Bab 14i

Romance Series 8735

Amr berdiri di tepi keretanya sambil menghisap rokok. Asap rokok seperti jaluran kabus kelabu yang menganggu kesihatan tidak langsung dipedulikan. Dia sedang menunggu seseorang di suatu kawasan jauh dari tempat awam.
Lagaknya tenang. Tidak berwaspada atau mencurigakan. Ketika sebuah kereta berhenti di sebelah tempat keretanya parking Amr membuang sisa rokok dan memadam api rokok dengan kasutnya. Pintu tingkap dibuka, seorang lelaki india memakai topi hitam menyapa Amr.
“Aku dengar kau dah kahwin,” tanya lelaki itu.
Amr tersenyum selamba. Kemudian dia hampir lalu menghulurkan satu benda kecil seperti gajet kepada lelaki itu.
“Kau tak rasa kau akan menyusahkan kerja kau nanti.”
“Aku akan uruskan itu.” Jawab Amr tenang.
“Dia dalam masalah kalau ada apa-apa berlaku.”
“Tidak. Aku pewaris, jangan lupa itu. Sekarang aku cuma nak kerja aku cepat selesai.”
Lelaki india itu kelihatan berfikir-fikir. “Dia tak curigakan kau?”
Amr mengeluh. Wajahnya serius. Dia tertunduk sekejap sebelum menjawab. “Semuanya macam tiba-tiba, hairan juga aku tak boleh mengelakkan hal itu tapi sekurang-kurangnya demi dia aku ada sebab untuk terus hidup.”
“Okey lupakan. Sekarang pastikan barang tu sampai tepat harinya, yang lain aku akan uruskan,” ujar lelaki india itu dan menutup semula tingkap kereta sebelum beredar.
Amr masih berdiri di situ. Masih mengenang nasibnya. Menjadi pewaris kekayaan bukan penyebab untuk gembira. Dia tidak berada di tempat yang sepatutnya. Pernahkah dia memikirkan bagaimana pula dengan Nika? Nika juga tidak sepatutnya berada di tempat di mana dia berada sekarang. Namun Amr percaya siapa yang bisa menolak ketentuan takdir. Rahsia hidup seseorang tidak berada di tangan seseorang yang lain.

***

Sudah tiga hari berlalu Nika menjadi penghuni hotel mewah dalam konteks kehidupan membosankan tetapi sangat menyelesakan. Apatah lagi tanpa kehadiran Amr yang entah ke mana perginya. Sudah tiga hari juga dia datang ke tempat kerja dihantar oleh pak cik Ali salah seorang pengawal keselamatan yang bekerja di hotel itu. Orangnya ramah dan suka bercerita. Melalui pak cik Ali, Nika mendapat maklumat penting kalau Amr memang beberapa kali muncul di hotel tersebut jika ada perjumpaan dengan pekerja arwah Tuan Rahmad yang menguruskan perniagaan kereta mewah yang diwariskan kepadanya bagaimanapun menyerahkan segala urusan syarikat pada pengurus yang dilantik.
Itu sahajalah maklumat yang diperolehinya setelah puas bertanya. Tidak ada langsung yang berkaitan dengan apa yang didengarnya pada malam blackout itu.
Zakiah yang buat kali pertamanya datang tanpa Nika pada mulanya berasa pelik tetapi beransur mengerti walaupun Nika sendiri tidak tahu apa yang cuba dijelaskannya.
Dua tiga rakan-rakan sekerjanya sibuk bertanya kenapa dia tidak pulang bersama Zakiah. Malah ada yang mula mengesyakinya sedang dilamun cinta dengan Dr. Ishak sedangkan lelaki itu juga berasa hairan dan dapat merasakan sesuatu yang masih dirahsiakannya. Cuma Zakiah yang mendesak supaya dia menceritakan pada teman-temannya statusnya sekarang yang bergelar isteri orang untuk mengelakkan fitnah. Namun... Nika tidak mampu berfikir hingga ke situ.
Masuk hari keempat dia pula mendapat giliran bercuti. Amr masih belum juga muncul. Nika yang selalu mengalami kebosanan akhirnya mengajak Zakiah berjalan-jalan merawat jiwanya yang ditakutinya menjadi lebih parah dan kacau. Mereka berjanji temu di KFC restoran francais terkenal di seluruh dunia dan menikmati makan awal malam yang enak.
“Lepas ni kita pergi salun rambut, aku nak potong rambutlah,” kata Zakiah sambil mengunyah burger keju.
“Bagus jugak, aku pun nak cuci rambut..” sahut Nika pantas menyetujui rancangan itu cuba untuk tidak mempedulikan perutnya memulas kerana terlewat makan semasa di hotel tadi. “Perut aku sakitlah.... macam banyak asid,” sambungnya lagi.
Mata Zakiah terbelalak sebelum berkerut hairan. “Kau tak mengandungkan?” soalnya laju dan berhenti makan.
“Apa? Taklah, kau gila ke? Aku sebenarnya lewat makan aje,” jawabnya pantas.
“Apa salahnya kalau kau pregnant.”
“Zakiahhh,” dia menderam marah dengan usikan yang selama ini dikhuatirinya.
Zakiah mengangkat keningnya selamba dan kembali menyedut minumannya. “Dah sampai masanya kau terima dia, dah lebih sebulan kamu bersama. Aku nampak Amr okey je,” kata Zakiah. “Dia ke mana?” sambungnya lagi belum puas.
“Kenapalah kau suka sangat fikir pasal dia,” sahut Nika yang menolak minumannya ke hadapan. Dia berusaha membuang ingatan saat dia dan Amr hampir ber... ish! Keluhnya dalam hati. Harap-harap Zakiah tak curigakan apa-apa.
“Aku ni ambil berat pasal kau, kawan baik aku, yelah,sejak dua menjak ni asyik dengar kau meratap, nak jugak aku tahu kalau kau dah bahagia dengan dia tu. Kau keluar ni, dia tahu tak?” ulas Zakiah yang memang tidak dapat Nika tangani lagi selain menjawab pertanyaannya.
“Dia takkan peduli dan tak akan ambil tahu apa yang aku buat di depan atau di belakangnya,” sejujurnya Nika tidak ingin memperkatakan lagi hubungannya dengan Amr. Dia tidak mahu terjeruk dalam perasaan yang sangat tidak keruan ini.
“Kenapa pulak sampai begitu sekali,” Zakiah terus menyerangnya.
Nika mengeluh sebelum menjawab. “Kau tak perasan lagi ke Zak, tak nampak ke macam mana hubungan kami berdua, tak syak ke kenapa aku terpaksa bersama dengan dia. Apa yang aku nak harapkan dalam hubungan seperti ini, tak ada apa-apa....” dia cuba tidak menunjukkan rasa kesal dan mahu menerima hakikat kalau semua ini memang ditakdirkan untuknya.
“Kalau begitu, aku nak kategorikan sebagai apa korang berdua ni?”
“Dahlah,” balas Nika malas. “Jomlah kita keluar, nanti salun tutup, pukul lapan lebih dah ni, kalau kita lambat, kau tidur dengan aku kat hotel lah.”
“Eh, kalau Amr muncul nanti macam mana? Tak ke dia syak kita berdua yang bukan-bukan nanti.” Zakiah pantas mencelah ketika mereka beriringan keluar dari restoran yang mungkin semakin berkurangan pengunjungnya.
“Ish, tak mungkinlah, aku rasa dia berurusan di luar JB, langsung tak ada khabar,” sahut Nika lantas mereka berjalan kaki sahaja kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di bandaraya itu.
Beberapa minit berjalan kaki akhirnya mereka berdua menemui sebuah salun rambut sesuai yang pelanggannya hanya wanita sahaja berdekatan dengan sebuah klinik dan kedai kasut. Beberapa wanita berpakaian seksi kelihatan turun naik melalui sebuah tangga di perantara bangunan. Dia dan Zakiah terus masuk ke dalam salun rambut yang tidak ramai pelanggan itu.
“Zak... apa khabar Zuraidah? Hari tu aku nampak dia makin tembam, senang hati ke?” tanya Nika setelah dia selesai mencuci rambut dan menunggu pekerja salun yang comel itu merapikan rambut Zakiah.
Zakiah menutup semula majalah yang dibacanya tadi. “Senang hati...?” ujarnya lalu tersengih lucu.
“Kau kata dia tengah diet?” tanya Nika lagi.
Selepas siap, dia berdiri di depan cermin, berpusing ke kiri dan kanan memastikan rambutnya betul-betul dipotong seperti yang dimintanya. Kemudian dia memakai tudungnya semula.
“Diet konon, diet hangat-hangat je. Dia baru putus dengan teman lelakinya. Katanya nak makan sampai gemuk,” cara Zakiah bercakap dengan bibit terherot-herot seolah-olah Zuraidah adik bongsunya itu sedang berdiri di hadapannya. Kemudian dia menambah lagi. “Aku beritahu kat dia... kita ni kalau gemuk tak dapat boyfreind tak apalah, tapi kalau gemuk menampung penyakit buat apa! Betul tak?”
Nika mengangguk, hampir tersedak tidak tahu samada hendak ketawa atau tidak.
“Kempenlah kat dia pasal diabetes, bahaya Zak,” katanya berhemah. Mereka kemudian keluar dari salun tersebut selepas membayar harga perkhidmatan.
“Dia tak dengar cakap,” jawab Zakiah sambil menolak pintu keluar.
Tanpa disangka-sangka, sebaik sahaja dia dan Zakiah berada di luar pintu, mereka berdua terserempak dengan Amr bersama dengan rakannya yang mencurigakan sekali perwatakan mereka. Amr pula yang beberapa saat tadi seronok ketawa terhenti dari ketawanya turut sama tersentak melihat Nika di situ. Dan apa yang lebih teruk, yang menambahkan rasa benci di hati Nika, dia menyaksikan sendiri Amr bergandingan dengan seorang perempuan kelab malam berdasarkan pakaian tidak cukup kain yang dipakai perempuan itu malah dengan manjanya memeluk erat lengan Amr. Tidak syak lagi yang Amr hendak mengunjungi pusat hiburan di tingkat atas bangunan tersebut.
Dan detik yang paling mengecewakan Nika yang merasa dirinya dikhianati, dia bertemu Amr dalam keadaan begitu bersama Zakiah yang baru saja menyarankan mereka berdua agar berbaik-baik dan cuba memperbaiki hubungan yang sekarang semakin jelas jurangnya. Kemarahannya memuncak seperti dijerang dengan api yang terlalu kuat. Hatinya terluka, tergamak betul Amr melakukan itu.
Rasa cemburu dan marah begitu perit untuk ditelannya. Sepantas itu juga dia menanam kebencian yang tidak berpenghujung.
Amr terus melangkah tanpa melihatnya lagi, sepertinya mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain. Nika turut membuang pandangannya jauh sejurus Amr berjalan di hadapannya. Dia terkesima dengan sikap tenang dan tanpa rasa bersalah yang Amr pamerkan dengan cemerlang. Sedaya upaya dia menahan airmata yang bergenang agar tidak tertumpah. Selepas Amr menaiki tangga ke tingkat atas, perlahan dia merasakan sentuhan kuat dilengannya, Zakiah cuba memujuk dan mengajaknya pulang. Wajah sedih Zakiah jelas menghukum tanpa belas.

Amr tersalah langkah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience