual sebentar. Adrian dan Amelia diperkenalkan kepada semua pekerja oleh Dato Hisyam sebelum mereka mula diberikan tunjuk ajar untuk setiap pekerjaan yang diberi. Usai semuanya selesai, barulah mereka kembali membuat kerja masing-masing.
“Sayang, masuk kejap!” Pinta Adrian melalui intercom telefon.
Amelia mengerutkan dahi sebentar sambil memandang ke jendela yang dilindungi oleh langsir gelap. Walaupun otak memikirkan apa yang dimahukan oleh Adrian, Amelia tetap akur dengan permintaan Adrian. Segera, dia bangun dari tempat duduk dan mengambil nota serta pen sebelum masuk ke dalam ruangan Adrian.
Apabila kaki menapak masuk, dia mula tercari-cari kelibat Adrian yang tidak kelihatan di mana-mana. Pelik! Pintu ditutup dan pada masa yang sama, pergelangan tangannya ditarik. Tubuh yang berdiri tegap itu sudah jatuh ke pelukkan Adrian.
“Abang!” Amelia mendongak memandang wajah Adrian yang tersenyum nakal.
“Abang rindu sayang...” bisik Adrian ke telinga Amelia.
Amelia sudah tersengih dan bergeleng.
“Kita dalam ofislah abang!” Amelia merengek malu.
Adrian kemaskan pelukkan di pinggang si isteri. Wangian yang dipakai Amelia cukup membuat hatinya berdegup kencang. Perlahan-lahan, tangan mengangkat wajah Amelia. Dia berniat mahu mencium bibir si isteri tapi belum sempat bibir mendarat ke situ, pintu bilik dibuka dari luar.
Amelia dan Adrian terus menggelabah. Membetulkan cara berdiri dan pura-pura membuat sesuatu.
“Kenapa masuk tak ketuk pintu?” tanya Adrian tanpa memandang wajah orang yang masuk ke situ.
“I dah ketuk tapi you tak sahut,” tutur orang tersebut.
Mendengar suara yang cukup dikenali Adrian itu, Amelia dan Adrian segera mengangkat wajah. Mereka sama-sama terkedu dengan kemunculan Alisha di situ!
Amelia pandang wajah Alisha dan juga Adrian. Silih berganti. Dia dapat melihat dua insan itu sedang bertatapan lama. Rasa cemburu mula bersarang di dalam hati. Entah apa yang di mahu Alisha sehingga sanggup mengejar suaminya ke situ! Haih, sakit pula hati Amelia melihat Alisha!
Adrian terkaku. Ini kali pertama dia dapat melihat wajah Alisha semula. Tiada segaris senyuman pun yang dihadiahkan kepada Alisha. Hanya perasaan benci yang masih lagi menebal di ruang hati!
“Apa kau buat dekat sini?” tanya Adrian. Serius.
“I nak bercakap berdua dengan you.”
“Maaf, aku sibuk!” Adrian berlalu ke meja kerjanya. Melabuhkan punggung ke atas kerusi sambil menatap komputer ribanya.
“Tapi ini penting!” Alisha masih berkeras.
“Tolong keluar,” halau Adrian.
“Ad...” Alisha menghampiri Adrian dan berhenti di depan meja kerja Adrian.
Amelia yang menyaksikan itu hanya mampu berdiam diri.
“Kita perlu berbincang berdua! Ini tentang masa depan kita!” Kata Alisha. Tegas.
Adrian sudah mengetap gigi. Mahu tidak mahu dia terpaksa selesaikan semuanya hari itu juga. Amelia yang masih berdiri di tempatnya itu dipandang.
“Tinggalkan kami...” pinta Adrian. Lembut.
Amelia diam. Ikutkan hati, dia mahu berada di situ dan mendengar apa yang perempuan itu mahu katakan. Harapnya tidak ada apa-apa yang serius di dalam perbincangan mereka dan dia berdoa agar suaminya tidak sudi mengambil Alisha menjadi isteri nombor dua. Awal-awal lagi dia bagi tahu Adrian yang dia tak ingin berkongsi hati Adrian dengan perempuan lain!
Alisha hanya diam, memandang Amelia yang masih belum berganjak pergi. Dari tutur bicara Adrian, dia yakin gadis itulah yang bernama Amelia, nama gadis yang sering menjadi sebutan di bibir Datin Suzanna setiap kali mereka bertemu. Tapi itu bukan tiket untuk dia merasa cemburu atau marah. Lagipun dia dengan Adrian sudah tidak ada apa-apa perasaan. Kisah percintaan mereka pun sudah pupus. Hendak bersatu kembali? Huh! Alisha tidak sudi menerima lelaki bernama Adrian itu masuk ke dalam kisah hidupnya lagi. Kenapa? Kerana lelaki itu suka mengambil keputusan terburu-buru dan otaknya masih dalam fasa childish!
“Jangan risau. I tak lama,” kata Alisha, seakan-akan faham kenapa Amelia masih belum keluar dari situ.
Amelia angkat kaki yang terasa berat. Dipaksa hati untuk berfikiran terbuka dan positif. Pintu bilik ofis Adrian ditutup rapat sebelum dia kembali ke meja kerja semula.
“Tinggalkan kami...” bebel Amelia tanpa suara berkali-kali dan mimik muka yang jelas dilanda ombak cemburu!
Amelia labuhkan punggung ke atas kerusi. Dia mencebik. Geram! Telapak tangan menongkat dagu. Sesekali dia memandang ke jendela yang ditutupi langsir.
“Hish! Bukalah langsir ni! Aku nak tengok juga!” omel Amelia.
“Tinggalkan kami...” Sekali lagi Amelia ulang ayat yang sama dengan mimik muka yang sebal.
“Hish! Bencilah! Huh!” Amelia hentak kaki tanda protes. Dia sempat mengeluh kasar dek rasa geram.
“Kenapa ni, Mel? Nampak macam ada masalah aje?” tanya seseorang yang sedari tadi hanya memerhatikan semua kelakuannya.
Amelia terbeliak. Si pemilik suara dipandang. Ternyata ada Dato Hisyam di situ! Serta-merta, wajah jadi panas. Rasa malu sudah mula menyerang diri.
“Papa...” Amelia garu belakang kepala yang dilindungi oleh kain tudung.
Dato Hisyam sudah tersenyum manis. Dia nampak orang yang masuk ke dalam ruangan Adrian tadi dan dia juga berada di situ sejak Amelia berlalu ke meja kerjanya sambil mengomel. Entah apa yang diomelkan oleh Amelia, dia tidak dapat dengar tapi dari reaksi Amelia, dia yakin Amelia sedang cemburu.
“Papa nak jumpa abang Ad ke?” tanya Amelia. Cuba tukar topik.
“Abang Ad ek? Dah boleh ber‘abang-abang’ sekarang? Ada apa-apa yang papa boleh tahu?” Dato Hisyam cuba menduga. Yalah, anaknya yang satu itu mana pernah berkongsi apa-apa berita gembira. Apalagi kalau masalah yang datang melanda. Senyap dan sembunyikan, itu sahaja yang Adrian tahu! Last-last dapat tahu dari Datin Suzanna. Haih... Dato Hisyam mengeluh dalam hati.
Amelia sudah tersengih macam kerang busuk. Sejak tahu perasaan sebenar masing-masing! Mahu saja bibir Amelia memberitahu ayat itu tapi seganlah pula!
“Sebenarnya papa nak jumpa kamu... papa ada sesuatu nak bincang dengan kamu.” beritahu Dato Hisyam.
Raut wajah Amelia terus berubah. Dia memandang pintu bilik ofis Adrian. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga tinggalkan Adrian berduaan dengan Alisha. Hish! Mana boleh! Kau kena tunggu sini sampai perempuan tu keluar! Amelia membentak dalam hati.
“Tapi kalau kamu nak tunggu Alisha keluar dari bilik tu dulu pun boleh,” kata Dato Hisyam, seakan-akan faham dengan perubahan di wajah anak menantunya itu.
“Boleh ke?” tanya Amelia laju seperti kilat.
Dato Hisyam sudah ketawa.
Amelia baru tersedar akan kelakuannya sebentar tadi. Pantas, buku nota dicapai dan wajah disembunyikan di sebalik nota. Malunya!
“Kamu tunggulah. Nanti jumpa papa dalam ofis papa,” pesan Dato Hisyam sebelum berlalu meninggalkan Amelia dengan tawa yang masih tersisa.
Amelia pejam mata rapat. Sungguh dia malu dengan sikapnya sendiri sekarang. Perlahan-lahan, buku diletakkan ke atas meja semula. Dia kembali mencebik sebaik sahaja melihat pintu bilik ofis Adrian masih tertutup rapat. Entah apalah yang mereka sedang bualkan di dalam ketika itu. Keluhan dilepas perlahan-lahan. Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas.
“Kata tak lama! Sekarang dah berapa minit berlalu tau! Hish!” rungut Amelia sebelum dia menongkat wajah. Tiba-tiba sahaja otaknya jadi kosong. Kerja-kerja yang terbantut tadi pun tidak disambung. Ini semua sebab dia memikirkan apa yang sedang berlaku di dalam ofis suaminya!
Share this novel