TEA SER 7 CINTA UNTUK AMELIA
“Alhamdulillah bang, Mel sudah selamat sampai ke rumah baru dia.” Beritahu Puan Hamidah kepada Tuan Sham.
Tuan Sham yang baru melabuhkan duduk ke atas pangkin itu menoleh ke arah si isteri sebelum bibir turut mengucap syukur.
“Harap-harap Mel baik-baik saja ya, bang?” Kata Puan Hamidah.
“Insya-Allah...”
Puan Hamidah mengalihkan pandangannya ke halaman rumah mereka. Biasanya petang-petang begitu, Amelia berada di situ untuk menyapu daun-daun kering. Tapi petang itu, Puan Hamidah terasa rindu pula. Maklumlah, hanya Amelia anak yang dia ada. Bila anak gadisnya itu sudah pergi ikut suami, semuanya jadi sunyi-sepi.
Perlahan-lahan, kotak ingatan Puan Hamidah mengulang kembali bagaimana dia memarahi Amelia pada malam sebelum majlis pernikahan Amelia berlangsung. Malam itu sepatutnya menjadi hari yang paling bahagia buat Amelia tapi sayang pada hari itu Amelia ditinggalkan dengan kenangan yang menyakitkan dan memilukan. Serta-merta hati diburu rasa sebak dan kecewa. Dia kecewa dengan diri sendiri yang gagal mengawal perasaan marah saat itu. Mengingat bagaimana dia menendang tubuh Amelia, hati diburu rasa serba-salah. Tidak seharusnya dia berbuat begitu kepada Amelia. Nasib baiklah ada Tuan Sham yang bertindak menghentikan semua itu. Kalau tidak, mungkin malam itu dia sudah bergelar pembunuh!
“Dah berangkat ke KL ke anak kamu tu, Midah?”
Tiba-tiba ada suara yang menyoal Puan Hamidah. Pantas, Puan Hamidah mencari si pemilik suara. Hati yang berduka bertukar jadi sakit pula setelah melihat kehadiran dua insan bermulut ‘laser’!
Makcik Embun dan Makcik Kiah mula tersengih-sengih setelah melihat reaksi Puan Hamidah yang garang.
“Kalau dia berangkat ke KL ke, ke Johor ke, ke Thailand ke, apa ada kena mengena dengan kamu?” Soal Puan Hamidah sinis. Habis tempat dia sebut dan dia tidak peduli.
Makcik Embun dan Makcik Kiah sama-sama menjeling meluat.
“Aku ni risau juga tengok anak kamu tu, Midah oi. Mana tahu sampai sana, jadi pembantu pula! Yalah, suami dia tu kan anak orang ada-ada.” Makcik Kiah mula menabur minyak ke dalam hati Puan Hamidah yang sudah panas-mendidih kala itu.
“Betul tu, Kiah! Kita ni jadi mak sepatutnya ikut menumpang di situ sebulan dua. Tengok anak tu okey ke tidak. Ya tak, Embun?” Kata Makcik Embun sambil memegang bahu Makcik Kiah.
"Eh! Betul tu, Kiah! Bukan apa Midah, anak kamu tu mengandung. Nanti tak cukup makan, tak cukup rehat. Mati budak dalam perut dia tu! Kalau mak dia pandai jaga, tak apalah juga. Kalau tak pandai, takut nama anak tak ada nama suami, dibuangnya budak tak berdosa tu, mana kita orang kampung nak letak muka, kan?"
Tuan Sham hanya diam dan jadi pemerhati. Kalau mereka itu lelaki, sudah pasti sekarang dia sudah bertumbuk dengan mereka sekarang. Mujur dua insan itu adalah perempuan!
Puan Hamidah pandang Makcik Kiah dan Makcik Embun. Kecik-besar sahaja dua manusia itu di matanya sekarang! Ada juga yang kena sepak-terajangnya sekejap lagi ni.
“Kamu berdua ke yang besarkan anak aku? Kamu berdua ke yang bagi dia makan? Bukan, kan? Aku kenal anak aku!” Sahut Puan Hamidah selamba.
Makcik Kiah dan Makcik Embun tayang wajah menyampah.
“Ni, kau orang berdua ni tak ada kerja dekat rumah ke? Tak reti nak balik rumah? Tak tahu nak masak? Asyik nak mengata anak orang aje kerjanya? Karang tak pasal-pasal anak sendiri pun bunting anak haram!” Kata Puan Hamidah. Satu demi satu sindiran pedas dilempar kepada dua wanita sebaya dengannya itu.
“Eh! Mulut kau tu jaga sikit ya, Midah!” Makcik Kiah sudah mula naik hantu. Jari telunjuk juga naik menunjuk ke arah Puan Hamidah. Makcik Embun yang ada di sebelah menahan agar teman baiknya itu tidak maju ke depan. Jika maju, bercakar pula nanti dua wanita itu.
“Terasa pula orang tua ni! Dia mengata orang, orang okey aje. Sabar aje. Bila orang mengata pasal dia, melenting pula!” Semakin galak Puan Hamidah menyindir Makcik Kiah. Dia tidaklah menyindir satu orang sahaja. Dia sindir yang sebelahnya sekali! Biar berapi-api hati dua insan itu.
“Kurang ajar kau Midah!” Makcik Kiah sudah berlari menuju Puan Hamidah. Namun, belum sempat dia menyerang, Puan Hamidah terlebih dahulu bertindak.
Tudung yang dipakai Makcik Kiah digenggam kuat oleh Puan Hamidah. Dengan tenaga yang dia ada, dia kerjakan Makcik Kiah cukup-cukup! Tersungkur tubuh besar milik Makcik Kiah ke atas tanah. Makcik Embun sudah terjerit-jerit meminta Tuan Sham menghentikan perbuatan isterinya tapi Tuan Sham buat tidak dengar.
“Pandai-pandailah kau orang hentikan si Midah tu. Dia tu mengalahkan askar. Jangan kamu balik patah kaki sudahlah,” pesan Tuan Sham. Acuh tak acuh.
Makcik Embun sudah mendengus kasar. Dia menghampiri Puan Hamidah. Wanita yang mengerjakan Makcik Kiah itu ditarik agar menjauh dari kawan baiknya tapi malang tidak berbau, dia pun turut dipukul oleh Puan Hamidah.
Beberapa orang kampung yang mendengar riuh-rendah itu turut menyaksikan dari kejauhan.
“Itulah akibat mulut laser!”
“Silap sindir orang ke Kiah oi? Embun oi!”
Laungan yang datang dari mata-mata yang menyaksikan kejadian tersebut sambil tergelak puas hati. Siapalah tidak kenal dengan bini Tuan Sham. Sekali dia naik hantu, memang dia akan kerjakan puas-puas. Sedangkan Tuan Sham sendiri malas mahu bertekak dengan isterinya itu. Bukan apa, takut tiang rumah patah dua nanti!
Share this novel