Bab 17i

Romance Series 8734

Zakiah kembali menjadi bayang-bayang yang sangat menjengkelkan pagi ini. Di sebabkan dia langsung tidak berkesempatan untuk mengetahui kisah lanjut mereka berdua terserempak Amr dengan perempuan, jadi, ketika mereka beroleh kelapangan dia menerjah Nika yang sedang menyusun fail-fail Dr. Kumar di meja.
“Kau marah kat dia ke? Apasal dia baik sangat hantar kau pergi kerja dah dua hari ni..”
“Tak, aku tak kisahpun, itu dia punya pasal,” dia berbohong dan tidak mahu menceritakan pada Zakiah apa yang telah berlaku pada Amr malam dia mencarinya di rumah. Dia tidak rela lagi menjaja kisah hidupnya dengan Amr walaupun dia mengaku hubungan mereka berdua sangat bermasalah. Tidak semena-mena saat itu juga, Nika menanam semangat untuk menjadi seseorang yang membalas budi pada Amr kerana telah membebaskan dia dan ibunya dari seorang lelaki jahat dan sebagai balasan dia ingin benar membantu Amr membebaskannya dari belenggu hidup dalam kecelaruan.
“Betul ke? Bukankah kau cemburu lihat dia malam tu?”
“Err... dia dah minta maaf,” ucapnya perlahan. Berharap Zakiah tidak lagi bertanya. Tapi harapannya sia-sia, Zakiah belum lagi selesai dan berusaha mendapatkan cerita sebenar hingga ke akar umbinya.
“Kau perasan tak Nika..?” soalnya lagi.
“Apa dia?”
“Kawan-kawan Amr tu, malam kita nampak dia?”
“Kenapa?”
“Macam kumpulan gangster kan?”
Nika berpura-pura tidak mendengarnya. Sejak kebelakangan ini dia memang mencurigai kerja-kerja Amr. Terutamanya selepas dia mendengar perbualan telefon yang tidak syak lagi tentang urusan tidak baik. Tapi dia tidak ada bukti untuk mengesahkan perkara itu dan sekali lagi dia menekankan dirinya tidak mahu menceritakan hal itu juga pada Zakiah kerana dia bimbang Zakiah akan terlepas mulut lagi. Lebih-lebih lagi jika perkara ini sampai ke telinga Ishak.
“Nika, saya belum tengok lagilah muka suami Nika tu, tak nampak jelas, cermin keretanya gelap sangat,” Dr. Julia kemudian muncul dan duduk di sebelah selepas meletakkan fail-fail laporan pesakit yang ditindihkan di atas meja Dr. Kumar.
Nika termengkelan di situ mendengarnya. Kalau ada orang yang tidak diingininya tahu sama sekali dengan siapa dia kahwin orang itu ialah Dr. Julia. Semuanya kerana Amr pernah merempuh bilik pembedahan ketika Dr. Julia memberitahu padanya kematian seorang pengedar dadah tempohari. Nika yakin Dr. Julia mengingati wajah Amr.
“Eh... apasal muka doktor nampak pucat? Kerja semalaman ke?” ujar Nika mengubah topik perbualan mereka. Zakiah mengerlingnya.
“Emmm.... gitulah, mula pagi semalam sambung ke petang kemudian ke malam.. ha, pagi ni saya kena panggil pulak buat laporan pasal pesakit terkena sakit jantung, sebab kedai emasnya hampir kena rompak petang semalam..” ceritanya panjang sambil menguap Matanya mula kuyu.
“Kedai emas kena rompak lagi?” Zakiah terbeliak.
“Berapa kerugian?” tanya Nika pula.
“Tak ada kerugian, pasukan Unit Tindakan Khas a.k.a UTK dah tangkap tiga perompak tu, nampak macam mereka dah kena intai lebih awal,” cerita Dr. Julia lagi sambil menulis laporannya.
“Macam mana dengan tuan punya kedai tu?” tanya Nika.
“Dah ok, cuma tekanan darahnya naik mendadak pagi ni, sebab tu saya datang tengok di wad.”
Dia dan Zakiah mengangguk faham. Kemudian Dr. Julia terus bercerita.
“Aunt, tuan punya kedai tu cerita kat nurse dalam wad, ada seorang lelaki masuk pura-pura tengok cincin berlian, siapa sangka lelaki tu sebenarnya polis yang bertindak menangkap tiga orang lelaki yang menyerbu masuk nak merompak, polis yang menyamar tu terus menembak dua daripadanya sebelum pasukan UTK datang.”
“Cekap jugak kerja mereka kan,” kata Zakiah.
“Pasukan elit polis ni bekerja lebih teliti, macam pasukan komando 69 yang berjaya mengekang komunis sejak bertahun-tahun.”
“Komando 69 tu apa doktor?” tanya Nika.
“Sebuah unit elit, merekalah yang menghalang Al-mau’nah, ingat lagi kes di Bukit Jenalek, Perak yang gemparkan seluruh negara.”
“Ooo...” Nika cuba mengingati peristiwa lama dulu yang pernah mengejutkan semua orang dan menjadi bahan cerita paling menggemparkan.
Kemudian selepas setengah jam bersantai-santai, unit kecemasan mereka mula diasak kembali oleh kesibukan. Kes gastrik baru saja dilaporkan, seorang lelaki dan dua wanita. Tidak sampai lima minit, seorang wanita separuh usia didaftarkan sebagai kes melecur kerana tersimbah air panas dan mengalami kelecuran yang teruk. Nika mula sibuk dengan berbagai kerja, begitu juga Zakiah. Dr. Julia kelihatannya sedang merawat budak yang mengalami demam panas.
Sehingga ke petang kerja-kerja mereka tidak dapat diselesaikan dan disambung oleh pekerja-pekerja syif petang. Walaupun penat, Nika senang hati kerana dapat menyelesaikan pelbagai masalah pesakit yang cukup meraih simpati.
“Nika... kau nak ikut ke tak?” tanya Zakiah sewaktu mereka sama-sama keluar dari bilik air dan bersiap-siap hendak pulang.
Nika ragu-ragu menjawab tapi menganggukkan kepalanya sebab dia tak tahu samada Amr akan mengambilnya. Lelaki itu tidak memesannya semasa menghantarnya pagi tadi. Lantas dia mengikuti Zakiah berjalan keluar.
“Nika!” seseorang memanggil namanya. Dia berpaling laju dan melihat Husin mengangkat tangan memanggilnya.
“Ayah kau cari, tu...... dia kat sana..!” jerit Husin kuat dari kaunter pembayaran sambil menunjukkan pada Nika ayahnya yang sedang mencari-cari di ruangan menunggu.
Nika terkejut dan kelam-kabut bila dapat tahu ayahnya datang ke situ mencarinya.
“Kita pergi cepat Zak...” pantas tangan Zakiah ditariknya, mereka cepat-cepat berjalan ke tempat letak kereta. Mujurlah kawasan menunggu itu dipenuhi orang ramai, ayahnya masih mencari-cari dia di situ.
“Nika! Kat sinilah bukan situ.....” jerit Husin padanya lagi.
Tapi Nika dan Zakiah telah pun menghilang dari balik kereta ambulan yang baru saja menurunkan mangsa kemalangan. Mereka berdua langsung mendapatkan kereta yang tersadai di sebelah kanan kawasan parkir.
Zakiah yang turut terkejut pantas menghidupkan enjin kereta, keluar dari tempat parkir dan mula memandu melintasi perkarangan Unit Trauma dan Kecemasan. Nika sempat berpaling ke kiri dan melihat ayahnya sedang berlegar-legar dengan rupa selekeh dan bermasalah. Sudah tentu ayahnya nak minta wang, kalau tidak mustahil dia begitu berani datang ke tempat kerjanya selepas mereka membuat perjanjian pada malam dia bersetuju menikah dengan Amr.
“Astaga... beraninya ayah kau,” ucap Zakiah sambil terus memandu.
“Tak tahu malu betul,” sahut Nika.
“Orang.. kalau dah ketagih arak, judi mana ada malu lagi, dorang dah lupa diri, aku takut dia cari kau kat rumah Amr,” kata Zakiah.
“Tak.. dia takkan berani, Amr dah beri dia amaran malam tu, dia tak mungkin berani datang ke sana.”
Nika sendiri tidak yakin dengan jawapannya. Zakiah mungkin benar.
Oh Tuhan... Nika mengucap di dalam hati mohon kelapangan fikiran. Zakiah asyik-asyik mengerlingnya. Kereta-kereta di hadapan semakin menjauh. Dalam masa sepuluh minit lagi dia akan sampai di rumah. Benaknya sekarang dipenuhi bayangan wajah Amr dan kelibat ayahnya yang sanggup mencarinya sehingga ke hospital. Dia benar-benar malu dengan Amr kalau ayahnya mencari Amr pula jika tidak berjaya mendapatkannya nanti.
“Apalah nasib aku ni.. malang betul,” keluh Nika.
“Tak baik mengeluh Nika, kita ni hidup mana lepas dari masalah. Yang tak de masalah tu orang gila je..” sahut Zakiah dan tersengih sendiri.
Nika mendongak ke langit biru mencari matahari yang langsung tidak menampakkan diri sejak dari pagi tadi. Hanya mendung dan cuaca hangat yang dirasakan semua orang sejak dua hari ini. Dia leka berfikir, cuba-cuba mencari jalan bagaimana hendak terus mengelak dari ayahnya. Jalan lurus di hadapan agak lengang berbanding dengan otaknya yang telah diserabut dengan macam-macam masalah. Dia mula bingung tidak menyangka selepas beberapa bulan masalah yang sama nampaknya berulang lagi. Belum selesai satu hal dia perlu pula berhadapan hal yang lain lagi.
Tiba-tiba bunyi hon dari arah belakang mengejutkan lamunannya.
“Ya Allah.. apa ni..! Ya Allah.. Ya Allah....” ucap Zakiah tangannya kelam-kabut mencengkam stereng kereta dan memusing ke kiri membawa keretanya ke tepi jalan.
Nika ikut cemas bila sebuah kereta BMW sport berwarna putih tiba-tiba saja memintas kereta Zakiah dan berhenti betul-betul di depan kereta menghalang perjalanan mereka. Mujur Zakiah sempat menekan brek.
“Astaghfirullahal’azimm... kenapa ni Nika?” tanya Zakiah.
Nika mengangkat bahunya. Dia memanjangkan leher, semangatnya terbang melayang sebentar tadi. Zakiah masih terkejut sambil memegang dadanya seolah-olah hendak menahan jantungnya dari terjatuh. Dalam berdebar-debar, mereka berdua menunggu pemandu kereta yang menyekat perjalanan mereka itu turun dari keretanya. Kalau sahaja lelaki itu mencurigakan dia akan menjerit pada Zakiah supaya pergi dari situ. Bimbang kalau-kalau pemandu kereta mewah itu adalah Samuel. Walaupun dia tidak pernah melihat rupa lelaki yang diceritakan sebagai tauke pelacuran di bandaraya ini tapi firasatnya kian kuat sementelah melihat ayahnya datang mencarinya tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience