Bab 12ii

Romance Series 8735

Dia kemudian terus masuk ke dalam rumah. Langsung tidak mempedulikan Amr. Nika segera ke dapur untuk menyimpan buah-buahan yang dibelinya tadi ke dalam peti sejuk. Tiba-tiba.
“Ooh...” keluh Nika dalam gelap. ‘Blackout’ segalanya gelap. Lampu dari jalan besar juga padam.
“Wah rumah orang kaya pun boleh blackout jugak ke?” katanya sendirian sebelum tiba-tiba menjerit kuat bila dia terlanggar sesuatu.
“Nika,” panggil Amr dan menangkap lengannya.
Nika mengeluh lega bila menyedari sesuatu dilanggarnya tadi ialah Amr.
“Kau buat aku terkejut,” ujar Nika.
“Aku pergi cari torchlight,” kata Amr dalam kegelapan dan melepaskan pegangannya dari lengan Nika.
Kendengaran bunyi benda dilanggar lagi. Nika rasa Amr baru saja terlanggar bakul sampah di tepi almari. Dia memutuskan untuk naik sahaja ke atas dan membiarkan Amr mencari benda yang mahu dicarinya.
“Amr, aku ke atas dulu,” kata Nika sambil meraba-raba melangkah mencari pintu.
“Ya,” Amr bersuara tapi entah di mana kedudukannya disusuli bunyi berdering dari telefon bimbit.
Kaki Nika mendadak berhenti mendengar bunyi telefon yang memecah kesunyian ruang. Dia yang sejak pagi tadi berkobar-kobar mahu mendapatkan maklumat pekerjaan Amr nekad memasang niat mahu mendengar perbualan itu sekarang yang sedang berlangsung sekarang.
“Hello Ajis, kenapa?”
“Siapa? Lim! No! Jangan lakukan sekarang, kau takkan berjaya, kawasan itu sedang diawasi polis... aku mahu kau ikut saja Ah Wai, dia tahu apa nak buat di KL.”
Suara tertekan Amr jelas kedengaran dari balik almari dapur tempat Nika bersembunyi. Nafasnya mendesah mendengar dialog seterusnya yang keluar dari mulut Amr.
“Itu urusan aku dengan Lim! Kau buat saja kerja kau yang lain fahamm!! Matikan telefon ni, aku di rumah, nanti aku telefon kau.”
Perbualan ditamatkan.
Biasan cahaya dari lampu suluh menyuluh pintu bilik air. Amr telah menemukan benda itu. Nika bergegas menaiki tangga sambil terjengket-jengket cuba untuk tidak mengeluarkan sebarang bunyi bimbang Amr tahu kalau dia baru sahaja mendapat maklumat yang tidak syak lagi berunsur jenayah. Jantung Nika berdegup kencang. Hatinya mengecut, dia terus ke biliknya.
Selepas mandi, dia duduk di birai katil dengan benaknya memikirkan apa yang tidak kena dengan Amr! Kenapa lelaki itu begitu sekali mencurigakan? Dan apa pula takdir yang telah membawanya masuk ke dalam hidup Amr. Tiba-tiba Nika teringatkan emaknya, membuatnya keluar dari bilik. Macam diserang panik dia membuka pintu terburu-buru dan... “Aaarg!!” Nika menjerit terkejut!
Dia bertembung dengan Amr di luar pintu. Cahaya samar dari sebatang lilin di atas meja di hujung sana dan fikiran yang menakutkan berkenaan dengan cubaannya mengaitkan Amr dengan kejahatan membuatkan dia hilang kawalan dan cemas tidak menentu.
“Kenapa dengan kau..?” tanya Amr. Pelik dengan tingkahnya.
“Err... aaah.. tak ada apa-apa, terkejut.. gelap,” tergagap-gagap dia bersuara berusaha mengekalkan nada tidak terlalu cemas mahupun menunjukkan rasa takut yang melingkar di hati.
Amr hanya memandangnya pelik! Seolah-olah dia perempuan tolol yang begitu pelik reaksinya. Tangan Amr mencapai tombol pintu bilik.
“Errr... Amr,” panggil Nika.
Amr berpaling dengan wajah kacaknya yang sangat mempesonakan. Nika hampir terkedu dan hampir sekali lagi menjadi bodoh, dia memaksa benaknya agar cepat-cepat sedar.
“Boleh aku pinjam telefon sekejap,” mohonnya sopan.
“Aku rasa kau tak perlu minta kalau pasal itu, telefon saja,” kata Amr lantas menghilang dalam kegelapan biliknya meninggalkan Nika yang ternganga sendirian seperti seorang pelajar yang gagal mendapatkan jawapan tepat dari seorang guru.
Dia menganggap Amr sudah memberinya izin. Lalu Nika melangkah ke ruang rehat di tingkat atas itu dan berdiri di tepi rak kecil dan mencapai gagang telefon. Dia mendail nombor telefon pak cik Rais.
Hampir seminit kedengaran talian disambut dan Nika gembira mendengar suara emaknya.
“Assalamualaikum mak.”
“Waalaikumussalam.. Nika, kenapa baru telefon mak,” keluh ibunya tapi berbaur gembira mendengar suaranya.
“Maafkan Nika.. mak, Nika guna telefon di rumah Amr ni...” gumam Nika sambil matanya sentiasa mengawasi pintu bilik lelaki itu.
“Nika sihat? Macamana dengan Amr? Dia sihat jugak?” Eh! Ke situ pulak soalan emaknya.
“Nika sihat je... jangan bimbang, Amr pun... emm macam biasa, keadaan baik-baik aje, mak macamana sihat ke?” jawab Nika dengan hati resah yang sebenarnya mahu bertanyakan perkara lain.
“Baguslah, mak ok... adalah sakit-sakit badan sebab berkebun, tapi sihat. Irfan ada telefon mak malam semalam, dia sibuk nak exam, cuma rindu katanya.”
Nika tersenyum mendengar khabar Irfan yang juga sudah lama tidak dihubunginya.
“Mak... Nika nak tanya sikit ni.”
“Tanyalah, apa dia?”
“Pasal Amr?”
“Kenapa dengan Amr?”
Mata Nika terus berjaga-jaga. Kejap-kejap dia melihat ke pintu bilik Amr. Tidak mahu Amr mendengar perbualan rahsia itu. Dia perlukan jawapan yang tepat, siapa tahu mak serba-sedikit.
“Mak tahu tak apa kerja Amr sebenarnya?” katanya dengan nada yang perlahan.
“Hah... apa dia?” maknya tersentak dan macam menjerit di talian.
“Eh, mak ni Nika tanya mak, mak tanya Nika balik..” kata Nika sambil menggaru kepala yang tidak gatal. “Ada yang tak kena dengan Amr, tentang kerjanya, mencurigakan... mak tak pernah dengar apa-apa sepanjang dia berada di rumah ni dulu.”
“Astagafirullahal’azimm... Nika tak baik buruk sangka dengan suami kalau Nika tak pasti,” ucap emaknya panjang dan tak berhenti mengucap.
“Nika tak cakap dengan mak, kalau Nika tak dengar sendiri.”
“Apa yang Nika dengar?”
“Adalah...” mukanya berkerut dan akhirnya memutuskan yang emaknya langsung tak pernah berprasangka pada Amr sebelum ini. “Entahlah.. tak apalah mak,” gumamnya kecewa.
“Percaya pada mak Nika.. Amr tu baik, dia bukan yang seperti Nika fikirkan..” pesan emaknya mengakhiri perbualan yang sebenarnya menambahkan beban fikiran Nika saat talian diputuskan dan berjanji akan menelefon bila ada masa terluang nanti.
Dia menggeleng kesal, sepatutnya dia jangan bercakap pada sesiapa. Tak patut! Sebab tak ada orang lain yang mempercayainya. Apa yang dilaluinya dalam rumah ini tetap kekal sebagai sesuatu yang sulit dan akan kekal begitu sampai tiba waktunya ia akan terungkai dengan sendirinya. Tapi.. macam mana kalau tidak ada yang berubah. Siapa yang perlu bertindak bila akhirnya tiada jalan penyelesaian. Adakah Amr akan membuka cerita segala yang bermain di fikiran Nika termasuklah kisah hari pertama mereka bertemu di katil pesakit wad kecemasan. Perlukah dia menunggu atau bertanyakan hal ini pada lelaki dingin itu.
“Kau lapar?” tiba-tiba sahaja Amr berada di depannya dan bersuara serentak dengan lampu siling yang telah bernyala semula. Menyedarkan Nika yang asyik bersandar pada dinding merunsingkan fikirannya sendiri.
“Emmm... tak..” jawabnya kalut dan terlupa hendak bertanya pada Amr samada dia sudah makan atau belum.
“Kalau begitu, aku keluar dulu.”
“Baiklah,” jawabnya tertib kerana tidak mahu terlihat seperti seseorang yang sedang mengesyaki yang suaminya seorang penjenayah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience