TEASER 6

Romance Series 3332

TEA SER 6 CINTA UNTUK AMELIA

“Kau masak apa?” Tanya Adrian sebaik sahaja telapak kakinya menapak masuk ke dalam dapur. Hari itu merupakan hari terakhirnya berada di situ dan sebentar lagi dia bersama Amelia akan berangkat ke Kuala Lumpur.

Amelia angkat wajah untuk melihat Adrian yang baru muncul. Tangan yang mengemas meja makan berhenti buat seketika.

“Hari ni saya masak ayam goreng ala-ala KFC, sambal petai, mashed potato dan nasi lemak.”

“Macam tak sesuai pula sambal petai tu?” Adrian menjongket kening.

“Ala, tak apa. Ayah tak pandai makan mashed potato. Sebab tu saya masak sambal petai ni. Lagipun nanti bila saya dah ikut awak ke KL, ayah mesti rindu masakkan saya...” terang Amelia.

Adrian mengambil tempat duduk di situ sambil tatapannya tertuju kepada hidangan di atas meja. Semuanya menggiurkan dan membuat perutnya berbunyi. Hari itu hanya mereka berdua sahaja yang ada di rumah. Tuan Sham dan Puan Hamidah pula macam biasa pergi ke kebun. Jadi, memandangkan orang tua Amelia masih di kebun, terpaksalah Adrian tahan lapar sekejap. Nak makan sama-samalah katakan.

“Ni, kau dah fikir masak-masak ke nak ikut aku balik KL? Hari ni hari terakhir tau.”

Amelia senyum. Dia sudah buat keputusan untuk ikut Adrian ke Kuala Lumpur. Hubungannya dengan Umar pun sudah berakhir. Ian? Ian sudah meminta maaf dan persahabatannya bersama Umar pun masih kekal. Sejak Umar diserang sawan dua hari yang lepas, sejak itulah Ian sedar betapa pentingnya persahabatannya bersama Umar. Walaupun pada mulanya, Umar tidak mahu menerima permintaan maaf dari Ian tapi siapalah dia untuk berlebih-lebih, kan? Sedangkan nabi sendiri lagi memaafkan umatnya. Inikan pula manusia biasa seperti Umar.

“Saya dah fikir masak-masaklah, awak. Kenapa? Awak tak sudi bawa saya balik ke?” Tanya Amelia. Saja mahu menduga. Punggung berlabuh ke atas kerusi meja makan sambil mata memandang wajah Adrian.

Adrian sudah tersengih. Tak nak bawa balik Amelia? Mana boleh! Kalau dia tinggalkan Amelia di situ, mahu gila dia nanti fikirkan isterinya yang jauh di mata itu. Bukan apa, dia sudah ada tanda-tanda sakit juga. Bukanlah sakit apa, sakit rindu sahaja! Cuma, penyakit ‘rindu’ itu tidak ditonjolkan kepada Amelia. Cukuplah hanya dia sahaja yang rasa dalam diam. Dia tidak mahu terpaksa tebalkan wajah kalau Amelia tahu apa yang dia rasa. Yalah, dia belum mengaku sudah sayang kepada Amelia lagi.

Adrian masih menunggu masa yang sesuai. Dan dia mahu sewaktu sesi meluahkan perasaan itu nanti menjadi kenangan yang tidak terpadam dari ingatan Amelia. Dia juga mahu buat kejutan yang paling membahagiakan buat Amelia.

“Aku ni seribu kali sudi kalau kau nak ikut balik. Cuma, aku tak nak kau menyesal bila dah sampai sana...”

“Menyesal? Kenapa pula?” Amelia menongkat dagu sambil merenung wajah Adrian.

“Dekat sana, kau bukan boleh bebas macam sekarang. Dalam rumah aku ada pembantu, nak memasak pun tak payah. Jadi...” Adrian balas tatapan Amelia dengan renungan nakal.

“Hish! Awak ni. Siang lagi tau!” Amelia sudah berfikir yang bukan-bukan. Dia bukan tidak tahu apa yang dimahukan Adrian jika direnung begitu. Tipulah kalau dia tidak tergoda juga! Dia tidak nafikan setiap belaian Adrian kepadanya adalah tulus dan dia akui, dia juga ketagih. Nak malu apa, sudah sah, kan?

“Eh kau ni! Kau fikir apa?” Adrian sudah tertawa mengejek sambil bergeleng melihat reaksi Amelia.

“Ala! Macamlah saya tak faham.” Selamba Amelia berkata.

Adrian sudah tergelak.

“Aku nak ajak kau jadi secretary aku nanti. Sekurang-kurangnya, aku dapat tengok kau 24 jam! Taklah bosan aku duduk dalam ofis tu nanti,” kata Adrian.

“Hah?” Amelia ternganga.

“Aku nak kau jadi setiausaha aku. Lagipun aku dah bagi tahu papa pasal ni. Dia okey aje.”

“Jadi awak dah mula jadi CEO?” Amelia menyoal perlahan. Walaupun agak serba-salah untuk menyoal soalan itu dan risau di cop mata duitan, dia tetap mahu tahu. Amelia bukanlah isteri yang suka mahu ambil tahu tentang jawatan tu. Kalau Adrian tak dapat jawatan itu pun dia tidak kisah. Lagi dia suka. Kenapa? Kerana tak adalah mata-mata perempuan nakal mahu menggoda suaminya nanti. Dia risau juga jika dia perlu bersaing dengan perempuan yang lebih cantik dari dia. Maklumlah, dia tahu di dalam hati Adrian belum tertulis sepenuhnya nama Amelia.

“Siapa? Aku? Tak jadilah aku nak ambil jawatan tu. Aku nak mula dari bawah dan aku nak kau jadi orang kanan aku. Kita belajar sama-sama ya?” Tangan Amelia dicapai dan digenggam oleh Adrian.

Mereka saling tersenyum. Saling berbalas genggaman. Dan saling bertatapan. Jantung yang berdegup perlahan tadi mula berdegup kencang di kala Adrian sudah mula menyentuh wajah Amelia. Perlahan-lahan, ibu jari Adrian mengusap tulang pipi Amelia sebelum ibu jarinya beralih ke bibir merah Amelia. Adrian usap bibir milik isterinya itu dengan lembut sekali.

Amelia hanya membiarkan. Matanya masih setia menatap wajah tampan milik si suami. Mereka sama-sama terpesona. Sama-sama memuji keindahan yang dimiliki oleh pasangan mereka di dalam hati. Di saat terbawa perasaan, sedar tak sedar, Adrian sudah mendekatkan wajah ke arah wajah Amelia sebelum tersenyum manis. Bibir Amelia seakan-akan memanggil dirinya untuk terus mendaratkan bibirnya ke situ. Hanya dalam beberapa inci sahaja lagi bibir mereka bakal bersatu.

“Aduh! Butalah mata mak ni!”

Tiba-tiba saja, ada suara Puan Hamidah terjerit kecil setelah melihat babak memalukan tersebut.

Amelia dan Adrian terbeliak. Spontan, mereka berdua berdiri. Adrian susun pinggan. Amelia pula menuju singki. Berpura-pura sibuk dengan kerja membasuh. Malu punya pasal! Semua kerja pun boleh buat dengan pantas.

“Kenapa dengan kamu ni, Midah?” Tuan Sham yang baru masuk ke ruang tamu juga terkejut setelah mendengar jeritan kecil milik isterinya tadi. Dia bergegas menghampiri Puan Hamidah dan mencuri pandang ke arah dua insan yang sedang sibuk di ruang dapur serta meja makan. Dia yakin ada sesuatu yang berlalu di situ tadi.

Puan Hamidah sudah tersengih.

“Tak lama lagi dapat cuculah kita, bang!” Tutur Puan Hamidah.

Amelia sudah pejam mata menahan rasa malu yang teramat. Adrian pula memandang Puan Hamidah dan tersengih macam kerang busuk.

“Oh! Ingatkan apa tadi. Patutlah kamu cakap buta tadi. Rupa-rupanya...” Tuan Sham bergeleng perlahan sambil bibirnya mengukir senyuman mengejek. Barulah dia tahu kenapa isterinya itu menjerit tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience