Bab 6

Romance Completed 5257

Azlan tiba di pusat membeli-belah damansara itu untuk pertama kali. Memang jelas keadaan pusat membeli-belah itu masih baru. Dengan keadaan di sekitarnya yang masih belum siap sepenuhnya. Keadaan tempat meletakkan kenderaan juga kelihatan masih berdebu kesan daripada konkrit yang baru siap.

Azlan melangkah masuk ke dalam dan mula tercari-cari lokasi kedai yang dia sepatutnya mula bekerja pada hari itu. Semangatnya berkobar-kobar kerana inilah kali pertama dia bakal bekerja untuk 8 jam sehari. Sudah terbayang di dalam kepala akan gaji yang bakal diterimanya untuk bulan ini. Pastinya lebih tinggi berbanding dengan bulan-bulan yang lepas.

Dari jauh, Azlan terpandang sebuah outlet yang agak sibuk. Dari luar sahaja sudah penuh dengan pelanggan yang ingin menjamu selera tengahari itu dengan memakan ayam golek.

Wah, memang bukan main-main dia punya ramai.

Azlan mencari-cari cermin yang berhampiran untuk mempersiapkan diri. Dibetul-betulkan rambut berserta topi yang dipakainya. Dicari-cari apron yang bakal digunakan di dalam beg bagi memastikan semuanya ada. Kemudian, dia pun memasuki kedai tersebut. Di dalam dada Azlan, hatinya sedikit gementar. Tempat baru, suasana mungkin berlainan. Dicari-cari Azlan mereka yang berkemungkinan menjadi Manager untuk outlet tersebut. Ternampak dia akan seorang lelaki berpakaian kemas. Lagaknya seperti seorang Manager.

“Assalamualaikum. Saya Azlan. Pekerja dari Outlet Serdang.”

“Waalaikumussalam. Ha, sampai pun. Kita memang tengah tak cukup orang ni. Letak beg dekat belakang. Pakai apron lepas tu datang balik frontline.”

Azlan mengangguk faham kemudian bergegas menuju ke belakang. Silapnya dia tidak bertanya secara teliti di manakah “belakang” yang dimaksudkan oleh bos tadi. Malah, nama bosnya pun tidak diketahuinya. Azlan mula rasa tak best. Dia pun datang semula kepada bosnya itu untuk bertanyakan hal tersebut.

“Err, sir. Belakang tu sir maksudkan dekat mana ya?”

Bos tersebut memandang Azlan dengan wajah yang pelik. Azlan pula hampir saja menggigil ketakutan. Berdebar teruk.

“Kejap. Nana! Nana! Ni tolong budak baru ni. Tunjukkan dekat mana tempat letak beg.”

Ketika itu, muncullah seorang gadis freehair berkulit putih di hadapan Azlan. Mata Azlan yang sebentar tadi lebih banyak mengecil, kini mula membesar. Jika hatinya sebelum berdebar kerana takut, kali ni hatinya berdebar kerana jatuh. Jatuh cinta.

“Hai. Nana,” ujar gadis tersebut sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Azlan,” ujar Azlan.

Salam pun disambut.

Begitu juga angau cinta yang datang ke dalam hati Azlan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience