TEASER 8

Romance Series 3332

TEAS ER 8 CINTA UNTUK AMELIA

“Akhirnya! Sampai juga kamu, Ad! Sini cepat. Mama nak kenalkan seseorang dekat kamu!”

Lengan Adrian yang baru sahaja sampai di depan pintu rumah itu ditarik oleh Datin Suzanna. Dibawanya Adrian masuk tanpa mempersilakan Amelia untuk masuk terlebih dahulu atau bersalam dengan Amelia yang sedang menghulur tangan waktu itu.

Sempat juga Amelia terasa hati tapi dia cepat-cepat buang rasa itu jauh-jauh dan cuba pujuk diri. Baru jumpalah katakan. Mungkin terlalu rindu dekat Adrian. Biasa depan mata, kan? Amelia pujuk hati sendiri.

Adrian sudah tidak sedap rasa melihat Amelia masih berada di depan pintu rumah keluarganya. Pantas, lengan yang ditarik, ditarik semula agar dilepaskan sebelum kakinya hampir melangkah masuk ke ruang tamu.

“Kenapa mama ni? Tak nampak ke Mel ada sekali tu? Dia nak salam mama kan tadi? Mama pula buat-buat tak layan! Jemput masuk pun tak! Hish!” Bebel Adrian. Geram pula dia dengan perangai Datin Suzanna itu.

“Eh, Ad! Dia boleh fikir sendirilah, Ad. Pandailah dia masuk sendiri. Lagipun mama nak bagi kamu tengok seseorang!” Kata Datin Suzanna.

Adrian sudah bergeleng melihat kelakuan Datin Suzanna. Dia mahu mendapatkan isterinya kembali. Tubuh berpaling ke belakang, bersedia untuk kembali kepada Amelia. Tapi, apabila dia hampir membuka langkah, hidungnya terhidu satu wangian. Wangian yang sangat dia rindui sejak dia berpisah dengan ‘seseorang’ dulu.

“Ad...”

Adrian terkedu. Sudah agak lama dia tidak mendengar suara itu. Sudah bertahun si pemilik suara itu terpadam dari lubuk hati. Tapi kenapa... kenapa dia muncul lagi? Kenapa suara itu muncul lagi di saat hati sudah tertulis nama Amelia?

Amelia tolak masuk pintu depan rumah ke dalam dengan perlahan-lahan. Sewaktu dia menapak masuk, dia dapat melihat Adrian terkaku di tempatnya berdiri. Di belakang Adrian pula ada seorang gadis sedang berdiri menghadap suaminya. Gadis itu tampak begitu cantik dan elegan. Kalah dirinya yang hanya bertudung labuh, berbaju t-shirt panjang dan berseluar slack.

“Kenapa dia ada dekat sini, ma?” Tanya Adrian tanpa menoleh ke arah gadis yang berdiri di belakangnya atau Datin Suzanna.

“Dia nak jumpa Ad. Alisha rindulah tu,” kata Datin Suzanna sambil tersenyum manis ke arah gadis bernama Alisha itu.

Adrian pejam mata rapat. Alisha... nama itu sudah lama di padam dari kamus hidupnya. Selama itu, dia tidak pernah mahu gadis itu muncul lagi dan siapa sangka pada hari itu, Alisha jejakkan kaki lagi ke situ. Memunculkan diri tanpa dipinta!
Amelia menghampiri Adrian. Namun, lekas-lekas Datin Suzanna mendapatkan tubuh Amelia terlebih dahulu. Menjaga jarak Amelia dan Adrian, seakan-akan mahu memisahkan! Amelia dan Adrian berpandangan buat seketika.

“Mel, jom! Tolong mama dekat dapur!” Ajak Datin Suzanna sambil menarik lengan Amelia.

Belum sempat Datin Suzanna membawa Amelia pergi, Adrian sudah meraih pergelangan tangan Amelia. Menarik isterinya agar terus berdiri di depannya.
Datin Suzanna sudah mengerutkan dahi. Terkejut dengan apa yang sudah dilakukan oleh Adrian sebentar tadi.

“Kami datang sini sebab mama yang panggil. Sekarang, Ad nak balik!” Adrian menarik pergelangan tangan Amelia sehingga ke depan pintu. Nama Adrian dipanggil berkali-kali oleh Datin Suzanna itu langsung tidak dipedulikan. Sebaik sahaja pintu dibuka luas, dia keluar bersama-sama dengan Amelia sambil di kejar oleh Datin Suzanna dari belakang.

“Awak!” Amelia cuba menghentikan Adrian. Kelakuan Adrian agak kurang ajar. Dipanggil oleh Datin Suzanna pun dia buat tak dengar! Geram pula dia dengan Adrian. Dia harus menghentikan Adrian dan menasihati suaminya itu.

“Awak, mama...”

“Diam!” Tengking Adrian. Matanya tajam menatap wajah Amelia yang terkejut dan terkedu. Sekali gus itu juga telah menghentikan langkah Datin Suzanna. Perlahan-lahan, wajah seriusnya naik menatap Datin Suzanna. Tidak ada senyuman yang diberikan buat wanita bergelar mamanya itu.

Amelia terus terkedu. Bibirnya sudah terkunci rapat. Baru kali ini dia melihat Adrian begitu, dalam keadaan marah dan menakutkan!

Adrian sudah berdecit. Terasa bersalah pula selepas menengking Amelia tadi. Tapi dia tidak tahu harus berbuat apa lagi ketika Amelia semakin galak memaksanya untuk berhenti tadi. Adrian kembali melakukan apa yang terbantut tadi.

“Masuk!” Arah Adrian sebaik sahaja mereka berada di depan kereta miliknya.

Amelia tidak banyak bicara. Dia terus melaksanakan apa yang diarahkan oleh Adrian. Takut dia untuk melawan bicara suaminya itu saat itu. Sebaik sahaja Amelia masuk ke dalam kereta, dia sempat terpandang wajah Datin Suzanna di luar jendela. Wanita itu kelihatan marah dan sedang bercekak pinggang.

Adrian sudah tidak peduli akan apa yang Datin Suzanna fikirkan saat itu. Dia hanya mahu membawa Amelia jauh dari situ. Nampaknya dia perlu bersembunyi sekarang kerana dia yakin Datin Suzanna akan mengejarnya sehingga ke rumah. Jadi, nampaknya dia perlu membawa Amelia ke mana-mana sahaja asalkan bukan rumahnya!

Melihat kereta Adrian sudah berlalu pergi meninggalkan perkarangan rumah, hati Datin Suzanna jadi panas sangat. Geram sungguh dia dengan perangai terbaru dari Adrian. Datin Suzanna mendengus kasar. Dia mengeluh panjang sebelum kembali masuk ke dalam rumah. Dilihatnya Alisha masih berdiri di tempat tadi. Mungkin cukup terkilan dan terkejut melihat kelakuan Adrian tadi. Kaki diatur untuk mendekati si gadis malang. Kasihan dia melihat Alisha.

“Alisha jangan sedih tau. Ad tu angin tak tentu pasal. Adalah tu masalah yang datang.” Datin Suzanna mengurut lembut lengan Alisha.

“Tak apa, aunty. Ad tak sudi pandang Sha lagi kut.” Alisha paksa diri untuk tersenyum.

“Eh! Jangan cakap macam tu, aunty yakin Ad akan terima Alisha. Alisha jangan risau ya?” Pujuk Datin Suzanna.

Alisha mengangguk perlahan. Hati pula jadi serba-salah. Mungkin dia silap memilih untuk datang ke situ di saat hati Adrian masih menyimpan kisah silam mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience