Bab 11i

Romance Series 8735

Baru seawal tiga petang semangat Nika untuk berkerja sudahpun luntur. Masih ada enam jam lagi perlu dihabiskan oleh tubuh yang malas. Dia cuba menguasai diri untuk rajin, cuba mengemaskan katil-katil pesakit yang kosong kemudian memeriksa rekod-rekod dalam buku catatan kerja tapi akhirnya dia berhenti disatu sudut dan mengelamun kecewa mengingatkan Amr. Entah mengapa dia boleh terjebak dalam ingatan pada lelaki yang menyakitkan hati itu.
Fikirannya sejak dari tadi sesak oleh kata-kata terakhir Amr dengan kawannya semalam di depan hotel. Ingatan itu langsung tidak mahu lari dari benaknya, sungguh dia tidak berjaya mengusirnya keluar dari hati. Sejak lewat semalam sampai ke jam ini dia masih mendengar perkataan ‘kawan’ itu di kepalanya. Tak guna! Kenapalah dia harus memikirkannya.
“Nika!”
Dia tersedar ketika Zakiah muncul mengejut di hadapannya.
“Apa kena dengan kau ni, monyok tak tentu pasal.”
Dia tidak akan beritahu Zakiah pasal cerita itu. Tidak sama sekali. Diperkenalkan oleh suami sendiri yang dia sekadar kawan sudah cukup memalukan apalagi menceritakannya pada Zakiah.
“Aku … biasa je.” Jawab Nika dan kembali dengan kerjanya. Berpura-pura sibuk walaupun hari itu bahagian unit kecemasan kelihatan lengang. Cuma dua orang pesakit yang sedang tidur di katil.
“Sejak bila kau pandai sembunyikan rahsia dari aku?” Zakiah mendesak dan mengekori lagi dia hingga ke kawasan rawatan untuk penyakit asma.
“Tak ada apa-apa aku okey, aku cuma rindukan mak aku.. itu aje,” cuba memuaskan hati Zakiah dia menambah “dah seminggu aku tak telefon mak aku..” katanya jelas dan enggan berbincang lebih lanjut.
“Bukan pasal Amr,” laju saja nama itu keluar dari mulut Zakiah.
Nika menggeleng dan beralih ke sudut troli ubat-ubatan. Tetapi tidak lama berada di situ namanya dipanggil Dr. Julia dengan nyaring. Zakiah kecewa meninggalkannya kerana tidak dapat mengorek rahsia lalu pergi membantu seorang pesakit lelaki tua yang terbongkok-bongkok masuk bersama cucunya.
“Nika ready, di bilik emergency, kita ada mangsa kemalangan,” kata Dr. Julia padanya sambil bergegas.
Dia mengekori dari belakang dengan langkah lebih pantas menyusul Dr. Julia yang keluar menunggu di depan perkarangan unit kecemasan.
Tidak lama kemudian bunyi siren kereta ambulan masuk ke perkarangan. Memang mencemaskan, orang ramai mula tertoleh-toleh ke belakang mereka. Nika, Dr. Julia dan Suzzie bersedia menyambut mangsa. Sebaik sahaja pintu belakang kereta ambulan itu dibuka Rafiq dan Husin keluar membawa turun troli pengusung dengan Dr. Julia lebih dulu menerpa.
“Kepala mangsa cedera teruk, bahagian dada dan perutnya tercucuk serpihan kaca!” beritahu Husin tercungap kepada Dr. Julia. Nika dan Suzzie kemudian mengambil alih troli pengusung.
Dia berasa kengerian dan ngilu melihat muka dan seluruh tubuh di troli yang sedang disorongnya dibasahi oleh darah pekat. Dua serpihan kaca panjang tertusuk pada perut mangsa. Orang-orang ramai yang berada di situ terjengket-jengket mahu melihat.
“Berhenti...! Berhenti!!” jerit seseorang yang menyusup laju dan berada di perantaraan antara Suzzie dan Dr. Julia sekaligus.
Nika terkejut melihat kemunculan Amr yang tiba-tiba mahu melihat mangsa di atas troli itu. Matanya membulat dan tidak percaya.
“Macam mana keadaannya?” tanya Amr.
“Parah,” sahut Dr. Julia.
Amr beralih memandang pada Nika dan berkata, “tolong selamatkan dia.”
“Encik, kami akan cuba tolong beri laluan,” pinta Dr. Julia.
Mereka bertiga terus menarik troli dan masuk ke dalam bilik kecemasan dengan hati Nika tertanya-tanya apa kena dengan Amr. Siapa mangsa yang dirisaukannya itu?
Dalam bilik kecemasan satu pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan serpihan kaca dari badan mangsa. Nika membersihkan luka-luka hampir di keseluruhan muka. Suzzie membantu Dr. Julia yang cuba menghentikan pendarahan di bahagian kepala dan tubuh mangsa. Tetapi Nika tidak yakin lelaki yang cedera parah ini boleh selamat. Sejurus kaca-kaca dikeluarkan dari tubuh mangsa Dr. Julia masih bersusah payah bila darah mangsa tidak berhenti keluar dari tubuhnya.
“Usus besar mangsa pecah dan berlaku pendarahan dalam perut,” kata Dr. Julia cemas. Nika memberikan beberapa lagi gauze pada Dr. Julia yang cuba menghentikan pendarahan.
Tiba-tiba bunyi ritma jantung mangsa memberi isyarat, mereka bertiga berpaling dan berhenti dari berbuat apa-apa melihat monitor defriblator yang memaparkan ritma jantung bertukar dari jaluran kusut kepada lurus dan berbunyi nyaring menandakan tiada lagi degupan jantung.
“Buat renjatan jantung!” kata Dr. Julia. Nika pantas memasangkan pad pada bahagian dada kanan dan rusuk kiri mangsa untuk membuat renjatan elektrik. Suzzie tercungap di sebelahnya.
Nika segera menghulurkan alat pengecas pada Dr. Julia untuk memberikan kejutan arus elektrik pada jantung mangsa. Selepas menaikkan meter cas, Dr. Julia meletakkan alat tadi pada dada mangsa dan memberikan renjatan dalam kiraan tiga. Tubuh tidak bernyawa itu terangkat.
Nika melihat monitor yang masih memaparkan draf garis lurus yang tidak berubah. Dr. Julia membuat kejutan kali kedua, tidak ada tindak balas. Kali ketiga juga sama dan akhirnya dia mengesahkan kematian mangsa.
“Waktu kematian pukul 5.50 petang,” Dr. Julia memberi pengesahan. “Saya akan beritahu keluarganya,” katanya lagi lalu keluar.
Siapa ahli keluarga mangsa? Amr? Fikir Nika sambil dia dan Suzzie membuat kerja-kerja terakhir untuk si mati. Belum sampai seminit Dr. Julia keluar, dia dan Suzzie mendengar satu pertengkaran kuat di luar pintu.
“He’s dead!!”
Suara itu sangat mengejutkan Nika, dia mengangkat kepalanya dan terkedu di tempatnya berdiri melihat Amr yang tiba-tiba sahaja merempuh pintu bilik tersebut dengan wajah yang bengang dan tidak percaya dengan apa yang Dr. Julia beritahu padanya tadi.
“Pendarahan yang teruk pada dada, perut dan usus dalaman mangsa,” jelas Dr. Julia yang mengekorinya di belakang.
“Atau kamu tidak berusaha keras untuk menyelamatkan nyawanya,” kata Amr bengang sambil merenung pada Nika tajam seolah-olah dialah penyebab lelaki itu mati.
Nika berundur setapak kerana takut.
Amr kemudian menghampiri mangsa yang telah ditutup dengan kain putih dan membukanya. Tanpa mempedulikan larangan dia dengan kuat memukul dada kiri si mati, bersungguh-sungguh dia melakukannya untuk menghidupkan lelaki yang sudah diisytihar sudah mati itu. Dr. Julia cuba melarang. Tetapi Amr langsung tidak peduli. Tanpa belas dia menampar-nampar pipi lelaki malang yang benar-benar sudah tidak bernyawa lagi.
“Jeffry! Jeffry!! Bangun bodoh!!” teriak Amr geram, bibirnya bergetap marah.
“Encik… encik… tolong keluar, tak ada apa-apa yang perlu dibuat lagi, kami akan uruskan jenazahnya, kalau encik bukan ahli keluarganya lebih baik encik pergi dari sini sebelum saya panggil polis!” arah Dr. Julia yang langsung tidak berkenan dengan sikap berang Amr.
“Okay,” sahut Amr dingin dan berjalan keluar. Nika memerhatikannya dengan perasaan gerun. Ketika telefon bimbit Amr berdering, dia pantas mengangkatnnya dan mereka mendengar pula dia memaki dari corong talian. “Bodoh! Dia sudah mati!” jeritnya pada si pemanggil.
Nika mengeluh lega, bukan kerana Amr keluar dari situ tetapi kerana lelaki itu tidak memberitahu pada semua orang di situ yang dia adalah suaminya, mujurlah Zakiah tidak ada. Bagaimanapun, itu bukan persoalan sebenar. Persoalan yang lebih penting di sini… apa hubungan Amr dengan lelaki yang baru mati itu.
“Ada sesiapa kenal lelaki gila tu!” kata Dr. Julia ketika dia masuk semula.
Suzzie menggeleng laju. Nika pula langsung tidak menyahut. Cuma hatinya sahaja yang berkata ‘Ya betul, dia memang gila! Tidak syak lagi!’ desis hatinya.
Sekejap sahaja cerita pasal Amr meredah bilik kecemasan tersebar di unit mereka. Zakiah yang tidak berada dalam situasi itu menghayati cerita Suzzie pada waktu lapang tanpa pesakit mendaftar.
“Lelaki tu berlagak betul! Macamlah dia tahu cara nak buat supaya lelaki tu hidup balik!”
Itu pendapat awal Suzzie tentang ‘suami’ yang Nika rahsiakan dari rakan-rakannya kecuali Zakiah dan dia bersumpah tidak akan memberitahu sesiapa yang dia kenal sangat dengan lelaki yang sedang rancak mereka ceritakan sekarang.
“Dia tak cakap nak saman?” tanya Zakiah.
“Tak… dia cuma tahu sebut bodoh!” sahut Suzzie.
“Aku nampak dia berang betul di luar masa Dr. Julia jumpa dia…” kak Ira pula mencelah dan turut mengambil tempat duduk di sebelah Nika yang memejamkan matanya berharap benar dia sedang pekak ketika itu.
“Korang tahu tak sapa lelaki yang mati tadi tu?” Husin pula muncul.
Zakiah memusingkan kerusinya menghadap dengan riak tidak sabar menunggu penjelasan Husin yang serba tahu urusan di luar.
“Abang Husin kenal?” soal Nika juga yang tiba-tiba berminat hendak tahu siapakah lelaki yang telah pun mati lebih sejam yang lalu.
“Tak…” jawab Husin kemudian menyambung ceritanya. “Tapi polis baru saja datang tadi dan buat laporan. Lelaki tu seorang pengedar dadah paling dikehendaki di sini, kereta lelaki tu terlanggar lori masa kereta peronda kejar.”
Nika mendengking kuat menyebabkan mereka semua berpaling padanya. Cepat-cepat dia menutup mulutnya.
“Habis tu lelaki yang mengamuk tu siapa! Geng si mati?” nampaknya Suzzie masih belum puas hati.
“Tak muncul-muncul lagi, polis langsung tak berminat dengan lelaki tu masa Dr. Julia cerita V8 kat pegawai tingginya. Keluarga mangsa yang sebenar dah datang menuntut jenazah tadi,” jelas Husin lanjut.
Nika terlopong melihat Husin yang baru saja membuatkan dia orang yang paling berminat dengan kemunculan mengejut Amr lewat petang tadi. Dan selepas cerita Husin dia kembali menjadi pengingat akan banyak hal yang melibatkan Amr. Pertama, Amr datang ke wad kecemasan dengan tangan yang luka seperti diserang benda tajam. Kedua, Amr datang lagi menemui seorang lelaki bergari yang pernah dirawatnya kerana terkena tembakan dan petang tadi Amr muncul dengan kes kematian pengedar dadah yang sangat dikehendaki di KL. Amr penjenayahkah? Patutkah dia buat laporan? Atau telefon mak?
“Nika! Nika...” bahunya dipukul kuat. Zakiah berdiri di hadapannya. “Kenapa dengan kau ni? Jomlah pulang,” ajak Zakiah.

Nika pula langsung tidak menyahut. Cuma hatinya sahaja yang berkata ‘Ya betul, dia memang gila! Tidak syak lagi!’ desis hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience