Bab 6

Romance Series 1792

Keadaan jadi makin tak terkawal bila Makcik Peah dengan beraninya datang ke rumah semata-mata untuk bercakap soalku dan abang Pian. Oleh kerana Makcik Peah hanya datang seorang diri, jadi aku syak mesti abang Pian pun tak tahu yang maknya buat lawatan mengejut ke rumahku pada pagi ini.

"Aku ni bukannya apa, Shidah, Cikgu Wahab. Aku sebenarnya nak jodohkan Pian tu dengan anak kawan baik aku sendiri. Lama dah sebenarnya aku merancang. Kalau tak ada halangan, memang hujung tahun ni juga aku nak langsungkan perkahwinan mereka berdua."

Mak dan ayah pun saling berpandangan sesama sendiri, mungkin tak tahu nak bagi reaksi yang bagaimana. Mereka berdua pun buntu sebenarnya dengan masalahku dan abang Pian yang tak pernah selesai. Itu pun, aku tak cerita apa yang berlaku dekat kedai emas tempoh hari sebab tak nak buat mereka jadi bertambah runsing.

"Tahniahlah kamu nak dapat menantu," kata mak setelah lama berdiam diri. Agaknya mak fikir itu sajalah jawapan terbaik yang dia boleh bagi, memandangkan urusan nikah kahwin abang Pian tak ada sangkut-pautnya dengan keluargaku.

Makcik Peah mencebik. "Sebab tulah aku datang ke mari. Aku nak minta korang berdua pantau sikit si Su tu!" kata Makcik Peah yang sepertinya mahu kata bahawa akulah yang menjadi punca kepada semua ini.

Aku pun terus selak langsir dengan lebih luas, sebab nak intai dan curi-curi dengar perbualan mereka bertiga yang tengah duduk di ruang tamu. Makcik Peah mungkin ingat yang aku tak ada kat rumah sebab tak nampak kereta aku di depan. Kebetulan lepas balik dari pasar tadi, aku terus parking kereta di belakang sebab senang nak bawa barang-barang masuk ke dapur.

"Kenapa dengan Su?" soal ayah.

"Aku nak Su jauhkan diri dari Pian. Jangan dekat-dekat dengan anak aku lagi. Aku tak suka. Lagi elok, kalau Shidah dan Cikgu Wahab cepat-cepat kahwinkan saja Su. Bagi dia berlaki, barulah dia takkan kacau anak aku lagi!"

"Peah, kamu mesti dah lama hidup dalam gua kan?" soal mak tiba-tiba. Makcik Peah jadi tergamam sekejap dan dahinya pula sudah berkerut-kerut. Mungkin dia tak faham apa sebenarnya maksud mak, tapi seboleh-bolehnya aku cuba untuk tidak ketawa. Aku tahu yang mak nak perli sebenarnya, tapi Makcik Peah pula tak faham. Ayah pun terus geleng kepala, melarang mak supaya tidak burukkan lagi keadaan.

"Beginilah, Peah. Hal Su biar kami yang urus. Kamu uruskan saja hal Pian. Kalau nak hati kamu lebih tenang, segerakanlah perkahwinannya. Tak perlu nak tunggu sampai hujung tahun baru kamu nak langsungkan," ujar ayah yang tak mahu panjangkan cerita dan keruhkan lagi keadaan.

Makcik Peah masih nampak tak puas hati. Tapi memandangkan ayahku pun dah tak bagi ruang, jadi terpaksalah dia mengalah. Dengan muka masam mencuka, Makcik Peah pun angkat punggung lalu terus balik.

"Kelakarlah Makcik Peah tu. Anaknya yang buat hal, lagi-lagi nak salahkan Su. Sungguh tak patut, sungguh tak patut..." Aku berkata sambil gelak. Lepas Makcik Peah dah balik, barulah aku berani keluar dari tempat persembunyian.

Ayah dan mak pula tengok ke arahku dengan pandangan yang sukar ditafsir. Sampai berdiri bulu romaku dibuatnya. "Kenapa tengok Su macam tu?"

Ayah berdeham. "Su dah ada teman lelaki ke?"

Aku terus terbatuk-batuk sendiri. Tak sempat pun lagi aku nak bertenang, mak pula tanya. "Makcik Peah kata Su dah ada teman lelaki. Betul ke?"

Peluh mula memercik di dahi. Kenapa aku tak dengar pula masa Makcik Peah cerita pasal teman lelaki? Dan kenapa tak ada angin dan tak ada ribut, tiba-tiba boleh timbul isu pasal ni? Makcik Peah takkan tahu apa yang berlaku malam tu, melainkan abang Pian pergi buka mulut.

Huh..!

Memang dah tak ada orang lain lagi, ini mesti kerja abang Pian! Kenapalah dia pergi cerita dekat maknya?! Sekarang Makcik Peah datang bagitahu dekat mak ayahku pula! Aku telan liur.

"Pasal tu, bukannya sungguh pun. Su terpaksa cakap yang Su dah ada teman lelaki sebab nak suruh abang Pian berhenti kacau Su. Itu saja," jelasku tak bagitahu keseluruhan cerita. Cukuplah sekadar tak nak bagi mak ayahku salah faham.

"Betul ke?" Mak aku bersuara dengan penuh curiga. Mungkin dia takut aku pun sama macam kak Intan, liat nak mengaku hal yang sebenar padanya.

"Betul mak, takkan Su nak tipu. Mak pun tahu kan, Su mana pernah keluar dengan mana-mana lelaki sebelum ni."

Mak aku terpaksa mengangguk, sebelum lepaskan keluhan kecil. "Su memang tak ada calon lagi ke? Kalau Su dah ada calon, senang. Kita boleh terus saja langsungkan perkahwinan Su. Barulah Peah tu puas hati, dan anaknya pun dah tak boleh kacau Su lagi," kata mak dengan penuh berharap.

Hatiku terus berubah sayu kerana kesian dekat mak ayah. Mesti mereka pun terbeban dengan masalahku ini. "Maaf, tapi memang buat masa sekarang, Su masih belum ada sesiapa," balasku jujur.

"Awak pergilah cari calon suami untuk Su," gesa mak sambil cuit bahu ayah. Cara mak cakap macam nak suruh ayah terus pergi ke kedai dan kemudian, bawa balik seorang calon suami untukku. Mestilah ayah terkejut. Dia terus tengok mak dengan muka tak percaya.

"Saya nak cari siapa?"

"Awak kan ada ramai kenalan masa kerja dulu. Takkan takde sorang pun yang ada anak lelaki, yang lebih kurang sebaya dengan Su. Kita boleh jodohkan mereka."

Ayah aku terdiam seketika sebelum matanya melirik ke arahku. "Su nak ke kalau ayah dan mak carikan?"

Hah, sudah! Aku terus bungkam, tak tahu nak jawab macam mana.

"Berkenalan dulu. Kalau rasa tak sesuai, tak payah teruskan." Mak lontarkan ayat yang sama seperti mak guna untuk pujuk abang Hadi dulu. Tapi sayang, rancangan mak untuk kenalkan abangku dengan anak kawannya tak pernah menjadi.

"Hmm, Su tengok dulu macam mana." Aku lontarkan jawapan yang paling selamat untuk lepaskan diri. Kerana jujur aku cakap, aku tak pernah lagi terfikir untuk kahwin dalam masa terdekat. Apatah lagi, nak suruh mak ayah carikan aku calon suami. Tapi gara-gara abang Pian, aku terpaksa fikirkan semua keberangkalian ini.

***

"Perkara yang dah berlalu, tak usahlah kau kenangkan lagi," ujar Baizura sambil peluk bahuku erat. Seperti mahu bagi sedikit semangat supaya aku tak terus berduka dan hanyut dengan perasaan sendiri.

"Kau cakap pasal apa ni?" Aku dah berkerut dahi.

"Pasal kaulah. Aku tahu kau tengah bersedih sebab abang Pian akan bertunang tak lama lagi."

Tanganku pun tak semena-mena terus naik dan cubit lengan Baizura dengan kuat.

"Auchh, sakit!"

"Padan muka! Itulah, siapa suruh kau memandai sangat buat andaian," balasku geram.

"Aku takkan buat andaian sesuka hati kalau aku tak tengok kau asyik termenung sana, termenung sini dari tadi. Punyalah penat aku bercakap, tapi kau langung tak dengar. Apasal? Kalau aku tahu kau nak buat aku macamni, aku tak setuju nak keluar dengan kau harini."

"Alah, sorry lah. Aku bukan sengaja nak pulaukan kau. Sebenarnya, banyak lagi hal yang aku nak kena fikir selain dari fikir soal abang Pian."

"Oh, kau fikir pasal apa?"

"Tak adalah, cuma hal itu ini."

Baizura mengangguk kecil. "Tapi kan, Su. Kau langsung tak kesian ke dekat abang Pian? Aku sebagai sepupunya pun rasa kesian sangat. Yalah, sebab dia kena paksa untuk bertunang dengan anak kawan makcik aku tu."

Mati terus seleraku lepas dengar bicara Baizura.

"Entahlah, Zura. Aku pun pelik, kenapa Makcik Peah beria sangat nak atur hidup abang Pian. Tahulah yang abang Pian tu cuma satu-satunya anak lelaki yang dia ada, tapi tak boleh ke kalau dia biarkan saja abang Pian cari sendiri calon isteri. Yang nak menikah tu pun abang Pian juga, bukan Makcik Peah," kataku dengan panjang lebar.

"Abang Pian dah carilah calon isteri, tapi dia tak nak."

"Oh, ya ke? Siapa?"

Baizura jegilkan matanya. "Kaulah, siapa lagi! Boleh pulak tanya aku balik."

Aku terus ketawa. Memang saja nak sakat Baizura tadi. "Kalau aku nak sekalipun, belum tentu lagi Makcik Peah nak terima aku tau tak."

"Jadi kau nak kata, kalau Makcik Peah setuju, kau pun boleh terimalah abang Pian?"

Kali ini, giliran Baizura pula yang ketawa bila mataku dah pun membulat dengan sempurna. "Kau nak kena cubit dengan aku lagi ke?"

Terus saja dia gelengkan kepala. "Tapi, Su. Seriuslah aku tanya. Kau memang langsung tak boleh terima ke abang sepupu aku tu?"

"Cinta dan perasaan mana boleh dipaksa, walau seribu kali pun kau suka seseorang tapi orang tu tak dapat pulangkan perasaan yang sama dekat kau. Untuk kes abang Pian pula, semakin dia paksa aku untuk terima, semakin itulah hati aku ni jadi tertutup buatnya."

Baizura nampak termenung seketika. Tak tahulah kalau dia termenung sebab fikirkan kata-kataku atau memang dia saja termenung kosong di tempatnya.

"Aku pun tak adalah jahat sangat, Zura. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa rasa bersalahnya aku sebab tak boleh nak terima abang Pian. Dan bila pula dengar yang abang Pian terpaksa terima perjodohan yang diatur oleh Makcik Peah, lagilah aku rasa bersalah."

Aku berhenti sekejap untuk tarik nafas. "Tapi, aku pun berhak untuk tentukan pilihan dan kebahagiaan aku sendiri. Begitu juga dengan abang Pian. Dia berhak untuk dapat seseorang yang lebih baik dari aku, yang boleh terima dan sayang dia dengan sepenuh hati. Aku tak boleh buat semua tu."

"Sebab hati kau bukan ditakdirkan untuk abang Pian?"

Aku angguk.

"Aku faham, aku faham. Cuma sekarang aku boleh doakan agar abang Pian dapat bertemu dengan kebahagiaan yang dicari. Kalau pun bukan dengan kau, mungkin dengan orang lain."

Aku sekadar diam dan tak membalas. Tapi jauh di sudut hatiku, memang aku pun harapkan benda yang sama. Ketika aku masih lagi hanyut melayan perasaan, tiba-tiba telefon bimbit yang aku letakkan di atas meja berbunyi dan nampak nama mak yang tertera di skrin. Jadi tanpa berlengah, aku terus jawab panggilan itu.

"Hello, Su! Su dekat mana ni?"

Aku mengernyit hairan bila dengar suara mak yang agak kalut. "Su masih dekat kedai makan dengan Zura. Kenapa mak?"

"Su balik sekarang!"

Aku dah mula rasa tak sedap hati. Kepalaku pula terus terfikir yang bukan-bukan, janganlah ada perkara buruk yang berlaku di rumah.

"Kenapa ni, mak? Cuba cerita dulu dekat Su."

"Rizal hantar rombongan meminang," jawab mak laju.

Aku hela nafas perlahan. Hal meminang bukanlah satu perkara yang buruk.

Tapi sekejap, mak cakap Rizal?

Abang Rizal, kawan kak Intan tu ke?

Dah hampir sebulan berlalu sejak dia ikut kak Intan balik ke kampung tempoh hari, kemudian aku dah tak dengar apa-apa cerita pasalnya lagi dah.

"Kenapa tiba-tiba? Kak Intan tak ada cakap apa pun sebelum ni," kataku pelik. Sepatutnya kak Intan bagitahulah sepatah kalau abang Rizal nak datang, jadi tak adalah mak aku terkejut sakan. Dalam kepalaku fikir yang mak panik sebab tak bersedia nak terima tetamu jauh. Sudahlah datang dengan bawa hajat penting pula tu.

"Masalahnya dia sendiri pun tak tahu," kata mak.

"Oh. Kiranya abang Rizal memang datang secara mengejutlah ni. Habis tu, macam mana mak?"

"Sebab itulah, mak nak Su balik sekarang. Kita kena bincang," arah mak.

"Aik, kenapa pula nak bincang dengan Su? Patutnya mak bincanglah dengan kak Intan."

"Sebab rombongan yang Rizal hantar bukan untuk pinang Intan! Tapi, untuk pinang kamu!!" jerit mak dekat dalam telefon.

Aku pula, sikit lagi nak tercabut jantung lepas dengar ayat mak. Berkelip-kelip mataku tak tentu arah. Aku tak salah dengar ke?

"Hello, Su? Su?? Balik sekarang, ya Su! Mak dengan ayah tunggu ni, cepat balik!"

Ttutttt.......!

Lepas mak putuskan panggilan, aku dapat rasa yang tanganku jadi menggigil. Jantungku pula dah berdegup laju, seperti nak pecah. Baizura yang nampak terpinga-pinga di sebelah pun, langsung tak kuhirau.

Aku ingatkan hidupku akan jadi lebih tenang sebabnya masalahku dengan abang Pian pun dah hampir selesai. Tapi, kenapa tiba-tiba sekarang boleh muncul masalah lain pula! Memang haru sungguh hidup sebagai seorang Suraya...!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience