Bab 1

Romance Completed 5258

“Aduhhh, kau ni aduhhh,” ujar Khairul sambil menepuk-nepuk dahinya.

Rasa sesal betul dengan apa yang Azlan sudah lakukan. Khairul rasa kalau dia la yang berada di tempat Azlan ketika itu, sudah pasti ceritanya lebih berbeza. Takkan dilepaskan peluang yang ada di depan mata. Akan dia berhentikan motor dan menegur gadis yang sentiasa ada dalam ingatan. Tapi itulah dia. Yang ada disitu ketika itu adalah Azlan. Dan bukannya Khairul, seorang lelaki yang mampu mengeluarkan kata-kata yang mengetuk hati ramai wanita. Ditambah pula dengan rupa Khairul yang agak kacak bersama ketinggian yang baik, Khairul adalah idaman.

Kalau nak dibandingkan Azlan dengan Khairul, seolahnya membandingkan sejongkong emas dengan seketul batu jalan. Jauh berbeza dari segi rupa dan kewujudan.

“Aku segan Khairul. Bukan macam kau tu. Pantang ada makwe cantik lalu depan mata, mesti kau tak tunggu lama. Dan masalahnya setiap kali itulah kau dapat apa yang kau nak.” Ujar Azlan penuh sayu. Ya, dia sendiri berasa sayu dengan pengakuan tentang dirinya sendiri.

“Kau kena yakin Azlan. Perempuan ni, dia bukan nak tengok sangat muka. Dia nak tengok keyakinan kau saja. Ini benda serius ni. Kau ingat aku hensem sangat ke?” ujar Khairul sambil mendepa tangan.

Azlan diam tak menjawab. Perlahan, dia menjamah roti canai banjir yang baru sahaja dihantar ke meja. Khairul tidak makan. Dia diet. Sambil menjamah, Azlan teringat pada gambar kulit majalah yang dikongsikan oleh Khairul di Fac. Ya, itu gambarnya bersama dengan seorang artis wanita yang sedang naik namanya.

Kau tu model majalah masalahnya. Mana sama dengan aku.

“Nama dia apa?” tanya Khairul kemudian.

“Lisa,”

Khairul mengeluarkan sebatang rokok dari kotak dunhill. Lantas diletakkan ke bibir dan dibakar hujungnya.

Sedut.

Dan dihembus asapnya ke udara.

Jelas nampak ketenangan di dalam diri Khairul ketika itu. Azlan tidak merokok. Baginya, merokok itu kerja yang sia-sia dan membuang masa. Walaupun jauh disudut hati, Azlan berasakan yang merokok itu adalah perbuatan paling cool.

“Lisa...” ujar Khairul perlahan.

Azlan berhenti menjamah. Terasa seperti ada sesuatu yang tak best sedang berlaku di depannya.

“Kenapa Khairul? Kenapa dengan Lisa?” tanya Azlan dengan suara yang paling risau.

Khairul terhenti dari lamunan jauhnya.

“Takdelah. Sedap nama tu. Mesti cantik orangnya,” ujar Khairul sambil membuat sedutan rokok yang seterusnya.

“Kalau nak makwe bernama Lisa tu, kau kena buat apa yang aku suruh ni. Dan aku serius.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience