Bab 11ii

Romance Series 8735

Mereka berdua tiba tepat di hadapan rumah Amr pada pukul 9.30 malam. Rumah itu bergelap menandakan Amr belum pulang lagi.
‘Bagus, dia tak ada, ada kerja yang perlu aku buat..’ bisik hati Nika.
“Suami misteri kau tak ada di rumah, bolehlah terus tidur, tak payah masak atau... ehem ... ehem ...” usik Zakiah dan dia cepat-cepat pergi bila Nika menderam marah.
Nika bergegas masuk ke dalam rumah, semua lampu di luar dan dalam dipasang. Cahaya yang terang benderang terasa lebih menyenangkan perasaannya. Sebelum naik ke tingkat atas seperti biasa matanya melilau ke mana-mana perabot mencari-cari habuk dan kotoran yang perlu dibersihkan besok. Nampaknya setakat ini kebersihan ruang tamu itu masih terjaga, tak perlulah dia susah-susah sangat. Cuti lusa nanti baru dia bersihkan.
Dia sebenarnya benci dengan keadaan sunyi rumah Amr ini. Kalau diikutkan teori sebenarnya dia adalah seorang yang penakut dan tidak suka berseorangan di rumah. Emak sangat memahami tingkahnya itu. Cuma semenjak tinggal bersama Amr di dalam rumah besar yang bungkam lagi sepi ini dia berjaya memujuk hatinya untuk menjadi berani dan nekad meneruskan hidup selain menanamkan rasa percaya yang dia akan selamat berada dekat dengan jejaka aneh lagi dingin itu.
Kakinya menjejak ke tingkat atas dengan rasa letih yang belum hilang. Dia bercadang lepas mandi terus tidur.. tak payah makan, dia pun tak lapar. Bagaimanapun akal jahat sekilas datang menghasut sewaktu dia melintasi pintu bilik Amr yang terbuka lebar. Kepalanya di merengkan sedikit, empunya bilik itu masih belum pulang. Nika mula mendesak dirinya yang dia ada hak membongkar kehidupan sebenar Amr malah dia begitu teringin hendak mengetahui penyebab kemunculan Amr di unit kecemasan yang sangat mencurigakan petang tadi.
Kalau beberapa hari ini dia cuma menjadi seorang tukang cuci dalam bilik itu, hari ini dia mahu pergi lebih jauh lagi. Lantas dengan hati yang nekad tanpa memikirkan kemungkinan lain Nika melangkah masuk ke dalam kamar Amr. Seperti biasa, katilnya kemas kecuali jika dia mengambil kira sehelai tuala mandi yang seperti dilontarkan saja oleh Amr di hujung katil. Nika yang sudah menyebatikan dirinya untuk berkemas melangkah pantas mengambil tuala tadi dan mengampainya di tempat yang disediakan di sebelah pintu bilik air.
Kemudian dia kembali kepada niat asalnya untuk membongkar almari pakaian yang besar yang melekat pada dinding di sebelah katil. Bila dia membuka pintu almari isinya mengejutkan benar. Kemas dan rapi seolah-olah tidak pernah disentuh. Di dalamnya bergantung sut mewah dan kemeja hampir sama semuanya. Amr yang diperhatikannya suka memakai jaket coklat, berbaju ringkas dan memakai jeans mungkin hanya memakai pakaian itu pada waktu tertentu. Di rak yang lain terdapat berbaris-baris minyak wangi dan barang keperluan lain.
Pintu almari yang lagi satu juga begitu, cuma mengandungi t-shirt, baju lengan panjang dan sweater berwarna gelap. Nika menutup pintu-pintu almari pakaian tadi bersama rasa malap tetapi belum berputus asa. Dia meneruskan pencariannya ketika jam di tangannya menunjukkan pukul 9.55 malam. Dia kemudian menghampiri sebuah laci almari kecil yang terletak di sebelah katil. Di atas almari kecil itu terdapat sebuah lampu tidur yang cantik.
Otaknya sedang berfikir tentang briefcase yang Amr kata penting itu. Barangkali ada rahsia di dalamnya. Rahsia perniagaan haram. Di mana agaknya Amr simpan beg hitam itu.
Laci kayu itu ditariknya perlahan seolah-olah takut ada orang mendengar walaupun dia sedar dia cuma keseorangan dalam rumah tersebut. Cahaya kuning dari sepasang lampu yang terletak di kepala katil merupakan sumber utama Nika selain cahaya dari luar pintu. Dia tidak mahu membuka lampu utama kerana bimbang dia akan lupa menutupnya kembali dan membolehkan Amr mengesyaki apa-apa. Di dalam laci itu, dia menemui sebuah fail hitam yang bertindih dengan sebatang pen dan sebuah buku seperti diari yang juga berwarna hitam. Fail hitam itu ditariknya keluar.
Isinya cuma helaian kertas urusan perniagaan dan catatan akaun sebuah syarikat, urusan yang sangat tidak gemarinya. Dia terus membelek dan akhirnya menutup fail itu diringi rasa hampa yang perlahan-lahan menyelinap. Kemudian dia menyimpan fail itu semula dan mencapai diari hitam tadi. Itulah diari yang pernah dilihatnya yang dikeluarkan oleh Amr dari beg hitam tempohari.
Perlahan Nika membawa keluar diari itu dari dalam laci. Ia masih kelihatan masih baru, kulit keras berwarna hitam berkilat namun sebaik dibuka ia hanyalah diari kosong yang telah disimpan lama.
Tak ada benda yang Amr tuliskan di dalamnya, tetapi... ketika Nika melarikan muka suratnya dengan tak disangka-sangka dia menemui sekeping gambar seorang wanita kurus, tinggi dan berpipi cengkung yang menawan. Bentuk badannya memang menggiurkan kalau dia lelaki dia pun akan tertawan dengan kecantikan wanita dalam gambar itu.
Nika mengambil gambar itu dan mencari catatan nama atau apa-apa sahaja di belakangnya tapi tidak ada. Dia membelek dari muka surat pertama diari itu kerana yakin mesti ada sesuatu yang memberinya maklumat lebih lanjut. Akhirnya dia menemui nama Jasmine dicatat dalam bentuk tulisan tangan berukir yang cantik serta kemas di bahagian helaian kedua terakhir diari milik Amr.
Serentak dengan penemuan nama Jasmine, jantungnya berdetak kencang. Perasaannya tiba-tiba terguris. Dia tidak tahu kenapa dia menjadi begitu sensitif sekarang. Nika cuba menahan airmatanya yang bergenang dari tertumpah, dia membaca satu catatan ringkas yang pastinya dicoret oleh Amr sendiri yang tak sanggup hendak dibacanya tetapi tidak dapat mengelakkan mata dari terpandangnya kalau ia tertera jelas di situ tanpa perkataan lain.
‘ i love you Jasmine’
i’m sorry – R. Amr
Jarinya terasa bergetar ketika membelek lagi diari itu cuba mencari catatan atau gambar-gambar lain tentang Jasmine dan Amr. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia iri hati pada Jasmine, wanita dalam gambar tadi sebelum perasaan itu mati dengan begitu cepat ketika sekeping lagi gambar terjatuh secara tak sengaja. Dia mengutip gambar itu dari atas karpet dan tersentap kembali melihat gambarnya bersama arwah Tuan Rahmad yang memeluk bahunya mesra. Dia masih ingat lagi gambar itu diambil pada sambutan aidilfitri setahun sebelum arwah meninggal dunia. Senyuman arwah Tuan Rahmad berseri-seri dalam gambar itu.
Nika tidak pernah tahu samada arwah Tuan Rahmad pernah bercerita tentang dirinya pada Amr dan dia berharap sangat tidak, kerana dia tidak mahu Amr menganggapnya perempuan yang begitu teridam-idam hendak menjadi sebahagian dari keluarga itu. Apa yang lebih nyata sekarang, Amr bukan sahaja menjadi suaminya malah dia juga sumber kebencian Nika. Nama Jasmine tidak semena-mena terlibat dan dikaitkan sebagai perampas semua rasa bahagia. Tidak ada yang tinggal selain meratap nasib akan deritakah hidupnya nanti..
Dia cepat-cepat memasukkan semula fail dan diari ke dalam laci seperti kedudukan asalnya tetapi mengambil gambarnya dari simpanan Amr yang dia rasakan lelaki itu tidak akan peduli tentangnya. Baginya, dia tidak berhak berada dalam diari tersebut kerana Amr sudah ada Jasmine. Dia perlu buat pilihan lain walaupun dia mungkin tidak akan diberi pilihan. Airmatanya menitis sayu, kecewa dan benar-benar merasa seperti orang asing yang tidak mengenali siapa dirinya sendiri. Perlukah dia bertanya pada Amr siapa Jasmine? Adakah lelaki itu akan ketawa dengan kecemburuannya? Siapa pula dirinya di hati Amr kalau Amr sudah ada Jasmine dan lebih tepat lagi kenapa mereka mesti berkahwin kalau Amr sudah ada Jasmine?
Di depan almari kecil, Nika masih bersimpuh. Sedih dan cuba menahan diri dari meratap, bukan kerana kecewa pada Amr, lebih kepada nasib dirinya yang tidak pernah diimpikannya akan melalui saat-saat begini. Dia merasakan perjalanan hidupnya terlalu sukar dan buntu bagaimana hendak mengakhiri semua ini.
“Kau tunggu aku. ”
Bahu Nika terangkat mendengar suara mengejutkannya. Dia berpaling ke belakang. Amr sedang berdiri di muka pintu kamar. Tangannya pantas menyeka airmata di bawah kelopak mata. Perlahan dia berdiri.
“Apa kau buat dalam bilik?” soal Amr sambil memandangnya curiga.
“Aku, aku kemaskan bilik...” sahutnya gagap lalu melangkah ke pintu setelah yakin airmatanya tidak akan mengalir di hadapan Amr yang masih berdiri di muka pintu. Kedudukan mereka berdua kini hanya dalam jarak dua langkah. “....dan aku jumpa gambar ini,” kata Nika menunjukkan gambarnya bersama arwah Tuan Rahmad yang diambilnya dari dalam diari tadi. “Tapi.. bukan gambar ini saja Amr, aku juga melihat gambar Jasmine.”
Mendengar nama Jasmine airmuka Amr berubah serta-merta, matanya tiba-tiba redup dan merudum merenung bayang hitamnya di atas lantai. Saat itu dia seolah-olah terpisah ke dunia lain sebelum tersedar dan kembali merenung mata Nika dengan kening sebelah kanannya terangkat sedikit sambil melontar senyuman egonya.
“Kau cemburukan dia?” soalnya dengan nada mengusik Nika seperti tidak ada apa-apa yang perlu diperkatakan lagi. Dia seolah-olah mahu melupakan wanita yang bernama Jasmine itu.
“Aku berhak untuk cemburu Amr... ? Rasanya tidak, kau pun tahu itu..” ujar Nika berani dan berjalan hendak melangkah keluar dari bilik Amr.
Tiba-tiba... tangan gagah Amr menghalangnya dari keluar dan mencengkam kuat bahu kiri Nika yang terus terdorong di muka pintu. Mereka berdua kini berhadapan dengan lebih rapat hingga Nika dapat merasakan kehangatan dan haruman dari tubuh lelaki itu yang menunduk dan merapatkan wajahnya ke wajah Nika yang kini terasa sesak dan mahu mencuri nafas.
“Kau tak mahu tahu kenapa aku mengahwini kau dan kenapa bukan Jasmine?” kata Amr hampir berbisik di telinganya. Suaranya begitu membuai perasaan. Cengkaman jari Amr mengelus perlahan di bahunya dan...
Nika dapat merasakan tangan Amr telah melorot ke pinggang, perasaannya semakin terganggu. Darahnya bergemuruh, degup jantungnya turut merasai sentuhan tangan Amr.
“Aku tak perlu tahu hal itu, sebab ... ia, ia dah jelas. Keadaan kita sekarang dah membuktikan yang hubungan kita bukan apa-apa Amr. Aku cuma mahu tahu, siapa kau dan apa hubungan kau dengan pengedar dadah yang mati di hospital tadi!” dia melulu dengan perkara pokok kenapa dia boleh berada di dalam bilik Amr dan tidak mahu membahaskan hubungan peribadi mereka berdua yang menyebalkan.
Tetapi Amr hanya tersengih dan kembali bersuara perlahan.
“Betul kau tak mahu tahu kenapa aku mengahwini kau dan bukannya dia... Nika?”
Dia tidak tahu apa yang hendak Amr jelaskan dan Nika hanya merasakan yang lelaki kacak di hadapannnya ini sedang mempermainkan perasaannya yang sedia tersentap. Kenapalah dia mudah terpikat pada Amr. Kenapalah hatinya begitu mudah mengalah pada lelaki yang masih memegang pinggangnya semakin kemas. Tolonglah. Di mana semangatnya yang jitu itu.
Beberapa saat berlalu Nika akhirnya tersedar dan tidak ingin hanyut.
“Aku tahu kenapa kau mengahwini aku...” katanya dengan nada begitu dingin dan dapat melihat dengan jelas riak wajah Amr yang tiba-tiba serius dan dia menambah rasa tergugat itu. “dan ia adalah kesilapan yang paling teruk pernah aku lakukan untuk seumur hidup, lebih-lebih lagi selepas petang ini!”
Amr tercengang, mukanya seperti baru disimbah dengan air dingin. Beku dan menghairankan. Bagaimanapun, seperti tadi dia berjaya menyembunyikannya cepat dan kembali tersenyum dengan bibir nipisnya yang begitu menggoyahkan rasa dalam jiwa Nika.
“Kau pasti kau silap? Sebaliknya aku rasakan tidak, aku telah membuat pilihan yang betul,” katanya menjengkelkan hati Nika.
“Itu bukan jawapan yang aku mahu,” balas Nika kasar dan menolak tubuh Amr yang menghalangnya sebentar tadi lalu menerjah masuk ke biliknya, berkunci.
Macamlah Amr tidak memiliki kunci penduanya, fikirnya sambil menggaru kepala. Dia masih dapat merasakan sentuhan Amr, betapa kuatnya tarikan perasaan Amr hingga tubuhnya terasa dingin yang tidak ada kena mengena dengan suhu malam itu.
Dia terus ke bilik mandi berendam dalam tabnya dengan buih sabun yang banyak sambil benaknya tidak henti-henti diracun oleh kata-kata Amr yang seolah-olah begitu meyakinkan bahawa mereka berdua sedang enak dilamun cinta padahal zahirnya sangat menyakitkan. Dia tidak mahu terpengaruh dengan keupayaan lelaki itu berkata-kata memandangkan sebelum ini dia sangat mengenali lelaki dingin dan berat mulut itu.
Pada masa yang sama dia juga curiga dengan riak wajah Amr yang seperti terkejut ketika dia mengatakan ayat ‘lebih-lebih lagi selepas petang ini’ Ada yang tidak kena pada riak mukanya dan dia cuba memikirkan sejauh yang mungkin adakah benar Amr mempunyai hubungan jenayah dengan pengedar dadah yang mati di wad kecemasan petang tadi.
Hampir sejam di dalam kamar mandi dia lalu keluar dan tersentak melihat jam di meja menunjukkan pukul 11:06 minit malam. Dia terlupa adakah Amr sudah makan? Bagaimanapun, rasa prihatinnya mendadak berubah bila dia mahu memutuskan lebih baik kalau dia bersikap tidak peduli dan biarkan Amr terkontang-kanting sendiri. Dia dah makan ke? Belum ke? Itu dia punya pasal!

Dia tidak mahu terpengaruh dengan keupayaan lelaki itu berkata-kata memandangkan sebelum ini dia sangat mengenali lelaki dingin dan berat mulut itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience