Bab 17ii

Romance Series 8735

“Astaga.... laki kau rupanya Nika, aku ingat sapa tadi?” ucap Zakiah yang lega bila Amr turun dari kereta.
Tidak seperti Nika yang tambah terkejut, mulutnya seperti terkena sumpahan, tak boleh bercakap. Cuma Zakiah yang bersuara penuh teruja.
“Oh... wow, dia pakai BMW sport, alamak bertuahnya kau Nika.. kalau kau tak mau laki kau ni bagi kat aku jer.”
Amr berkacamata hitam, t-shirt kelabu dan jeans hitam lusuh tapi cukup menawan dan bergaya malah dengan gambaran begitu dramatik dia berjalan ke sebelah tempat duduk penumpang sambil tersenyum. Dia mengangkat tangan pada Zakiah yang masih lagi teruja mengekor dengan matanya.
“Kenapa dengan dia?” soal Nika masih kaget, matanya merenung tepat kelibat Amr yang membuka pintu.
“Aku ingat dia nak culik kaulah, apalagi, turunlah tuan puteri, putera raja kau dah datang ambil tu.”
Pintu kereta dibuka dari luar.
“Kenapa?” tanya Nika pada Amr, nadanya kedengaran pelik dan wajah polos yang sangat naif..
Zakiah memukul dahinya sendiri. Nika pula terkebil-kebil di bangku.
“Kau tak tunggu aku.. jadi, aku kejar kereta ni.. thanks Zakiah,” kata Amr sambil melontarkan senyumnya pada Zakiah dan membongkok mencapai lengan Nika yang seperti dipaksa turun.
Dia tergesa-gesa mengambil handbagnya.
“Tak apa, dia ingat kau tak datang tadi,” balas Zakiah dengan senyum lebarnya yang aneh.
“Tak payah susah-susah, aku boleh ikut Zakiah,” kata Nika kehairanan melihat Amr hanya tersenyum dan membawanya menuju ke kereta BMW itu.
“Aku perlukan kau,” bisik Amr.
Dahinya berkerut tapi mengikut sahaja kehendak Amr. Nika sempat berpaling ke belakang, Zakiah mengangkat ibu jarinya seronok sedangkan dia berjalan dengan rasa tidak selesa bila dipimpin oleh Amr hingga dibukakan pintu kereta yang hanya mempunyai dua pintu itu.
Bila pintu ditutup, dia menghidu haruman yang menyegarkan. Hatinya berubah lembut terpesona dengan suasananya. Kereta itu benar-benar mewah, dia tidak pernah melihat kereta sebegitu bagus buatannya, jauh benar dengan kereta Zakiah. ‘Bukanlah dia tak kenang budi kereta Zakiah pulak,’ tapi.. kerusinya sangat menyelesakan. Tiupan pendingin hawanya begitu menyentuh perasaan hingga Nika tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata. Bagaimanapun, dia harus mengawal diri. Kemewahan yang dilihatnya ini bukan apa-apa, dia perlu sedar siapa dia?
Amr masuk ke dalam dan membawa kereta itu semula dengan senyuman ringkas yang baru sahaja diberikan padanya.
‘Ada yang tak kena dengan mood lelaki dingin ni,’ fikir Nika pelik.
Amr terus memandu menuju ke jalan yang kembali semula ke bandaraya JB. Bibirnya sesekali dihiasi senyuman nipis.
“Ada yang tak kena ke? Apa yang lucu sangat, tengok cerita lawak ke tadi?” tanya Nika.
Tiba-tiba saja Amr ketawa. Lelaki itu ketawa? Sesuatu yang tak pernah berlaku sebelum ini dan selama mereka berada sedekat ini.
“Kau ketawa?” tanya Nika aneh dan agak janggal melihatnya.
“Aku senang hati. Aku tak pernah rasa begini,” jawab Amr sambil menoleh padanya ketika sedang memandu. “Hari ini, aku cuba buat apa yang kau suruh, tarik nafas, fikir positif dan entah kenapa aku rasa tenang, tak seperti selalu,” sambungnya lagi.
“Baguslah, begitulah caranya dan jangan ambil arak lagi. Ia bukan saja haram tapi tak bagus untuk kesihatan.”
Amr mengangkat keningnya dan tersenyum lagi. Senyum yang lama kelamaan akan mencairkan hati Nika yang selama ini cuba bertahan dari terus tergoda.
“Kau tak mahu tahu kita kemana?”
“Aku takut mood kau tiba-tiba angin tak tentu pasal,” jawab Nika melulu dan senyap. Amr seakan tidak mendengar. Dia turut sama memerhatikan kereta itu yang telah pun masuk ke kawasan bandaraya.
Kemudian, dalam masa beberapa minit, dia hampir tidak menyedari Amr sedang memandu keretanya memasuki kawasan parkir di sebuah tempat membeli-belah. Kawasan tempat parkir itu agak samar dan hanya diterangi beberapa lampu ketika Amr parkir di bahagian kiri sebelah van jenis Nissan. Kemudian mereka berdua turun serentak dengan Nika tertanya-tanya sendirian ke mana Amr hendak membawanya. Kalau pergi makan bagus juga sebab dia lapar, perutnya berkeroncong sejak tengahari tadi.
Bagaimanapun dia sedikit rimas memakai pakaian seragam jururawat bukan waktu kerja.
Sekejap sahaja Amr sudah berdiri di sebelahnya. Belum sempat mereka masuk ke kawasan lif tiba-tiba ruangan parkir itu dikejutkan dengan suara teriakan kuat perempuan dan lelaki. Nika melihat dua orang sekuriti sedang berlari laju sambil berteriak.
“Peragut!! Tangkap peragut!” teriak seorang pengawal keselamatan.
Seorang lelaki memakai singlet hitam sedang berlari begitu pantas dan termengah-mengah. Nika tidak nampak beg yang diragutnya, tapi bila dia berpaling, Amr tidak lagi bersamanya, dia ikut berlari mengejar peragut yang sama yang dikejar sekuriti tadi. Suara keriuhan orang memekik memenuhi ruangan di situ disusuli bunyi hon dari kereta yang lalu lalang.
“Amr!!” pekik Nika.
Amr telah berlari lebih pantas mencelah-celah kereta-kereta yang parkir dan tiba-tiba dia melompat naik di atas sebuah kereta yang lalu di seberang jalan dan terhumban di jalanan. Nika memekik lagi sambil mengejar dari belakang. Tubuhnya menggeletar. Kemudian dia melihat kelibat Amr menangkap peragut tadi dari seberang jalan. Beberapa orang mengerumuni peragut yang sudah terbaring itu.
Ketika dia tiba di tempat kejadian, rupa peragut itu telah pun lebam di bahagian mata manakala mulutnya berdarah kerana dipukul oleh Amr sebelum menyerahkannya kepada dua sekuriti tadi yang mengucapkan syabas pada Amr kerana berjaya menangkap peragut tersebut.
Nika terlopong dengan memegang dahinya, dia terbayangkan sesuatu di luar keinginannya. Apa-apa pun lega kerana Amr langsung tidak mengalami kecederaan.
“ Panggil polis..” arah Amr kepada sekuriti seorang pak cik berusia yang terus sahaja tergagau-gagau mencapai alat perhubungannya. Dia masih memegang tangan peragut tadi ke belakang dan tubuhnya dihadapkan ke dinding, tidak dapat melepaskan diri.
Perempuan yang diragut tadi tampil ke hadapan mengucapkan terima kasih pada semua yang telah membantunya. Begnya dikembalikan tanpa sebarang kerugian. Amr kemudian menyerahkan lelaki tadi untuk tindakan selanjutnya dan kembali kepada Nika lalu mereka beredar dari situ dan masuk ke dalam lif.
“Kita pergi makan dulu,” ajak Amr bila tiba di tingkat dua CS mall itu.
Nika masih menggeletar. Bayangan kejadian tadi belum hilang dari ingatannya. Dia tidak menyedari yang mereka berdua telah pun masuk ke dalam pusat membeli-belah terkenal di bandaraya JB itu yang dibanjiri pengunjung yang tak putus-putus. Masing-masing dengan tujuan mereka atau mungkin juga ada yang seperti dirinya, tidak bertujuan langsung hanya menurut sahaja kaki Amr.
“Kenapa dengan kau...” tegur Amr yang berundur semula. Rupa-rupanya dia tertinggal di belakang. Amr kemudian membawanya masuk di sebuah kafe yang tenang dan kurang pelanggan.
“Kenapa kau menggeletar..” tanya Amr lagi sewaktu membawanya duduk di tepi tingkap kaca. “Kau tak apa-apa?”
Nika tidak menyangka Amr dapat merasakan yang dia memang bergetar. Lututnya seperti longgar, begitu juga jari-jemarinya yang kemungkinan bercampur-baur antara lapar dan terkejut dengan insiden Amr mengejar peragut tadi.
“Err... emmm, aku terkejut tengok kejadian tadi,” sambil mengenggam tangannya yang sejuk dan lemah.
“Aku ingat kau cukup kuat, bukankah kau dah biasa tengok yang lebih parah dari yang tadi?” kata Amr cuba bergurau lalu meminta hidangan piza itali dan dua cawan kopi putih kepada pelayan yang datang ke meja.
Dia tak mampu senyum dengan usikan Amr. Sedetik yang berlalu sehingga makanan dihidangkan Nika leka memerhatikan kafe tersebut. Dekorasinya begitu mempesonakan, suasananya tenang dan beraromakan bau kopi. Wangi. Dia sebelum ini, pernah melihat kafe itu. Ini kali pertama dia mengunjunginya.
“Aku mahu bawa kau ke satu majlis awal malam nanti,” ujar Amr selepas meneguk kopinya.
Nika berhenti makan dan terlopong memandang muka Amr seolah-olah dia tidak pernah melihat muka lelaki itu dengan lebih jelas.
“Ke mana?” soalnya hairan.
“Majlis makan malam ulangtahun ke 20 syarikat arwah Tuan Rahmad, untuk meraih pekerja-pekerja di sana, kita cuma datang sebagai jemputan,” jawab Amr dan mula makan.
“Err... aku tak boleh pergi,” Nika mencelah pantas. Dia segan datang ke majlis orang-orang kaya itu. Apa pula kata tetamu-tetamu pada malam itu kalau melihat dia datang bersama Amr.
“Kenapa?” dahi Amr berkerut tidak percaya dengan kata-katanya. Matanya tajam merenung.
“Errr.......” dia mencari-cari alasan. “Aku tak mahu pergi,” katanya jujur selepas gagal mendapatkan alasan yang baik.
“Kalau aku boleh buat alasan begitu, aku pun tak mahu pergi, tapi.. aku harus datang, kau perlu ikut aku sebagai pasangan aku, kita berdua pasangan suami isteri,” desak Amr.
“Tak boleh, kau tak malu ke? Aku kan orang gaji, anak orang gaji. Apa kata pekerja-pekerja di sana nanti?”
“Aku tak pernah anggap kau begitu Nika.”
“Tapi....” dia kehilangan kata-kata dan merasakan Amr sudah hilang kewarasan kerana mengajaknya. Dia masih mengingati kata-kata Amr yang memperkenalkannya sebagai kawan pada temannya di hadapan sebuah hotel tempohari. Jadi.. keputusannya untuk menolak adalah keputusan yang sangat tepat.
“Aku pernah tawarkan pada kau untuk mengupah pembantu rumah, tapi kau yang tak mahu,” Amr cuba mempertahankan pendapatnya sendiri.
“Itu bukan soalnya, cuma...”
Dia tidak sanggup mengatakan apa yang sedang berkecamuk di fikirannya.
“Aku tak layak datang bersama kau Amr, kau boleh cari wanita lain. Lagipun aku tak rasa kita berdua sebagai pasangan suami isteri,” katanya lemah dan Amr tidak perlu menafikan kebenaran yang terang lagi bersuluh ini.
Rahang pipi Amr mengeras, dia menggetap bibirnya dengan kerlingan tajam sebaik Nika menghabiskan ayat-ayatnya.
“Jadi... kau mahu aku anggap kau sebagai orang lain dan kau boleh habiskan masa berjam-jam bercerita dengan Dr. Ishak..” nadanya begitu tenang sekali tapi cukup membuat darah Nika mendidih.
“Kau syak aku ada hubungan dengan Ishak?” Nika menyahut geram.
“Kalau tak ada.. buktikan yang kau isteri aku dan aku ada hak untuk gelaran itu,” bidas Amr.
Betul-betul mengena batang hidung Nika yang tidak mampu lagi mengatakan apa-apa. Apalagi yang hendak dibantahnya sama seperti dia tidak mahu meminta Amr menunaikan hasratnya agar menjadi suami yang sebenar-benar suami seperti dalam sijil pernikahan mereka.
Selepas pertengkaran kecil itu Nika akhirnya beralah atau mungkin dia memang takkan menang setiap kali tercetusnya perbalahan. Dia selalu kalah dengan rasa belasnya sendiri dan Amr seperti biasa akan dapat memujuknya dengan setiap desakan. Selesai makan, dia dan Amr memasuki sebuah butik untuk mendapatkan pakaian sesuai pada malam itu. Sesuatu yang tidak pernah diimpikannya namun sedang melaluinya dengan perasaan yang tidak menyenangkan.
Mereka berada di dalam butik pakaian wanita itu selama dua jam dengan Amr memilih sehelai baju gaun berwarna putih yang dikatakannya sangat sesuai dengan kulit Nika yang halus dan putih bersih. Tidak cukup dengan itu, Amr memilih pula sepasang kasut bertumit tinggi. Nika mengiyakan saja dengan rasa tidak relanya sambil membayangkan bagaimana dia akan dihalau sekuriti dalam majlis itu nanti dengan Amr sebagai dalang untuk memalukan dirinya.
“Kau tak mahu pilihkan aku sut?” tanya Amr pada Nika yang tercengang sesaat.
“Sut?” dia bertanya semula. “Untuk kau?”
Amr mengangguk kecil. Bukankah sut di dalam almarinya banyak, entah dia pernah pakai atau tidak. Mulut Nika muncung tetapi bangun dan berjalan ke bahagian sut lelaki dibawa oleh gadis cina muda yang baik hati dan suka senyum. Amr mengikut dari belakang.
Dia mahu mencari sepasang sut yang kelihatan tidak terlalu formal memandangkan mereka bukan taraf datuk dan datin. Matanya lari dari satu rak ke satu rak dan akhirnya Nika berpaling kepada Amr yang sedang menggaru pipinya.
“Amr..” panggilnya perlahan sambil menghampiri Amr sebab tak mahu gadis cina itu mendengar dan berprasangka lucu.
“Kenapa?” Amr menarik lengan Nika.
“Betul ke kau nak aku pilih?” tanya Nika lagi.
“Iyalah, apa saja, aku akan pakai malam ni..” katanya dengan nada mendatar yang berbaur roman dan suara dalam. Nika suka mendengar kalau Amr bernda seperti itu.
Kemudian Nika memilih kemeja panjang tangan berwarna ungu muda dan sepasang sut hitam dengan fabrik lembut.
“Tak perlu tie, nampak formal sangat nanti..” komennya dan membayangkan kehenseman Amr bila memakainya nanti.
“Citarasa yang hebat..” kata Amr mengangkat kening dan mengambil sut itu dari tangan Nika dan membawanya ke dalam bilik khas mencuba. “Kau tak mahu temankan aku di dalam ni?” tanya Amr ketika membuka pintu yang berpantul cermin besar itu.
“Ish!”
Amr tersenyum lebar, gadis cina itu juga tersenyum dengan tingkah mereka.
“Maaflah, dia suka bergurau..” ujar Nika pada gadis cina itu yang ketawa gelihati.
Setelah proses mencuba pakaian selesai dan Amr telah membayar semuanya dengan harganya yang mahal mereka lalu pulang dan bersiap-siap untuk ke majlis itu pukul 8.30 malam nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience