Bab 14ii

Romance Series 8734

Kejadian yang tidak disengajakan memaksa Nika memutuskan keputusan lebih drastik dan dia enggan memikirkan apa akibat pada dirinya sendiri. Dia juga tidak kembali semula ke hotel, sebaliknya mengikuti Zakiah pulang ke rumah membawa bersama hati yang terluka dan takut hendak dipulihkan oleh pujukan Amr kerana bimbangkan kejadian seperti malam tadi akan berulang lagi.
Sepanjang perjalanan, mereka berdua membatu, berdiam diri. Zakiah akhirnya membiarkan dia tenggelam dalam kekecewaan tanpa sebarang ulasan atau pertanyaan. Lagu-lagu sedih yang diputarkan oleh juruhebah menambahkan lagi rasa sengsara Nika. Sepertinya dia mengalami pengkhianatan cinta paling besar dalam hidupnya kerana memahami bahawa dia sebenarnya jatuh cinta dengan Amr. Pertembungan tadi menguatkan lagi persepsi itu. Dia cemburukan perempuan bersama Amr tadi sekaligus memperbodohkan dirinya kerana selalu berharap yang Amr juga begitu.
Ketika Zakiah menurunkan dia di hadapan banglo putih yang cukup menambahkan kejelekan malam itu Nika memaksa dirinya agar masuk ke dalamnya dan nekad ingin menyelesaikan hal antara dia dengan Amr pada malam ini juga.
“Jangan fikirkan sangat Nika, bincanglah dengan Amr baik-baik.”
Pesanan Zakiah itu seperti angin yang berlalu. Dia melangkah masuk ke dalam rumah dengan tubuh yang tidak berdaya, kakinya begitu lemah untuk diangkat menuju ke tingkat atas yang membawa ingatan pertama tentang Amr. Sebulan yang lalu dia pernah merasakan pada permulaan detik dia masuk dalam kehidupan Amr segalanya kelihatan sangat sukar. Namun, setelah meneruskan hari-hari bersama lelaki itu hinggalah ke hari ini nyatalah perjalanan mereka sebenarnya bukan sukar tapi menyeksakan!
Hatinya sedang retak dan sekejap lagi akan hancur jika kehidupan ini berterusan. Di saat jiwanya tidak lagi dapat menahan desakan emosi, akhirnya dia menangis. Dia menangisi kenapa ini semua perlu berlaku padanya. Setitis demi setitis airmatanya jatuh dan akhirnya dia tersimpuh di tepi balkoni panjang ditemani angin malam yang menari lembut dari balik langsir nipis sedang meraikan tangisannya. Tangannya digenggam kuat cuba mendapatkan kekuatan tapi dia gagal. Mengingatkan lagi jari-jari perempuan yang memaut mesra lengan Amr tadi hatinya bertambah pedih.
Ingatan itu menyeksa batinnya seolah-olah dia merasakan Amr sedang berdiri dari balik langsir itu sekarang dengan senyuman dingin dan hanya berdiri di situ, menyaksikan kesedihannya, mendengar tangisan sayunya.
Dia kagum cara penipuan yang Amr tunjukkan padanya. Malah akhirnya menyedari bahawa Amr sama sekali tidak mahukan dirinya. Lebih tepat lagi menjalin cinta dengannya. Apa yang dilakukan oleh Amr selama ini hanya sekadar mahu menyelamatkannya dari dianiaya oleh seorang ayah yang kejam dan ia bukan lagi sesuatu yang boleh dikenang sebagai jasa sebaliknya jalan untuk mencabut nyawanya perlahan-lahan dari jasad.
Dia terus menangis, entah mengapa dia tidak mampu menghentikannya. Dia tidak mengerti kenapa dia begitu terluka dengan kelakuan Amr tadi. Bukankah selama ini Amr juga mengerti kalau dia sendiri yang mahu membina jurang tebal yang tidak akan membolehkan mereka berdua menjadi seperti suami isteri. Jadi.... kenapa dia berkelakuan seperti ini, kenapa dia begitu kecewa sekali!
Mengenangkan ego yang tiba-tiba terbit dari dalam dirinya, Nika bingkas berdiri. Mahu ke bilik dan mengemas pakaiannya kemudian pergi, pergi dari kehidupan yang di dalamnya penuh dengan penderaan hati. Airmata dikesat, cuba menguatkan hati sendiri. Namun baru selangkah tiba-tiba langkahnya mati.
Kakinya diundurkan semula, dia kembali bersembunyi dari balik dinding ketika melihat Amr menaiki tangga dan kini sedang berjalan bersalut riak wajah berdukacita.
Dia kekal bersembunyi di situ menyaksikan seterusnya tingkah seorang suami yang hanya tertulis dalam sijil perkahwinan mereka. Fikirannya disaluti kehairanan melihat Amr pulang begitu cepat? Adakah Amr dapat merasakan kekecewaannya dan mencarinya di hotel, apabila mendapati dia tidak ada di sana Amr kemudian mencarinya di sini pula. Dapatkah Amr menghidu kesedihannya yang kini terselindung di tempatnya bersembunyi.
Lelaki itu sekarang sedang berdiri di hadapan pintu. Bukan pintu biliknya, tapi pintu kamar Nika. Nika terus memerhatikan tangan kiri Amr mengenggam tombol pintu dengan mata merenung jauh seolah-olah dia boleh menembusi kayunya untuk melihat isteri yang telah dicuranginya. Entah berapa saat dia berkelakuan sedemikian, tangan kanannya diangkat kelihatan seperti hendak mengetuk pintu tapi... tidak kesampaian, dia menurunkan kembali tangannya. Kemudian tangan Amr yang memegang tombol tadi beralih ke dada pintu dengan kepalanya tertunduk seperti menyesali dirinya sendiri. Hampir sepuluh minit berdiri depan pintu kamar itu Amr akhirnya beredar dan menghilang ke dalam biliknya. Nika yang melihat dari tempatnya berdiri tidak mengerti dan enggan menafsirkan apa-apa.
Dia turut masuk ke biliknya dan kelam-kabut mengambil beg kecil lalu memuatkan beberapa helai pakaian. Setelah itu dia mencarik sekeping kertas kosong dari buku nota kecilnya dan mencatat tulisan tangan yang kasar.
Amr, aku terpaksa pergi. Mungkin ini jalan yang terbaik untuk kita. Kehidupan kita berdua tidak akan sempurna sampai bila-bila pun.....
Nota ringkas itu dilipat dua dan dia menunggu seketika kalau-kalau Amr akan keluar semula. Dia akan meletakkan nota itu di bilik Amr yang mungkin dapat membacanya esok pagi. Nota itu jelas menunjukkan hati yang terluka dan betapa nekad kemahuannya untuk pergi. Pergi dari rumah ini dan meninggalkan Amr. Tidak kiralah berapa banyak dosa sebagai ganjaran atas tindakannya kerana melakukan hal itu. Bagi Nika, sesudah remuk seluruh jiwa dia tidak akan menunggu untuk menghancurkan sisa rasa yang masih berbaki. Dia tidak mahu menjalani hidup seperti ini, dia mahukan kehidupan yang normal, bukan terperangkap dalam kehidupan Amr yang benar-benar tidak pasti.
Lantas.... setelah menguatkan hati dan setelah hilang sabar menunggu Amr yang tidak juga keluar keluar. Selepas sejam dia terpaksa keluar biarpun Amr masih berada di biliknya. Pintu bilik Amr terbuka lebar. Nika menyelik ke dalam sambil berharap dia tidak menemui lelaki itu. Telinganya menangkap bunyi seperti air tumpah dari dalam bilik air. Amr sedang mandi. Sewaktu meletakkan nota kecil yang ditulisnya di bawah lampu tidur dia menyedari yang pintu bilik air juga tidak ditutup. Bunyi limpahan air jelas kedengaran.
Kemudian Nika berjalan keluar dari situ sebelum tersentak! Dia mendengar bunyi seperti kaca pecah dari bilik air. Dia berpaling ke belakang, jantungnya berdegup kencang seiring dengan rasa tidak enak dan bimbang tapi tetap melangkah meninggalkan bilik itu.
Entah mengapa sifat prihatin semulajadi dalam dirinya membuat dia berhenti beberapa kaki dari pintu bilik Amr. Dia kaku di situ dengan rasa ingin tahu pada bunyi kaca tadi. Nika lantas berpusing, masuk semula ke bilik Amr, jika mereka bertemu sekalipun dia akan menjelaskan niat sebenarnya.
Bunyi air melimpah masih kedengaran ketika dia menghampiri pintu bilik air, agaknya sudah berapa lama Amr di dalam bilik air. Dia lalu menjengukkan kepalanya ke dalam dan terkejut melihat sebotol wain merah yang pecah dengan isi kandungannya telah pun habis dibersihkan oleh limpahan air dari tab mandi. Amr masih tidak kelihatan, Nika semakin bimbang dan takut namun terus memberanikan dirinya menghampiri tab mandi yang dipenuhi air.
Tiba-tiba....
“Amr!!!!!!!!!”
Dia memekik menyebut nama Amr, nadanya bergetar penuh ketakutan. Tubuh Amr telah tenggelam dalam tab mandi. Ketika kelam-kabut menutup kepala paip di hujung tab, kakinya terpijak serpihan kaca, darah pekat mengalir dari tapak kakinya tapi dia biarkan sahaja. Nika menguatkan hati tidak mengadu kesakitan dan mencabut saja serpihan kaca tadi dengan tangan bergetar dan membuangnya. Hatinya cemas bukan kepalang.
Pantas dia menerpa tab mandi mencapai kolar baju kemeja dan menarik Amr ke atas sambil sebelah tangannya meraba-raba membuka penutup di bawah tab itu dan menemuinya di belakang Amr yang sudah tidak sedarkan diri lagi. Air mula berkurangan. Dia pantas masuk ke dalam tab mandi tersebut. Airmatanya bercucuran, bimbangkan keadaan tidak bernyawa Amr.
“Amr! Amr!!!” Nika menepuk pipi Amr berulang kali.
“Amr...!” panggilnya berulang kali sambil menepuk pipi lelaki itu kuat.
Air di dalam tab semakin cetek, tapi Amr masih belum sedarkan diri. Dia cuba mendapatkan denyutan nadi pada leher Amr, tidak ada. Jantungnya juga tidak lagi berdegup.
Nika semakin terdesak mencari pertolongan dan mula memberi bantuan CPR. Dia meletakkan kedua-dua tapak tangannya saling bertindih di atas dada Amr dan menekannya beberapa kali cuba mengeluarkan air yang telah memenuhi paru-paru.
“Amr! Bangun Amr!! Tolonglah....” rayunya sambil berdoa kepada Tuhan agar memanjangkan usia Amr.
Dia terus menekan dada Amr, kali ini lebih kuat. Namun... lelaki itu terus berdiam tanpa tindak balas. Di fikirannya ketika ini mahu membuat panggilan kecemasan, tapi dia tidak boleh biarkan keadaan Amr yang mungkin... tidak! Dia tidak boleh fikirkan tentang itu...!
Pantas tangannya menolak dagu Amr ke atas dan membuka mulut lelaki itu untuk melakukan CPR menghantar oksigen terus ke paru-paru dan jantung Amr yang tubuh dan bibirnya juga kini semakin sejuk serta kebiruan. Nika berusaha meniupkan udara ke mulut Amr, berkali-kali dan enggan menyerah.
Entah kali berapa dia melakukan sedemikian sehingga Amr akhirnya sedar lalu terbatuk, air keluar melalui mulutnya. Nika ketawa dalam menangis.
“Syukurlah, terima kasih Ya Allah.... terima kasih,” dia mengucapkan kesyukuran dan gembira apabila Amr telah membuka mata melihatnya, lelaki itu kembali bernyawa.
“Apa kau buat Amr.....” bisik Nika dengan airmata yang tidak lagi dikesan kerana kebasahan. Nafasnya turut tercungap.
Amr kepenatan, cuba menarik nafas dan memandang Nika di hadapannya.
“Maafkan aku Nika,” itulah ucapan pertama keluar dari mulut Amr yang masih mencari nafas.
Nika membantu Amr duduk, mereka berdua masih di dalam tab mandi yang lebar itu. Kedua-duanya kebasahan.
“Kau sepatutnya biarkan aku mati, aku tak layak untuk hidup Nika aku mahu mati.”
Nika menangis, tidak sampai hati mendengarnya. “Kalau sahaja kematian kau boleh menyelesaikan masalah kita, aku akan biarkan Amr. Tapi tak, aku tak mahu hidup dengan penyesalan,” katanya sambil menyeka airmata.
“Maafkan aku.... maafkan aku..” ulangnya lagi.
“Aku dapatkan ambulans dan bawa kau ke hospital..” kata Nika cuba berdiri ketika Amr menahan tangannya dari pergi dan membawanya kembali duduk bersama dalam tab mandi berwarna putih bersih itu.
“Jangan, jangan pergi... aku tak apa-apa, temankan aku di sini,” pinta Amr dengan wajah simpatinya.
Nika merenungnya sayu dalam masa yang sama tidak dapat melupakan kekesalannya beberapa jam yang lalu. Amr menggapai tangannya lantas digenggam erat. Nika dapat merasakan kedinginan jari-jari mereka berdua beransur-ansur hangat dalam genggaman. Jantungnya kembali berdegup kencang dan darahnya bergemuruh. Sebelah tangan Amr menyapu-nyapu rambutnya sendiri menunjukkan riak kesal yang mohon kemaafan. Detik itu juga, dia merasa terpujuk dan Amr berjaya membatalkan hasratnya untuk pergi walaupun sebelumnya dia begitu nekad.

Rahsia takdir hidup seseorang tidak berada di tangan seseorang yang lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience