TEA SER 3 CINTA UNTUK AMELIA
Melihat keakraban Tuan Sham dan Ian, memang buat Adrian hanya berpeluk tubuh. Bukan kerana cemburu tapi kerana pelik! Yalah, semalam bukan main papanya beria menyuruh dia menjadi suami kepada Amelia tapi bila sudah jadi, datang pula ‘mamat’ ala-ala penyanyi Korea itu memberitahu sudah terlambat untuk membantu!
Amelia pula nampak tidak berminat mahu bersuara. Tatapan gadis itu nampak kosong dan lebih banyak berdiam diri walaupun seisi keluarga sedang tertawa.
“Saya nak berbicara dengan Amelia sekejap, boleh tak?” Ian meminta keizinan dari Adrian.
Adrian memandang seluruh keluarga. Cuba meminta persetujuan dari mereka dan setelah itu dia memandang ke arah Amelia yang seakan-akan sedang bergeleng tanda ‘tidak mahu’ dan ‘jangan’. Adrian dapat akal. Dia mahu tahu apa Ian mahu katakan. Mana tahu tentang kehilangan Umar? Dia nak juga tahu perkara sebenar!
“Boleh! Jom, kita berbual dekat luar!” Adrian mencapai tangan Amelia sambil membawa isterinya itu keluar dari rumah. Wajahnya terserlah senyuman lebar yang tidak dapat dibaca oleh sesiapa. Entah sedang teruja atau gembira.
“Saya tak naklah...” bisik Amelia.
“Pergilah...” bisik Adrian. Memaksa.
“Tapi...”
Adrian berikan tatapan tajam buat Amelia.
Memaksa Amelia tertutup bibir rapat.
Tidak lama mereka berada di depan rumah, Ian muncul dan keluar dari rumah. Lelaki itu menghampiri Amelia.
“Kau orang boleh berbual depan aku.” Kata Adrian sambil tersenyum penuh makna. Wajah Ian ditatap selamba, seakan-akan mahu membuli Ian pun ada kala itu.
Amelia sempat memandang wajah suaminya. Lelaki itu terlihat seperti lelaki yang sedang mempermainkan rakannya. Nampak jahat dan boleh membuat sesiapa sahaja meluat!
Ian tersenyum lebar. Dia tahu Adrian tidak suka dengan kehadirannya di situ. Pengantin baru itu juga dapat dilihatnya selalu melirik tajam ke arahnya semasa perbualannya bersama keluarga yang lain sedang berlangsung.
“Tolong lepaskan Amelia...”
Adrian dan Amelia tersentak. Tatapan mata Adrian juga tajam tatkala dia menatap wajah Ian.
“Jangan sentuh dia. Aku tahu dia masih suci.”
“Ian!” Amelia cuba menghalang Ian dari terus berkata-kata. Dia risau kalau ada yang mendengar perbualan mereka.
“Sebab dia milik aku...” Ian berkata dengan wajah yang cukup serius.
“Ian, apa...”
“Umar tinggalkan kau untuk aku. Umar tengah sakit. Dia pesakit kanser!”
Amelia terkedu. Wajah Ian ditatap tanpa berkelip. Hatinya bagai dipanah petir apabila mendengar bicara Ian. Benarkah apa yang didengarnya? Jika benar, kenapa Umar tidak berterus-terang?
“Tolong lepaskan Amelia. Aku akan ambil dia jadi is...”
“Kau ingat aku akan lepaskan dia? Dia isteri aku sekarang, kalau kau nak dia juga. Kau tunggu aku lepaskan dia. Dan kalau boleh kau bagi tahu dekat Umar, kalau betul sayang dekat perempuan tu, sayang betul-betul. Bukan tinggal macam buang sampah.” Adrian sudah tidak mahu lama-lama di situ. Pergelangan tangan Amelia diraih sebelum dia masuk semula ke dalam rumah bersama-sama. Langkah berhenti apabila mereka tersempak dengan keluarganya dan juga keluarga Amelia.
“Kami nak masuk dulu ya? Dah penat...” beritahu Adrian.
“Oh, pergilah berehat...” Tuan Sham sudah mempersilakan.
Sementara Amelia hanya menurut setiap langkah Adrian. Sampai di dalam bilik, Adrian tarik tangan Amelia. Memaksa Amelia masuk bersamanya. Pintu dikunci sebaik sahaja pintu tertutup rapat.
“Ken...”
Adrian tarik Amelia ke dalam pelukannya. Memaksa bibir Amelia untuk diam dengan bibirnya. Amelia cuba menghalang dan menolak tapi semakin dia memaksa Adrian untuk berhenti, semakin galak tangan Adrian menyentuh tubuhnya. Ikutkan hati, Amelia mahu menjerit tapi apakan daya, dia hanya mampu menurut. Tangan yang menolak akhirnya dijatuhkan sendiri oleh Amelia.
Amelia rela. Dia reda. Andai ini takdirnya, dia terima. Dia sudah tidak melawan. Hanya air mata yang mengalir untuk menjadi saksi bagaimana jiwanya terpaksa untuk menerima lelaki yang dia tidak cintai itu menyentuh dirinya.
Merasa Amelia sudah tidak melawan, Adrian berhenti. Tubuh Amelia sudah tidak sekuat tadi. Dia dapat melihat Amelia sudah memejam mata dan air mata milik gadis itu tidak henti-henti keluar dari tubir mata. Gadis itu seakan-akan sudah mengalah dan membiarkan maruahnya diragut secara paksa. Entah kenapa hatinya merasa amat marah apabila mendengar kata-kata dari Ian tadi.
“Aku nak kau buka mata!” Adrian mengarahkan.
Perlahan-lahan dua kelopak mata si gadis terbuka. Mata mereka bertemu dan bertatapan.
“Aku takkan dengan mudah lepaskan kau. Dan aku tak suka hak-milik aku dirampas orang. Kau adalah milik aku sekarang. Walaupun aku tak suka tapi kau kena ingat, aku tetap akan ambil hak aku dari kau sebagai seorang suami!” Kata Adrian sebelum berlalu menuju sofa yang ada di bawah jendela bilik tidur Amelia. Dia melabuhkan punggung ke situ tanpa memandang Amelia. Serba-salah dia kerana turut termakan hasutan orang-orang yang mengata buruk tentang Amelia. Rupa-rupanya, Amelia ditinggalkan hanya kerana penyakit yang ada di dalam tubuh Umar? Huh! Dasar lelaki tak bertanggungjawab. Desis hati kecil Adrian.
“Kau pergi tidur. Malam ni aku takkan sentuh kau. Aku akan tunggu kau benarkan.” Adrian berkata sambil berbaring.
Amelia hanya diam membisu. Air mata yang mengalir dikesat perlahan. Dia dapat melihat lelaki itu sudah tidak memandangnya. Entah apa yang sudah terjadi kepada lelaki itu pun dia tidak tahu. Hendak katakan dia cemburu, tidak mungkin. Hendak katakan lelaki itu marah kerana Ian pun juga tidak mungkin. Yalah, perasaan cinta dan suka milik lelaki itu tidak mungkin akan wujud hanya dalam sehari.
Tidak mahu membuang waktu, kaki Amelia mula mengatur langkah menuju katil. Dia naik ke situ dan melepaskan tudung yang melindungi rambut. Rambut yang diikat dengan getah rambut dilepaskan sebelum dia meletakkan kepala di atas bantal. Tatapan matanya masih setia tertuju ke arah Adrian. Bantal peluk dicapai sebelum dia memeluknya erat. Namun, di saat dia hampir merasa tenang, dia baru teringat akan sesuatu. Pantas, dia bangun dan berjalan menuju almari.
Sampai di depan almari, Amelia mengeluarkan selimut. Dia kembali ke katil untuk mengambil dua biji bantal sebelum dia mengatur langkah menghampiri Adrian yang sudah memejamkan mata. Mungkin terlalu penat agaknya.
“Awak...” panggil Amelia sambil jarinya menyentuh bahu Adrian.
Adrian buka mata. Wajah Amelia dipandang.
“Kenapa?”
“Ini...”
Belum sempat Amelia menghabiskan bicara, pintu bilik diketuk. Mereka bertatapan sebentar. Adrian memandang bantal dan selimut yang ada di tangan Amelia. Kalau ada yang nampak, habislah rahsianya terbongkar nanti. Pantas, selimut dan bantal dirampas dari tangan Amelia sebaik sahaja dia berdiri tegak di depan Amelia. Setelah itu, dicampaknya tiga benda tadi ke sebelah katil. Pergelangan tangan Amelia ditarik dan dibawa sehingga ke katil.
“Baring. Biar aku yang buka pintu.” Adrian berkata.
Amelia akur. Dia menarik selimut dan berbaring di situ. Bersedia untuk mendengar apa sahaja yang bakal dia dengar sebentar lagi.
Share this novel