TEASER 4 CINTA BUAT AMELIA
Adrian masuk ke dalam bilik tidur Amelia. Setelah mencuri dengar perbualan Puan Hamidah bersama Amelia tadi di dapur tadi, hatinya jadi sakit. Puan Hamidah tidak sepatutnya menghasut Amelia untuk berpisah dengannya! Dia tahu Amelia dengan dia tidak pernah saling mengenal tapi ikatan yang terjalin sudah sah. Pernikahan mereka juga kini terletak di tangannya. Dia bukan lelaki yang mudah untuk melepaskan hak-miliknya begitu sahaja.
Adrian melabuhkan punggung ke atas katil. Rasa marah masih lagi tersisa. Mujur Amelia tidak jatuh ke dalam hasutan Puan Hamidah. Jika tidak, mungkin Amelia mahu pernikahan mereka berakhir begitu sahaja. Dan peluangnya menjadi CEO di dalam syarikat papanya hanya tinggal angan-angan!
'Ah! Amelia milik aku! Dia akan jadi isteri aku sampai bila-bila!'
'Sampai bila-bila? Kau yakin ke? Kau tak cintakan Amelia. Kau sentuh dia pun sebab kau nak puaskan nafsu kau semata-mata. Silap hari bulan nanti, kau bayar dia pula sebagai tanda terima kasih!'
Entah bagaimana, ada dua suara serupa suaranya sendiri, muncul dibenaknya kala itu. Sesekali membuat dia jadi bingung dan berfikir. Suara yang satu berada dipihaknya tapi satu lagi seakan-akan mengejek dirinya dan berkata negatif tentang dirinya!
Kau tak cintakan dia, Ad. Perempuan itu hanya tempat persinggahan untuk kau buat sementara waktu sahaja. Nanti selepas kau dapat jawatan CEO tu, kau akan ceraikan dia. Kan? Lepas itu, kau akan lupa janji kau untuk lindungi dia dari Ian. Betulkan?
Argh! Adrian sudah pejam mata dan meraup wajah dengan dua telapak tangannya. Hatinya rasa sesak. Dia keliru dan bingung! Otaknya sakit sangat bila memikirkan semua hasutan yang bermain di mindanya saat itu. Kalau dapat dia keluarkan suara itu dari otaknya, dia mungkin berhenti berfikir yang bukan-bukan.
“Awak!”
Adrian kaget. Entah bila Amelia masuk ke situ pun dia tidak pasti.
“Awak okey ke? Saya panggil awak dari tadi...” kata Amelia sambil melabuhkan punggung di sebelah Adrian. Telapak tangannya turut mendarat ke dahi Adrian. Cuba merasakan suhu tubuh Adrian.
“Awak tak demam pun...”
Adrian tepis tangan Amelia. Riak Adrian serius tanpa sebaris senyuman.
Amelia terkejut apabila Adrian menepis tangannya tadi. Kini, dia lihat Adrian sudah bangun dan menjauhi dirinya.
“Mak kau pilih Ian untuk jadi menantu, kan?” Adrian sengaja menyoal soalan itu kepada Amelia. Bukan kerana cemburu tapi dia mahu menduga kejujuran Amelia.
Amelia tergamam. Dia yakin perbualannya bersama Puan Hamidah di dapur tadi telah didengari oleh Adrian. Dada mula berdegup kencang. Dia rasa risau kalau lelaki itu tidak menepati janji dan melepaskannya hanya kerana terasa hati dengan kata-kata Puan Hamidah tadi. Pantas, dia bangkit dan menghampiri Adrian. Lengan lelaki itu disentuh.
“Saya boleh terangkan.”
Adrian tarik tangan dari terus disentuh oleh Amelia.
“Nak terangkan apa? Nak terangkan aku harus lepaskan kau supaya kau boleh pergi pada Ian?”
Amelia sudah tidak tahan. Setiap kali nama Ian di sebut, kenangan silam dan hitam semakin segar di dalam otaknya. Dan itu membuat dia mahu menangis dan bersembunyi.
“Kalau awak tak nak dengar, tak apa. Saya minta maaf jika mak dah lukakan hati awak. Mak tak sengaja. Dan mak hanya risaukan saya.” Tutur Amelia lemah sebelum langkah dibawa menuju ke depan pintu.
Adrian mengerutkan dahi. Wajah ceria milik Amelia tadi sudah tampak benar-benar sugul saat itu. Pantas, dia menarik pergelangan tangan Amelia.
Amelia tersentak. Matanya terbeliak. Serta-merta, dia teringat akan kejadian silam. Wajah Ian masuk ke dalam kotak ingatan. Pantas, dia menjerit meminta tolong dan jadi tidak menentu. Dia turut menarik tangannya dari terus digenggam. Dia juga terdengar bunyi suara Ian memanggil namanya dan tertawa saat itu. Pandangannya jadi tidak tentu arah. Dia mencari tempat bersembunyi sebaik sahaja pergelangan tangannya dilepaskan.
Adrian sempat terkejut apabila Amelia menjerit tadi dan kerana itulah dia lekas-lekas melepaskan pergelangan tangan Amelia. Dia perhatikan Amelia yang masuk ke bawah meja sambil memeluk lutut. Lagak Amelia sudah serupa seperti perempuan diserang trauma. Otak mula berfikir kenapa Amelia tiba-tiba jadi begitu.
“Jangan... apa-apakan aku... aku minta maaf, Ian! Tolong jangan apa-apakan aku...” rayu Amelia kepada Adrian. Sepatutnya Adrian yang bersamanya di situ dan entah bagaimana Ian pula berada di bilik itu bersamanya. Kini, lelaki yang berada di depan Amelia hanyalah Ian. Bukan Adrian!
Adrian kehilangan bicara. Melihat Amelia merayu seperti mahu dicabut nyawa itu, dia yakin Ian pernah berniat tidak baik terhadap Amelia.
“Mel! Ini aku, Ad!” Adrian cuba memujuk. Namun, hanya tangisan dan rayuan yang sama Amelia tuturkan. Hati Adrian sudah diburu rasa serba-salah. Kini, dia perlu masuk ke bawah meja untuk memujuk Amelia.
“Jangan! Tolong! Tolong jangan apa-apakan aku, Ian!” Rayu Amelia bersama linangan air mata serta tatapan yang jelas dalam ketakutan. Tubuhnya menggigil hebat. Tangisannya juga telah membuat dua bahunya terenjut-enjut.
“Mel! Mel! Ini aku!” Adrian tahan dua bahu Amelia agar rontaan Amelia berhenti dan berharap Amelia akan sedar dari apa sahaja yang mengganggu fikirannya saat itu.
Amelia berhenti meronta sebaik sahaja telapak tangan Adrian menyentuh wajahnya. Bayangan wajah Ian perlahan-lahan menghilang dari pandangan. Yang ada bersamanya saat itu adalah Adrian. Pantas, tubuh Adrian ditarik sebelum dipeluk seeratnya. Tangisan dilepas semahu Amelia.
Adrian tidak tinggal diam. Dia mengusap belakang Amelia dengan lembut, berharap Amelia dapat bertenang.
Share this novel