Bab 12i

Romance Series 8734

Semasa keluar makan tengahari dengan Zakiah dan Suzzie di tengah cuaca mendung yang berangin Nika sempat membeli suratkhabar dalam perjalanan pulang ke hospital untuk kembali menyambung kerja.
Zakiah yang seperti biasa penuh dengan tanda tanya mula bersikap agak dangkal bila ekor matanya asyik tertumpu pada suratkhabar di tangan Nika pada lewat petang sewaktu mereka semua sedang bersenang-senang kerana keadaan yang lengang di unit kecemasan.
“Dah buang tebiat ke beli surat khabar ni?” soalnya melulu yang merupakan tabiat semulajadi Zakiah yang paling buat Nika meluat.
“Apa jelah yang tak kenaaa....” ucap Nika meleret ketika dia mengangkat muka memandang Zakiah yang sibuk menyusun ubat-ubat di kaunter. “Banyak maklumat tau dalam suratkhabar ni, yang kau pelik sangat kenapa?”
“Sebab aku peliklah tengok kau baca suratkhabar, biasanya beli majalah artis, Wanita, ke.”
“Sebab ... aku belum gaji, tulah beli suratkhabar je,” jelas Nika malas dan membelek-belek helaian suratkhabar itu dengan rasa tidak sabar. Dia mencari dengan ekor mata yang pantas, beralih dari satu tajuk ke satu tajuk lain semata-mata mahu mendapatkan maklumat berkaitan dengan kematian pengedar dadah yang merupakan kenalan Amr. Aliran darahnya terasa mengalir lebih laju dan hangat di tengah hawa dingin yang memenuhi ruangan kaunter.
Sesekali dia terhenti bila terjumpa tajuk ‘Samun Kedai Emas’ dan ‘Perempuan Mati Di Kelar’ membuatkannnya terasa ngilu bila membayangkan kejadian itu. Tetapi dia lega kerana berita itu langsung tidak berkaitan dengan apa yang dicarinya. Dia meneruskan pembacaannya yang lebih kepada bacaan ringkas di berita-berita tertentu sambil matanya mengerling ke belakang dan depan mana tahu ada doktor yang memerlukan khidmatnya. Jam sudah menunjukkan pukul lapan setengah malam, sekejap lagi mereka akan pulang.
“Zakiah, nanti kau turunkan aku dekat Supermarket Wish,” katanya tiba-tiba sekaligus kembali memancing rasa Zakiah hendak bertanya lagi.
“Nak buat apa kat sana?”
Seperti yang Nika duga, Zakiah memang jenis suka ambil tahu. “Aku nak beli barang sikit,” jawabnya.
“Emm ... yalah Mrs. Raylan.”
Dia menjeling tajam, benci dengan gelaran itu tapi Zakiah seronok mengekeh panjang. Nika melipat suratkhabar tadi dan beredar dari situ untuk membuat laporan akhir pesakit yang terkena demam panas.
Seperti yang dijanjikan, dalam perjalanan pulang Zakiah masuk ke simpang sebelah kiri menuju ke pasaraya. Selepas parkir, mereka berdua turun dari kereta.
“Nika, aku pegi beli sate dulu kat depan tu,” kata Zakiah.
“A’ah, aku kat tempat Apek jual buah.”
Zakiah hanya mengangkat tangannya dan berjalan laju. Nika menuju ke warung buah-buahan yang sudah berapa lama tidak dikunjunginya. Dia teringin hendak makan buah limau. Seperti biasa, dia disambut mulut apek yang riuh mempromosi buahnya.
“Aiiyaa... lama tak nampak mana pegi?” tanya Apek bila nampak Nika.
Dia memang selalu ke situ membeli buah dengan emaknya.
“Tak ke mana-mana. Cuma dah jarang ke sini.”
“Beli buah manyak-manyak aaa.”
Nika tersenyum sambil memilih buah limau, sekilo jambu air dan sesisir pisang. Melihat buah limau itu dia terbayangkan kisah sejug jus limau yang selalu dikisarnya halus dan dihidangkan depan emak yang begitu dirinduinya. Mengingatkan emaknya mood sedihnya muncul mendadak.
Sudah seminggu dia tidak bertanya khabar emaknya. Diserbu rasa bersalah dia bercadang hendak mengisi credit telefonnya selepas membayar harga buah pada Apek yang peramah itu.
Sambil tangan membimbit beg kertas berisi buah dia berjalan ke deretan bangunan yang agak samar dan hanya dilimpahi cahaya dari lampu jalan yang malap. Kedai yang menjual prepaid itu terletak di tengah-tengah bangunan.
Bagaimanapun, sewaktu dia sampai ke bangunan tersebut, langkah kakinya tiba-tiba mati. Di depan kedai yang telah tutup, dia mendengar satu suara yang tidak asing lagi, sedang merayu dan meminta ampun disusuli rengekan dan suara mengancam yang garang. Nika bersembunyi di balik bangunan dan mengintip. Dari situ, matanya jelas menangkap gambaran belakang tua ayahnya yang sedang terbongkok-bongkok memohon belas kasihan dari dua orang lelaki.
“Tolonglah.... nanti aku bayarlah! Sekarang ini aku betul-betul tak ada duit,” rayu ayahnya. Nika semakin hairan.
“Dah lama kau tidak baya aa Jalii, itu wang muka dulu ko kasi cuma lima libuu... mane cukupp!!” kata lelaki Cina berbadan gemuk yang sedang mencengkam leher ayahnya kuat hingga kedengaran suara tercekik. Seorang lagi kawannya cuma jadi saksi.
Nika teragak-agak di situ, dia berniat hendak menolong ayahnya dari dikasari dua lelaki yang mungkin ah long tempat ayahnya berhutang. Kalau begitu, ayahnya tidak melunasi hutangnya setelah Amr memberikannya wang.
“Ok ... ok ... nanti aku cari lagi itu wanggg...” suara ayahnya semakin tercekik. Nika hilang pertimbangan, dia mengorak langkah keluar dari tempatnya mengintip tapi sebaliknya dia yang terkejut, bahunya disambar laju dan mulutnya ditutup satu tangan gagah. Jantungnya berdegup kencang dan ketakutan. Oh Tuhan! Dia terbayangkan bapak ayam yang menakutkan!
“Kau nak buat apa Nika!” satu suara berbisik jelas di telinganya.
Dia ditarik ke belakang sedikit. Matanya sempat menangkap nombor plat dan badan Range Rover hitam berkilat. Tangan yang menutup mulutnya dilonggarkan. Nika berpaling ke belakang, bengang melihat Amr bagaimanapun berasa benar-benar lega malah selamat. “Kau cuba nak bantu ayah kau!” kata Amr tidak percaya.
“Kau tak nampak ke? Apa yang dorang buat kat ayah aku! Dia boleh mati.”
“Jangan risau mereka takkan bunuh dia, mereka cuma mengugut untuk menagih hutang,” ujar Amr yakin.
Pantas Amr menarik lagi lengan Nika dan memeluknya cuba menyembunyikan diri mereka berdua di balik kereta ketika suara-suara mengomel tadi melintas jalan. Nika kaku sesaat dalam pelukan lelaki itu. Betapa dia merasakan satu perlindungan yang kuat ketika tubuhnya rapat ke dada Amr. Bagaimanapun, Nika tidak dapat melihat kelibat ayahnya ke mana cuma hatinya saja berdoa berharap semoga Tuhan melindungi ayahnya. Walaupun sebelum ini dia begitu bencikan ayahnya tetapi bila melihat ayahnya dalam keadaan begitu, dia turut bimbang. Entah sampai bila urusan ayahnya dengan si Samuel yang tidak diketahui status kewarganegaraannya itu selesai!
“Dan.... kau buat apa kat sini?” soal Nika langsung curiga lalu menjarakkan sedikit posisinya dari Amr yang beberapa minit tadi begitu rapat.
“Aku ternampak kau di warung buah tadi,” jawabnya laju.
Tidak lama selepas itu Nika melihat Zakiah muncul dari jalan sebelah dan tercari-carinya di warung apek tadi. Nika bergegas mendapatkan Zakiah dengan Amr menyusul di belakang.
“Zak....” panggil Nika. Zakiah menoleh dengan plastik berisi sate tergantung di tangannya dan berjalan ke arah Nika.
“Aku macam nampak ayah kau tadi kat situ,” katanya kuat sebelum tersenyum kalut kerana baru perasan akan kehadiran Amr di sebelah Nika.
“Ya aku pun nampak, tapi biarlah dia,” sahut Nika tenang. Akhirnya dia memahami kata-kata Amr tadi supaya dia bersikap tidak mempedulikan ayahnya yang sudah terlalu lewat untuk di bawa ke jalan selamat.
“Dia nampak kau?” soal Zakiah bimbang.
“Tak...”
“Saya hantar dia pulang.” Amr mencelah dan memutuskan perbualan mereka berdua.
“Oh .... yalah, ok ... bye Nika..” Zakiah terangguk-angguk akur dan segera menuju ke kereta. Dia sempat melambai ketika beredar dari kawasan itu.
Nika pula harus akur dengan kehendak Amr. Dia berjalan menuju ke kereta yang tersadai bergaya seperti juga pemiliknya.
Sekejap sahaja mereka berdua sudah tiba di perkarangan rumah banglo serba putih yang mewah dengan kebendaan dan bermacam keperluan hidup tapi miskin nilai kebahagiaan. Itu cuma sebahagian gambaran di kepala Nika yang laju sahaja turun dari kereta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience