TEASER 5

Romance Series 3332

TEASER 5 CINTA UNTUK AMELIA

Sampai ke pekan di hujung kampung, Amelia dan Adrian memilih untuk makan di satu restoran yang dikatakan Amelia amat popular dan punya makanan yang sedap-sedap. Mereka mengambil tempat duduk yang agak dekat dengan jendela sebelum pelayan restoran itu datang menghampiri mereka bersama menu di tangan.

Apabila menu bertukar tangan, Amelia dan Adrian berpandangan buat seketika.

“Kau nak makan apa?” Tanya Adrian.

“Saya nak makan nasi lemak sambal pedas dan kuetiau goreng!” Jawab Amelia.
“Eh!” Adrian terkejut. Keningnya terjongket sebelah.

“Boleh habis ke?” Adrian meminta kepastian. Risau nanti membazirlah pula.

“Hish! Saya dah biasa makan dua menu tu kalau datang sini. Kadang-kadang sampai dua kali order! Sedap sangatlah katakan,” ujar Amelia jujur dan tanpa rasa malu.

Adrian hanya tersenyum dan bergeleng perlahan. Dia tidak sangka pula dapat isteri kuat makan macam Amelia!

“Okaylah. Kalau kau nak yang tu, aku pun nak yang sama.” Adrian pulangkan menu kepada pelayan yang masih setia berdiri di sebelah meja mereka.

Amelia mengangguk tanda faham. Selesai memesan makanan dan minuman, Amelia dan Adrian berbual kosong sambil memandang keluar jendela. Sedang mereka asyik berbual, ada dua wanita berumur 40an sedang menghampiri meja makan dan menegur Amelia.

Amelia angkat wajah sebaik sahaja terdengar namanya disebut. Ternyata ada Makcik Kiah dan rakan baiknya, Makcik Embun. Dua wanita itu musuh ketat Puan Humairah. Maklumlah, mulut tak berapa nak elok. Asyik membawang dan menabur fitnah sahaja kerjanya!

Adrian turut menoleh ke arah dua wanita yang melirik-lirik sinis kepada Amelia. Dia rasa ada yang tidak kena bila Amelia sudah tidak senang duduk dengan kehadiran mereka.

“Makcik nak duduk sekali ke?” Tanya Adrian, sombong.

“Eh! Mana ada. Makcik ni datang nak ucap tahniah sebab dah dapat suami ‘pak sanggup’! Yalah, semua orang kampung dah bercakap tentang si Mel ni. Dah mengandung, kan? Dah berapa bulan?” Tanya Makcik Embun kepada Amelia.

Amelia sudah tertunduk malu. Bibir sudah diketap. Geram. Macamlah anak mereka sempurna sangat! Haih! Panasnya hati. Sabar Mel... sabar. Amelia menyabarkan diri sendiri. Kemudian dia angkat wajah untuk memandang dua wanita bermulut ‘laser’ tersebut.

Adrian sudah berubah riak. Mendengar kata-kata makcik bertudung biru muda dan berkain batik tersebut, hatinya jadi tidak sabar mahu berperang mulut dengan makcik itu. Dia hanya tinggal menunggu mereka menghabiskan bicara sahaja lagi untuk memulakan peperangan.

“Itulah. Nasib baik suami saya ni baik orangnya. Sudi terima saya adanya. Beruntung saya, kan?” Amelia berkata dengan nada yang menggedik sambil menyentuh tangan Adrian. Saja mahu buat dua wanita itu sakit hati! Orang macam mereka, memang patut dilawan tanpa secebis rasa hormat.

Adrian terkejut mendengar kata-kata Amelia tapi dengan segera dia genggam tangan Amelia sebagai tanda dia menyokong apa yang dilakukan Amelia. Apa yang jadi selepas ini, dia akan tetap berada di sisi Amelia seperti yang telah dia janjikan.

Amelia sempat terkedu juga setelah merasa tangannya di dalam genggaman hangat Adrian. Hati yang tadi berniat untuk berpura-pura sahaja itu tiba-tiba diburu rasa tidak menentu pula apabila mata mereka bertemu buat seketika. Sementara dua wanita itu berbisik-bisik sesama mereka, saling mengumpat dan meluat melihat gelagat pasangan pengantin baru itu.

“Aku ni bukan apa, nak. Aku kesian dengan nasib kamu dapat isteri macam dia.” Tangan Makcik Kiah naik menepuk bahu Adrian, pura-pura tayang simpati kepada suami Amelia.

Amelia pandang wajah Makcik Kiah. Tajam setajam belati yang bersedia untuk menusuk hati sesiapa sahaja! Kalau terkena, memang meruaplah nanti rasanya!
Adrian sudah berpaling. Menanti ayat apa yang bakal makcik panjang akal itu katakan. Pintar sangat nak mengata anak orang nampak gaya dua makcik itu. Adrian yakin mereka juga punya anak. Tidak mustahil benda yang jadi kepada Amelia boleh terkena kepada anak-anak mereka juga. Bukanlah mahu mendoakan tapi takdir yang tertulis untuk semua orang tak ada siapa yang boleh duga.

“Kan? Kesian awak dapat isteri macam saya. Maklumlah, orang pendosa macam saya ni memang selalu kena hina tapi kan saya dengar kalau mulut jahat sebar fitnah sana sini, dosa dia lebih besar dari membunuh. Kan?” Sindir Amelia selamba.

“Eh! Kau ni menyindir kami ke, Mel?” Makcik Embun sudah bercekak pinggang. Gatal sungguh telapak tangannya waktu itu. Ada juga yang kena penampar ni karang!
Amelia buat wajah terkejut. Makcik Kiah dan Makcik Embun dipandang bersama senyuman sinis.

“Lah! Terasa rupanya... ingatkan diri sendiri sempurna. Yalah, apa yang keluar dari mulut makcik-makcik ni kan semua benda baik. Benda elok! Anak-anak makcik pun elok aje semuanya. Dalam TikTok, IG dan Fac semua suci aje perangai. Macam malaikat!” Sekali lagi Amelia serang dengan sindiran pedas.

“Kalau kau tak tahu apa-apa, baik diam. Sebelum aku cili-cili mulut kau tu, Mel!” Kata Makcik Kiah.

“Hai makcik, kalau benda tak betul, tak payahlah melenting. Buat macam Mel ni. Relax aje bila makcik-makcik sebar fitnah tentang saya. Padahal tak betul pun semua itu. Harapkan surat sebagai bukti? Silap-silap surat tu makcik yang buat!” Tuduh Amelia walaupun dia tahu itu adalah tulisan tangan dari Umar sendiri. Dia saja mahu simbah minyak ke dalam api. Nak tengok sejauh mana boleh terbakarlah katakan.

“Eh! Jangan nak menuduh ya, Mel!” Makcik Embun sudah mula menolak bahu Amelia, kasar. Terlepas dua tangan yang bersentuhan tadi.

Kali ini Adrian sudah berdiri tepat di depan dua makcik itu. Wajahnya serius dan tidak senang dengan kehadiran mereka di situ.

Amelia hanya memerhati. Riaknya pun sudah menampakkan perasaan di hati, benci dan meluat dengan dua wanita bermulut laser tersebut!

Makcik Kiah dan Makcik Embun agak terkejut. Mereka mundur beberapa tapak apabila melihat Adrian sudah berdiri.

“Saya rasa ada eloknya makcik pergi dari sini. Pergi surau kemas Al-Quran lagi baik daripada menabur fitnah tentang isteri saya. Dapat juga pahala. Lagipun makcik-makcik kena ingat yang kubur asing-asing makcik tu pun tengah panggil. Nanti kalau dah terlambat untuk bertaubat, buruk padahnya.” Pesan Adrian.
Makcik Kiah dan Makcik Embun berpandangan sesama mereka sebelum mereka bergegas meninggalkan Amelia bersama Adrian.

Melihat dua wanita itu kelam-kabut, Amelia terus tertawa geli hati. Adrian pula sudah melabuh punggung ke atas tempat duduknya sambil menatap wajah Amelia yang tergelak. Cantik sungguh pemandangan kala itu. Dan Adrian akui, dia suka cara Amelia tertawa.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Tanya Amelia sebaik sahaja sisa ketawanya hampir ke titik noktah.

Adrian hanya tersengih. Dia tidak mampu mengatakan bagaimana dia terpukau dengan gelagat Amelia sebentar tadi.

“Siapa pandang kau? Aku pandang kucing tulah.” Jawab Adrian sambil memuncungkan bibir, menunjuk ke arah kucing yang lena di atas lantai.
Amelia berpusing untuk mencari bukti. Ternyata benar! Ada seekor kucing berwarna hitam sedang menikmati tidurnya.

“Oh...” Amelia mengangguk berkali-kali. Dia ingatkan lelaki itu sedang leka menatapnya. Rupa-rupanya ada kucing! Bikin malu sahaja.

Adrian hanya tersengih sambil bergeleng. Pandangan dialihkan keluar jendela. Dia menikmati pemandangan jalan raya yang sibuk dengan kereta yang lalu. Sempat juga dia terpesona dengan kereta-kereta yang agak baru dilihatnya. Dia juga sempat memasang niat untuk membeli kereta baru tahun depan. Maklumlah, loan keretanya sekarang sudah hampir ke titik akhir. Nak juga dia pandu kereta yang bergaya. Barulah ada iras-iras CEO!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience