Bab 8ii

Romance Series 8735

Mereka bertiga serentak berpaling. Nika tidak percaya melihat Amr muncul di situ. Pandangan tajamnya terpana tepat kepada ayah. Nika berasa sangat malu tetapi dalam keadaan terdesak begitu cuma Amr yang bisa diharap untuk menolongnya.
“Lepaskan dia!” desak Amr lagi lebih tegas dengan nada mengancam.
“Tidak! Sebelum perempuan dua ni tak bagi aku wang!” kata ayahnya.
Nika menjerit kecil, lehernya terasa pedih dengan tusukan pisau yang masih terhunus. Wajah Amr kelihatan bimbang. Rahang pipinya bergerak-gerak.
Airmatanya menderu memohon simpati ayahnya supaya tidak memperlakukan dia sedemikian rupa di hadapan Amr.
“Saya akan berikan awak wang tapi lepaskan dia!” kata Amr jelas. “Berapa awak mahu!”
“Dua puluh ribu! Tunai!” sahut ayahnya.
Serentak dengan rengekan emak. “Jangan tuan!” pekik emaknya.
Tetapi Amr langsung tidak mempedulikan bantahan mak, dia terus masuk semula ke dalam rumah. Nika berharap benar moga-moga lelaki itu keluar dengan senapang patah dan mengusir ayahnya dari situ. Namun sangkaannya meleset dia mengerang kecewa. Apa yang diharapkannya tidak berlaku ayah mengekeh kemenangan melihat satu ikat wang dalam not seratus di tangan Amr.
“Ambil wang ini dan lepaskan dia..!” Amr menghulurkan wang tersebut.
Dengan muka tidak tahu malu ayah merampas wang itu dari tangan Amr kemudian dia menolak Nika ke arah emak hingga mereka berdua terjatuh di atas rumput dalam keadaan benar-benar terhina.
“Dia tak boleh bayar…” suara Nika serak, matanya basah merayu pada Amr agar mengambil balik wangnya.
“Tolonglah tuan.. kami tak mahu berhutang, biarlah suami saya uruskan perkara tu,” emak mencelah. Nika memegang tangan emak dan membawanya bangun.
“Kalau begitu Tuan ambil anak saya Nika sebagai bayarannya, tuan boleh jual atau buat apa saja,” kata ayahnya yang sudah kerasukan.
“Ayah!!” jerit Nika lebih nyaring. Tergamak betul lelaki itu berkata begitu.
“Tergamaknya awak Razali!!” maknya memekik terkejut.
Amr merenung muka lelaki tua tidak sedar diri itu dengan mata yang galak.
“Saya pun tak mahu lagi berhutang dengan sesiapa jadi tuan boleh ambil dia sebagai bayarannya lepas ni kita tak ada apa-apa hutang lagi..” kata ayah yang langsung tidak memandang pun pada Nika dan emak. Dia cuma melihat wang itu dengan riak gembira.
“Kenapa dengan awak ni Zali! Pulangkan wang tuan Amr!” kata maknya yang benar-benar malu dengan keadaan mereka di depan majikannya.
“Saya akan mengahwininya.”
Dalam sayup-sayup gerimis yang menempias ke muka Nika terkejut mendengar kata-kata Amr.
Nika mengangkat muka dan berpaling pantas, memandang Amr yang turut merenungnya. Renungan lama dan dalam. Penuh emosi yang tidak jelas. Jawapan Amr benar-benar mengejutkan selepas dari tadi dia mendengar sahaja mereka anak beranak saling berbantah.
“Saya tidak perlu bayar balik.” ujar ayahnya dan Amr menyahut.
“YA!” dengan matanya masih tetap pada mata Nika. “Dengan syarat..!!” Amr mengalihkan pandangannya pada lelaki pemabuk yang tidak sedar diri itu lagi tapi bersedia menunggu syarat seterusnya dari Amr.
“Pergi dari sini! Saya tidak mahu melihat kamu berada di rumah itu lagi ataupun di kawasan ini!” perintahnya tegar.
Ayah mengangguk-angguk dan tersengih. Baginya itu syarat paling mudah.
“Saya akan serahkan kamu pada polis jika kamu kembali ke sini lagi! Faham!”
“Baiklah… baiklah.”
Nika memandang geram pada kedua-dua lelaki itu. Apa yang hendak dikatakannya sekarang mereka telah menyelesaikan satu masalah dengan mencipta satu lagi masalah baru. Dia benci ketika ayahnya hanya mengekeh ketawa. Dia berang kerana mereka melakukannya seperti barang dagangan. Lantas keberangan itu mendorongnya menuntut hak dari ayahnya juga. Dia juga mahu membuat tuntutan.
“Satu perkara lagi ayah…!” tiba-tiba dia bersuara sebelum ayahnya pergi. Dia maju selangkah mahu turut serta dalam perjanjian itu.
Amr berpaling merenungnya, renungan sama sewaktu mereka di hospital tempohari dan sedang menunggu apa yang mahu dikatakannya. Nika tidak lagi peduli apa akan berlaku selepas ini kerana dia mahu perkara yang sudah berlanjutan lama ini benar-benar selesai dan dia tidak lagi dikejar oleh masalah yang sama. Dia memandang muka ayahnya dengan pandangan benci yang terpatri kuat dalam hatinya. Dengan nekad Nika berkata.
“Lepaskan mak… Nika akan ikut semuanya. Nika akan bayar hutang ayah itu! Tapi tinggalkan mak dan jangan pernah jumpa kami lagi. Anggaplah kami sudah mati dan hari ini, hari terakhir kita bertemu,” kata Nika muktamad. Dia memegang tangan emaknya kuat.
Ayahnya hanya mengangguk dan mengekeh ketawa sebelum pergi melangkah dengan tidak stabil langsung tidak peduli akan keadaan dia dan isterinya.
Suasana kembali senyap. Tiada lagi suara saling membentak, merayu mahupun menghalang. Nika sekali lagi menjadi perenung dada langit yang telah menitiskan titisan hujan renyai sambil memikirkan semua hal yang tidak masuk akal bila difikirkan semula. Adakah cara untuk berundur dari perjanjian ini. Adakah Amr cuma menipu ayahnya supaya ayah pergi dari rumah – kalau begitu bukankah lebih baik.
“Kosongkan rumah itu besok dan saya mahu kamu berdua masuk ke dalam rumah saya sekarang,” Amr berkata jelas pada dia dan mak. Nika yakin yang lelaki itu serius dengan ucapan ngerinya.
‘Baguslah tu!’ keluh Nika dalam hati dan entah apa pula yang menanti di dalam rumahnya. Namun, jika perjanjian itu akan menjauhkan mereka berdua dari ayahnya, dia rela melakukannya biarpun dia tidak tahu apa yang akan menanti esok.
Mak memegang erat lengannya ketika mereka masuk ke dalam rumah tersebut. Mereka bertiga berada di dapur yang sangat bersih dan tenang tidak seperti perasaan Nika yang berkecamuk dan diserang seribu fikiran tidak keruan.
“Jadi, macam mana sekarang?” kata Nika, tidak sanggup membiarkan dirinya dirasuk fikiran yang menyesakkan.
Amr memberhentikan langkahnya dan berpaling menghadap. Mereka berdepan dengan lebih jelas sekarang. Mak melihat mereka berdua bersilih ganti dengan kerutan bimbang.
“Beritahu caranya, aku akan bayar hutang itu,” ujar Nika berani.
“Teruskan perjanjian kita.” Amr memutuskannya muktamad.
Nika terpaku pada pemilik mata coklat yang menawan itu.
“Berikan aku waktu, aku akan bayar wang itu semula,” pintanya dan berharap benar Amr bersetuju.
“Aku tak mahu wang, aku cuma mahukan kau dan tunaikan janji itu.” Muktamad dan dia pergi dari situ.
Nika hampir rebah mendengarnya. Ada banyak perkara yang memberi maksud kalau Amr berkata ‘aku cuma mahukan kau’. Samada dia betul-betul mahukan dia sebagai isterinya atau ada perkara yang lebih menakutkan di balik perkara itu. Nika tunduk merenung lantai yang disinari cahaya lampu terang benderang dan bila dia mengangkat wajah, maknya tidak ada di situ. Dia kembali takut dan bimbang jika maknya lari keluar mencari ayahnya.
Kemudian… dalam kesunyian yang menghantui rumah besar itu dia mendengar suara maknya memanggil Tuan Amr dari arah tangga.
“Tuan Amr...”
Nika bergegas keluar dari ruang dapur dan membelok laju ke arah tangga, ketika kakinya memanjat lima anak tangga dia melihat emaknya berhadapan dengan Amr di ruang atas sekarang. Dia terpaku menunggu dan yakin Amr tahu dia sedang berdiri di situ.
“Saya mohon tuan Amr, dengan hati seorang ibu… saya mohon jangan jualkan anak saya pada siapa-siapa. Kahwinilah dia kalau itu yang tuan mahu.” Rayu emak sambil tersedu. Nika tersentap mendengarnya. Sungguh hina betul rasa dirinya bila mendengar mak merayu seperti dia tidak bermaruah langsung.
“Saya tidak akan lakukan itu puan, yakinlah yang dia akan selamat bersama saya,” kata Amr dan melihat pada Nika sekilas.
“Saya mohon kalau tuan tidak inginkan dia, kembalikanlah dia kepada saya juga berjanjilah tuan…”
“Puan tak perlu bimbang,” kata Amr yang kini memandang pada Nika yang berada di tangga sambil berkata. “Saya akan selesaikan semuanya,” dia mahu berjalan pergi tapi kembali berpaling pada mereka berdua.
“Lebih baik puan tidur di bilik tetamu bersama Nika dan jangan kembali ke rumah kecil itu lagi.”
Itulah perkara yang paling jelas pada pendengarannya sepanjang dia hidup di muka bumi ini. Perkara menakutkan yang menjadi penutup segala impian dan harapan.
Entah mengapa Nika dan maknya mengikut saja arahan Amr tadi. Mak membawanya ke bilik tetamu di tingkat bawah. Nika tidak berupaya membantah dan tidak pula henti-henti dia memikirkan jalan terbaik untuk menghuraikan kekusutan ini.
“Bertenang Nika, istghfar banyak-banyak, mungkin inilah jalan terbaik untuk kita tinggalkan ayah kamu yang zalim tu..” ibunya bercakap sambil termenung dengan tangannyamengusap belakang Nika.
Mereka berdua duduk di atas katil dalam keadaan tidak rela dan tidak ubah seperti mangsa penderaan yang memilukan.
“Sejauh mana mak tahu dia baik..” tanya Nika buat kali yang ketiga atas saranan maknya supaya menurut sahaja perjanjian mereka.
“Dia baik Nika, mak tahu itu. Arwah Tuan Rahmad pun begitu, tak banyak bezanya perangai mereka berdua. Apa yang mak percaya, dia akan menjaga kamu dan mak yakin dia akan berpegang pada janji. Lagipun dia dah tolong ayah kamu untuk selesaikan hutangnya. Mungkin kamu mempunyai seorang ayah yang teruk Nika tapi siapa tahu rahmat Tuhan yang tersembunyi dibalik semua kejadian-kejadian tadi.” Jelas mak yang seakan menyerah sahaja dengan perjalanan kehidupan mereka.
“Dengan mengorbankan jiwa Nika…” katanya lemah dan mahu menangis.
Lantas mak memeluknya, tersedu pada malam yang menciptakan tragedi. Tangan mak mengusap-usap belakang Nika dengan lembut dan memujuk hatinya yang masih terluka. Kemudian dalam teresak-esak mak bersuara.
“Kita berdoa Nika, semoga kita dilimpahkan kebaikan atas apa yang berlaku tadi. Mungkin memang benar Amr mahu mengahwini kamu,” kata emaknya.
Nika semakin sebak, dia mengerekot kerana tidak tahan dengan suhu dingin bilik itu. Dia cuba bertenang dan berbaring, Nika menggeleng tidak percaya yang mak boleh berkata begitu. Dari cara Amr merenungnya, dia yakin lelaki itu ada maksud lain. Ingatan Amr menariknya di belakang laman bersembunyi pada malam tiga hari lepas semakin jelas terbayang. Dia tidak tahu apa yang berlaku pada takdir hidupnya malah tidak dibenarkan membuat pilihan. Perlukah dia menurut semua pilihan orang lain sekaligus mengorbankan kebahagiaannya. ‘Mudah-mudahan nasibnya tidak begitu’ bisik hati kecilnya.
“Mak akan pergi ke rumah pak cik Rais kamu,” kata emaknya lagi membuatkan Nika pantas berpaling.
“Jauhnya kenapa…?” Dia terbayangkan perjalanan panjang emaknya nanti.
“Mak perlu pergi dari sini Nika. Kalau ayah tahu mak masih ada di sini dia akan cari mak lagi. Betullah kata Amr, rumah kecil kita tu dibiarkan kosong. Nika tinggal di sini bersama Amr.”
Nika makin tertekan. Dahinya terasa berat. Mendengar perkataan ‘bersama Amr’ benar-benar membimbangkannya.
“Kita lari sama-sama, Nika ikut mak,” saran Nika dalam terdesak.
“Jangan Nika, macam mana dengan kerja Nika?” bisik maknya yang sama sekali tidak bersetuju.
“Biarkanlah, nanti, nanti Nika cari kerja lain,” jawabnya melulu.
“Tak boleh nak… itu masa depan Nika. Masa depan anak-anak Nika, seandainya suatu hari nanti Amr tinggalkan Nika, Nika masih ada ruang untuk bernafas. Lagipun mak malu dengan keluarga Amr, mereka sekeluarga dah tolong kita, sejak dulu lagi sampailah sekarang. Tak baik rasanya buat dia begitu. Dunia ni kecil Nika, bila kita lari dan suatu hari nanti kita jumpa dia bukankah tidak elok, jadi, mungkin inilah caranya kita membalas budi mereka sekeluarga Nika.”
Ya! Mungkin betul kata mak, mungkin inilah caranya mereka membalas budi. Budi yang dibawa hingga ke mati!
Nika menarik selimut tebal dan menyelubungi dirinya. Berpura-pura tidur tapi otaknya ligat berfikir banyak hal dan bila memikirkan dia perlu kerja atau tidak esok pagi, hatinya bertambah runsing. Dia tidak tahu bagaimana caranya hendak menjelaskan pada Zakiah nanti yang dia telah melalui malam yang paling mengerikan dalam hidupnya.

Ya! Mungkin betul kata mak, mungkin inilah caranya mereka membalas budi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience