FINAL TEA SER CINTA UNTUK AMELIA
Ting! Pintu lif terbuka luas. Alisha melangkah keluar dari ruangan sempit itu dan diikuti oleh Amelia dari belakang.
“Hah! Finally!”
Satu suara yang muncul tidak jauh dari mereka berjalan, mengejutkan dua gadis tersebut. Langkah Amelia dan Alisha sama-sama terhenti. Bersebelahan. Wanita yang berumur 40an dan jelas dengan penampilan elegan itu dipandang tanpa berkedip.
“Pandai pun you datang sini ek?” Sinis sahaja bicara wanita itu terhadap Alisha.
Alisha tidak berkata apa-apa. Hanya jelingan muat sahaja yang dia boleh tayang.
Amelia pula hanya memerhati. Wanita yang ada di depannya itu cukup cantik juga walaupun sudah berusia tapi tak setanding dengan mak mentuanya. Datin Suzanna punyai natural beauty. Cantik luar dan dalam. Cuma itulah, dia sedikit terkilan juga cara Datin Suzanna melayannya beberapa tempoh hari.
“Jadi, macam mana hubungan you dengan Adrian? Dah settle?” Tanya Datin Zubaidah, ingin tahu.
“Yes! Semua dah settle. So tak payahlah nak sibuk datang sini lagi!” Tanpa adab yang sopan, Alisha menjawab. Sebenarnya dia agak malu juga dengan perangai mummynya itu. Datang ofis orang dan mengganggu suami orang! Macamlah Alisha tidak tahu yang Datin Zubaidah cuba memikat Dato Hisyam. Mujur Dato Hisyam setia orangnya. Tak mudah termakan godaan perempuan!
“Mana boleh macam tu, selagi majlis tak jalan, I tak boleh pergi macam tu saja.”
“Majlis yang mummy harapkan tu tak akan berlaku. Sha dah cakap kan yang Sha tak nak rampas suami orang! Banyak lagi lelaki bujang, mummy! So, Sha datang sini sebab nak suruh Ad tolak rancangan mama dia!”
Amelia terkedu. Barulah dia tahu kenapa Alisha datang ke situ dan berjumpa suaminya. Dan wanita di depannya itu adalah ibu kepada Alisha.
“Berapa kali I dah cakap dengan you, Sha? Ad tu lebih baik daripada lelaki yang lain! Trust me, he will love you like...”
“Cukup mummy! Sha dengan Ad dah tak boleh baiki hubungan kami yang dulu. Kami dah berakhir dari dulu lagi. Please, mummy. Untuk kali ini sahaja Sha minta mummy faham, Adrian sudah beristeri. Dia sayang pada isteri dia. Sha tak kisah kalau mummy nak jodohkan Sha dengan lelaki lain. Asalkan lelaki itu bujang! Bukan suami orang!”
Datin Zubaidah sudah mendengus kasar. Susah benar untuk dia berbincang dengan anak perempuannya itu. Sudahlah keras kepala, degil pula tu! Kalau dia ada anak perempuan lain, dia rela memaksa anak perempuannya yang satu lagi itu menjadi isteri nombor dua Adrian daripada memaksa Alisha!
Amelia nampak kesungguhan Alisha dalam memujuk Datin Zubaidah tapi melihat reaksi si ibu, Amelia yakin, Datin Zubaidah masih bertegas dengan keputusannya mahu menjodohkan Alisha bersama Adrian.
“You tahu tak berapa duit yang Datin Suzanna offer untuk selamatkan butik I?”
Alisha mengeluh berat.
“I don’t care, mummy! Beribu ke berjuta ke, Sha tetap dengan keputusan Sha! Sha tak nak kahwin dengan suami orang!” kata Alisha. Tegas.
“Jangan nak kurang ajar dengan I boleh tak, Sha? Ini adalah peluang untuk you balas jasa I yang banyak berkorban dan lahirkan you! You ingat masa beranakkan you tu, mudah ke? Eh! Susah tau! Kalau I fikir balik! Sakit tu masih terasa lagi!”
“Mummy, kalau mummy nak Sha berterima kasih atas semua perjuangan mummy. Okey. Sha ucap terima kasih banyak-banyak tapi mummy, Sha tak boleh jadi isteri nombor dua Adrian. Sha tak nak jadi perampas! Tolonglah, mummy...” rayu Alisha.
“Eh! Susahlah bercakap dengan you ni! Tak faham bahasa! You jangan lupa dengan syurga you ya! Syurga you sekarang ada di bawah telapak kaki I tau!”
Amelia sudah mengetap bibir. Dia rasa kurang suka dengan isu yang dibangkit oleh ibu Alisha. Sabar yang ditahan sedari tadi itu sudah berada di titik paling maksimum. Jujur, melihat Alisha diperlakukan seperti tiada perasaan itu, dia jatuh kasihan. Dan itu membuat dia mahu menyampuk perbualan dua beranak itu dengan segera.
“Mak cik ni tak faham bahasa melayu ke?” Amelia menyoal. Siap memanggil Datin Zubaidah dengan gelaran ‘mak cik’ lagi!
Dua mata Datin Zubaidah terbutang. Wajah Amelia dipandang tajam.
“Excuse me? Mak cik you panggil I? You siapa?” Datin Zubaidah menyoal.
“Mummy, dialah...”
“Let me finish first!” Amelia menghalang Alisha dari memperkenalkannya kepada Datin Zubaidah.
Datin Zubaidah sudah mengerut dahi. Penampilan Amelia menjadi sasaran dua matanya. Gadis itu nampak biasa-biasa sahaja. Berbaju kurung dan bertudung bawal. Muka pun bersih tanpa makeup! Gaya macam baru masuk bandar! Komen Datin Zubaidah dalam hati.
“Mak cik, dalam kampung saya sebelum ni pun ada mulut macam mak cik ni tapi itulah, tak pernah nak insaf! Ni, anak mak cik cakap dia tak nak kahwin dengan Adrian. Kalau mak cik paksa sampai dapat pun, belum tentu lagi isteri dia nak tanda tangan borang poligami Adrian tu nanti.
Oh ya! Bukan mak cik yang akan tentukan anak mak cik ni masuk neraka atau syurga kalau dah gaya mak cik macam ni. Anak mak cik ni manusia. Ada hati dan perasaan. Sepatutnya mak cik lindungi dia, bukan maki dia ke, paksa dia macam ni. Mak cik tahu tak apa orang kata kalau anak mak cik ni rampas suami orang? Orang akan fikir anak mak cik ni perempuan murahan. Mak cik tak kesian ke? Tak kesian dekat bakal cucu mak cik nanti? Silap-silap orang tuduh keturunan mak cik ni semua tak elok! Keturunan perampas suami orang!” kata Amelia panjang lebar.
Raut wajah Datin Zubaidah sudah berubah. Dia ketandusan bicara. Kata-kata gadis tersebut ada juga benarnya dan jika diikutkan, memang benar, jika seorang lelaki itu ingin beristeri dua, kena ada kebenaran dari isteri pertama. Jika isteri pertama tak setuju, tak ada gunanya juga! Datin Zubaidah pandang gadis di depannya itu dari atas tudung sampailah ke hujung tumit. Gadis di depannya itu memang nampak seperti orang dungu tapi setiap kata yang dituturkan, semuanya berisi dan pedas! Dan semuanya masuk dek akal!
Alisha sudah diam. Dia tidak sangka pula Amelia pakar dalam mendiamkan mulut Datin Zubaidah. Selama ini wanita itu asyik mahu menang sahaja. Asyik dia sahaja yang harus diikuti atau dijejaki. Tapi hari ini, Datin Zubaidah sepertinya tidak tahu harus berkata apa dan membalas apa. Padan muka! Alisha merasa puas.
“Eh! You siapa nak lebih-lebih ni?” Datin Zubaidah ingin tahu.
Amelia sudah tersengih sinis.
“Mak cik... ini sayalah. Isteri Adrian. Amelia.” Amelia memperkenalkan dirinya sendiri.
Datin Zubaidah terbeliak. Dia tidak sangka pula dapat bertemu Amelia secara langsung hari itu! Selalunya dia hanya mendengar gosip sahaja dari Datin Suzanna tentang Amelia. Dan dia ingatkan Amelia ni alim sungguh orangnya. Maklumlah, dipuji oleh Datin Suzanna, orangnya baik dan pandai jaga waktu solat katanya. Tak sangka ada mulut pedas berbisa pula!
“Oh ya mak cik, anak mak cik ni adalah anugerah dari Allah untuk mak cik. Mak cik patut hargai dia dan bukan doa yang bukan-bukan untuk dia. Dan anak mak cik bukan barang untuk dinilai dan dijadikan untuk selamatkan butik mak cik tu. Saya mungkin tak tahu apa yang jadi tapi cubalah fikirkan balik perasaan anak mak cik! Mak cik tak kasihan ke dekat dia? Sanggup ke mak cik paksa dia hanya kerana duit dan butik mak cik? Mak cik tak takut kehilangan kasih-sayang seorang anak? Sebelum mak cik jadi macam mak cik-mak cik yang dibuang di jalan raya tu, baik mak cik fikir apa yang terbaik sebelum mak cik menyesal!” nasihat Amelia.
Datin Zubaidah memandang Alisha. Kemudian pandangannya beralih kepada Amelia. Dia mengetap gigi rapat. Kata-kata Amelia itu memang berjaya menjentik hatinya. Dia benar-benar kehilangan idea untuk melawan balik. Pantas, dengus kasar diluahkan dari bibir tanda memprotes.
“Jangan nak memandai-mandai ya! I ni ibu dia.”
“Disebabkan mak cik ibu dialah, mak cik kena jaga hati dia juga. Takkan sepanjang masa anak-anak kena jaga hati ibu aje? Lagipun apa yang mak cik suruh dia buat tu, perbuatan yang boleh undang fitnah. Nama anak mak cik boleh rosak. Keturunan mak cik pun boleh terpalit sama sebab kemahuan mak cik ni. Fikir-fikirkanlah ya mak cik. Jangan sampai menyesal di kemudian hari...” balas Amelia. Selamba. Biarlah dia dilabel kurang ajar, apa yang dia lakukan adalah untuk menyebelahi nasib Alisha yang memang amat menyedihkan.
Datin Zubaidah tayang wajah meluat. Kemudian, dia terus membelakangi Amelia dan Alisha. Langkah terus diatur menuju pintu utama. Dia keluar dari situ dan tidak menoleh lagi.
Amelia dan Alisha berpandangan. Selepas itu mereka sama-sama tertawa kecil.
**NOTA**
PRE OR DER CINTA UNTUK AMELIA sudah dibukakan. Sesiapa nak be li buku/ CINTA UNTUK AMELIA, boleh PM/DM saya di Fac atau IG, Pena Merah. Terima kasih kerana sudi mengikuti kisah AMELIA sepanjang Tea ser ini berlangsung??????
Share this novel